Pages

Thursday, January 19, 2012

Pembandaran

KHAMIS,  19  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sejarawan, Eric Hobsbawm pernah menulis dalam bukunya, Globalisation, Democracy, and Terrorism bahawa pada tahun 1900, hanya 16 peratus penduduk dunia tinggal di bandar; pada tahun 1950, angka itu meningkat hanya di bawah 26 peratus; hari ini,  jumlahnya di bawah separuh (48 peratus).  Di negara maju dan banyak tempat di dunia, desa, bahkan kawasan produktif pertanian, ialah gurun hijau yang manusia sukar nampak di luar kereta mereka dan penempatan kecil.  

Jelas Hobsbawm, kini, hanya 10 daripada 50 kota besar di dunia dan hanya dua buah daripada 18 buah kota di dunia yang jumlah penduduk 10 juta orang atau lebih di Amerika Utara dan Eropah.  Kota yang tumbuh pesat dengan lebih satu juta penduduk, dengan satu pengecualian (Porto di Portugal), ialah Afrika (enam kota) dan Amerika Latin (lima kota).  

Berlaku kemerosotan dan kejatuhan dramatik kaum tani, yang sehingga abad ke-19 membentuk sejumlah besar manusia, di samping sebagai asas ekonomi.  Jelas Hobsbawm lagi, kejatuhan jumlah yang bekerja dalam bidang pertanian ketara di negara maju.  Hari ini, angkanya ialah empat peratus penduduk di negara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), dan dua peratus di Amerika Syarikat.  Pada pertengahan 1960-an, masih wujud lima negara Eropah yang lebih separuh penduduknya bekerja dalam bidang pertanian,  11 buah negara di Amerika Utara, Tengah, dan Amerika Selatan, 18 buah negara di Asia, dan dengan tiga pengecualian (Libya, Tunisia, dan Afrika Selatan), semua negara Afrika. Kini, tidak ada lagi negara di Eropah atau Amerika Utara, Tengah, dan Amerika Selatan dengan lebih separuh penduduk bekerja dalam bidang pertanian; demikian juga di dunia Islam. 

The Economist dalam carta harian menyatakan lebih separuh penduduk di China hidup di bandar. Untuk negara yang budaya dan masyarakat dibentuk sepanjang alaf oleh tradisi penanaman padi, dan yang parti pemerintah berkuasa pada tahun 1949 dengan menggembleng kaum tani, China hanya baru melepasi peristiwa penting yang luar biasa: warga kota kini mengatasi penduduk desa.  

Data baru daripada National Bureau of Statistics menunjukkan bahawa daripada 1.35 bilion penduduk China, 51.3 peratus hidup di kawasan bandar pada akhir tahun 2011.  Pada tahun 1980, kurang satu perlima penduduk China hidup di kota, perkadaran yang lebih kecil jika dibandingkan  dengan yang di India. 


No comments:

Post a Comment