Pages

Saturday, May 5, 2012

"Pemberontakan" Buruh

SABTU, 5 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jangan keliru.  Tulisan ini bukan tentang pemberontakan yang berlaku di dunia Arab yang kini menempuh laluan yang sukar di Syria.  Dan, bukan juga pemberontakan buruh yang Karl Marx pernah impikan. 

Sebaliknya, tulisan ini tentang kebangkitan Parti Buruh dalam pilihan raya tempatan.  Setelah tewas dalam Pilihan Raya Umum tahun 2010, parti tersebut mencipta kemaraan yang luar biasa sehingga menyebabkan pucuk pimpinan kerajaan Pakatan, iaitu David Cameron yang kini tertekan,  dan Nick Clegg dikritik daripada rakan-rakan dalam partinya, menghadapi malam yang cukup panjang.  

Tatkala Parti Buruh meraih kemenangan di seluruh England, kerajaan Pakatan Parti Konservatif dengan Demokrat Sosial dilaporkan terhuyung-hayang.  Kemenangan besar Parti Buruh, tegas  Andrew Grice dalam The Independent, menyebabkan kerajaan Pakatan "menghadapi krisis identiti." Tatkala Buruh muncul sebagai pemenang terbesar daripada pilihan raya hari Khamis dalam 180  pihak  berkuasa tempatan, para pemimpin Konservatif dan Demokrat Liberal berpandangan antara satu sama lain, saling menuding jari. 

Buruh memenangi lebih 820 kerusi, mengatasi jangkaan, Konservatif kehilangan lebih 400 kerusi, dan Demokrat Liberal kehilangan lebih 330 kerusi.  Parti Buruh pimpinan Ed Miliband memenangi 38 peratus pengundi, Konservatif 31 peratus, Demokrat Liberal 16 peratus, dan parti lain memenangi 15 peratus, dengan calon parti kecil dan bebas memperoleh kemenangan yang cukup baik. Dengan kemenangan besar itu, Miliband yang kepimpinannya pernah dikritik oleh partinya sendiri, memperkukuh lagi kedudukannya. Kebangkitan semula parti pimpinannya benar-benar mencemaskan Konservatif, meskipun kemenangan ini belum pasti menjamin kemenangan dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Pastinya, kebimbangan terhadap ekonomi United Kingdom, seperti ulas David Stringer dalam Time, "menjejaskan parti pimpinan David  Cameron." Sebagaimana dua tahun lalu, sekali lagi para pengundi meluahkan keberangan mereka melalui peti undi, dengan sasarannya beralih daripada kerajaan Parti Buruh kepada kerajaan Pakatan.  Walau bagaimanapun,   The Guardian dalam editorialnya  mengulas "fed up, not fired up,"  memandangkan dua pertiga pengundi tidak keluar mengundi. 

Bagi Konservatif, luka yang parah diubati dengan kemenangan Boris Johnson sebagai Datuk Bandar London untuk kali kedua, mengalahkan Ken Livingstone dengan majoriti kecil, iaitu tiga peratus.  Johnson memperoleh 1,054,811  undi (51.5 peratus) berbanding Livingstone yang memperoleh 992,273 undi  (48.5 peratus). Namun, pemenang sebenar ialah Miliband dan bukannya Johnson. "Boris Johnson ambil London," tulis William Lee Adams dalam Time, "tetapi Parti  Buruh yang bangkit semula menang di peringkat nasional." Bahkan,  untuk  perhimpunan London, Parti Buruh mencipta kejayaan dengan memenangi 12 kerusi (bertambah empat kerusi) berbanding dengan Konservatif sembilan kerusi (kurang dua kerusi) dan Demokrat Sosial memenangi dua kerusi (kurang satu kerusi), manakala Parti Hijau kekal dengan dua kerusi. 

Kemelesetan dan langkah jimat-cermat yang menyusahkan rakyat jelata meletakkan parti yang memerintah dalam keadaan yang sukar dalam mana-mana pilihan raya.  Pilihan raya tempatan ini membuktikannya.  


No comments:

Post a Comment