Pages

Monday, February 27, 2012

Serang Iran Suatu Kepastian?

ISNIN,  27  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Gendang perang Israel gegak-gempita.  Israel  seakan-akan naik histeria, bersiap sedia untuk menyerang Iran.  Pembinaan bom  nuklear Iran betul-betul menghantui negara "anak yang dimuakan,"  meskipun Amerika Syarikat sendiri tidak percaya Iran cuba membina bom itu.  Senator Amerika, iaitu Joseph Lieberman, Lindsey Graham, dan Robert Casey, dan AIPAC menggamatkan lagi  paluan  gendang perang. Meskipun para pakar mengingatkan bahawa serangan terhadap Iran tidak rasional, bahas Peter Beinart, helang yang berkeliaran memenangi debat. 


Intelektual berwajah helang, seperti Niall Ferguson, melalui kolumnya dalam Newsweek, turut tumpang sekaki, dengan mesej yang jelas:  Israel jangan gentar untuk menyerang Iran dan Iran membina program nuklear dengan mengugut Eropah yang bergantung pada minyak negara itu. Demikian juga  calon-calon Presiden daripada Republikan yang kini bersaing dalam pemilihan awal, menganggap Iran sebagai ancaman.  Semua calon ini, boleh dikatakan juga naik histeria untuk menyerang Iran.

Ketakutan terhadap nuklear palsu dikatakan, menyebabkan Barat hilang pertimbangan. Sekatan demi sekatan dikenakan terhadap Iran, dan yang terbaharu oleh Kesatuan Eropah yang menyekat import minyak dari negara itu.  Akan tetapi, langkah Kesatuan Eropah ini dipercayai tidak diproduktif, seperti yang dibahaskan Rory Miller dalam Foreign Affairs:  "Kegagalan membawa kuasa dunia yang bersama-sama melemahkan usaha Kesatuan Eropah untuk memperlihatkan dirinya sebagai orang tengah antarabangsa utama mengenai Iran."  

Adakah Israel akan menyerang Iran? -  masih menjadi tanda tanya. Israel, seperti yang diperhatikan oleh Joel Greeberg, "kelihatan beralah untuk menyerang Iran." Pihak tentera Amerika Syarikat mengingatkan Israel jangan menyerang Iran dan Amerika sendiri meningkatkan usaha diplomasi untuk mencegah Israel daripada melancarkan serangan terlebih dahulu.  Seperti yang diperingatkan oleh Eugene Robinson, Perang Teluk III bukan pilihan, manakala Fareed Zakaria mencadangkan bagaimana pengajaran boleh menyekat sikap agresif Iran. 

Tidak ada siapa pun, tegas The Economist,  yang patut mengalu-alukan prospek Iran bersenjata nuklear, tetapi menyerang negara itu, bukan jalan penyelesaiannya. Dalam makalah yang lain, The Economist mengakui bahawa kemungkinan menyerang program nuklear Iran semakin meningkat, tetapi peluang untuk menamatkan cita-cita nuklear negara itu adalah rendah.  Tatkala paluan gendang perang Israel berdentum-dentam,  Seumas Milne dalam The Guardian, serangan terhadap Iran hanya tindakan kebodohan jenayah. 
Ehud Eiran yang menulis dalam Foreign Affairs agar Israel mengadakan debat awam yang dapat mencegah malapetaka strategik. Beliau membangkitkan implikasi ketentaraan  apabila  Iran menyerang balas.  Para penggubal dasar Israel, bahas beliau, mengabaikan beberapa aspek potensi jangka panjang serangan Israel itu:  tahap persediaan di negara Israel sendiri; kontur strategi keluar Israel; impak terhadap hubungan Amerika Syarikat-Israel; kesan sampingan diplomatik global; kestabilan pasaran tenaga dunia; hasil dalam negara Iran sendiri.

Namun,  seperti yang dibahaskan oleh Larry Derfner, "Israel bersiap sedia untuk berperang dengan Iran."  Dan Ephron juga memberikan peringatan yang sama dengan memetik sumber dalaman bahawa "jangan memperlekeh kemampuan Israel menyerang Iran."   Bahkan, para pegawai Amerika dipetik sebagai berkata bahawa sekatan terhadap Iran akan gagal, menyebabkan tindakan ketenteraan,  sama ada dilancarkan oleh Israel atau Amerika Syarikat suatu kemungkinan. 

Israel  memperlihatkan kepada dunia bahawa Iran benar-benar merupakan ancaman.  Sementara Iran dengan program nukelar dituduh  mengancam keselamatan Israel dan menggugat kestabilan serantau,  dan baru-baru ini, Setiausaha Luar British, William Hague memberikan amaran: program nuklear Iran boleh mencetuskan Perang Dingin baru di Timur Tengah, Israel masih "terbang tinggi."  Selain keberanganya terhadap Iran meluap-luap kadangkala berbaur dengan ketakutan yang dibuat-buat, Israel dicadangkan supaya  campur tangan di Syria, seperti yang dibahaskan dalam The Huffington Post dan The Daily Beast

Tatkala Israel semakin kuat memalu gendang perang  dan histerianya kian menjadi-jadi, Iran juga tidak mahu ketinggalan dalam perang psikologi. Teheran memberikan amaran bahawa serangan Israel terhadap pemasangan nuklear boleh membawa keruntuhan Israel.

No comments:

Post a Comment