Pages

Monday, January 16, 2012

Sinar yang Berbalam-balam

ISNIN,  16  Januari 2012
Oleh:   ZULKIFLI   SALLEH


Ulang tahun  runtuhnya Tembok Berlin disambut dengan segala kemerihan dan keriangan pada 9 November 2009 tatkala  krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi  masih belum reda sepenuhnya. Keruntuhan Wall Street pada September 2008 dan kesannya merebak ke serata dunia tidak menghalang perayaan untuk meraikan keruntuhan sebuah lagi tembok yang menandakan kemenangan kapitalisme dua dekad lalu. Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi dalam wawancara dengan The Huffington Post kira-kira dua bulan sebelum ini  menganalogikan keruntuhan kedua-dua tembok  dengan cukup menarik: “keruntuhan Wall Street adalah bagi fundamentalisme pasaran betapa keruntuhan Tembok Berlin adalah bagi Komunisme.”

            Kemelesetan yang berlaku sekarang dikatakan adalah berbeza daripada beberapa kemelesetan sebelum ini kerana bukan hanya berpunca daripada permintaan yang rendah semata-mata; tidak juga berpunca daripada kenaikan harga tenaga, walaupun harga minyak adalah terutamanya tinggi pada musm panas 2008. Sebaliknya, ancaman yang sangat besar terhadap ekonomi semasa ialah kerkah kredit. 
Robert M. Solow yang menulis dalam The New York Review of Book Mei 2009 yang percaya bahawa kemelesetan ini berpunca daripada kegagalan pasaran, mengingatkan bahawa tiada siapa pun yang mungkin tahu berapa lama kemelesetan semasa akan berakhir dan berapa dalam kemelesetan ini akan pergi. Hal ini demikian kerana gabungan bahaya kemelesetan “sebenar” – pengangguran dan kapasiti produktif yang berpunca daripada kekurangan permintaan – dan kerosakan kewangan, yang kedua-dua menjadi punca dan kesan antara satu sama lain, menyebabkan situasi lebih kompleks, lebih tidak stabil, lebih terdedah kepada sesuatu yang tidak dapat diduga dari segi psikologi, dan jauh berbeza daripada pengalaman sebelum ini.
Berbanding dengan tahun lalu yang disambut tatkala  dunia terpasung dalam krisis kewangan dan rempuhan kemelesetan, setidak-tidaknya untuk tahun 2010, sinar harapan mula bercahaya.  Ketakutan terhadap kemungkinan berulangnya Kemelesetan Besar 1930-an  semakin reda. Sesetengah-setengah negara mula melaksanakan “strategi keluar,” meskipun diperingatkan bahawa langkah ini terlalu awal dan boleh membantutkan pemulihan.  Sementara pasaran saham dunia yang jatuh bebas bulan September dan Oktober 2008 dan masih lintang-pukang Mac tahun lalu, kini memperlihatkan larian lembu jantan. Di Amerika Syarikat, harapan untuk pemulihan ekonomi yang belum matang mendapat galakan daripada berita   tentang pembuatan, pembinaan, dan kontrak pembelian rumah  yang dikeluarkan pada awal November yang lebih baik  daripada jangkaan.    
            Pada akhir Oktober lalu, Presiden Barack Obama dan Setiausaha Rizab Persekutuan Ben S. Bernanke “membina jambatan” yang mereka jangka akan menuju ke arah pemulihan ekonomi Amerika yang berpanjangan. Selepas jatuh bebas berakhir, laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan bahawa ekonomi Amerika tumbuh semula pada kadar yang lebiih baik daripada yang dijangka, iaitu   3.5 peratus pada suku tahun ketiga 2009.  Petanda baik sejak Amerika terjebak dalam kemelesetan sejak Disember 2007, ditafsirkan sebagai  rangsangan melakukan apa yang patut dilakukan: membantutkan kemelesetan dan memacu pemulihan.
            Sementara dua orang yang terkaya di dunia, Warren Buffett dan Bill Gates dengan yakin mengisytiharkan bahawa kapitalisme masih hidup dan sihat, meskipun berlaku kejutan yang berpanjangan akibat kemelesetan yang lama dan dalam sejak Kemelesetan Besar.  Dalam acara yang dianjurkan oleh CNBC yang berlangsung di Columbia University pada November, kedua-dua hartawan dan kapitalis agung  memaklumkan kira-kira 1000 orang peserta bahawa ekonomi Amerika tidak runtuh.  “Saya tidak bimbang akan survival keseluruhan ekonomi Amerika,” kata Buffett yang sebelum ini mengibaratkan ekonomi Amerika “jatuh di dalam cenuram,” manakala Gates berkata,   “Kapitalisme adalah ulung.”  
Walau bagaimanapun, ada yang mencadangkan bahawa sebelum kita risau tentang kemerosotan akan datang kita masih perlu menghadapi kemelesetan yang berlaku sekarang.  Ekonomi dunia mungkin melepasi situasi yang teruk, tetapi kita masih jauh daripada keadaan sebelum berlakunya krisis.  Amerika kehilangan 6.7 juta pekerjaan sejak Disember 2007.  Dijangkakan memang  memerlukan masa yang lama untuk mencipta semua aktiviti yang hilang semasa kemelesetan. Wall Street boleh bermegah-megah  dengan pemulihan yang dihajatinya, tetapi banyak rakyat Amerika yang masih terperangkap dalam kegawatan ekonomi.  Hakikatnya, keriangan pasaran saham tidak mencerminkan keadaan   ekonomi sebenar.
Ketua Pegawai Eksekutif HSBC, Michael Geoghegan dalam satu kenyataan baru-baru ini yang mengakui  keterukan kekacauan ekonomi telah berakhir, dilaporkan berkata bahawa dunia  menghadapi pemulihan ekonomi “dua kelajuan,” iaitu negara Barat akan mengambil masa yang lama untuk keluar daripada kemelesetan berbanding dengan  pasaran  sedang muncul. Jelas bahawa  pasaran sedang muncul menawarkan prospek yang lebih cerah untuk pertumbuhan, dan sesungguhnya, akan memacu pemulihan global. Namun, beliau mengingatkan bahawa terlalu awal untuk mengisytiharkan kemenangan, terutamanya apabila pengangguran masih meningkat di Barat.
Sementara bagi George Soros pula sistem perbankan Amerika yang “muflis” akan menjejaskan ekonomi negara itu, menekankan keraguan tentang kemapanan pemulihan global.  Menurut Soros semasa berada Istanbul awal Oktober, pemulihan ekonomi Amerika akan “sangat perlahan:”  para pengguna menanggung “hutang yang banyak” dan sistem perbankan negara itu “pada dasarnya muflis,” maka Amerika terpaksa menempuh jalan yang panjang untuk pemulihan.
Meskipun bibit pemulihan mula kelihatan, namun sesetengah negara masih terpaksa bertungkus-lumus untuk membebaskan diri  daripada pasungan kemelesetan.  Berdasarkan data suku tahun kedua 2009, Amerika Syarikat,  United Kingdom, Itali, Austria, Belgium, Belanda,  Thailand, dan Brazil masih dalam kemelesetan; Jerman, Perancis, Portugal, Sweden, Australia, dan Singapura keluar daripada kemelesetan; Greece berjaya mengelak daripada kemelesetan; dan China dan India terus mencatatkan pertumbuhan.  Selepas Jerman, Perancis, dan Jepun, dalam suku tahun ketiga, Amerika, Kanada, dan Itali bersedia untuk kembali kepada pertumbuhan,  meninggalkan hanya United Kingdom dalam kemelesetan. Chancellor of the Exchequer  Alistair Darling,  berkata bahawa harga minyak yang tinggi dan kesan krisis kewangan mengancam pemulihan ekonomi United Kingdom, dan oleh itu, Perbendaharaan negara itu mesti terus berbelanja.
Sementara ekonomi Malaysia -  sebuah ekonomi terbuka, akibat krisis ekonomi global, maka pada tahun 2009, menyaksikan kemerosotan dalam eksport negara dan indeks pengeluaran perindustrian, dan jumlah bersih pelaburan langsung asing.  Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2010,  tanda-tanda pemulihan ekonomi telah mula dilihat melalui tindakan proaktif kerajaan. KDNK suku kedua 2009 menguncup dengan lebih perlahan pada kadar negatif 3.9 peratus berbanding suku pertama pada kadar negatif 6.2 peratus. Prestasi baik ini disokong oleh kecergasan sektor pembinaan yang berkembang 2.8 peratus pada suku kedua hasil pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan. Sektor pertanian dan perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan 0.3 dan 1.6 peratus. Perbelanjaan penggunaan swasta pula kembali meningkat sebanyak 0.5 peratus berikutan bertambahnya keyakinan sektor isi rumah dan sentimen pasaran buruh yang lebih baik.
Kesan krisis ekonomi global melebarkan lagi jurang pembangunan tidak seimbang antara negara atau wilayah.  Dalam makalah  “Down in the Dumps”  The Economist keluaran awal November melaporkan bahawa meskipun ekonomi bekas komunis tidak runtuh, namun mencari jalan baru untuk setanding dengan Barat akan menemui kesukaran. Ekonomi negara berkenaan yang menikmati tahap melambung yang tinggi pada tahun 2006, tetapi hampir separuh penduduk merasakan kehidupan lebih teruk daripada keadaan tahun 1989. Kebimbangan bahawa krisis ekonomi global menjejaskan keyakinan terhadap masa depan dan menambahkan lagi kesuraman masa kini.  Kemerosotan purata dalam KDNK tahun ini mencecah 6.2 peratus; pemulihan dijangkakan perlahan.  Oleh itu, Eropah Timur menghadapi cukai yang  tinggi, hutang yang  besar, kurang perbelanjaan awam, upah yang rendah, dan pekerjaan yang kurang. 
Harapan terus pudar bagi   negara termiskin yang terpaksa memikul kesan yang teruk dan  berpanjangan akibat krisis ekonomi global.  Pada akhir tahun lalu, Bank Dunia memaklumkan bahawa negara termiskin menanggung kurangan atau defisit sebanyak AS$11.6 bilion dalam perbelanjaan teras kritikal, seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur, dan perlindungan sosial,  akibat kemerosotan yang ketara dalam perdagangan, aliran modal, kiriman wang, dan pelancongan.  Walaupun ekonomi global memperlihatkan tanda tentatif pemulihan, namun 43 buah negara membangun berpendapatan rendah masih menanggung akibat kemelesetan global.
Dalam kertas yang disediakan untuk sidang kemuncak G-20 di Pittsburg, Bank Dunia memaklumkan bahawa akibat krisis ekonomi global, lebih 89 juta orang akan hidup dalam kemiskinan ekstrem, iaitu bergantung pada pendapatan kurang daripada AS$1.25 sehari pada akhir tahun 2010.  Meskipun wujud usaha bersungguh-sungguh di peringkat antarabangsa untuk mengurangkan kesan kemelesetan gloal terhadap negara berpendapatan rendah, namun kertas itu menyatakan bahawa negara membangun berkenaan  terus-menerus menanggung akibat daripada krisis makanan, krisis bahan api, dan krisis kewangan, dan negara termiskin memerlukan bantuan tambahan untuk mendepani dan bergerak melampaui kemelesetan global.
Sebelum ini, Bank Dunia memaklumkan bahawa  ledakan krisis kewangan dan ketidakpastian yang  berlaku telah mencetuskan krisis dalam ekonomi sebenar. Individu yang tiba-tiba berasa tidak pasti tentang prospek pekerjaan mereka dan berhadapan dengan pembiayaan yang lebih mahal dan sukar diperoleh, akan menanggung pembelian lazimnya terhadap barang pengguna tahan lama.  Firma pula menangguhkan pelaksanaan projek pelaburan, mengambil pendirian tunggu dan lihat kalau-kalau projek itu boleh menguntungkan dalam keadaan permintaan masa depan dan syarat pembiayaan.  Peningkatan seperti ini dalam simpanan untuk beringat-ingat dan berkait dengan pengurangan dalam pelaburan dan permintaan penggunaan, bersama-sama dengan kos peminjaman yang meningkat dan standard pemberian pinjaman yang ketat menjelaskan kemerosotan yang mendadak yang tidak berlaku sebelum ini dalam permintaan global terhadap barang pembuatan dalam suku tahun keempat 2008 dan suku tahun pertama 2009.
            Meskipun ramai  ahli ekonomi bersetuju bahawa kemelesetan terburuk sejak tahun 1930-an  telah berlalu dan pemulihan sedang berlaku, walaupun sederhana, tetapi  kesakitan akibat kemelesetan masih dirasai dengan firma masih memecat pekerja dan hanya sebilangan majikan yang berasa benar-benar yakin untuk mula mengambil staf tetap atau sementara. Oleh itu,  pemulihan dijangkakan tidak berapa kuat untuk membendung pekerjaan yang hilang dan memastikan perniagaan mengambil semula pekerja. 
Tatkala tanda-tanda  ekonomi global sedang pulih kelihatan,  kadar pengangguran di dunia terus meningkat: berjuta-juta orang diberhentikan kerja ketika kemelesetan yang terburuk sejak 70 tahun, dan tidak mungkin reda dalam masa terdekat kerana jumlah yang menganggur terus meningkat di banyak ekonomi terbesar dunia. Dan, yang jelas,  sektor swasta tidak mampu mewujudkan pekerjaan dalam jumlah yang diperlukan bukan sahaja  oleh Amerika, bahkan juga  negara-negara lain untuk mencapai pemulihan ekonomi yang teguh dan sepenuhnya. 
Pada Oktober lalu, kadar pengangguran di Amerika mencecah 10.2 peratus yang tertinggi sejak 26 tahun,  kemungkinan kekal tinggi pada tahun 2010.  Pada awal November,  Kesatuan Eropah meramalkan pengangguran di zon euro akan meningkat kepada 10.7 peratus pada 2010 berbanding 9.5 peratus tahun lalu.  Sementara kadar pengangguran di 30 buah negara kaya yang menganggotai Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dalam lingkungan yang terendah 3.5 peratus di Belanda kepada 18.3 peratus di Sepanyol menurut angka bulan September.  Di dunia membangun, kemerosotan ekonomi juga menyebabkan pengangguran meningkat, misalnya  Brazil.
Apabila  “pemulihan tanpa pekerjaan” pastinya timbul keraguan tentang kemapanannya. Semasa  di Singapura sempena sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November lalu, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick menyatakan kebimbangan beliau terhadap fenomena yang tidak diingini. Walaupun beliau bermaksud kepada Amerika, namun hal yang serupa boleh berlaku di mana-mana negara. “Kadar pengangguran yang masih tinggi di Amerika,” tegas Zoellick,  “akan menggalakkan keingkaran membayar balik pinjaman dan menjejaskan penggunaan pada tahun 2010, memincangkan ekonomi yang sedang berusaha untuk pulih daripada kemelesetan.”
“Jika anda mempunyai kadar pengangguran yang tinggi, jika anda mempunyai pengguna yang membina semula simpanan dan nyah umpilan (deleveraging), saya tidak fikir pengguna akan memainkan peranan.  Apakah sumber lain untuk permintaan?”
Selain pengangguran yang tinggi, inflasi juga boleh menjejaskan pemulihan.  Asia melalui China dan India,  boleh berbangga bahawa rantau ini menerajui dunia untuk keluar daripada kancah kemelesetan.  Namun, dalam satu forum yang berlangsung Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Robert Zoellick mencadangkan ekonomi Asia mesti menangani dasar monetari dan mata wang mereka yang secara berhati-hati untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya inflasi yang menjejaskan kestabilan.  Menurut beliau, ekonomi Amerika dan Eropah yang baru sahaja memulakan pemulihan daripada kegawatan global adalah kurang menanggung risiko, tetapi dalam ekonomi Asia, kecairan yang besar mengalir ke dalam pasaran rantau ini boleh menolak  harga aset meningkat  pada tahap yang berbahaya.  Tegas beliau, “perbelanjaan rangsangan dan dasar kredit dan monetari yang longgar membantu memacu pemulihan di rantau ini, terutamanya di India dan China yang mencatatkan pertumbuhan pada kadar 8.9 peratus dalam suku tahun ketiga.”
Selain persoalan tentang bilakah kemelesetan dunia benar-benar berakhir, persoalan yang tidak kurang penting ialah ketahanan atau kemapanan pemulihan yang berlaku sekarang. Jika tatkala kemelesetan mula melanda,  orang bertanya: Berapa lama? Berapa dalam? soalan yang sama boleh dikemukakan terhadap pemulihan.
Ahli ekonomi terkenal, Profesor Nouriel Roubini dari New York Univeristy berkata bahawa stres kewangan terhadap pengguna bersama-sama dengan kerosakan yang berlarutan terhadap sistem kewangan, keuntungan yang lemah, dan kesan  langkah rangsangan kerajaan yang luntur boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi yang lemah dalam beberapa tahun akan datang. Menurut Roubini,  “pemulihan kemungkinan anemia dan di bawah tren dalam ekonomi maju dan wujud risiko yang besar kemelesetan curam berganda (double-dip recession).”
Persoalan  berapa lama? berapa dalam?” dapat dilihat daripada perdebatan akan  bentuk pemulihan:  “U,” “V”,  dan “W.”  Secara keseluruhannya, tiada persetujuan tentang bentuk pemulihan, malah yang menakutkan bahawa kemungkinan tidak berlaku pemulihan, iaitu berbentuk “L.”  Semasa di Istanbul awal Oktober, dengan merujuk kepada kepesatan pasaran saham dalam beberapa bulan kebelakangan, Roubini dilaporkan berkata bahawa ekonomi sebenar hampir tidak pulih ketika pasaran bergerak macam ini.  Bagi beliau, pemulihan tidak pesat dan bukannya dalam bentuk “V”, tetapi lebih berbentuk “U.”
Kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia dan pertumbuhan ekonominya yang berterusan, bahkan semasa kemelesetan, sedikit banyak turut   “menyelamatkan” dunia daripada kelemesetan yang berpanjangan. Dari satu segi yang lain, lahir kebimbangan bahawa kedudukan China sekarang boleh mencetuskan ancaman, bukan sahaja terhadap Amerika, tetapi juga terhadap dunia. 
Seperti yang diperlihatkan  oleh Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, melalui kolumnya dalam The New York Times, kelakuan buruk China ialah kian memberikan ancaman terhadap ekonomi dunia lain.  Dalam makalah “The Chinese Disconnect” beliau bertanya: Kini, apakah dunia dan khususnya Amerika akan lakukan? “Banyak ahli ekonomi, termasuk saya,” tulis Krugman, “percaya bahawa pembelian aset beria-ia oleh China membantu mengepam gelembung perumahan, meletakkan tahap untuk krisis kewangan global.  Tetapi, China yang berkeras mengekalkan kadar yuan/dolar yang tetap, bahkan ketika dolar merosot, mungkin membawa lebih banyak keburukan sekarang.”  Tambah beliau lagi, dengan ekonomi dunia masih dalam keadaan tidak tentu atau bahaya, dasar beggar-thy-neighbor oleh pemain utama tidak boleh ditolakansurkan.  Sesuatu mesti dilakukan terhadap mata wang China.
Mungkin khabar gembira untuk tahun baru ini ialah unjuran terbaru oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan bahawa ekonomi dunia akan berkembang pada 3.1 peratus pada tahun 2010.  Dengan China tumbuh sebanyak sembilan peratus, India 6.4 peratus berbanding dengan  Jepun (1.7 peratus), Amerika (1.5 peratus), dan  zon euro (0.3 peratus).  Walau bagaimanapun, IMF mengingatkan bahawa pemulihan mungkin “lemah mengikut standard sejarah” dan pemulihan bank supaya menjadi teguh masih menjadi keutamaan. 
Meskipun mengakui bahawa ekonomi global kelihatan berkembang semula, didorong oleh prestasi ekonomi Asia yang kuat dan penstabilan atau pemulihan di tempat lain,  namun IMF melalui World Economic Outlook dwitahunan mengingatkan pantulan akan “berkeadaan lemah, kekangan kredit, dan untuk seketika, penangguran.”   Meskipun ekonomi dunia mengecut 1.1 peratus pada 2009 kurang daripada 1.4 peratus yang diunjurkan pada Julai dan “pemulihan telah bermula,” bermakna pertumbuhan di banyak negara berlaku semula, namun Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn menarik perhatian bahawa “krisis belum berakhir.”
            Sementara bagi ekonomi Malaysia, seperti yang dilaporkan oleh Bank Dunia, KDNK-nya mengecut 2.3 peratus pada 2009 dan dijangkakan berkembang 4.1 peratus pada 2010.  Tinjuan dalam jangka terdekat menunjukkan ekonomi Malaysia mengalami proses yang perlahan untuk pemulihan. Dalam "Transforming the Rebound into Recovery"  yang dikemaskinikan, Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan 6.7 peratus tahun 2009 untuk Asia Timur dan Pasifik  membangun dan 7.8 peratus pada tahun 2010.
Baru-baru ini kerajaan menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi Malaysia  enam peratus setahun dari tahun 2010 hingga 2020 untuk mencapai matlamat ekonomi pendapatan tinggi.  Jika ditinjau perkembangan lalu, sasaran ini tidak  mustahil kerana   hampir satu dekad hingga sebelum berlakunya krisis kewangan Asia 1997-1998, KDNK  ialah lapan peratus setahun. Walaupun krisis itu telah berlalu dan negara berjaya mengharunginya, namun  “dekad yang hilang”  belum dapat dikembalikan apabila  pertumbuhan gagal mencapai kadar yang pernah dicapai, manakala    defisit berlaku terus-menerus sejak tahun 1998. Pada tahun lalu, defisit dijangka mencecah kepada 7.4 peratus, manakala pada tahun 2010 defisit dijangka 5.6 peratus.
Hakikatnya, malapetaka yang menimpa sekarang ialah krisis kewangan global dan kegagalan kapitalisme gaya Amerika dalam krisis ini. Oleh itu, tatkala krisis kewangan global berarak lalu dan kekusutan kemelesetan mula terungkai, adakah fahaman perlindungan, kawal selia, dan peranan kerajaan akan turut mencorakkan ekonomi global pada masa akan datang? Adakah  ekonomi ortodoks atau fundamentalisme pasaran yang bertanggungjawab mencetuskan kekacauan  akan mendapat tempatnya semula? Lazimnya, setelah segala-galanya berakhir, orang terus melupakan pengalaman pahit, lalu semangat haiwan bermaharajalela semula.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Januari 2010.)

No comments:

Post a Comment