Pages

Tuesday, January 3, 2012

Kebekuan Penerbitan?

SELASA,  3 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam "A Literary Deficit" The Economist (10 - 16 Disember) mendedahkan perkembangan penerbitan di Amerika Latin. Meskipun pengedaran akhbar di wilayah itu meningkat sebanyak lima peratus (21 peratus di Brazil dan 16 peratus di Mexico) antara tahun 2005 - 2009, untuk penerbitan buku, gambaran berbaur.  Jualan di (bertutur bahasa Portugis) Brazil, pasaran terbesar,  meningkat.  Namun, gambaran agak  muram di negara yang bertutur bahasa Sepanyol. Di Mexico dan Argentina, pasaran kedua dan ketiga di Amerika Latin, jualan buku jatuh.  

Persatuan penerbit Mexico memaklumkan bahawa jumlah jualan pada tahun 2010 ialah 139 juta naskhah, jatuh 12 peratus dari tahun 2005.  Kebanyakan jualan ialah buku teks yang permitaan masih stabil.  Akan tetapi, empat hingga tahun 2009, jualan novel jatuh  sebanyak 39 peratus (kepada lapan juta naskhah) dan buku kanak-kanak jatuh sebanyak 42 peratus, iaitu kepada 13 juta naskhah.  

Menurut majalah itu lagi,  saiz kecil pasaran bermakna bahawa buku dijual secara tradisional seperti barang mewah di Amerika Latin.  Sepanyol mempunyai sebuah kedai buku bagi setiap 10,000 orang.  Sebaliknya, Argentina mempunyai sebuah bagi setiap 20,000 orang, Brazil sebuah bagi setiap 50,000 orang, dan Mexico sebuah bagi setiap 70,000 orang.

Sementara di Amerika, Barnes & Noble Inc. melaporkan bahawa syarikat itu akan membuat pelaburan yang besar dalam pembaca e-buku Nook dan media digital, berikutan kerugian suku ketiga 2011 kerana jualan buku fizikal terus merosot. Kerugian bersih suku ketiga yang berakhir pada 29 Oktober ialah AS$6.6 juta, atau 17 peratus per saham, berbanding dengan kerugian AS$12.6 juta, atau 22 peratus per saham setahun lalu. 

Tatkala kedai buku di negara itu dikatakan mati atau hampir mati, kedai buku bebas, seperti yang dilaporkan dalam The Washington Post, mempunyai potensi untuk berkembang. Memetik sumber Persatuan Penjual Buku Amerika, organisasi perdagangan kebangsaan bagi kedai buku milik bebas, menyatakan pertumbuhan tujuh peratus pada tahun 2010 dan memperoleh 100 ahli baru dalam masa enam bulan lalu.  Pertubuhan itu kini mengira 1830 kedai ahli di seluruh Amerika Syarikat, meningkatkan sebanyak 400 sejak tahun 2005.  Kedai buku baru dibuka di sekurang-kurangnya 35 buah negeri, dari New York ke California, menandakan bahawa pemilik kedai buku di seluruh negara melihat peluang untuk mencari bidang konkrit dalam dunia e-buku.

Namun, pastinya ada yang tidak berpuas hati terhadap kedai buku dari segi perkhidmatan dan harga.  "Jangan sokong kedai buku tempatan anda," tulis Farhad Manjoo.  "Beli buku menerusi Amazon adalah lebih baik untuk pengarang, lebih baik untuk ekonomi, dan lebih baik untuk anda."

Kini, seperti yang sering diperkatakan bahawa penerbitan digital berkembang pesat dan memberikan saingan hebat kepada penerbitan bercetak.  Misalnya,  sastera digital yang dijangkakan berkembang pesat pada tahun ini, banyak kerja yang memberikan inspirasi telah pun dirancang pada tahun 2011, seperti yang dibahaskan oleh Lisa Gee dalam The Independent.   

"E-buku," tulis editorial The Observer, "menyalakan semula secara besar hebat terhadap kecintaan kita membaca." Golongan muda dan tua membaca, yang tidak berlaku sebelum ini.  Tahun 2011, isytihar, editorial itu, ialah tahun e-buku, menjadi musim panas Kindle.  Dalam kapal terbang, kereta api, dan kereta, kita menyaksikan lautan perubahan dalam kegemaran membaca kita, tidak pernah berlaku sejak Gutenberg.  "Suatu masa dahulu, dikatakan bahawa buku maya bukan jawapannya kepada tiga Bs (beach, bath, dan bed - pantai, bilik mandi, dan katil).  "Akan tetapi, akhir-akhir ini, trend pembacaan yang mendedahkan buku digital dengan  pantai, sabun, dan penggodaan. Pembacaan Kindle  popular mencecah titik penghujung.  

Untuk menyokong hujahnya, editorial itu menunjukkan bahawa pembeli-belah United Kingdom purata kini membelanjakan empat paun sterling setiap bulan untuk e-buku dan 53 peratus pengguna Kindle berkata mereka kini membaca lebih banyak buku jika dibandingkan dengan sebelumnya.

Namun, e-buku bukannya tanpa sebarang kelemahan, seperti yang didedahkan oleh Dan Gillmor bahawa berlaku penipuan harga.  Harga e-buku, seperti buku fizikal benar-benar membebankan pengguna.  Bukan sekadar harga yang tinggi, tetapi terlalu tinggi, banyak penjual buku dalam Amazon (dan di kedai Nook Barnes & Noble) meningkat 30 peratus hingga 50 peratus, daripada kira-kira AS$13 atau AS$15 atau lebih tinggi kerana penerbit mengenakan harga senarai yang tinggi untuk versi digital.  Dan kes selepas kes, harga e-buku untuk buku baru hampir, dan kadangkala bahkan lebih tinggi daripada harga Amazon untuk buku kulit keras. 

Amazon telah pun menjual lebih banyak e-buku berbanding dengan buku kulit lembut.  Orang British membeli 12.7 juta e-buku pada separuh pertama tahun 2011, berlipat ganda jumlahnya jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun 2010.  Akan tetapi, Juliette Garside mengingatkan bahawa  pengawal selia di Eropah dan Amerika Syarikat berasa bimbang bahawa pembeli-belah mungkin dikenakan harga yang tinggi.  Bulan ini (Disember), kedua-duanya, iaitu Suruhanjaya Eropah dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan penyiasatan terhadap jualan e-buku.  

Selain itu,  kepopularan  e-pembaca yang semakin meningkat dikatakan boleh mengancam masa hadapan sastera Inggeris kerana para penulis yang sedang meningkat maju tidak dibayar secukupnya untuk memenuhi keperluan mereka. Graham Swift, pemenang Booker Prize  tahun 1996 kerana novelnya Last Orders, dipetik sebagai berkata penulis baru memperoleh royalti yang rendah untuk karya mereka dalam bentuk e-buku berbanding dengan royalti kulit keras dan kulit lembut tradisional.  Jika golongan penulis berkenan mendapati diri mereka tidak mampu mencari rezeki daripada karya mereka, ini mungkin menyebabkan mereka berasa putus asa dan meninggalkan cerita yang berpotensi hebat tidak ditulis.

Adakah penulis boleh hidup dengan bergantung pada karya mereka sering diperdebatkan.  Jawapan yang lazim ialah bergantung pada jenis karya dan tempat karya itu dipasarkan.  Lazimnya, jika pasaran terlalu kecil, maka sukar bagi penulis untuk mencari makan atas karya mereka.  Di Kanada misalnya, penerbitan buku dianggap lebih sebagai hobi berbanding dengan profesion.  Seperti yang Mark Bourrie tulis dalam The Huffington Post beberapa bulan lalu, "lebih banyak saya tulis buku dan mempromosikan buku itu, maka besar kemungkinan saya berkesudahan hidup dengan elaun pengangguran.  Terlalu sedikit orang di Kanada yang dapat hidup daripada penulisan buku."

Di sebalik gambaran penerbitan buku yang agak berbaur, dan tidak kira sama ada buku p-buku ataupun e-buku, yang penting, bahas Gail Rebuck, "manusia perlu  membaca."  Kemekaran dunia pembacaan dapat dirasai apabila pada akhir tahun lalu, buku terlaris atau terbaik disenaraikan, antaranya   World Book Bestseller, pembacaan hujung minggu yang hebat, dan buku bergambar terbaik, termasuk buku yang tidak dapat dilupakan, manakala buku kembara masih mempunyai mendapat sambutan dalam kalangan pembaca. Sementara galakan penulisan terus diadakan, dan ketinggalan untuk terjemahan bahawa tahun 2011 dikatakan tahun penterjemah dengan kehadiran beberapa karya besar.  Tidak kurang menarik ialah perbincangan tentang versi baru karya Homer, The Iliad  yang diperkatakan dan diulas dalam The New Yorker yang mampu memberikan kesegaran kepada dunia penerbitan. 

Yang penting, seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, dalam dunia penerbitan, para penulis terus menulis dan para pembaca  terus membaca untuk memastikan kelangsungan industri ini. 

No comments:

Post a Comment