Pages

Friday, January 27, 2012

Davos 2012: Soros Bertelagah dengan Merkel

SABTU,  28  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Krisis euro bukan sahaja menarik perhatian pemimpin dunia, penggubal dasar, pengawal selia, ahli akademik, para pengulas, ahli ekonomi terkenal, seperti Joseph Stiglitz, Paul Krugman, dan Nouriel Roubini, tetapi juga spekulator mata wang, iaitu George Soros.  Bagi kita, rakyat Malaysia,  Soros tidak asing lagi kerana beliau terkenal berikutan krisis kewangan Asia 1997/1998. 

Sebagaimana beberapa individu yang lain, George Soros juga tidak jemu-jemu untuk membicarakan dan mengetengahkan krisis yang melanda zon euro, yang beliau sifatkan, "tahun baru, krisis sama."   Beliau juga menulis bagaimana menyelamatkan euro dalam The New York Review of Books, sambil memperkenalkan buku barunya, Financial Turmoil in Europe and the United States, yang cuba menjelaskan dan takat kemungkinan, meramalkan hasil krisis euro.

Bersempena mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF), di Davos,  George Soros sekali lagi menjadi perhatian, seperti yang diungkapkan oleh John Arlidge dalam Newsweek, "Soros dan penggerak dunia berkampung sekali lagi di Davos, Switzerland."  Soros juga, seperti yang ditulis oleh  Arlidge,  sedang memerhatikan kedatangan perang kelas di Amerika Syarikat. 

Pada hari Rabu, hari bermulanya mesyuarat tahunan itu, pelabur hartawan George Soros, mengambil pendirian yang tegas terhadap kesusahan kewangan yang dihadapi oleh Kesatuan Eropah, ketika beliau menyampaikan ucapan tentang masa depan blok mata wang.  Beliau berkata bahawa Eropah bergelut dalam "lingkaran kemerosotan" yang memperteguh dirinya, dengan menambah, sebagai "Anggota yang lemah dalam zon euro ditinggalkan sebagai negara Dunia Ketiga yang meminjam dalam mata wang asing."  Bagi Soros, krisis euro mungkin menghancurkan Kesatuan Eropah.

Soros  beberapa bulan lalu pernah berkata bahawa masa depan euro terletak pada Jerman.   Davos bukan sahaja tempat muhasabah diri yang "menyaksikan hantu Karl Polanyi merayau-rayau,"  tetapi juga menyaksikan pertelagahan antara George Soros  dengan Canselor Angela Merkel berhubung dengan masa depan euro. Angela Merkel dalam ucap tamanya mempertahankan strategi zon euro yang diterajui oleh Jerman dalam menangani krisis hutang.  Beliau berkata bahawa pembaharuan fiskal dalam pelaksanaan, sumber disediakan untuk membantu ekonomi yang menanggung beban hutang, dan yang paling penting, Eropah sepakat dalam komitmen untuk mata wang bersama.  Peraturan yang sangat ketat terhadap kewangan awam, kaedah yang paling ketat mengenakan  peraturan itu akan diperkenalkan.  Wujud fokus baru terhadap merangsang pertumbuhan dan mewujudkan pekerjaan. 


Mendukacitakan kerana Angela Merkel tidak mengemukakan idea baru di Davos, menyebabkan para hadirin berasa kesal.  Banyak yang beliau katakan telah pun didengari sebelum ini, tidak ada satu pun yang beliau lakukan begitu banyak untuk merangsang keyakinan di euro atau Eropah.  


Akhirnya, debat antara Merkel dengan Soros menjadikan kegagalan pendekaan Canselor Jerman itu kepada krisis betul-betul jelas.  Strategi krisis hutang yang diperkenalkan oleh Merkel dianggap direka bentuk untuk merangsang keyakinan para pelabur, seperti Soros.  Nyata harapan ini meleset sama sekali.  Sehingga apa yang dikatakan itu dikotakan, ancaman terhadap euro tidak akan lenyap. 


Soros, seperti yang dilaporkan tidak keseorangan dalam kritikannya terhadap Jerman.  Dalam makalahnya untuk Financial Times,  Presiden Bank Dunia juga mendesak Jerman mengambil kepimpinan yang jelas dalam memerangi krisis. 



No comments:

Post a Comment