Pages

Thursday, March 15, 2012

China Bangkit Amerika Resah

JUMAAT,  16 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Minggu-minggu  pertama tahun 2010 menyaksikan kebanjiran liputan tentang China, daripada  pertikaian antara Google dengan pemimpin Beijing kepada tayangan filem  “Avatar” di negara itu; daripada kejayaan China menguji peluru berpandu kepada arahan terhadap bank-bank milik negara mengawal pinjaman dan meningkatkan rizab. China bukan sahaja menjadi  daya tarikan banyak pelaburan dunia, tetapi juga mendapat banyak perhatian. Akhbar The New York Times, misalnya, menerbitkan beberapa makalah tentang China yang bukan sahaja ditulis oleh para kolumnisnya, bahkan oleh penulis lain.

  Paul Krugman dan seorang lagi kolumnis akhbar berkenaan,  Thomas Friedman memulakan penulisan  tahun baru mereka  dengan menjadikan  China persoalannya.   Krugman yang  kritis dan  sinis terhadap China  memulakannya dengan “Chinese New Year” dengan meramalkan bahawa 2010 akan menjadi tahun China, tetapi tidak dengan cara yang baik.  Meskipun masalah besar China melibatkan perubahan cuaca, namun Krugman memberikan tumpuan terhadap dasar semasa negara itu. 
Walaupun  China menjadi kuasa besar kewangan dan perdagangan, tulis Krugman,  “negara itu tidak bertindak seperti ekonomi besar lain.  Sebaliknya, China mengikuti dasar mekantilis, dengan memastikan lebihan perdagangan tinggi secara dibuat-buat.  Dengan kelembapan dunia pada hari ini, dasar itu jika dikatakan secara terus terang, sentiasa mencari mangsa.” Beliau mengingatkan bahawa merkantilisme China adalah menambahkan masalah, dan mangsa merkantilisme itu yang mengalami kerugian yang sedikit daripada konfrontasi perdagangan.  Jika kerajaan China terus-menerus degil, nescaya fahaman perlindungan yang sangat lembut yang pada masa ini China bersungut  akan mula bertambah besar.
Berbanding dengan Paul Krugman, Thomas Friedman dalam kolumnya,  lebih mengagumi China,  seperti yang dapat dilihat dalam tiga makalahnya dalam tempoh 10 hari bulan Januari.  Bermula dengan “Who’s Sleeping Now?” Friedman berasa lebih yakin jika dibandingkan sebelum ini bahawa apabila sejarawan menoleh ke akhir dekad pertama abad ke-21, mereka akan berkata bahawa perkara  yang paling penting berlaku bukannya Kemelesetan Besar, tetapi Green Leap Forward China.
Dengan mengingati ringkasan tiga ayat C.H. Tung, Ketua Eksekutif Hong Kong yang pertama selepas penyerahannya  pada tahun 1997: China yang tidur semasa Revolusi Perindustrian.  China baru sahaja bangun daripada tidur ketika Revolusi Teknologi Maklumat.  China berhasrat untuk menyertai sepenuhnya dalam Revolusi Hijau, tulis Friedman, “kepimpinan Beijing jelas memahami bahawa T.T. – Teknologi Tenaga – revolusi adalah kedua-duanya perlu dan peluang, dan mereka tidak berhasrat untuk melepaskan peluang ini.”
Dalam makalah yang dibahagikan kepada dua bahagian, “Is China the Next Enron?” Friedman menolak pandangan yang menjangkakan China akan mengalami nasib seperti Enron:  China ialah Dubai 1000 kali atau teruk.”  Selepas melawat Hong Kong dan Taiwan dan pada Januari tahun ini dan bercakap dengan banyak orang yang bekerja dan melabur wang mereka sendiri di China, Friedman dalam bahagian pertama, berhujah antaranya, peraturan mudah pelaburan, jangan sekali-kali mengambil langkah pendek  negara yang memiliki AS$2 trilion rizab mata wang asing. 
Adakah China akan menguasai dunia?  Melalui komentar dua kali sebulan dalam laman webnya,  Immanuel Wallerstein dari Yale University, awal tahun ini berhujah bahawa banyak orang, malah mungkin kebanyakan orang di seluruh dunia kini tidak pasti apakah yang mereka fikirkan tentang China sebagai negara atau sebagai kuasa dunia.  Dalam  “How to Think About China” beliau membahaskan sesungguhnya,  perbincangan tentang China bukan sahaja merupakan persoalan tentang ketidakpastian, tetapi juga debat yang tajam yang melibatkan tiga prinsip: sama ada China pada hakikatnya sebagai negara sosialis ataupun kapitalis; pendapat yang tidak sekata, sama ada China masih sebahagian Selatan ataupun kini menjadi sebahagian Utara; dan mungkin persoalan paling kontroversi, sama ada terus memikirkan China sebagai kuasa utama antiimperialis ataupun memikirkan China adalah sebagai kuasa imperialis.  
Dalam Isu 2010, keluaran akhir Disember Newsweek  memuatkan dua makalah yang berkait dengan China: “Why China Won't Rule the World” oleh  Minxin Pei  dan “BRICs are Still on Top” oleh Jim O’Neill. Pei mengakui  sepintas lalu memang benar bahawa kemelesetan lebih banyak membantu China jika dibandingkan dengan negara lain, tetapi para pemimpin negara itu melihat tiada sebab untuk meraikannya.  Mereka benar-benar memahami bahawa bagaimana sukarnya cabaran yang terpaksa mereka hadapi dan bagaimana cepat kekayaan boleh berubah. Berbeza dengan Pei, O’Neill yakin bahawa China berkemungkinan menggantikan Jepun sebagai ekonomi nombor dua di dunia pada akhir tahun 2009, dan dianggarkan dalam tempoh 17 tahun, China akan mengatasi Amerika Syarikat.
Apabila dekad lalu menyelinap, peralihan yang mendalam terus berlaku, iaitu kebangkitan dan kebangkitan China dan ekonomi penting lain yang dikelompokkan atas nama “sedang muncul”.   Kini, BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) menyumbang 15 peratus ekonomi global, lebih separuh saiz Amerika.  Per kapita pendapatan dijangkakan terus meningkat di BRIC dan kuasa perbelanjaaan beranjak dari negara kaya ke arah blok pendapatan pertengahan yang sedang berkembang, termasuk pasaran yang sedang muncul secara umum dan BRIC secara khusus.  Dipercayai bahawa China dan negara BRIC lain akan membina semula orde ekonomi dunia baru.
Sejak  tiga dekad lalu,  ekonomi China mengalami pertumbuhan yang pesat dalam sejarah dunia.  Tatkala kebanyakan negara maju dan negara membangun bergelut dengan kemelesetan, China masih mampu mencipta pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada tahun 2009, pertumbuhannya masih tinggi, iaitu 8.7 peratus, meskipun lebih rendah daripada  tahun sebelumnya, iaitu 9.6 peratus.  Banyak   ahli ekonomi  menjangkakan pertumbuhan ekonomi China melantun pada  2010 kepada kira-kira 9.5 peratus. 
Empat tahun lalu, China menduduki tempat kelima dalam ekonomi dunia, dan kemudian, menyingkirkan Jerman untuk menduduki tempat ketiga.    Dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berkembang 10.7 peratus antara Oktober hingga Disember,   Reuters melaporkan pada 20 Januari 2010 bahawa China dapat mencapai kedudukan nombor dua dalam ekonomi dunia 2009.  Meskipun di bawah jangkaan pasaran, iaitu 10.9 peratus, tetapi kadar pertumbuhan ini  lebih tinggi daripada yang disemak, iaitu 9.1 peratus dalam suku tahun ketiga.  Kadar pertumbuhan ini sudah memadai untuk China mengetepikan dan meletakkan Jepun kepada nombor tiga dalam pemeringkatan ekonomi dunia.  Agensi berita antarabangsa  itu juga memetik Goldman Sachs, yang menjangkakan China menggerhanakan Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar di dunia pada 2027. 
Peningkatan ekonomi China, seperti yang sering dibahaskan,  ialah hasil strategi pertumbuhan yang diterajui eksport yang mengikut contoh yang dialami oleh Jerman Barat dan Jepun selepas Perang Dunia Kedua.  Walau bagaimanapun, ada perbezaannya, iaitu China menunjukkan usaha yang berterusan untuk mengawal nilai mata wangnya, renminbi yang menyebabkan berlaku pengumpulan yang sangat dalam dolar rizab.  Apabila eksport China meningkat, Beijing dikatakan membeli dolar secara tekal untuk mengelakkan turun nilai mata wang mereka, menetapkannya pada kira-kira 8.28 renminbi berbanding dengan dolar dari pertengahan 1980-an hingga pertengahan 1990-an.  Apabila krisis kewangan global bertambah buruk pada tahun 2008, Beijing menetapkan dolar pada 6.83 renmimbi.
  Semasa melawat China pada pertengahan November, Presiden Barack Obama berkata bahawa perkongsian dengan China membantu Amerika Syarikat keluar daripada kemelesetan yang teruk. Obama dan Presiden China, Hu Jintao menyatakan hubungan yang makin erat antara kedua-dua buah negara, yang bukannya terbatas pada satu isu.  Sebaliknya, mereka menekankan kerjasama dari segi ekonomi, perubahan cuaca, tenaga, dan tahap yang berbeza tentang ancaman nuklear Iran dan Korea Utara. 
Obama bercakap panjang lebar  tentang kepentingan bersama Amerika dan China,  dan berkata, “Saya tidak percaya bahawa kejayaan sebuah negara mesti dicapai dengan mengorbankan negara lain.”  Beliau mencadangkan China yang kini gergasi dalam impak ekonomi, di samping wilayah, mesti memainkan peranan yang lebih besar di pentas dunia, sebahagian “beban kepimpinan” untuk dikongsi dengan Amerika.  Sempena 30 tahun hubungan Amerika dengan China, Obama dilaporkan berkata, “Saya fikir adalah adil untuk berkata bahawa dua kerajaan kami bergerak ke hadapan demi membawa kerjasama yang lebih besar pada masa hadapan.”
Dengan Amerika menanggung defisit belanjawan AS$1.42 trilion pada 2009, manakala China merupakan pemberi pinjaman nombor satu kepada Washington dan menyatakan kebimbangan bahawa kejatuhan harga dolar mengancam nilai pemegangannya di Amerika.  Sebaliknya, pengilang Amerika pula menyalahkan nilai mata wang China sendiri yang rendah menyebabkan kehilangan  5.6 juta pekerjaan dalam sektor perkilangan sejak beberapa tahun lalu. 
Ketika  berucap di hadapan para pelajar dalam forum yang diadakan di Shanghai, Bloomberg.com melaporkan bahawa Obama berkata bahawa hubungan yang kian erat antara Amerika dengan China adalah penting untuk kemajuan dan kemakmuran ekonomi kedua-dua negara dan penting untuk menghadapi isu global, seperti perubahan cuaca.  Beliau memberitahu khalayak, perdagangan antara Amerika dengan China memacu pertumbuhan ekonomi di kedua-dua buah negara dan bahawa hubungan yang lebih seimbang akan memberikan kemajuan dan kemakmuran yang lebih besar.  
Namun begitu, “kata-kata indah” daripada kedua-dua pemimpin berkenaan, khusunya daripada Presiden Obama, sesungguhnya tidak mencerminkan hakikat sebenar, seperti yang cuba dibahaskan oleh  Niall Ferguson, profesor sejarah dan  Moritz Schularick, profesor sejarah ekonomi.  Kedua-dua penulis ini merujuk kepada   istilah “Chimerica”  untuk menjelaskan kombinasi ekonomi China dengan Amerika yang bersama-sama menjadi pemacu utama ekonomi global.   Jika digabungkan kedua-dua negara ini,  adalah meliputi  13 peratus permukaan bumi dunia dan kira-kira satu perempat penduduk dunia.   “Chimerica” menyumbang  satu pertiga output ekonomi global dan dua perlima pertumbuhan seluruh dunia dari 1998 ke 2007.
Kami menyebutnya  “Chimerica” dengan alasan bahawa kami percaya hubungan ini ialah cimera, kacukan serupa raksasa, seperti sebahagian singa, sebahagian kambing, sebahagian ular daripada kisah legenda.  Tulis    Ferguson dan  Schularick dalam The New York Times.   “Kini, kita menyaksikan geliang-geliut kematian raksasa ini.  Persoalan yang Presiden Obama mesti pertimbangan apabila beliau terbang ke Asia minggu ini, sama ada membunuhnya ataupun membiarkannya terus hidup.”
Dalam makalah “The Great Wallop” itu, Ferguson dan Schularick mengingatkan  bahawa “perkahwinan” antara penyimpan, iaitu China dengan orang yang suka berbelanja, iaitu Amerika, tidak ditakdirkan bertahan lama.  Krisis kewangan sejak 2007,  tulis mereka, “meletakkan perkahwinan terumbang-ambing.  Membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara Amerika dengan China – pembubaran ‘Chimerica’, kini  sangat diperlukan seandainya keseimbangan ingin dipulihkan untuk ekonomi dunia.”  Mereka mengingatkan bahwa “Chimerica” adalah selalunya cimera, iaitu raksasa ekonomi.  Penurunan nilai renminbi akan memberi raksasa ini  kematian yang tenang yang sepatut diterimanya.  
Dengan mengatakan bahawa tiada sesiapa pun yang menjangkakan Obama pulang dari  China membawa  perjanjian baru yang besar tentang dasar ekonomi dan sesuatu yang lain, Paul Krugman, melalui  kolumnya dalam The New York Times mengkritik dasar pertukaran yang diamalkan oleh China.  Dalam “World Out of Balance” beliau menegaskan bahawa dalam beberapa bulan kebelakangan ini, China melakukan apa yang dimaksudkan penurunan nilai  beggar-thy-neighbor, dengan mengekalkan kadar pertukaran yuan-dolar yang tetap, bahkan ketika dolar jatuh dengan ketara jika dibandingkan  mata wang utama lain. Keadaan ini memberikan kelebihan bersaing yang semakin meningkat kepada para pengeksport China terhadap pesaing-pesaing mereka, khususnya pengeluar di negara membangun.
 “Bulan demi bulan, tajuk berita mengatur seiring meningkatnya defisit perdagangan Amerika dan lebihan perdagangan China dengan penderitaan para pekerja Amerika yang menganggur.  Jika saya kerajaan China, saya benar-benar bimbang memikirkan keadaan ini,” tulis beliau.
Banyak pihak mendakwa bahawa  China menetapkan kurang nilai mata wangnya yang dibuat-buat untuk menggalakkan eksport negaranya  sendiri.   Bahkan,   krisis kewangan yang terbaru ini dikatakan berpunca daripada kawalan kadar pertukaran China yang menyebabkan ketidakseimbangan global yang sangat besar yang menyumbang kepada keruntuhan tahun 2008.
 Sebenarnya, kebimbangan terhadap tindak-tanduk  China berhubung dengan nilai mata wangnya   turut dirasai oleh negara selain Amerika. Misalnya, Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC)  yang berlangsung di Singapura pada November lalu, mencadangkan supaya diterima pakai “kadar pertukaran berorientasikan pasaran” untuk mata wang Asia tanpa menyebut atau perlu  menyebut mata wang China. 
   Berbeza dengan gambaran yang diberikan oleh para pemimpin Malaysia bahawa kebangkitan China bukannya sebagai ancaman, beberapa buah negara jiran berasa tidak senang dengan kuasa ekonomi China. Sejak lama China menuntut sebagai hanya negara membangun, meskipun kuasa ekonominya jauh melebihi mana-mana negara sedang muncul yang lain. Memandangkan China 10 tahun lalu berbeza sama sekali dengan China sekarang, yang lebih kuat dan lebih besar daripada negara lain, ada yang mempersoalkan mengapa perlu diberikan keutamaan kepada negara itu. Keadaan yang berubah sekarang dikatakan mendorong pemikiran semula anggapan selama ini bahawa kebangkitan China merupakan “durian runtuh” kepada seluruh negara jirannya. 
Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew  dipetik berkata di Washington pada Oktober lalu, bahawa saiz China menjadikan mustahil negara-negara lain di Asia, termasuk Jepun dan India untuk menyainginya dari segi berat dan kapasiti dalam kira-kira 20 hingga 30 tahun.   Lebih memeranjatkan bahawa antara Amerika dengan China,  beliau  berani memperlihatkan kepercayaan dan pendiriannya: “Oleh itu, kita memerlukan Amerika untuk menghidupkan keseimbangan.”
 Bagi ASEAN yang mempunyai  10 buah negara anggota, perdagangan dengan  China semakin penting: meningkat daripada  AS$59.6 bilion pada 2003 kepada AS$192.5 bilion pada 2008.  Namun begitu,  ASEAN  yang  mempunyai penduduk lebih kurang 600 juta orang, hingga September lalu,  mengalami defisit perdagangan AS$74 bilion dengan China.
Ahli ekonomi veteran, Roger Bootle dipetik sebagai membahaskan  dalam bukunya yang baru diterbitkan, The Trouble with Markets, bahawa menyeimbangkan semula ekonomi global, dengan negara, seperti Britain dan Amerika mengurangkan defisit akaun semasa, manakala China menyusutkan lebihannya akan menjadi penting untuk kejayaan ekonomi pada dekad akan datang.  Alternatifnya, iaitu fahaman perlindungan dan perang perdagangan boleh membawa  bencana.  Menurut beliau, China sedang duduk di atas bom masa.  Dengan memilih untuk terus-menerus memiliki lebihan yang amat besar bermakna negara lain terpaksa terus  menanggung defisit yang amat besar. 
Dari segi teori, pukulan ekonomi China yang terus berkembang sepatutnya memberikan manfaat kepada setiap orang.  Dalam dunia yang saling berhubung ini, perdagangan yang berkembang mewujudkan pekerjaan dan wang di mana-mana jua.  Tanpa sebarang keraguan, China semakin penting.  Secara keseluruhannya, ada yang mengatakan  jika China menjadi lebih penting, sesungguhnya keadaan ini lebih baik untuk ekonomi  Amerika. Walau bagaimanapun, dari sudut pesimistik  apabila China bangkit, ketakutan bertambah kerana, sama ada ekonominya  yang melambung boleh berpanjangan.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Mac 2010.)

No comments:

Post a Comment