Pages

Thursday, February 9, 2012

Dari Rusia dengan Kehangatan dan Kedinginan

KHAMIS, 9  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Seperti yang dijangkakan dan ditulis sebelum ini, pendirian Rusia  menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung resolusi peralihan kuasa di Syria, menerima kecaman hebat.   Berikutan krisis diplomatik itu,  Amerika Syarikat dipercayai membincangkan tindakan ketenteraan, atau bagaimana mempercepatkan revolusi di negara itu yang sedang menunggu masa.  Sementara Kesatuan Eropah memutuskan mengenakan sekatan yang lebih keras terhadap Syria. Namun, Robert Fisk mengingatkan bahawa Washington sebenarnya silap jika mengharapkan "detik Benghazi" berulang di Syria yang mendapat sokongan Iran dan Iraq.

Perdana Menteri Vladimir Putin menjelaskan pendirian Rusia, "Pastinya, kami mengutuk mana-mana penggunaan keganasan,  di mana-mana pihak datangnya keganasan ini, tetapi seseorang tidak boleh berlagak seperti lembu jantan di dalam kedai cina."  Sementara China percaya bahawa Syria memerlukan penyelesaian secara aman.

Walaupun Rusia tidak bersendirian, sebaliknya bersama-sama China - kedua-dua negara itu dikatakan terasing di Majlis Keselamatan -  Rusia yang menjadi sasaran kritikan. Rusia diperhatikan tidak menyokong sekatan antarabangsa terhadap rejim autoritarian kerana khuatir sekatan yang sama dikenakan terhadap negara itu sendiri. 

Bahkan, lawatan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov sejurus selepas pemvetoan itu untuk mencari penyelesaian krisis Syria itu sebagai permainan autoritarian. Sebenarnya, masa untuk "pembaharuan demokratik" telah lama berlalu di Syria apabila tentera Presiden Bashar al-Assad tidak menunjukkan tanda "menghentikan keganasan tidak memperdulikan dari mana datangnya keganasan itu."

Dengan menyebelahi Syria, Rusia isytihar editorial The Guardian,  di pihak yang silap, dan terpaksa membayar harga yang tinggi kerana kesilapan itu:  Elok Rusia menjelaskannya, sama ada negara itu sebahagian masalah atau sebahagian penyelesaian.  Rusia mesti kini menunjukkan dengan jelas bagaimana negara itu mencadangkan untuk menerokai alternatif yang boleh dipercayai kepada rancangan Liga Arab yang negara itu hanya lakukan begitu banyak untuk musnahkan."

Walau bagaimanapun, pendirian akhbar itu diimbangi oleh tulisan Seumas Milne bahawa campur tangan di Syria akan menjadikan pembunuhan semakin berleluasa dan bukannya menghentikannya. Rusia dan China bukan sahaja menggunakan Syria untuk mencabar percubaan Barat mewarnai Pemberontakan Arab demi kepentingan mereka sendiri, tetapi juga untuk menunjukkan bahawa tidak ada lagi sekatan ala  Libya di PBB. Milne yang cuba melihat  lebih jauh, menegaskan bahawa  campur tangan Barat di Syria, manakala Rusia dan China menentang hanya dapat difahami dalam konteks perang proksi terhadap Iran.

Serangan Barat dan media asing terhadap Rusia, sesungguhnya dapat difahami kerana sejak beberapa  bulan lalu Putin menjadi sasaran berikutan kebangkitan rakyat Rusia menentang beliau.  Justeru, apabila Rusia menyebelahi Syria, hal ini pastinya menaikkan keberangan mereka.  Kononnya akibat protes terbesar sejak keruntuhan Kesatuan Soviet, Putin semakin hilang wibawa dan autoriti:  akhbar di negara itu tidak lagi takut akan autoritarian beliau; Rusia memerlukan perubahan secara evolusi dan bukannya secara revolusi - memadai dengan Revolusi tahun 1917; revolusi ini pula akan digerakkan oleh media sosial. Ada yang mengisytiharkan Rusia di bawah beliau ialah fragmen negara yang sudah mati, dan bahkan   Putin sendiri telah mati.

Yang cuba digambarkan bahawa sejak Disember lalu, protes anti-Kremlin belum reda, bahkan semakin menjadi-jadi, seperti yang berlaku pada awal bulan ini yang disifatkan oleh Simon Shuster yang menulis dalam Time,  "Perang Dingin Baru Moscow."  Protes yang menyaksikan kira-kira 100,000 orang turun di jalanan merupakan terbesar yang diadakan dalam menentang Vladimir Putin yang memerintah Rusia selama 12 tahun dan merancang untuk mengadakan protes lagi sekurang-kurangnya enam kali lagi selepas pilihan raya Mac ini. 

Pendek kata, semua protes itu dikatakan berpunca daripada  kejahatan  dan kecelakaan Putin sendiri, meskipun hakikatnya, seperti yang didedahkan oleh  Israel Shamir, sebenarnya  berkait dengan dasar beliau yang tidak disenangi oleh Barat dan pihak berkepentingan di Rusia. 


Bahkan,  Vladimir Putin sendiri memperlihatkan komitmen terhadap demokrasi berasaskan Internet di negaranya, di semua peringkat, termasuk majlis bandaran dan wilayah.  Melalui tulisannya yang diterbitkan dalam The Washington Post hari ini, beliau mempunyai wawasan untuk Rusia yang lebih baik. 

Putin yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Presiden bulan depan berdiri antara kehangatan Syria dengan kedinginan Moscow.  Mampukah pahlawan Perang Dingin ini bertahan?

No comments:

Post a Comment