Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada hakikatnya, dunia diisytiharkan keluar daripada kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua, pada tahun 2010. Pada tahun itu dikatakan bahawa sinar harapan berkerlipan di hujung terowong dan pucuk hijau mula bertunas. Namun, seperti yang sering diperkatakan, kesan pemulihan itu tidak dirasai kerana kadar pengangguran masih tinggi dan pertumbuhan adalah perlahan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), walaupun baru-baru ini mengiystiharkan bahawa dunia di laluan pemulihan, pada masa yang sama, mengingatkan bahawa risiko masih berlegar-legar. Demikian juga The Economist bahawa tinjauan untuk ekonomi dunia adalah lebih baik daripada keadaan sebelum ini, tetapi risiko besar masih menunggu. Dalam satu tulisan lain dalam majalah itu, bagi Amerika Syarikat, pemulihannya bukannya kuat dan dramatik.
Berbicara tentang pemulihan, pastinya perhatiannya lebih tertumpun pada Eropah kerana sebuah demi sebuah negara di benua itu menjadi "orang sakit Eropah" - bergelut dengan krisis hutang. Greece meskipun diberikan pelan penyelamat kedua, negara itu dikatakan itu terhumban ke dalam kancah malapetaka, seperti yang diperhatikan oleh Costas Lapavitsas.
Eropah, seperti yang diberikan amaran oleh Timothy Geithner, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, "terpaksa melalui jalan yang berliku-liku yang sangat panjang" untuk pemulihan dan masa depan benua itu masih mengancam ekonomi Amerika. Dalam testimoni kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Kewangan Dewan Perwakilan Amerika, Geithner yang tidak yakin terhadap pemulihan Eropah, dilaporkan bahawa beliau memberikan amaran tentang pemotongan perbelanjaan yang terlalu teruk yang dilakukan oleh negara yang menanggung beban hutang dan mengesyorkan negara Eropah yang berkedudukan lebih baik membantu negara jiran mereka.
Dalam keadaan dunia yang saling berhubung, tidak ada negara yang dapat tidur lena ketika Eropah masih terumbang-ambing.
No comments:
Post a Comment