Pages

Sunday, December 4, 2011

Pemusnahan Kreatif, Kapitalisme, dan Demokrasi

AHAD,  4  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam beberapa tulisan dalam blog ini, saya beberapa kali menyentuh persoalan demokrasi dan kapitalisme, terutamanya dalam konteks krisis ekonomi semasa.  Antaranya,  politik demokrasi dan kelumpuhan politik yang berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah yang memburukkan krisis ekonomi, atau dengan kata lain, menyebabkan kelumpuhan ekonomi.  

Berikutan krisis hutang di Eropah,  seperti yang berlaku di Greece dan Italy sehingga menyebabkan pemimpin yang dipilih secara demokrasi digantikan oleh teknokrat yang tidak dipilih oleh rakyat, banyak orang merasakan bahawa demokrasi dikorbankan demi menyelamatkan kapitalisme.  Krisis hutang yang berpanjangan  itu juga membangkitkan persoalan tentang masa depan demokrasi di benua itu.  

Melihat apa yang berlaku terhadap kapitalisme dan demokrasi, mendorong saya memikirkan apakah ini merupakan pemusnahan kreatif yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi, Joseph A. Schumpeter dalam bukunya, Capitalism, Socialism and  Democracy.  Pemusnahan kreatif, seperti yang dibahaskan oleh Schumpeter. "proses mutasi perindustrian yang secara berterusan merevolusikan struktur ekonomi dari dalam, secara berterusan memusnahkan yang lama, dan secara berterusan, mewujudkan yang baru."  Dengan kata lain, berlaku inovasi  yang tanpa berhenti-henti, dan kapitalisme mempunyak kecenderungan untuk pemusnahan sendiri. 

Ada usaha untuk melihat pemusnahan kreatif dalam konteks selain yang diperkatakan oleh Schumpeter, seperti yang dilakukan oleh James Surowiecki dalam The New Yorker.  Beliau melihat pemusnahan kreatif dalam konteks bencana yang menimpa sesebuah negara, seperti krisis nuklear Jepun.

Kini, kita juga menyaksikan pemusnahan kreatif bukan sahaja dalam kapitalisme, tetapi juga demokrasi, setidak-tidaknya di Eropah dan Amerika Syarikat.  Adakah pemusnahan itu membawa kebaikan kepada kapitalisme dan demokrasi, setakat ini, sukar ditentukan.  Hanya yang pasti,  seperti yang pernah dibangkitkan oleh Eric Hobsbawm,  kapitalisme muflis, manakala demokrasi pula diancam, atau dalam ungkapan James Petras, daripada  demokrasi yang sedang merosot  kepada  kediktatoran teknokratik

No comments:

Post a Comment