Pages

Monday, January 30, 2012

Keterhakisan Kelas Menengah dan Kesannya terhadap Demokrasi Liberal

ISNIN,  30  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sesiapa yang membaca penjelasan Anwar Ibrahim tentang undang-undang liwat di Malaysia melalui tulisan Shibani Mahtani dalam The Wall Street Journal, pastinya menyedari sesuatu tentang bekas Timbalan Perdana Menteri ini: "Fashioning himself as the face of liberal democracy in the Muslim-majority country."  

Tulisan ini tidak bertujuan membahaskan setakat mana benar atau tepatnya gambaran yang diberikan bahawa Anwar "berwajah demokrasi liberal."  


Seperti yang diketahui bahawa demokrasi liberal dibincangkan dengan terperinci oleh Francis Fukuyama dalam bukunya, Penamat Sejarah dan Manusia Terakhir  yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad daripada The End of History and the Last Man

Fukuyama antaranya berhujah bahawa mufakat luar biasa berkaitan dengan kesahihan demokrasi liberal sebagai sistem pemerintahan yang muncul di seluruh dunia sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini kerana sistem ini  mengatasi ideologi yang bertentangan dengannya.  Hujah beliau lagi, demokrasi liberal mungkin membentuk "takat akhir evolusi ideologi manusia" dan "bentuk akhir sistem kerajaan manusia," dan dengan demikian, sistem berkenaan membentuk "penamat sejarah."


Seterusnya, dalam buku terbaharunya, The Origin of Political Order:  From Prehuman Times to the French Revolution, Fukuyama menjelaskan  demokrasi liberal moden yang berjaya menggabungkan semua tiga set institusi dalam keseimbangan yang stabil: negara, kedaulatan undang-undang, dan kerajaan yang bertanggungjawab.

Namun demikian, Fukuyama dalam makalah terbaharunya, "The Future of History" dalam Foreign Affairs  mula melahirkan kebimbangannya tentang kelangsungan demokrasi liberal berikutan keterhakisan golongan kelas menengah.  Sambil menegaskan kebangkitan yang kurang menonjol populisme Amerika sayap kiri, meskipun berlaku  krisis kewangan global yang bermula pada tahun 2008, beliau menulis:  "Debat intelektual yang serius diperlukan segera kerana bentuk semasa kapitalisme yang diglobalisasikan menjejaskan asas sosial kelas menengah yang pada golongan ini terletaknnya demokrasi liberal."

David Ignatius yang menulis dalam The Washington Post mengingatkan bahaya kelas menengah yang sedang dilanda kemerosotan, memetik tulisan Fukuyama itu  "sebagai menandakan masa yang tidak menentu."  Francis Fukuyama, bahas Ignatius, "menawarkan pengenalan yang baik untuk apa yang mungkin menjadi isu politik tahun 2012, iaitu kemerosotan kelas menengah di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia.  Tanpa kelas menengah, hujah Fukuyama, demokrasi liberal hilang tunjangnya."

Melindungi kelas menengah merupakan slogan yang dihafazkan oleh kedua-dua parti dalam Pilhan Raya Presiden tahun ini.  "Akan tetapi, hujah Fukuyama, seperti yang diketengahkan oleh Ignatius, "bahawa bahaya bukan datangnya daripada cukai atau dasar perbelanjaan tertentu mana-mana parti, tetapi daripada ekonomi global moden yang sangat dinamik." 

Meskipun Fukuyama tidak mengkaji semula keghairahannya terhadap demokrasi liberal yang beliau masih lihat sebagai "ideologi yang gagal di banyak tempat di seluruh dunia hari ini."  Sebaliknya, Fukuyama, jelas Ignatius, mempersoalkan, sama ada pasaran global mungkin menjadi musuh demokrasi liberal, dan bukannya inang ideologi tersebut. 

Ignatius menamatkan penulisannya dengan mengingatkan wujud tanda amaran, iaitu apabila orang ramai melihat negara totalitarian untuk sistem yang berfungsi.

Keterhakisan kelas menengah, khususnya di Amerika Syarikat semakin mendapat perhatian, bahkan Presiden Barack Obama dalam ucapan State of the Union baru-baru ini menggariskan usaha untuk menyelamatkan golongan tersebut yang dibahaskan secara meluas, antaranya oleh Steve Mariotti dalam The Huffington Post

Charles A. Kupchan menulis dalam The New York Times lebih sebulan yang lalu bahawa globalisasi yang sepatutnya dimainkan untuk kebaikan masyarakat liberal, malangnya kira-kira dua dekad, upah kelas menengah dalam demokrasi utama dunia mengalami kebekuan dan ketidaksamaan ekonomi melebar secara ketara.  "Keadaan getir golongan kelas menengah Barat," tegas beliau, "adalah akibat terutamanya integrasi ke dalam pasaran global berbilion-bilion pekerja upah rendah dari dunia membangun." 

Balik kepada imej  demokrasi liberal yang cuba diperlihatkan oleh Anwar Ibrahim  pada dirinya. Sebagaimana Najib Razak  dengan bangga "mendakap demokrasi" yang kini semakin comot, demikian juga Anwar "berpegang pada tunjang" sedang reput.  

Kedua-duanya, iaitu Najib atas nama demokrasi dan Anwar atas nama demokrasi liberal  sama-sama "belayar dalam sebuah kapal yang usang" yang menunggu detik dan ketika untuk ditelan gelombang. 


No comments:

Post a Comment