Pages

Monday, December 12, 2011

Hillary Clinton, "Bukan Kita Tidak Menyayangi Caesar, Tetapi..."



SELASA,  13  Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sesuatu yang sering dipetik hingga kini apabila sesuatu keputusan yang sukar terpaksa dibuat sehingga mengorbankan seseorang ialah, "bukan kita tidak menyayangi Caesar, tetapi kita lebih menyayangi Rom."  Demikian juga Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton ketika bertikam lidah - "perang dingin"  dengan Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin yang pernah dinobatkan  "Person of the Year 2007."    Putin menuduh Hillary Clinton mengapi-apikan rakyat Rusia melancarkan tunjuk perasaan di Moscow dan kota-kota lain di negara itu -  menyaksikan Musim Bunga Rusia, atau disebut juga berakhirnya era.  Bahkan, Putin dituduh oleh Niall Ferguson sedang mengheret Rusia menjadi tidak relavan di peringkat global.  

Walaupun wujud ketegangan antara Washington dengan Moscow,  editorial The Washington Post menganggap Hillary Clinton mengambil nada yang betul dalam menghadapi Putin. Setiausaha Negara itu  dalam respons terhadap dakwaan Putin itu, berkata  bahawa "kita menghargai hubungan kita dengan Rusia, tetapi kita juga mempunyai komitmen untuk demokrasi dan hak asasi manusia" - seakan-akan senada dengan orang Rom yang mengorbankan Caesar.  


Menjadi kelaziman Washington untuk memperlihatkan kepada dunia bahawa Amerika menyanjung tinggi demokrasi, meskipun demokrasi di negara itu sudah pada  "tahap bahaya" dan  "perlu diselamatkan," seperti yang dicadangkan  oleh Senator Bebas, Bernie Sanders dalam The Huffington Post.  Bagi beliau, demokrasi di Amerika Syarikat terpaksa tunduk pada golongan korporat serta jutawan, dan politik wang berleluasa. Sementara Madeleine M. Kunin yang melihat keterukan demokrasi di negara itu mencadangkan "Menduduki Kongres" - mengambil sempena  Menduduki Wall Street.


Robert Fisk yang menulis dalam The Independent,  membandingkan antara diktator Arab dengan diktator Barat, menegaskan yang d Barat sangat teruk.  Sekurang-kurangnya di Arab, mereka boleh ditumbangkan, sedangkan diktator Barat, iaitu banker dan agensi penarafan tidak boleh disentuh sama sekali. Tegas beliau, "gerakan protes yang berlaku sekarang terhadap Perniagaan Besar adalah kerana mereka telah sedar, meskipun terlewat bahawa berdekad-dekad mereka dibeli oleh demokrasi yang palsu.  Mereka dengan penuh tanggungjawab mengundi parti politik - yang kemudian menyerahkan mandat demokratik dan kuasa rakyat kepada bank dan peniaga derivatif dan agensi penarafan."


Tindakan keras pihak kerajaan tempatan terhadap aktivis Menduduki Wall Street, menurut pemerhatian pihak Perrtubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah mencabuli hak asasi manusia.  Justeru, sebagaimana dari segi amalan demokrasi, Amerika sendiri tidak mempunyai apa-apa kelebihan atau keistimewaan dari segi menegakkan hak asasi manusia.  


Apabila Hillary Clinton mewajarkan "campur tangan" yang tidak disenangi oleh Putin, sesungguhnya,  bekas Wanita Pertama itu boleh diibaratkan "ayam jantan,  kokok berderai, ekor bergelumang tahi."  Baik dari segi demokrasi mahupun hak asasi manusia, beliau sepatutnya sedar bahawa Amerika  tidak mempunyai apa-apa yang boleh dibanggakan.  Sebenarnya, Hillary bukan sahaja berbohong pada Putin, bahkan kepada dunia tentang demokrasi dan hak manusia.  



No comments:

Post a Comment