Pages

Wednesday, May 30, 2012

Dunia Ketandusan Bakat

RABU, 30 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Laporan terbaharu menunjukkan kira-kira 72,600 siswazah yang masih  menganggur di Malaysia kerana mereka tidak mempunyai kemahiran mencari pekerjaan dan terlalu bergantung pada pihak lain untuk menyampaikan maklumat tentang peluang pekerjaan. 

Lazimnya, pengangguran  dan kekosongan jawatan yang tidak dapat diisi,  terutamanya yang melibatkan  siswazah di Malaysia, dikaitkan dengan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dan kelemahan komunikasi.  Secara tersirat, bahasa Melayu dipersalahkan yang kononnya menjadi punca segala kejahatan dan kecelakaan, meskipun pengangguran merupakan fenomena global yang mencecah kadar yang tinggi, termasuk pengangguran dalam kalangan belia yang berumur antara antara 15 hingga 24 tahun meningkat kepada hampir 75 juta orang.  

Melalui carta hariannya, The Economist  mendedahkan bahawa meskipun pengangguran  adalah yang tertinggi di banyak negara, satu pertiga  majikan di seluruh dunia menghadapi kesukaran untuk mengisi kekosongan. Memetik kajian ManpowerGroup, melibatkan hampir 40,000 majikan di 41 buah negara. Para pekerja yang mahir sebagai juruelektrik, tukang paip, penurap bata, dan sebagainya adalah kurang dari segi penawaran, diikuti oleh jurutera dan jurujual.  

Kekurangan bakat paling ketara di Asia, terutamanya di Jepun, yang penduduk berumur memburukkan lagi masalah.  Hanya di Perancis, perkadaran majikan yang bersusah payah untuk menemui bakat yang sesuai meningkat dengan signifikat sejak tahun lalu, daripada 20 peratus kepada 29 peratus.  Di Italy, sebaliknya, dikurangkan kepada separuh, daripada 29 peratus kepada 14 peratus.  

Secara keseluruhan, majikan kurang prihatin tentang impak kekurangan kemahiran jika dibandingkan yang mereka hadapi pada tahun 2011. Hal ini demikian mungkin kerana syarikat menjadi lebih selesas menjalankan perniagaan dalam persekitaran tidak pasti yang kekurangan bakat berterusan. 


Kajian tersebut juga dipetik oleh BloombergBusinessweek memang memeranjatkan bahawa dunia kekurangan pekerja mahir.  Seseorang itu tidak perlu bimbang jika dia mempunyai kemahiran tertentu, meskipun di negaranya kadar pengangguran yang tinggi. Kemahiran  yang mempunyai permintaan tinggi ini, pastinya berbeza antara negara:  Juruteknik di China dan Brazil; wakil jualan di Taiwan dan Hong Kong; jurutera di Jepun; pekerja teknologi maklumat di Ireland; buruh di Belanda; dan tukang paip, pengimpal, dan jurulektrik di Amerika Syarikat.

Beberapa buah negara nampaknya berusaha memburu bakat.  Di Malaysia misalnya,  Perbadanan Bakat menyediakan pelan untuk menjadikan negara ini  destinasi bakat global pada tahun 2020.  Negara lain, iaitu China juga sejak dua tahun lalu memperkenalkan "pembangunan bakat" untuk menarik ekspatriat kelahirannya pulang berkhidmat ke negara itu dengan menawarkan gaji yang lumayan dan pelbagai kemudahan.



No comments:

Post a Comment