Pages

Thursday, May 10, 2012

Osama Masih "Hidup"

KHAMIS, 10  Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Bersempena  setahun pembunuhan Osama bin Laden dan  Barack Obama pula akan menghadapi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat November ini, maka pasukan kempen  beliau  dilaporkan menggunakan iklan mempersoalkan, sama ada kemungkinan pencabarnya, Mitt Romney akan mengarahkan pembunuhan itu  seandainya Romney Presiden Amerika Syarikat.  Iklan tersebut menonjolkan bekas Presiden Bill Clinton memuji keputusan Barack Obama untuk menghantar pasukan khas membunuh Osama pada 2 Mei 2011.  Strategi Obama, menurut pemerhati, mengambil pujian untuk risiko pembunuhan itu. 


Republikan, termasuk Romney, cuba memperlekeh bahawa setiap orang Amerika akan membuat keputusan seperti itu.  Bahkan beberapa bulan lalu,  Karl Rove, bekas penasihat Presiden George W. Bush pernah menulis dalam The Wall Street Journal menegaskan bahawa perintah Obama supaya   Osama  dibunuh bukannya pencapaian epik.  Namun, hujah Fred Kaplan, Obama membuat keputusan yang berani, bahkan berisiko. "Republikan," tegas Bob Cesca dalam blog The Huffington Post, "tidak dapat menangani kebenaran tentang Osama bin Laden." Sementara Arianna Huffington cuba bermain dengan kata-kata, iaitu Obama membuat keputusan yang betul mengarahkan pembunuhan itu, tetapi keputusan yang silap melalui iklan yang menjaja ketakutan. 


Majalah  Time dalam keluaran 7 Mei,  membuat liputan (juga laporan khas), "Hari-hari Terakhir Osama bin Laden" yang ditulis Peter Bergen, mengimbas kembali operasi pembunuhan   tersebut (Hanya mereka yang melanggani majalah dapat mengakses makalah ini.) Sementara U.S. Navy SEALS menyerbu  kediaman Osama di Abbottabad, Pakistan, Kabinet perang Presiden berkumpul di dalam Bilik Situasi Rumah Putih, memerhatikan operasi dan menunggu  "misi dicapai." 


Dalam makalah kedua yang ditulis oleh Graham Allison, "How it Went Down" mendedahkan bahawa perintah pertama Obama kepada Pengarah CIA yang baru, Leon Panetta pada tahun 2009, ialah "membunuh atau menangkap Osama bin Laden sebagai keutamaan paling atas perang terhadap  al-Qaeda." Lima belas bulan selepas mengeluarkan arahan tersebut, Panetta kembali ke Rumah Putih pada Ogos 2010 dengan berita baik bahawa CIA menemui kediaman Osama, dan Presiden Obama terpaksa membuat keputusan yang sukar. Makalah itu juga mendedahkan bahawa dalam kalangan anggota pasukan keselamatan negara yang berbelah bahagi dengan operasi membunuh Osama. 


Kematian Osama bin Laden, hujah Gary Younge dalam The Guardian, mempunyai impak sifar terhadap keselamatan Amerika. Sementara David Ignatius yang menulis dalam  The Washington Post mendedahkan bagaimana Osama menang, meskipun dia mati.  Gerakannya dimusnahkan secara keseluruhannya, tetapi keingingannya untuk kerajaan yang lebih Islam dan tulen di dunia Arab berjaya sebahagiannya.  Dalam  erti kata ini, beliau mengingatkan "Barat tidak sepatutnya terlalu cepat menuntut kemenangan."  Dalam makalah itu, Ignatius juga merujuk dokumen baru tentang Osama bin Laden yang dikeluarkan selepas  satu tahun dan satu hari  dia dibunuh, termasuk rancangannya untuk membunuh Barack Obama


Salah satu dokumen yang dipetik secara meluas ialah usaha Osama untuk menjenamakan semula al-Qaeda.  Osama dilaporkan sangat prihatin oleh kehilangan sokongan yang jelas di dunia Islam.  Beberapa bulan sebelum kematiannya, dia mempertimbangkan penjenamaan semula besar-besaran al-Qaeda untuk membenarkan organisasi itu mengekploitasi Pemberontakan Arab yang sedang berlaku. 





No comments:

Post a Comment