Pages

Sunday, February 12, 2012

Gendang Perang Israel Berdentum-dentam

AHAD,  12    Februari 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Lupakan ancaman terhadap Israel.  Lupakan serangan terhadap Israel.  Hakikatnya,  negara "umat terpilih" itu,  sejak berbulan-bulan, mungkin bertahun-tahun, dan  kini semakin menjadi-jadi:  Adakah Israel akan menyerang Iran?   Pastinya,  Israel semakin rancak memukul gendang perang bukannya kerana "perisytiharan Kuala Lumpur" yang berbunyi, "Saya menyokong segala usaha untuk melindungi keselamatan negara Israel."  Sebenarnya, Israel kelihatan daif untuk bergantung kekuatannya pada perisytiharan  yang tidak memberikan kemenangan diplomatik, apatah lagi ketenteraan, meskipun negara itu tergolong dalam lapan spesies  yang terancam dari segi geopolitik

Kemungkinan  "anak yang dimuakan" menyerang Iran, dikatakan muncul di mana-mana sahaja sejak wartawan Israel, Ronen Bergman menyimpulkan dalam The New York Times Magazine: "Selepas berbincang dengan banyak pemimpin kanan dan ketua tentera dan perisikan Israel, saya percaya bahawa Israel sesungguhnya, akan menyerang pada tahun 2012."  Pastinya, persoalan sedemikian bukan sesuatu yang baru sama sekali, paling tidak, sudah berbangkit sejak tahun 2004. 

Persoalan itu, menurut  Chuck Freilich, felo Harvard, sangat serius, dan bukan hanya untuk Israel dan Iran.  "Jarang-jarang jika berlaku pun, meletakkan pertaruhan terlalu tinggi."  Menulis dalam Los Angeles Times, Freilich, menegaskan bahawa "pilihan yang mendalam Israel terhadap Iran.  Tidak ada seorang pun yang mempersoalkan bahawa Iran mengancam Israel.  Apakah Benjamin Netanyahu akhirnya  membuat keputusan menyerang loji  nuklear Iran?"  


Selain itu, wujud dua persoalan yang lebih jauh, iaitu dengan menyerang Iran, adakah Israel juga perlu  menyerang Hizbollah?  dan apakah yang terjadi selepas perang Iran-Israel?


Keyakinan bahawa Israel akan menyerang Iran diperkuatkan lagi oleh kenyataan Menteri Pertahanan  Israel, Ehud Barak baru-baru ini bahawa program nuklear Teheran secara perlahan memasuki "tahap kematangan" apabila tidak ada campur tangan ketenteraan yang dapat menghentikannya.  Dan diperkuatkan lagi bahawa Iran sendiri akan menyerang Israel kerana Tel Aviv didakwa bertanggungjawab terhadap  pembunuhan beberapa ahli sains Iran.  Justeru, serangan Israel jika dilancarkan dianggap sebagai "serangan terlebih dahulu."  Gendang perang  semakin gamat kerana kedua-dua negara, iaitu Israel dan Iran mencanangkan retorik. Dan retorik kedua-dua pihak, menurut pemerhatian James Zogby adalah berbahaya.


Pegawai Israel dipetik sebagai berkata bahawa Israel mesti bertindak pada musim bunga ini jika negara itu mahu menyerang program Iran secara berkesan. Sementara  Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta,   percaya bahawa besar kemungkinan Israel menyerang Iran seawal-awalnya  bulan April  ini untuk menghentikan Teheran daripada membina bom nuklear.    


Melalui kolumnya,  David Ignatius  menulis Panetta percaya besar kemungkinannya Israel akan menyerang Iran pada bulan April, Mei atau Jun, iaitu sebelum Iran memasuki apa yang Israel jelaskan sebagai  "zon kematangan" untuk menghentikan pembinaan bom nuklear.  Dan, hanya Amerika Syarikat dari segi ketenteraan mampu menyekat Iran. Ignatius juga menyatakan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu tidak mahu meletakkan nasib Israel bergantung pada tindakan Amerika.  Penangguhan latihan ketenteraan antara Israel dengan Amerika Syarikat, menandakan bahawa negara itu bersiap sedia untuk menyerang Iran. 


Namun, seperti yang dibahaskan oleh makalah utama The Independent, banyak alasan untuk berasa was-was akan jangkaan Panetta itu.  Meskipun Israel sering mendakwa bahawa Iran membina senjata nuklear, tetapi  menurut laporan terbaharu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), negara itu belum memulakannya lagi.   Panetta terdorong untuk mengeluarkan kenyataan itu, bahas makalah berkenaan adalah kerana beliau sedikit kecewa terhadap Israel yang terus keberatan untuk menyelaraskan strategi ketenteraannya dengan strategi Amerika.   Bahas makalah itu, hanya dua orang yang benar-benar tahu kemungkinan Israel menyerang Iran, iaitu  Barak dan Netanyahu.  


Serangan terhadap Teheran, bahas Robert Fisk, mungkin kerja yang gila, dan dengan itu, jangan menolak kemungkinannya.  Sebagaimana  "senjata pemusnahan besar-besaran" yang akhirnya terbukti tidak wujud, dijadikan alasan untuk Amerika Syarikat dan sekutunya menyerang Iraq pada tahun 2003, tidak mustahil  "senjata nuklear" dijadikan alasan untuk menyerang Iran. Hujah Fisk, "jika Presiden Barack Obama boleh meninggalkan kebebasan dan taraf negara Palestin demi pemilihannya semula, beliau pastinya menyokong pencerobohan Israel  untuk kekal di Rumah Putih." 


Israel dikatakan salah terhadap Iran, dan serangannya terhadap negara itu akan membawa kesan  buruk.  Justeru, "daripada melancarkan serangan, Israel sepatutnya menunggu sekatan ekonomi yang melumpuhkan Iran."  Meskipun sifat pencerobohan Inggeris-Amerika sukar dihindarkan, Andrew Murray yang menulis dalam The Guardian, mengingatkan serangan terhadap Iran mesti dihentikan.  Seandainya kedua-dua negara itu melancarkan satu lagi peperangan di Timur Tengah, nescaya kesudahannya ialah malapetaka, dengan mengingatkan kancah Iraq.   


Benjamin Netanyahu, seperti yang diperingatkan oleh Leslie H.  Gelb, sepatutnya meredakan teriakannya tentang ancaman Iran dan berikan masa untuk sekatan ekonomi untuk berfungsi. Jika berlaku satu lagi peperangan, ini bukannya perang Israel, meskipun negara itu paling menanggung risiko dalam peperangan atau perang jika Iran mempunyai senjata nuklear.  Akan tetapi, jika melancarkan serangan seorang diri, Teheran juga dapat dijangkakan menyerang balas Amerika, Eropah, dan tempat-tempa lain.


Tatkala Israel memperlihatkan keagresifannya terhadap Iran, iaitu hanya menunggu masa untuk melancarkan serangan, sekutu utamanya, iaitu Barat menasihati negara itu agar jangan melakukannya.  Barat dikatakan bekerja keras untuk memujuk Israel daripada melakukan serangan ketenteraan satu pihak terhadap kemudahan nuklear Iran, dengan alasan bahawa tindakan ini akan memperkuatkan lagi, dan bukannya melemahkan rejim Teheran. 


Persoalan, sama ada Israel secara sendirian  menyerang Iran ataupun tidak, bergantung pada keupayaannya yang agak diragui. Meskipun Israel pernah melakukannya terhadap Iraq dan Syria, belum pasti negara itu mampu melakukannya terhadap Iran kerana Teheran dikatakan lebih bersedia demi memastikan apa yang terjadi terhadap kedua-dua negara itu tidak berulang. Karl Vick yang menulis dalam Time keluaran 6 Februari lalu, mengingatkan terlalu banyak sasaran, dan terlalu banyak perkara asas, menjadikan tumbukan tewas jatuh adalah mustahil. 


Beliau  memetik Colin Kahl, yang sehingga baru-baru ini berkhidmat sebagai Timbalan Penolong Setiausaha Pertahanan untuk Timur Tengah bahawa "semua opsyen, termasuk tindakan ketenteraan,  sepatutnya kekal di atas meja, tetapi kekerasan sepatutnya langkah terakhir, dan bukannya pilihan pertama."  Israel  bukannya tidak mempunyai keupayaan, sebaliknya tidak ada keupayaan untuk menyerang dengan cara bermakna.  Dengan komitmen Amerika Syarikat untuk memastikan ketenteraan Israel dominan di Timur Tengah, dengan bantuan ketenteraan yang mencecah AS$3 bilion pada tahun 2011, Israel mampu melakukan kerosakan terhadap Iran.


Dengan nada yang lebih lembut untuk meredakan kekalutan,  John Limbert yang menulis dalam Foreign Policy supaya Amerika Syarikat berunding dengan Iran, tetapi beliau sendiri tidak pasti bagaimana. Pastinya, ini memerlukan strategi diplomasi, dan strategi ini, bahas William H. Luers dan Thomas R. Pickerng dalam The New York Times mesti bermula dengan Amerika Syarikat yang menetapkan keutamaan dan mentakfirkan laluan praktik untuk mencapai strategi itu. Kedua-dua penulis ini memetik peribahasa orang Afghanistan yang mengingatkan, "jika anda berurusan dengan unta, jadikan pintu tinggi."  Oleh sebab bahaya konfrontasi antara Amerika Syarikat dengan Iran semakin memuncak, maka kedua-dua belah pihak sepatutnya meninggikan pintu untuk diplomasi untuk berfungsi, dan mengelakkan konflik. 


Walau bagaimanapun, seperti yang dibahaskan oleh Trita Parsi dalam The Nation, keazaman politik yang kuat tidak wujud di Washington dan Teheran dalam beberapa tahun kebelakangan ini  ini.  Sementara itu, Presiden Barack Obama diperhatikan, terheret  ke arah peperangan dengan Iran, dan dengan itu, seperti yang dihujahkan Richard Cohen, wujud tiga garisan merah Amerika di pasir Iran.  "Krisis yang kian mengancam ini bukan sahaja mengenai Israel, tetapi mengenai Amerika.  Banyak lagi garisan merah yang datang."


Tatkala Israel semakin kuat memalu gendang perangnya, pastinya helang berkeliaran di Washington; demikian juga puak neokonservatif yang belum serik dengan kekalahan di Iraq mula kembali ke Rumah Putih, matlamat mereka, serang Iran. Bahkan, intelektual terkenal,  Niall Ferguson, turut dahagakan darah.  Melalui kolumnya dalam Newsweek, Ferguson, mencadangkan Israel, seperti yang dinyatakan pada permulaan tulisan ini, melancarkan serangan terlebih dahulu, seperti yang pernah negara lakukan terhadap Mesir dan sekutunya  pada tahun 1967, yang menghasilkan kejayaan. Mempersoalkan lima alasan mengapa Israel tidak patut menyerang Iran, beliau membangkitkan zaman kemusnahan kreatif untuk mewajarkan dan menghalalkan Israel menyerang Iran.


Peperangan ialah kejahatan.  Tulis Ferguson, "akan tetapi, kadangkala perang terlebih dahulu kurang kejahatannya berbanding dengan dasar beralah.   Orang yang tidak tahu lagi adalah mereka yang masih menafikan apakah bahaya Iran yang bersenjata nuklear akhirnya terhadap kita semua."


Selain itu, sebagaimana serangan Amerika terhadap Iraq kira-kira satu dekad lalu, media turut menggamatkan lagi paluan gendang perang Israel terhadap Iran. Hal ini dapat dikesan oleh Dennis Kucinich, dan beliau menulis dalam The Huffington Post dengan rasa bimbang bahawa media mengulangi kegagalan dalam menjalankan tugas dalam membawa perang Iraq yang menelan belanja AS$1.2 trilion (termasuk perang di Afghanistan).


Sebagaimana dalam Perang Arab-Israel pada tahun 1967, Israel sekali lagi menggunakan alasan keselamatannya untuk melancarkan peperangan.  Kali ini Iran menjadi sasaran Israel untuk melancarkan serangan  terlebih dahulu.  
 


No comments:

Post a Comment