Pages

Wednesday, May 23, 2012

Krisis Masih Merayau-rayau

KHAMIS, 24  Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi kebanyakan negara, mimpi ngeri, iaitu krisis kewangan dan kegawatan ekonomi yang dialami kira-kia dua tahun lalu, nampaknya kian reda.  Jika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2009 disandarkan harapan untuk tahun 2010, banyak negar boleh menarik nafas lega. Misalnya, Malaysia pada tempoh berkenaan mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus, dan dijangkakan pada tahun ini (2010), mengalami pertumbuhan antara lima hingga enam peratus.  Sementara Amerika Syarikat, pada suku keempat 2009 mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus, terpantas dalam tempoh enam tahun.  China pula, menurut unjuran terbaharu Bank Dunia, akan berkembang pada 9.5 peratus pada tahun ini berbanding dengan unjuran sembilan peratus sebelum in. 
Namun begitu, 16 buah negara zon euro, yang dalam tiga bulan terakhir tahun lalu hanya mencatatkan pertumbuhan 0.1 peratus, mencetuskan ketakutan bahawa Eropah mungkin terjebak semula dalam kemelesetan.  Dalam tempoh itu, Jerman tidak mengalami pertumbuhan sama sekali, Perancis mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus, manakala Italy dan Sepanyol masing-masing menguncup 0.2 peratus dan 0.1 peratus.  Kemelesetan terus melanda Ireland, Greece, dan Cyprus, manakala Portugal lembap, meskipun Austria dan Belanda berkembang. 
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam World Economic Outlook yang diterbitkan  awal tahun ini menyatakan bahawa selepas menguncup lapan peratus pada tahun 2009, KDNK global diunjurkan meningkat kepada 3.9 peratus pada tahun 2010 dan 4.3 peratus 2011.  Meskipun  KDNK untuk ekonomi  maju  dijangkakan turut berkembang untuk tahun ini dan tahun hadapan, tetapi kadarnya agak rendah.  Setelah menyusut sebanyak 3.2 peratus tahun lalu, KDNK ekonomi maju diunjurkan berkembang pada 2.1 peratus (2010) dan 2.4 peratus (2011).   Dalam ekonomi berkenaan, Amerika yang menyusut pada kadar 2.5 peratus tahun lalu, laporan itu mengunjurkan berkembang pada 2.1 peratus (2010) dan 2.4 (2011, manakala zon euro pula yang menyusut 3.9 peratus, diunjurkan berkembang pada kadar 1.0 peratus (2010) dan 1.6 peratus (2011). 
Dalam kalangan  BRIC pula, laporan tersebut  mengunjurkan bahawa Brazil yang menyusut 0.4 peratus tahun lalu, berkembang 4.7 peratus (2010) dan 3.7 peratus (2011), Rusia yang menguncup 3.9 peratus, berkembang 4.3 peratus tahun ini dan 5.1 peratus tahun hadapan.  Sementara India dan China yang masih mengalami pertumbuhan, meskipun dunia dilanda kemelesetan, iaitu masing-masingnya 5.6 peratus dan 8.7 peratus pada tahun lalu; pada tahun 2010 dan 2011,  India  diunjurkan berkembang  7.7 peratus dan 7.8 peratus, manakala China 10.0 peratus dan 9.7 peratus. 
Pada awal tahun ini, Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn berkata bahawa China dan ekonomi membangun lain di Asia akan menerajui pemulihan global yang  adalah pantas dan kuat daripada yang dijangkakan, tetapi beliau mengingatkan bahawa wang yang meluru ke dalam pasaran sedang muncul boleh menyebabkan gelembung aset.   China, India, dan ekonomi Asia sedang muncul lain adalah hampir-hampir kembali semula kepada kadar pertumbuhan prakrisis, manakala lantunan di Amerika, Jepun, dan ekonomi maju lain masih  “lembap.”  
Walaupun IMF tidak meramalkan kemelesetan dua cerun  (double-dip)  atau kemelesetan kedua, namun tegas Strauss-Kahn, risiko masih wujud.  Kita perlu terlalu berhati-hati kerana pemulihan ini adalah sangat lemah.  “Meskipun beratus-ratus bilion dalam perbelanjaan rangsangan di seluruh dunia mengelakkan satu lagi Kemelesetan Besar,” kata beliau, “risiko paling penting yang mendepani ekonomi global adalah untuk memutuskan berapa dan bila untuk kebalikan dasar berkenaan dan menangani akibat beban hutang.  Mencari masa yang betul untuk melaksanakan dasar keluar adalah benar-benar sukar.  Jika anda keluar terlalu lewat, anda membazikan sumber.  Jika anda keluar terlalu awal, anda berhadapan dengan risiko untuk mengalami kemelesetan semula.” 
Sementara laporan Bank Dunia, Global Economic Prospect 2010: Crisis, Finance, and Growth  menyatakan bahawa krisis yang berlaku mempunyai kesan kumulatif yang serius terhadap kemiskinan, dengan 64 juta lebih orang dijangkakan hidup dalam kemiskinan melampau pada akhir tahun 2010 berbanding dengan keadaan tanpa krisis. Meskipun ekonomi dunia kini bebas daripada krisis, dan kadar pertumbuhan KDNK mula meningkat, tetapi laporan itu mengingatkan bahawa pertumbuhan mungkin perlahan pada akhir tahun ini kerana impak pertumbuhan rangsangan pakej rangsangan lemah, dan bahawa memerlukan masa bertahun-tahun sebelum pekerjaan dipulihkan dan kapasiti perindustrian diserapkan semula.  KDNK global yang merosot sebanyak 2.2 peratus tahun lalu, dijangkakan tumbuh pada kadar 2.7 peratus ini dan 3.2 peratus tahun 2011.  Volum perdagangan dunia yang jatuh secara mengejutkan 14.4 peratus tahun lalu, diunjurkan berkembang pada 4.3 peratus tahun ini dan 6.2 peratus tahun 2011. 
“Kekuatan pemulihan akan bergantung pada permintaan pengguna dan sektor perniagaan yang picking up dan langkah kerajaan menarik balik rangsangan fiskal dan monetari.  Jika dilakukan segera, ini mungkin membunuh pemulihan; namun begitu, menunggu terlalu lama mungkin menggembungkan semula beberapa gelembung yang mencetuskan krisis.” 
Negara membangun, menurut laporan itu,  dijangkakan mencatatkan pemulihan yang kuat, dengan 5.2 peratus pertumbuhan KDNK tahun ini dan 5.8 peratus tahun 2011 – berbanding dengan 1.2 peratus tahun 2009. Negara kaya yang merosot sebanyak 3.3 peratus tahun lalu, dijangkakan tumbuh kurang cepat, iaitu sebanyak 1.8 peratus tahun 2010 dan 2.3 peratus tahun 2011.  Prestasi dunia membangun adalah berbeza-beza.  Kemelesetan adalah teruk di Eropah dan Asia Tengah, sedangkan pertumbuhan terus kuat secara relatifnya di Asia Timur dan Pasifik.  Asia Selatan dan Timur Tengah dan Afrika Utara selamat daripada kesan teruk daripada krisis, manakala Afrika Sub-Sahara adalah teruk, dengan tinjauan rantau ini masih tidak pasti.  Di Amerika Latin dan Caribbean yang fundamental adalah kukuh membantu rantau ini menempuh krisis ini dengan lebih baik jika dibandingkan dengan krisis yang lalu. 
Menurut Global Economic Prospects 2010   lagi, pasaran kewangan masih susah dan permintaan sektor swasta jatuh di tengah-tengah pengangguran yang tinggi, mengingatkan bahawa meskipun keterukan krisis kewangan, mungkin berakhir, tetapi pemulihan adalah lemah.  Laporan meramalkan kesan sampingan daripada krisis akan mengubah landskap untuk kewangan dan pertumbuhan sepanjang 10 tahun akan datang. 
Semasa menyampaikan kertas kerja, “International Policy Cooperation:  Essential for Securing the Global Economic Recovery and Modernizing the Global Financial Architecture” sempena mesyuarat tahunan ahli parlimen Eropah pada 17 Mac, Strauss-Kahn mengakui bahawa krisis kewangan  mengkibatkan kebinasaan sejak tahun 1930-an, iaitu krisis yang mencetuskan akibat  yang sangat besar terhadap penduduk di seluruh dunia.  Sambil  mengakui bahawa krisis ini mendedahkan kelemahan yang serius dalam ekonomi dan institusi kewangan,  di Eropah, tegas beliau,  “krisis ini membangkitkan beberapa persoalan tentang kelangsungan (survival) Kesatuan Eropah.”   Beliau juga mengakui bahawa kebanyakan ekonomi maju, pemulihan masih agak suam, dan masih bergantung pada ekonomi sokongan, manakala di banyak negara, tugas yang kritikal untuk beberapa tahun akan datang adalah untuk meletakkan semula hutang awam pada tahap yang mampan, iaitu untuk mengelakkan hutang membebankan kadar faedah dan pertumbuhan, dan mencuri ruang untuk tindakan dalam peristiwa kejutan masa depan.  Strauss-Kahn akur bahawa keadaan ini adalah sukar kerana dalam  ekonomi maju, hutang awam pastinya meningkat kepada purata 110 peratus KDNK pada 2014, kira-kira 35 titik peratusan lebih tinggi daripada sebelum krisis.  
How to Walk the Fiscal Tightrope that Lies Before Us”  yang diterbitkan dalam Financial Times,  Martin Wolf mengemukakan perangkaan tentang defisit di beberapa buah negara yang boleh menyebabkan banyak orang berasa bimbang tentang masa hadapan ekonomi dunia.   “Negara pendapatan tinggi yang mengalami lompatan yang besar dalam defisit dan hutang,” tulis Wolf, “tidak dapat dielakkan ialah Ireland, Sepanyol, United Kindom, dan Amerika Syarikat.  Negara ini yang mempunyai ledakan kredit yang besar dan gelembung aset.”  Dengan memetik unjuran Rumah Putih,  bahawa di Amerika, hutang persekutuan kasar akan melebihi 100 peratus KDNK pada 2012, Wolf mengingatkan, “Amerika adalah diramalkan tidak akan mengalami belanjawan berimbang lagi; bahawa dasar monetari, bukannya defisit yang menyelamatkan ekonomi; bahawa kadar faedah yang tinggi akan akan dilaksanakan; dan, terutama sekali, hutang fiskal yang tinggi adalah merosakkan.”  
Beliau juga memetik sumber  pengarang daripada Bank for International Settlements (BIS) bahawa nisbah hutang awam dengan KDNK boleh mencecah 250 peratus di Italy pada 2050, 300 peratus di Jerman, 400 peratus di Perancis, 450 di Amerika Syarikat, 500 peratus di United Kingdom, dan 600 peratus di Jepun.  Dengan memetik kertas kerja  Carmen Reinhart  Kenneth Rogoff baru-baru ini bahawa “sebaik-baik sahaja nisbah hutang awam dengan KDNK melebihi 90 peratus, kadar pertumbuhan median akan jatuh sebanyak satu peratus setahun,” Wolf menegaskan, “ini akan menelan belanja yang besar.  Lagipun, wujud risiko pada tahap tertentu, keyakinan akan hilang dan kadar faedah akan meningkat naik, dengan impak teruk terhadap dinamik hutang.”  Namun begitu, beliau nampaknya berkongsi pandangan popular bahawa mengetatkan  fiskal  besar-besaran pada hari ini akan menjadi kesilapan yang serius:  “Risiko yang besar yang pasti bahawa ini akan melonggokkan  dunia balik semula ke dalam kelemesetan.” 
Meninjau jauh ke hadapan, bagaimanakah pemulihan dapat dikekalkan dalam jangka yang lebih panjang?  Salah satu yang penting adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan global.  Demikian bahas  Strauss-Kahn dalam kertas kerja yang dinyatakan di atas.  Namun begitu, dalam keadaan Greece  kucar-kacir, zon euro kucar-kacir, negara Barat kucar-kacir, dan dunia kucar-kacir, sesungguhnya, langkah untuk mengurangkan ketidakseimbangan global adalah sesuatu yang sukar, mungkin juga sesuatu yang mustahil dalam tempoh yang terdekat.  Di bawah ini diperturunkan beberapa beberapa kepincangan serta krisis, dan oleh itu, ketidakseimbangan global yang tidak mudah dirungkaikan. 
Sumber Kesatuan Eropah menganggarkan Greece memerlukan suntikan kewangan kira-kira AS$27 bilion.  Setakat ini, belum kelihatan usaha untuk menyelesaikan krisis kewangan Greece menerusi bantuan Eropah.  Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso, yang tidak mahu Greece diabaikan, berkata, “Adanya bantuan daripada rakan-rakan Greece akan menunjukkan pasaran kewangan bahawa negara Kesatuan Eropah adalah bersatu untuk mempertahankan mata wang tunggal mereka dan kestabilan zon euro,”  kawasan yang 16 buah negara berkongsi euro sebagai mata wang mereka. Sementara  Suruhanjaya Eropah mendesak Jerman dan kerajaan zon euro yang lain melaksanakan pakej pinjaman kerajaan-dengan-kerajaan untuk meredakan keadaan getir kewangan dan menamatkan berminggu-minggu kacau-bilau kewangan dan spekulasi. Tatkala  Greece bergelut dengan beban defisit yang besar dan berbulan-bulan mencari  penyelesaiannya, Perancis dan Jerman tidak sepakat:  Presiden Perancis Nicolas Sarkozy menentang desakan Jerman supaya IMF menghulurkan pinjaman kepada Greece. 
Untuk Eropah, Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn,  mencadangkan  bahawa benua itu perlu  mempunyai “pasukan bomba” yang disokong oleh dana daripada kerajan dan sektor swasta untuk berhadapan dengan kegagalan bank-bank besar.  Krisis kewangan yang berlaku  mendedahkan beberapa kelemahan dalam kawal selia kewangan Eropah, termasuk tiadanya mana-mana mekanisme yang ditakrifkan dengan baik untuk berurusan dengan pemberi pinjaman yang besar yang beroperasi merentas sempadan negara. 
Di Amerika, selain   hutang awam bertimbun-timbun pada kadar yang menghairankan dan tidak berhenti-henti,   upah untuk golongan kelas menengah lembap. Kadar pengangguran masih tinggi. Negara itu  memerlukan masa  untuk pulih sepenuhnya daripada krisis kewangan.  Agensi penarafan kredit, iaitu  Moody’s, Standard and Poor’s, dan Fitch  memberikan amaran bahawa mereka mungkin menurunkan gred hutang tiga kali ganda-A Amerika Syarikat jika negara itu gagal mengawal defisit belanjawan.  
Walaupun Asia dikatakan menerajui dunia untuk keluar daripada kemelesetan, namun  pada pertengahan Mac lalu, Bloomberg.com melaporkan penggubal dasar Bank England, Andrew Sentance,  berkata bahawa pemulihan dalam ekonomi global, terutamanya di Asia, menimbulkan risiko inflasi yang lebih pantas.  “Wujud kebimbangan bahawa pertumbuhan di Asia dan pasaran yang sedang muncul yang lain mungkin terbukti terlalu kuat, merangsangkan pertumbuhan harga aset dan meletakkan tekanan menaik terhadap harga tenaga dan komoditi.”  
Sementara Jepun pula terpaksa bertarung dengan deflasi, justeru,  Bank Jepun  baru-baru ini  menawarkan pinjaman murah kepada bank-bank.  Bank pusat negara itu mengakui bahawa   cabaran kritikal  terhadap ekonomi Jepun untuk mengatasi deflasi dan kembali kepada laluan pertumbuhan mampan dengan kestabilan harga.  Jepun yang mengalami pertumbuhan pada kadar tahunan 3.8 peratus pada suku tahun keempat 2009, terpaksa mengambil langkah yang berbeza dengan beberapa buah negara Asia-Pasifik, yang mengetatkan dasar monetari: peningkatan kadar faedah di  Australia dan Malaysia, manakala China dan India mengurangkan kecairan untuk mengawal inflasi. 
Untuk mengurangkan ketidakseimbangan global, pastinya memerlukan usaha bersepadu yang melibatkan banyak negara, baik negara maju mahupun negara membangun. Malangnya, bulan-bulan awal 2010 – tatkala dunia baru sahaja bebas daripada kemelesetan, Amerika dan China asyik bertelagah. 
Dengan eksportnya meningkat, meskipun ekonomi besar lain masih bertungkus-lumus untuk pulih  daripada cengkaman kemelesetan, dipercayai,  China dengan jelas  menggunakan peraturan tentang perdagangan global untuk kepentingannya, iaitu memacu ekonominya sendiri sambil menjejaskan negara lain, termasuk Amerika.  Dengan mencuba untuk mengekalkan penguasaan eksportnya, China dikatakan menggunakan  usaha dua penjuru, iaitu menentang fahaman perlindungan dalam kalangan negara rakan perdagangannya dan menurunkan nilai mata wangnya. 
Ketegangan yang  bangkit yang berpunca daripada dasar ekonomi China, dan  memang wajar begitu, tulis Paul Krugman dalam The New York Times pada 14 Mac lalu:  “Dasar China mengekalkan mata wangnya, renminbi, dikurang nilai menjadi punca utama yang meleret-leretkan pemulihan ekonomi.  Sesuatu mesti dilakukan.”  Dengan membangkitkan bahawa aduan yang meluas bahawa China memanipulasikan mata wangnya, iaitu menjual renminbi dan membeli mata wang asing, supaya renminbi terus lemah dan eksport China berdaya saing secara dibuat-buat, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi itu  mengingatkan bahawa dasar ini memberikan kerosakan yang serius terhadap negara lain di dunia ini.  Kebanyakan ekonomi besar dunia tersekat dalam perangkap kecairan, meleset dengan mendalam, tetapi tidak mampu menjanakan pemulihan dengan memotong kadar faedah kerana kadar relevan telah pun hampir-hampir sifar.  Oleh sebab dasar mata wang China banyak menambah kepada masalah ekonomi dunia pada masa apabila masalah itu telah pun sangat teruk, Krugman menyeru, “Inilah masa untuk menyatakan pendirian.” 
“Will China Listen?” demikian tajuk editorial The New York Times sebagai menandakan ketidakpuasan terhadap keputusan China untuk mengasaskan pertumbuhan ekonominya pada eksport barang yang  sengaja dikurang nilai adalah mengancam ekonomi di seluruh dunia.  Langkah China itu dikatakan memarakkan lagi defisit perdagangan yang besar di Amerika dan Eropah.  Bahkan lebih teruk langkah itu mengasak keluar eksport dari negara membangun lain, mengancam harapan pemulihan negara berkenaan.  Menurut editorial itu lagi, aduan demi aduan di Washington tentang manipulasi China terhadap mata wangnya – dan sikap berdiam diri kebanyakan negara lain – mungkin mendorong seseorang untuk berfikir bahawa semua ini adalah semata-mata masalah Amerika.  Tetapi, tidak.  
Walau bagaimanapun, China dengan tegas mempertahankan dasarnya.  “Saya tidak fikir renminbi adalah dikurang nilai,” kata Perdana Menteri China, Wen Jiabao yang menolak cadangan supaya yuan dinaikkan nilai, meletakkan risiko kemerosotan yang seterusnya dalam hubungan dengan Amerika apabila para penggubal undang-undangnya dan ahli-ahli ekonomi berkata pendirian beliau itu menghalang pemulihan global.  Menurut Bloomberg.com, Paul Krugman menganggarkan bahawa pertumbuhan global  adalah kira-kira 1.5 titik peratusan lebih tinggi jika China menghentikan mengawal nilai yuan, dan selepas jawapan Wen itu, beliau berkata “Amerika sepatutnya mempertimbangkan pelaksanaan surcaj 25 peratus terhadap barang China.” 
Sesungguhnya, pemulihan ekonomi global bukan sahaja suatu perjalanan yang jauh, tetapi juga terpaksa menempuh  pelbagai krisis yang mungkin menjelma di sepanjang perjalanan itu.  Setengah-tengah krisis itu kelihatan di kejauhan, manakala sesetengahnya muncul dengan tiba-tiba.  Ketiadaan pemimpin dunia untuk mengambil daya usaha bersepadu untuk membendung krisis seperti yang dapat dilihat ketika  krisis kewangan baru-baru ini memungkikan  krisis bermaharajalela.  Sesungguhnya juga, psikologi penafian akan menyediakan ruang yang luas untuk krisis merayau-rayau mencari mangsanya, baik korporat mahupun negara.
         (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan  Ekonomi Mei 2010.)

No comments:

Post a Comment