Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Apabila dua buah negara zon euro, iaitu Greece dan Italy yang dilanda krisis hutang menyaksikan dua pemimpin yang dipilih secara demokrasi digantikan oleh teknokrat, antara ulasan atau pandangan ialah demokrasi terpaksa dikorbankan demi menyelamatkan kapitalisme.
Namun, pilihan raya di Perancis dan beberapa buah negara lain, bahas Michael Sivy dalam Time, berkemungkinan menunjukkan penentangan popular besar-besaran terhadap dasar jimat-cermat yang diperlukan demi menyelamatkan mata wang Eropah bersama itu.
"Euro," tulis Sivy, "mampu mengharungi pelbagai bencana, daripada krisis perbankan di Ireland kepada keruntuhan hartanah di Sepanyol, di samping kekacauan ekonomi yang berpanjangan di Greece. Akan tetapi, kini mata wang Eropah bersama menghadapi ancamana yang paling besar, sesuatu yang mungkin tidak mampu diatasi, iaitu demokrasi."
Hujahnya mudah, jelas beliau, di kebanyakan negara yang menganggotai zon euro, tidak wujud lagi majoriti yang besar yang bersedia untuk berkorban demi memastikan kelangsungan mata wang euro. Hal ini, memang benar pada takat tertentu, seperti yang dinyatakan, iaitu defisit demokratik, yang bermaksud sistem ekonomi Eropah yang sebahagian besar pewujudan kepentingan politik dan perniagaan yang sangat berkuasa dan kurang ketelusan, kebertanggungjawaban, dan mandat popular yang luas. Akan tetapi, hingga kini, sokongan elit lebih daripada cukup untuk memastikan sistem itu dalam keadaan baik.
Tambah Sivy, sepanjang beberapa minggu akan datang, golongan elit kemungkinan mula hilang cengkaman mereka. Beberapa buah negara utama Eropah mengadakan pilihan raya, dan parti politik yang menyokong euro dijangkakan kalah teruk. Di negara Eropah yang dilanda krisis paling teruk, penentangan popular terhadap dasar jimat-cermat kian memuncak. Pada masa yang sama, di negara yang masih stabil dari segi kewangan, para pengundi semakin tidak bersedia untuk membahagikan wang demi mengelakkan negara lemah daripada jatuh muflis.
Pilihan Raya Presiden Perancis untuk pusingan pertama menyaksikan kali pertama dalam generasi kini, calon sosialis Francois Hollande menewaskan calon bertahan, iaitu Nicolas Sarkozy. Pastinya, kekalahan Sarkozy itu tidak memeranjatkan, meskipun beliau berjaya mara untuk pusingan kedua. Hal ini demikian kerana kemuraman ekonomi Perancis dikatakan memalapkan peluang beliau untuk dipilih dalam penggal kedua.
Pertembungan antara Hollande dengan Sarkozy untuk pusingan kedua memang tidak memeranjatkan. Akan tetapi, Sarkozy menduduki tempat kedua di belakang Hollande, hanya memperoleh 24.4 peratus. Sesungguhnya, ini satu mimpi ngeri buat dirinya yang pernah menerima 31.2 peratus undi pusingan pertama dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2007. Hal ini menandakan berakhirnya lembaran Sarkozy - memetik Anne Sinclair yang menulis dalam The Huffington Post.
Hollande yang sebelah kaki memasuki "istana Presiden," dihadapkan dengan persoalan, mampukah beliau mengelak kereta api euro yang ranap? Hollande juga dijangkakan belanja sesuka hati di Perancis yang menimbulkan kebimbangan terhadap jimat-cermat Eropah. Seperti yang dipersoalkan oleh Jeremy Warner dalam The Telegraph, apa yang berlaku seterusnya pada euro jika Perancis menolak jimat-cermat - membayangkan perubahan pucuk pimpinan di negara itu akan memudarkan masa depan langkah yang membangkitkan kemarahan rakyat. Jika Hollande menang, nescaya negara zon euro "teras" akan berpecah belah.
Nampaknya, jimat-cermat yang gagal di Eropah itu memberikan pengajaran bukan sahaja dari segi ekonomi, bahkan juga dari segi politik. Namun, tidak sesiapa yang boleh dipersalahkan kerana golongan elit sendiri yang mencari padah dengan melaksanakan jimat-cermat sesuka hati, meskipun banyak juga peringatan diberikan. Jimat-cermat Eropah, seperti yang dibahaskan oleh editorial The Guardian, terbabas dari jalan apabila politik negara anggota utama bergerak ke arah yang berlawanan.
Jika pilihan raya di beberapa buah negara Eropah menyaksikan satu demi satu elit tersungkur, maka sepintas lalus, jangkaan Michael Sivy adalah tepat bahawa demokrasi memusnahkan zon euro. Namun, siapa yang cari susah mendakap jimat-cermat tanpa usul periksa?
No comments:
Post a Comment