Pages

Friday, February 17, 2012

Kelahiran Semula Negara Bangsa

JUMAAT,  17  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi sesiapa yang mengikuti  komen berhubung dengan tindakan kerajaan Malaysia menghantar pulang Hamza Kashgari ke Arab Saudi,  antaranya dalam AndrewBrown's blog, tulisan Kate Hodal dalam The Guardian,  editorial The Washington Post, Mike Giglio dalam The Daily Beast, Kathy Marks dalam The Independent, pastinya dapat merumuskan bahawa:  Wartawan atau warga media tidak boleh disentuh, hak asasi manusia dan kebebasan bersuara  mengatasi segala-galanya, dan dengan itu,  negara tidak lagi mempunyai kuasa untuk bertindak. Dalam konteks yang lebih luas, negara bangsa terpaksa tunduk pada  tuntutan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara. Padahal,  dalam apa-apa situasi sekalipun,  memetik Nick Cohen, kepentingan awam sepatutnya melebihi kepentingan peribadi. 



Rempuhan globalisasi yang berlaku pada dekad terakhir abad ke-20 terutamanya, menyaksikan keterhakisan negara bangsa dalam menghadapi modal, media, dan pada takat tertentu,  manusia melalui penghijrahan. Ketika itu, ungkapan berakhirnya negara bangsa diterima secara meluas. Apabila krisis kewangan melanda Asia Timur pada tahun 1997-1998 ,  memperlihatkan betapa lemahnya negara bangsa dalam menghadapi asakan modal  dan tuntutan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  

Slogan "membina negara bangsa" atau "memperkukuh negara bangsa" hanya merupakan kata basi yang sudah usang.  Untuk memikirkan bahawa negara bangsa dapat dihidupkan semula, sesungguhnya, adalah sesuatu yang tidak dapat difikirkan sama sekali.  

Satu era mitos asas adalah bahawa globalisasi menyebabkan negara bangsa tidak relevan.  Revolusi dalam pengangkutan dan komunikasi, mengewap sempadan dan menyusutkan dunia. Bentuk baru kerajaan, berjajaran daripada rangkaian transnasional pengawal selia kepada organisasi masyarakat sivil antarabangsa kepad institusi pelbagai hala, adalan mengatasi dan mengambil tempat anggota parlimen negara. Penggubal dasar negara dikatakan, kebanyakannya tidak berkuasa dalam menghadapi pasaran global. 

Walau bagaimanapun, krisis kewangan 2007-2008, menyaksikan negara bangsa memainkan peranan penting, daripada pelan penyelamat kepada pemiliknegaraan kepada pakej rangsangan kepada pengenalan semula kawal selia kepada kembali semula kepada fahaman perlindungan, atau ringkasnya, Kerajaan Besar. Kepercayaan bahawa pasaran akan memperbetulkannya sendiri dan akan seimbang dengan sendirinya tidak lagi boleh diterima.  

Seperti yang dipersoalkan oleh Dani Rodrick dalam Social Europe Journal, "Siapakah yang menyediakan peraturan dan kawal selia pasaran jika bukan negara bangsa?"  Hujah beliau, laissez-faire ialah resipi untuk krisis kewangan yang lebih banyak dan tindakan balas politik yang lebih hebat.  "Ringkasnya," tegas beliau, "laissez-faire dan teknokrasi antarabangsa tidak menyediakan alternatif yang munasabah kepada negara bangsa.  Sesungguhnya, keterhakisan negara bangsa, hakikatnya hanya memberikan sedikit kebaikan kepada pasaran global selagi kita ketiadaan mekanisme berdaya maju tadbir urus global."

Masalahnya, bahas Rodrick adalah bahawa kita masih dalam genggaman mitos kemerosotan negara bangsa.  Pemimpin politik diakui tidak berupaya atau tidak mempunyai kuasa, golongan intelektual mereka-reka skim tadbir urus global yang tidak dapat dipercayai, dan pihak yang tewas semakin menyalahkan kaum imigran atau import.  Perbincangan tentang pemerkasaan semula negara bangsa dan orang yang bereputasi baik lari untuk berlindung  seolah-olahnya  seseorang mencadangkan memulihkan wabak.

Beliau mengingatkan bahawa cabaran hari tidak dapat dipenuhi oleh institusi yang tidak   (belum lagi) wujud.  Untuk sekarang ini, orang  ramai masih pergi kepada kerajaan negara mereka untuk penyelesaian, yang masih merupakan harapan terbaik untuk tindakan kolektif.  Negara bangsa mungkin peninggalan yang diturunkan kepada kita oleh Revolusi Perancis, tetapi itulah semua  yang kita ada."

Hakikatnya, kita tidak boleh mempercayai atau meletakkan harapan pada  pasaran dengan sepenuhnya, sebaliknya pada takat tertentu, kita masih memerlukan campur tangan atau penglibatan kerajaan dalam ekonomi.  

No comments:

Post a Comment