Pages

Tuesday, February 21, 2012

Adakah Pelan Penyelamat Kedua Mampu Menyelamatkan Greece?

SELASA,  21  Februari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Selepas berbulan-bulan lewat dan Greece dipaksa melakukan pemotongan demi pemotongan yang membangkitkan kemarahan rakyatnya, akhirnya hari ini,  Menteri Kewangan zon euro yang bermesyuarat di Brussels  meluluskan pelan penyelamat kedua bernilai AS$172 bilion. 

Antara pelan penyelamat pertama dan kedua ini, wujud persamaannya: troika, iaitu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kesatuan Eropah, dan Bank Pusat Eropah (ECB) terhegeh-hegeh, penangguhan demi penangguhan.  Ketika Greece mula-mula dilanda krisis hutang kira-kira dua tahun lalu,  negara itu memerlukan pelan penyelamat yang lebih rendah.  Namun, troika terhegeh-hegeh, maka jumlahnya meningkat kepada 110 bilion euro (AS$146 bilion).   Jumlah itu dikatakan cukup untuk menyelamatkan Greece daripada mungkir dan muflis.


Namun, kira-kira setahun selepas itu, nyata bahawa pelan penyelamat pertama tidak dapat menyelamatkan Greece daripada krisis hutang, lalu pelan penyelamat kedua diperlukan, yang akhirnya diluluskan pada hari ini.  


John R.  Talbott yang menulis dalam The Huffington Post,  tentang pelan penyelamat yang diperlukan oleh Greece, menambah bahawa negara itu mungkin memerlukan AS$66 bilion lagi antara tahuna 2015 hingga 2020 untuk mencapai tahap untuk mencapai nisbah hutang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 120 peratus pada 2020, masih berlebihan menurut mana-mana ukuran kesejahteraan kewangan. Jumlah AS$384 bilion dalam pelan penyelamat yang dirancangkan untuk Greece, bahas beliau, ekonomi kecil secara relatifnya berbanding dengan negara lain yang bermasalah di Eropah.  Jika dibandingkan dengan seluruh KDNK Greece hanya AS$312 bilion, pastinya pakej pelan penyelamat ini adalah besar. 


 "Tidak ada jaminan bahawa lebih banyak tidak diperlukan lagi kerana tidak seorang pun dapat meramalkan bagaimana ekonomi Greece mungkin menguncup, melihat semua langkah jimat-cermat yang dilaksanakan sebagai syarat pelan penyelamat ini," bahas Talbott.  Bukan hanya Greece menjadi masalah Eropah.  Termasuk dalam senarai yang nisbah dengan KDNK tinggi ialah Portugal, Sepanyol, dan Italy yang berkemungkinan memerlukan pelan penyelamat.


Adakah pelan penyelamat kedua ini mampu menyelamatkan Greece?  Sukar untuk dibayangkan bahawa maraton sudah berakhir. Berita "gembira" ini pastinya membawa pelbagai reaksi dan pandangan. Berdasarkan pengalaman yang pertama, pastinya ada yang meraguinya.  Sebagaimana pelan penyelamat pertama, yang kedua juga akan digunakan oleh Greece untuk  menebus bon yang cukup tempoh dan membayar balik hutangnya.  Meskipun pada pandangan umum,  troika berusaha menyelamatkan Greece, hakikatnya, yang diselamatkan ialah bank-bank antarabangsa yang merupakan pemiutang Greece.  

Kedua-dua pelan penyelamat ini bukan bertujuan menangani masalah ekonomi yang sebenar, iaitu kemelesetan dan pengangguran yang tinggi.  Tanpa pertumbuhan yang mapan, nescaya Greece tidak dapat bernafas, yang diperburukkan lagi oleh kadar pengangguran yang tinggi dan langkah jimat-cermat yang menjadi negara itu terus tenat.  

Rakyat Greece yang menanggung pelbagai kesengsaraan akibat pemotongan demi pemotongan dan penswastaan aset negara, terus sengsara.  Hakikatnya,  mereka tidak menerima faedah atau manfaat daripada kedua-dua pelan penyelamat itu.  

Dengan lulusnya pelan penyelamat kedua ini, pastinya Greece dapat bernafas dan pasaran berasa lega.  Namun, berapa lama?  Seperti yang dibangkitkan oleh Henry Hu dalam Los Angeles Times, "Greece terselamat daripada muflis, tetapi mampukah kelangsungan negara itu diselamatkan?



No comments:

Post a Comment