Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Lebih tiga tahun Lehman Brothers runtuh yang turut menyumbang kepada krisis kewangan dan krisis ekonomi global, manakala dunia terjebak dalam kemelesetan. Namun, debat tentang krisis ini masih belum reda. Ada yang mengatakan krisis semasa ialah krisis kapitalisme, tetapi ada yang menafikannya dengan mengatakan krisis globalisasi, dan krisis kepimpinan.
Yang terbaharu, seperti yang dibahaskan oleh Mark Field dalam The Telegraph, "krisis sebenar dalam negara kebajikan, bukannya krisis kapitalisme." Bahas beliau, lupakan Davos, politik dalam negara, dan bayaran bonus. Perusahaan dan pasaran bebas masih kekal sebagai satu-satunya permainan di Britain, sekali gus menyalahkan negara kebajikan.
Meskipun untuk semua perbincangan tentang jimat-cermat yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan potongan sektor awam yang keras, hujah Field, kerajaan British masih meminjam satu paun sterling dalam setiap lima paun sterling yang kita belanjakan secara kolektif.
Lama sebelum krisis kewangan, tulis Field, "pembaharuan kebanikan bukan sekadar debat akademik. Pengembangan model kebajikan Eropah untuk bertahun-tahun berfungsi menjadikan benua kita kurang dan kurang daya saing dari segi ekonomi."
Pastinya, pendirian Field menyalahakan negara kebajikan yang beliau dakwa sebagai punca krisis, bercanggah dengan beberapa pandangan, antaranya seperti yang dikemukakan oleh Paul Krugman. Seperti yang diketahui, Krugman begitu gigih mempertahankan negara kebajikan, khususnya untuk negara Eropah. Bagi beliau, krisis euro bukan mengenai negara kebajikan. Tegas beliau, krisis euro bukannya berpunca daripada kegagalan negara kebajikan.
Meskipun benar bahawa semua negara Eropah lebih murah hati terhadap faedah sosial berbanding dengan Amerika, hakikatnya hujah beliau, "negara yang kini dalam krisis tidak mempunyai negara kebajikan yang lebih besar berbanding dengan negara yang mempunyai prestasi ekonomi yang lebih baik."
Dengan menyalahkan negara kebajikan yang didakwa sebagai punca krisis, maka ini memberikan kewajaran kepada beberapa negara untuk melaksanakan jimat-cermat. Namun, dari segi realiti, seperti yang berlaku di Eropah, jimat-cermat lebih banyak mengundang masalah ekonomi, antaranya pemulihan yang perlahan, pertumbuhan yang lemah, dan pengangguran yang tinggi.
No comments:
Post a Comment