Pages

Thursday, June 28, 2012

Selamat Datang ke Negara Uncle Sam

KHAMIS, 28 Jun 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Politik yang melibatkan kaum imigran di Amerika Syarikat, yang bermula dengan Presiden Barack Obama menggunakan perintah eksekutif menyekat penghantaran pulang anak-anak imigran ke negara asal mereka.  Keputusan ini dilihat memberikan kelebihan kepada Barack Obama dalam  Pilihan Raya Presiden 2012, yang dijangkakan menentang Mitt Romney daripada Republikan, untuk mendapatkan sokongan orang Latino.  Namun, di tiga buah negeri berayun, iaitu Florida, Ohio, dan Pennylsvania, menurut The Washington Post, tindakan itu tidak banyak membantu Obama. 


Kemudian, pada hari Isnin, Mahkamah Agung menolak hampir kesemua undang-undang imigresen Arizona anti-Latino yang dianggap sebagai kemenangan untuk Barack Obama dan Parti Demokratik. Memburukkan lagi keadaan, keputusan mahkmah itu dibuat ketika Romney masih bertungkus-lumus untuk mendapatkan sokongan orang Hispanic. Kedua-dua calon itu berlumba-lumba untuk menenangi undi Hispanic.  Untuk memenangi pertarungan di Colorado, Nevada, dan Virginia,  Romney memerlukan hampir 40 peratus undi Hispanic. Kehangatan Arizona, dipercayai tidak lagi akan dirasai oleh Romney


Dalam menangani isu imigresen, Michael Gerson membandingkan kedua-dua calon Presiden itu:  Kegagalan strategik Romney, manakala Obama bertindak ala Napoleon, iaitu beliau tahu bagaimana melontarkan kekuatannya terhadap sudut kelemahan lawan pada detik penentuan, seperti yang beliau lakukan dengan Akta Impian mininya. 

Pada takat tertentu, pihak berkuasa Amerika Syarikat masih mengalu-alukan kehadiran imigran.  Walau bagaimanapun, kajian meluas oleh Pew Research Center, yang dipetik oleh  Slate dan Time, menunjukkan imigran Asia mengatasi Hispanic.  Menurut banci terbaharu, kira-kira 430,000 orang Asia atau 36 peratus semua imigran baru, tiba di Amerika Syarikat pada tahun 2010, berbanding dengan kira-kira 370,000 atau 31 peratus ialah Hispanic. 

Memetik laporan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), carta harian The Economist menunjukkan negara yang banyak menerima imigran atau pendatang asing. Mendahului senarai ialah Amerika Syarikat yang banyak menerima imigran baru dari Mexicom disusuli oleh China dan India.  Sebaliknya,  kaum imigran ke Rusia, hampir secara eksklusif datang dari negara yang membentuk Kesatuan Soviet pada suatu masa dahulu. Sebagaimana Rusia dan Amerika, diukur berasaskan perorang, Switzerland dan Kanada memberikan kewarganegaraan dua kali ganda kepada imigran. 


No comments:

Post a Comment