Pages

Saturday, April 28, 2012

Minggu Muram untuk Ekonomi

SABTU, 28 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




United Kingdom disahkan mengalami kemelesetan curam berganda menandakan jimat-cermat membawa kerosakan kepada ekonomi,  manakala krisis zon euro menyebabkan 5.6 juta orang kehilangan pekerjaan.  "Di segenap pinggir Eropah," hujah Paul Krugman melalui kolumnya, "dari Sepanyol ke Latvia, dasar jimat-cermat mewujudkan kemerosotan tahap kemelesetan dan pengangguran tahap kemelesetan."  Ekonomi Jepun pula, menurut Jared Diamond yang menulis dalam Bloomberg, menjadi semakin teruk.

Apabila United Kingdom, seperti yang dijangkakan,  terjebak semula dalam kemelesetan dan pesanan barang tahan lama di Amerika Syarikat merosot dengan ketara, menurut data terbaharu, hal ini, tegas Mohamed A. El-Erian, menandakan ekonomi global dalam kesusahan. 

Di tengah-tengah Britain  dan banyak negara Eropah terjebak dalam kemelesetan, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Amerika Syarikat untuk suku pertama tahun 2012, seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post, Los  Angeles Times,  The Washington Post, Bloomberg,  dan Time,  adalah perlahan, iaitu hanya 2.2 peratus. Perbelanjaan pengguna yang yang lebih kukuh diimbangi oleh pemotongan dalam perbelanjaan kerajaan dan pelaburan perniagaan.  

Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat memaklumkan pada hari Jumaat bahawa ekonomi negara itu berkembang pada kadar tahunan 2.2 peratus dari Januari - Mac tahun ini berbanding dengan tiga peratus yang dicatatkan pada suku akhir tahun 2011.  Angka itu jatuh di bawah jangkaan kerana ahli ekonomi menjangkakan pertumbuhan 2.5 peratus atau lebih.  Namun, diperingatkan supaya jangan naik geram tentang angka KDNK ini. Meskipun kadar terbaharu ini dianggap kuat, hanya sebilangan orang Amerika yang berasa seronok.

Beberapa hari sebelum ini, dilaporkan bahawa Rizab Persekutuan meningkatkan gred tinjauan ekonomi Amerika Syarikat, iaitu kadar pengangguran dijangkakan jatuh kepada 7.8 peratus pada suku keempat tahun ini - suatu berita yang agak gembira kerana kadar pengangguran sekarang ialah 8.2 peratus. Pengerusinya, Ben Bernanke dipetik sebagai berkata, "Rizab Persekutuan sedia untuk bertindak jika diperlukan"  memberikan keyakinan sekurang-kurangnya kepada pasaran bahawa kemungkinan satu lagi pakej rangsangan ekonomi.

Minggu ini merupakan minggu yang panjang untuk Canselor Angela Merkel yang kehilangan sekutu rapat dan terpaksa bergelut dengan penentangan terhadap jimat-cermat daripada beberapa buah negara Eropah.  Dan, minggu yang panjang untuk para pemimpin yang menyaksikan negara mereka terus terjebak dalam kemelesetan atau masih termengah-mengah untuk mendapat rentak pertumbuhan.  


No comments:

Post a Comment