Pages

Friday, February 10, 2012

Penerbitan Ilmiah di Persimpangan?

JUMAAT,  10  Februari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH
Meskipun secara rasmi, kedudukan saya sebagai warga penerbitan boleh dikatakan telah berakhir, minat saya terhadap dunia yang saya  ceburi berpuluh-puluh tahun, daripada buku kepada majalah kepada ensiklopedia, tidak pernah "bersara."  

Demikian juga minat saya terhadap penerbitan ilmiah terus menjadi darah daging saya kerana saya pernah berkhidmat sebagai editor buku pengajian tinggi dan berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).  Saya memegang jawatan Setiausaha ini  adalah atas kapasiti saya sebagai Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),  manakala DBP sebagai urus setia MAPIM. 

Saya percaya dan banyak orang juga percaya bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hanya menjadi kenyataan apabila bahasa ini digunakan untuk wacana dan penulisan ilmiah.  Lantaran itu, usaha penerbitan ilmiah perlu dilipatgandakan, dan DBP sendiri tidak boleh mengasingkan dirinya daripada penerbitan ini.  Jika tidak, cita-cita untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu hanya retorik dan akhirnya, menjadi kata-kata basi.

Walau bagaimanapun, tulisan ini bukan bertujuan membincangkan penerbitan ilmiah DBP khususnya dan Malaysia amnya.  Sebaliknya, menyorot sebuah makalah "harga maklumat" yang diterbitkan dalam  The Economist baru-baru ini tentang pemulauan terhadap jurnal penyelidikan yang diterbitkan oleh Elsevier.  Firma   ini  beribu pejabat di Belanda, menerbitkan lebih 2000 jurnal, termasuk yang memperoleh penarafan tinggi, seperti Cell dan Lancet.

Lebih 2700 orang penyelidik di seluruh dunia menandatangani kempen pemulauan yang diusahakan oleh Tyler Neylon, felo-ahli matematik, berjanji tidak akan menghantar karya mereka  kepada jurnal terbitan Elsevier, menjadi penilai atau makalah yang diterbitkan firma itu. Alasan pemulauan pertama, Elsevier mengenakan bayaran yang terlalu tinggi terhadap produknya.  Kedua, firma ini mengamalkan jurnal "berkas" memaksa perpustakaan yang ingin melanggni penerbitan tertentu membeli sebahagian jurnal lain, termasuk beberapa jurnal yang tidak diingini oleh perpustakaan. Ketiga, firma ini menyokong perundangan, seperti Akta Karya Penyelidikan, rang undang-undang yang dibentangkan di Kongres Amerika yang melarang kerajaan memerlukan bahawa akses percuma diberikan kepada penyelidikan yang dibiayai oleh pembayar cukai. 

The Economist pergi lebih jauh lagi dengan membangktikan konflik antara ahli akademik dengan penerbit mereka, iaitu konflik yang diselesaikan dengan ketara oleh peningkatan penerbitan dalam talian.  Ahli akademik yang hidup dalam budaya yang menghargai gerakan bebas dan mudah maklumat (dan yang mengedit dan menjadi penilai makalah tanpa apa-apa bayaran) telah lama menjadi rakan tidak selesa dengan syarikat penerbitan komersial, yang ingin memaksimumkan keuntungan dengan mengenakan bayaran untuk mengakses maklumat itu, dan mereka yang mengawal banyak (meskipun tidak semuanya) kebanyakan jurnal saintifik yang ulung. 

Pendedahan itu mendorong Mike Taylor untuk menulis dalam The Independent tentang masa depan penerbitan ilmiah. Penerbit akademik gemar memperlihatkan diri mereka sebagai rakan kongsi dalam perusahaan saintifik, tulis Taylor, "komited untuk penyebaran seluas yang mungkin penyelidikan yang diterbitkan," yang hakikatnya benar dari segi sejarah, yang kini  mungkin nostalgia.  Tambah lagi, tidak berapa lama dahulu, penerbitan pada kertas hanya satu-satu cara untuk pengarang memastikan karyanya sampai kepada  rakan-rakannya di seluruh dunia. 

Sebagaimana The Economist, Taylor juga membahaskan konflik antara penyelidik dengan penerbit yang mempunyai kepentingan yang berbeza.  Penyelidik mahu karyanya  dibaca seluas mungkin,  manakala penerbit ingin memastikan pulangan kewangan daripada  jurnal yang menerbitkan karya berkenaan. Penerbit secara aktif berusaha mencegah penyebaran percuma maklumat yang diperlukan oleh beberapa golongan. 

Para penyelidik nampaknya tidak boleh lagi menerima syarat yang dikenakan oleh penerbit, dan bahkan yang memeranjatkan, mereka mengisytiharkan kemerdekaan, seperti pemulauan  mereka terhadap Elsevier. 

Melampaui konflik antara penyelidik dengan penerbit, suatu persoalan yang menarik yang dibangktikan oleh Jimmy Wales dan Kat Walsh dalam The Washington Post hari ini, ialah siapakah yang memiliki pengetahuan? Dalam tulisan itu, mereka memperjuangkan "pengetahuan percuma yang membolehkan setiap orang membaca dan menggunakannya semula."  

Dengan kata lain, dalam dunia penerbitan ilmiah, di samping penyelidik atau penulis dan penerbit, para pembaca juga amat penting.  Andainya wujud konflik yang berlarutan antara penyelidik atau penulis dengan penerbit, pastinya yang  turut menanggung kerugian ialah pembaca. 


No comments:

Post a Comment