Pages

Thursday, December 15, 2011

Menuntut Warisan, Memuja Wira

KHAMIS,  15  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam keluaran Februari 2007, majalah Fortune menerbitkan “Starbucks  vs.  Ethiopia” yang ditulis oleh Stephan Faris berhubung pertikaian cap dagangan antara negara yang mengeluarkan kopi untuk dunia dengan syarikat yang melabur AS$4 latte. Etiopia, sebuah negara termiskin di dunia,  mahu cap dagangan  nama tiga wilayah penanaman kopi untuk memaksa syarikat yang menjual biji kopi menandatangani perjanjian pelesenan dan untuk memperoleh harga yang tinggi untuk biji kopi yang dikeluarkan.  Sementara syarikat Amerika  Syarikat itu berkata Etiopia sepatutnya sebaliknya menuntut persijilan geografik yang membenarkan pengedar menggunakan nama dalam penjenamaan mereka. Etiopia merupakan tempat lahir biji kopi, dan konflik   bermula Mac 2005 apabila Etiopia memfailkan dengan U.S. Patent and Trademark Office untuk cap dagangan nama tiga wilayah pengeluar kopi, iaitu Yirgacheffe, Harrar, dan Sidamo, tempat Fero terletak.

Sementara itu, di negara kita pada tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengiktiraf Tanda Geografik (Geographic Indication), memutuskan bahawa Syarikat Faiza Sdn. Bhd. tidak layak mendaftarkan  perkataan “Ponni” sebagai cap dagangan. Hakim Azahar Mohamed berkata “Ponni” menjelaskan jenis beras yang berasal dari Tamil Nadu dan dapat dikenal oleh para pengguna dengan cara itu. Dalam huraiannya, Hakim Azahar berkata,  “Ponni” bukannya perkataan yang dicipta oleh responden dan perkataan itu merupakan nama lain untuk Sungai Kaveri di Tamil Nadu.  Jenis  padi itu ditanam di delta sungai itu.
Kedua-dua kes tersebut  yang melibatkan pertikaian cap dagangan, sebenarnya bertolak daripada warisan, iaitu tempat asal tanaman, iaitu kopi di Etiopia dan padi di Tamil Nadu, India.  Dalam pertikaian antara Etiopia dengan Starbucks boleh diibaratkan “lembu punya susu, sapi punya nama.”  Dalam kes “Ponni” jelas  melibatkan persoalan  warisan  kerana perkataan itu dicipta di sana dan merupakan nama untuk sebuah sungai. 
Wira telah lama meninggal dunia, tetapi pemujaan  tidak pernah disemadikan bersama-sama mereka, seperti pemujaan terhadap  Hang Tuah dalam masyarakat Melayu. Legenda  mereka sering dipertontonkan dan diperdengarkan kepada masyarakat semasa.  Bahkan, ada  negara yang menuntut wira berkenaan adalah milik mereka sehingga mencetuskan konflik antarabangsa, seperti yang berlaku antara Macedonia dengan  Greece.  
Yang tidak kurang menarik, wujud kecenderungan dalam kalangan masyarakat kini untuk mendakwa diri mereka keturunan wira tertentu. Seperti yang ditulis oleh Richard Orange dalam akhbar The Telegraph setahun lalu bahawa  beribu-ribu orang Kazakh yang berlumba-lumba  untuk membuktikan keturunan mereka daripada pahlawan yang digeruni, iaitu Genghis Khan, kerana kebangkitan semula nasionalisme Kazakh membawa prestij yang diperbaharui semula untuk bekas aristokrasi negara itu.  “Dalam tiga tahun lalu,” tulis Orange, “lebih 300 orang Kazakh menghantar sampel gen untuk diuji di makmal Amerika Syarikat dan beribu-ribu orang pesaing melobi untuk dimasukkan ke dalam buku Chingzids tahun lalu yang memperincikan waris Kazakh Genghis.  Bagi mereka, jika mereka mahu diri mereka dihormati, dan mereka mahu mengetahui bahawa mereka benar-benar keturunan Genghis Khan, maka mereka perlu mempunyai bukti sebenar.
Orang Kazakh dikatakan begitu berminat untuk membuktikan diri mereka keturunan Genghis Khan dengan menghantar sampel mereka ke   FamilytreeDNA, sebuah syarikat  di Houston. Sejak tahun 2007, kira-kira 300 orang dari Kazakhstan diuji di syarikat itu, tetapi banyak yang berasa kecewa:  Tandatangan DNA mengikut nasab bapa tidak secocok dengan satu kajian saintifik milik yang dianggap merupakan tandatangan Genghis Khan. Demikian juga dengan Tabuldin yang terpaksa mengetepikan beratus-ratus orang yang ingin diri  mereka dimasukkan dalam bukunya, tetapi beliau mendapati mereka bukan Chingizids.
Genghis Khan yang menakluki Timur Tengah dan Eropah membawa kemusnahan dan melakukan kekejaman, tetapi di Kazakhstan dan Mongolia, dia wira yang tiada tolok bandingnya. Sejak Kazakhstan mencapai kemerdekaan pada tahun 1991, kerajaan Presiden Nursultan Nazarbayev, secara aktif memperkenalkan sejarah dan warisan Kazakh, seperti yang dinyatakan oleh Richard Orange, buku Tabuldin, hasil penyelidikan selama 10 tahun, dipromosikan secara besar-besran dalam media kerajaan.
Setakat ini, tidak berlaku pertikaian antara dua buah negara yang mengagungkan wira yang sama itu.  Lima tahun lalu, ibu negara Mongolia, Ulan Bator, dibanjiri dengan imej bekas pemerintah berkuasa mutlak, iaitu Genghis Khan, dalam menghormati ulang tahun penyatuan negara itu pada tahun 1206.  Monumen Great Khan yang dibina di Dataran Sukhbaatar itu mengandungi bumi dan batu dari tempat suci dan bersejarah yang berkaitan dengan pemerintahannya. Presiden Nambaryn Enkhbayar, ketika berucap di hadapan khalayak dan para kenamaan, termasuk Duke of York, berkata, “Semoga semangat Genghis Khan Agung mengilhamkan masa hadapan orang Mongolia dan membawa mereka sekali lagi ke arah kemakmuran.”
Pada Mei lalu, balkaninsight.com melaporkan Macedonia bersiap untuk membina arca Alexander the Great di Skopje. Arca gangsa setinggi 13 meter dibuat di Italy, apabila siap kelak akan diangkut ke Macedonia.  Kontroversi terhadap Alexander the Great merupakan sebahagian pertikaian yang meluas antara negara berjiran, iaitu Macedonia dan Greece. Athens enggan membenarkan negara jirannya yang kecil itu menggunakan nama Republik Macedonia, dengan menegaskan nama itu sebahagian warisan mereka.  Seterusnya, apabila arca itu siap dan tiba di Macedonia, balkaninsight.com melaporkan  pembinaan monumen tersebut mencetuskan kontroversi kerana kosnya yang dianggarkan adalah terlalu tinggi, di samping potensi impak terhadap hubungan dengan Greece, yang telah pun tegang selama 18 tahun kerana nama Macedonia.  “Asal-usul Alexander the Great mencetuskan pertikaian kerana dua negara yang berjiran itu mempunyai pandangan yang berbeza tentang sejarah purba itu. Raja pahlawan itu merupakan satu daripada banyak tokoh dan simbol sejarah yang dituntut oleh kedua-dua negara berkenaan.
Perang budaya yang melibatkan tuntutan warisan dan pemujaan wira yang melibatkan Alexander the Great turut mendapat liputan ringkas majalah The Economist yang dalam keluaran Jun muncul dengan “Balkan Culture Wars:  Here Comes the Equestrian Statue.” Setelah menyatakan bahawa orang ramai berpeluang melihat arca yang sedang dipasang di Skopje itu,  T.J. menulis:  Untuk dua dekad Macedonia bertikai dengan Greece tentang nama negara itu.  Greece menegaskan bahawa nama “Macedonia” bermakna cita-cita wilayah terhadap bahagian Macedonia bersejarah yang kini merupakan bahagian Greece.  Orang Greece juga berkata bahawa orang  Macedonia  mahu mencuri identiti Yunani mereka, iaitu pengambilan Alexander.
Tatkala Greece bergelut dengan krisis hutang, mungkin ada yang menjangkakan orang Macedonia cuba mendapat kuasa dengan memperlihatkan sikap yang lebih matang.  “Akan tetapi, tidak,” tulis T.J. lagi,   “bukan hanya mereka sedang menamakan semula lapangan terbang, lebuh raya, dan struktur lain bersempena nama Alexander atau nama ayahnya, mereka juga kini sedang membina apa yang maksudnya untuk jari tengah gangsa yang besar yang ditujukan kepada Greece.” Bagi orang Macedonia,  tegas T.J., “mereka tanpa ragu-ragu akan memberikan respons terhadap mana-mana tanda kemarahan orang Greece dengan mengarahkan kepada arca Alexander menunggang kuda yang terdapat di Edinburgh.”  Justeru, sebelum orang   Greece menuduh orang  Macedonia mencuri warisan budaya mereka,  mereka perlu melakukan “kerja rumah” terlebih dahulu dan fikir sedalam-dalamnya kerana di negara lain juga wujud arca Alexander menunggang kuda.
Peristiwa budaya di Skopje, untuk seketika tidaklah menarik perhatian dunia kerana diselubungi oleh pemberontakan Arab di Syria dan Libya dan krisis hutang di zon euro yang melibatkan Greece, Ireland, dan Portugal, antaranya. Arca besar pahlawan purba menunggang kuda dibina di dataran besar ibu negara Macedonia pada 21 Jun lalu, disambut dengan rasa penuh gembira  oleh beribu-ribu orang Macedonia yang hadir di dataran itu dan mencetuskan kemarahan yang amat sangat negara jiran, Greece.  Wujud daya tarikan lain dalam peristiwa itu, tulis Hajrudin Somun dalam guardian.co.uk pada akhir Jun lalu, tiada sesiapa pun secara rasmi berkata siapakah yang diwakili arca menunggang kuda yang besar itu dan keadaan lain, mungkin seorang “askar yang tidak dikenali” yang banyak negara dedikasikan melalui monumen negara.  Walau bagaimanapun, dalam kes ini, Hajrudin mengakui bahawa imej dan wajah pahlawan yang diacukan dalam gangsa adalah sangat dikenali untuk setiap orang, dan memang mudah dikenali kerana tokoh Alexander the Great yang orang Macedonia dan Greece anggap leluhur purbakala mereka. 
Meskipun tidak diragui bahawa Alexander ialah tokoh Yunani bersejarah agung, tegas  Hajrudin, tidak semestinya setiap yang Yunani itu kepunyaan Greece moden.  Soal beliau, “Apa yang mungkin dikatakan untuk  sekian banyak tapak sejarah di Anatolia dan Timur Tengah dimiliki abad Yunani yang cerah masa depannya?”  Beliau menarik perhatian bahawa orang Greece sudah lama meninggalkan “Yunanisme” di kawasan berkenaan dan kini pergi ke destinasi ini sebagai pelancong, berbangga destinasi berkenaan pernah menjadi sebahagian peradaban bersama itu. Namun begitu, Hajrudin tidak pergi jauh tentang peradaban bersama itu kerana beliau tiba-tiba menukar rentak:  Punca atau tujuan Alexander dan Macedonia pastinya berbeza dan diwujudkan pada zaman moden apabila Ottoman memperlakukan  keetnikan Balkan adalah diubah oleh kebangkitan nasionalisme tempatan dan konflik, bahkan peperangan dalam kalangan mereka.
Pengenalpastian Alexender the Great sebagai lebih kurang orang Greece atau Macedonia, menurut pemerhatian Hajrudin, merupakan rekaan gerakan nasionalistik moden.  Alexander ialah putera Philip II Macedonia, tetapi beliau sendiri tidak boleh dianggap sebagai hanya Macedonia atau Greece.  Beliau kepunyaan kedua-dua Greece dan Macedonia sezaman dari segi darah Yunaninya atau dari segi tanah dan leluhur Macedonianya. Beliau mungkin lebih kepunyaan seluruh dunia, meskipun dianggap sebagai pembawa atau pengutusa perabadan Yunani, atau penceroboh dan pemusnah yang kejam pada zaman purba.
Kerajaan Greece tidak mengiktiraf perlembagaan dan bendera Macedonia yang mengandungi matahari Yunani simbolik. Bagi orang dan bahasa Macedonia, orang Greece menggunakan kata sifat “Slavomacedonian” kerana mereka menganggap mana-mana penggunaan istilah Macedonia tulen sebagai mencuri identiti atau jati diri mereka dan “pemalsuan” sejarah mereka.  Itulah sebabnya, tegas Hajrudin, orang Greece menganggap Alexander the Great milik mereka dan melihat upacara membuka tirai arca di Skopje sebagai penghinaan langsung “dengan tujuan membangkitkan semangat nasionalisme dan mencetuskan konflik.”
Kedua-dua negara itu menghadapi masalah ekonomi, dengan Macedonia yang pengangguran lebih 30 peratus, dan Greece menghadapi krisis hutang yang teruk sehingga terpaksa memohon bantuan daripada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Untuk memesongkan rakyat daripada masalah tersebut, pemimpin di kedua-dua negara itu boleh menggunakan Alexander the Great sebagai alat untuk meraih sokongan mereka.
Dengan kian menjadi-jadinya tuntutan  warisan dan pemujaan wira, kita akan menyaksikan berleluasanya perang budaya yang mencorakkan hubungan antarabangsa.  Maka, jangan terperanjat  seandainya konflik antarabangsa bukan sahaja kerana tuntutan wilayah dan sumber asli, tetapi juga kerana warisan dan wira yang menjadi tuntutan dan pujaan.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya Oktober 2011.)


No comments:

Post a Comment