Pages

Saturday, December 31, 2011

Dunia yang Bergolak: Kedatangan Kacau-bilau Menuntut Keadilan Sosial

SABTU,  31 Disember 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam kolum, "Dunia Tahun Ini,"  The Economist  keluaran "Special Holiday Double Issue"  menumpukan sebahagian besar liputannya tentang protes rakyat, yang bangkit  melanda dunia Arab.  Pemberontakan Arab yang kadangkala dikenali Arab Spring (Musim Bunga Arab) tercetus oleh tunjuk perasaan di Tunisia yang akhirnya menumbangkan Presiden Zine el-Abidine Ben Ali, yang terpaksa melarikan diri Arab Saudi.  Didorong  oleh kejayaan  di Tunisia, pembantah muncul dan bangkit di negara Arab lain.  Beratus-ratus ribu orang rakyat Mesir membanjiri Kaherah dan berkampung di Dataran Tahrir menuntu Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.  Selepas tiga dekad berkuasa, Mubarak hanya dapat bertahan tiga minggu daripada persengketaan. 

Setelah meninjau kebangkitan rakyat Arab di Yaman, Bahrain, Libya, dan Tunisia, di samping pembaharuan yang dilakukan di Maghribi dan Jordan, tulisan dalam The Economist  membangkitkan tunjuk perasaan atau protes di tempat lain: protes jalanan di Israel  yang  melibatkan 450,000 orang penunjuk perasaan untuk meluahkan kilanan mereka berhubung dengan kejatuhan taraf hidup; tunjuk perasaan pelajar dan murid di Chile yang menuntut pembaharuan pendidikan; di India beribu-ribu orang turun menyokong Anna Hazare yang pejuang antirasuah; kira-kira 100,000 orang membantah di Wisconsin membantah sekatan kesatuan sekerja sektor awam dan gerakan Menduduki yang berkampung di luar Wall Street dan pusat kewangan lain; tunjuk perasaan anti-Putin di Moscow;  "revolusi melati" di China; dan protes besar di banyak negara Eropah, termasuk  Britain, Portugal, dan Sepanyol, menentang langkah jimat-cermat. 


Secara ringkas, tetapi sangat bermakna, Fareed Zakaria menulis  bahawa apa yang berlaku pada tahun 2011 yang berkemungkinan dicatatkan sebagai tahun perubahan bersejarah.  Pemberontakan massa menterbalikkan kerajaan di seluruh dunia Arab.  Salah urus ekonomi di Eropah membawa kepada perubahan pucuk pimpinan di Italy, Greece, dan Sepanyol.  "Ketika 365 hari lalu, anda tidak dapat meramalkan peristiwa ini.  Anda tidak dapat membayangkan bahawa banyak pemimpin kehilangan pekerjaan mereka."

Pastinya, "Person of the Year" majalah Time, iaitu "Protester"  (Pembantah) membawa maksud yang cukup dalam dan luas tentang peristiwa penting serta signifikan yang berlaku sepanjang tahun 2011.  Majalah ini juga menyusurgalurkan  punca yang mencetuskan kebangkitan di dunia Arab dan di serata tempat yang bermula dengan tindakan membakar diri oleh Mohamed Bouazizi di Tunisia, dan menegaskan bahawa pada tahun 2011, pembantah bukan sekadar meluahkan bantahan mereka, tetapi mereka mengubah dunia, meskipun dalam tempoh hampir setahun, seperti yang dibahaskan oleh Christine Lagarde, Pengarah Urusan, Tabung Kewangan Atarabangsa (IMF), "negara Timur Tengah masih bergelut dengan ketidakpastian." Selain ketidakpastian, pastinya yang membimbangkan, "Musim Bunga Arab boleh bertukar ke Musim Sejuk yang panjang dan kejam," seperti yang dikiaskan oleh  Alon Ben-Meir dalam The Huffington Post. Atau selepas harapan Musim Bunga Arab, menjadi kedinginan Arab.  


Khusus untuk Mesir, Musim Bunga, berubah menjadi cair.  Jika ketika menentang Hosni Mubarak, orang ramai dan tentera berpadu tenaga, kini orang ramai bermusuh dengan tentera.  Mereka menghukum Fil Marsyal.  Banyak perhatian tertumpu pada Mesir, meskipun rejim berjaya ditumbangkan dan pilihan raya  pertama telah pun diadakan.  "Mesir di tepi curam yang dalam,"  menurut  pemerhatian Yasmine El Rashidi dalam The New York Review of Books.   Banyak yang tertanya-tanya jika perpaduan yang wujud untuk melambangkan protes Tahrir adalah kini merupakan impian masa lalu.  Dalam bulan-bulan yang mendatang, parlimen Mesir yang dipilih secara bebas akan berkemungkinan berpecah-pecah sebagaiman landskap politik sebelum ini." Mesir dilihat benar-benar berpecah, seperti yang dicatatkan oleh Rania Abouzeid, pertembungan dua Mesir, iaitu antara Dataran Tahrir dengan Dataran Abbasiya.  "Kebanyakan dunia tahu Tahrir dan orang yang mendudukinya.  Walau bagaimanapun, di Kaherah juga wujud Dataran Abbasiya dan Mesir yang kelihatan mahu kembali kepada beberapa jenis orde, meskipun digalakkan oleh pemerintah semasa negara itu."  Meskipun banyak tulisan tentang pemberontakan Mesir, satu aspek yang sering diabaikan ialah ekonomi politik, yang pernah dibahaskan oleh Stephen Maher dalam Monthly Review bulan lalu:  Transformasi neoliberal yang mempunyai implikasi yang sangat luas terhadap hubungan sosial, termasuk semakin menjadi-jadinya ketidaksamaan, kemiskinan, dan keadaan sosial yang tidak terjamin untuk golongan kelas bawah, di samping sekatan keras terhadap berjuta-juta orang yang mengutuk kesengsaraan yang keji.   


Namun, dari sudut yang positif, dunia Arab  bernasib kerana pemberontakan bermula di Tunisia, yang kehomogenan masyarakat etnik dan taifah dibezakan oleh taraf pendidikan yang tinggi, sentimen awam, dan suara hati politik.  "Revolusi Tunisia," tulis Wadah Khanfar, "menyediakan model yang cantik yang membangkitkan harapan di dunia Arab yang lama tertanam di bawah timbunan penindasan, keadaan terdesak, dan pesimisme."  Bagi beliau, Tunisia membimbing wilayah itu ke arah kemekaran demokrasi.


Musim Bunga Arab, menurut Marc Fisher,  "membuahkan hasil yang berbeza di Bahrain, Mesir, dan Libya." Kesan Musim Bunga Arab, seperti yang ditunjukkan oleh kajian terbaharu yang dijalankan oleh Zogby Research Services dan jzanalytics di Tunisia, Mesir, Lubnan, Jordan, Iraq, Arab Saudi, UAE, dan Iran, adalah berbeza-beza antara negara.  Kajian itu, seperti  yang dimaklumkan oleh James Zogby dalam The Huffington Post, yang jelas, kesan Musim Bunga Arab mengesani seluruh Timur Tengah dan Afrika Utara.  "Memperluaskan pekerjaan" masih merupakan keprihatinan nombor satu di setiap negara Arab, kecuali UAE.  Akan tetapi, kini wujud isu lain yang  menjelma di sebahagian besar landskap politik.  "Menamatkan rasuah dan nepotisme" kini menjadi keprihatinan utama di empat daripada tujuh buah negara Arab.  Dan di kebanyakan negara, isu, seperti "pembaharuan politik," "memajukan demokrasi," dan "melindungi hak peribadi dan awam" menjadi keutamaan keprihatinan  di hampir setiap negara.  


Meskipun fundamental tetap sama, tegas Zogby, orang ramai akan mahukan pekerjaan, kemampuan untuk menyara dan menyediakan keperluan untuk keluarga mereka, menjadi lebih terpelajar dan mempunyai peluang untuk maju, dan menerima penjagaan kesihatan apabila mereka memerlukannya, "maka tanpa keraguan bahawa  Musim Bunga memperkenalkan perbendaharaan kata baru dan keprihatinan baru ke dalam wacana politik Arab.  Bagaimana kerajaan memberikan respons terhadap keprihatina baru ini pada tahun-tahun mendatang akan menjadi penting untuk diperhatikan."


Kini, lebih setahun "pengorbanan" Bouazizi berlalu, yang bagi banyak cerdik pandai, media, dan bahkan tidak membayangkan mencetuskan pemberontakan atau kadangkala disebut  revolusi di dunia Arab, kemudian menyaksikan keberangan rakyat merebak di seluruh dunia.


Seperti yang dicatatkan oleh Michael Moore dalam The Huffington Post tentang dua peristiwa penting di dunia:  "Satu tahun lalu, hari ini (17 Disember), Mohamed Bouazizi, lelaki yang menjaja hasil kebun di Tunisia, membakar dirinya untuk membantah penindasan kerajaannya.  Pengorbanan seorang diri itu mencetuskan revolusi yang menggulingkan diktator Tunisia dan membangkitkan pemberontakan terhadap rejim di seluruh Timur Tengah.  Tiga bulan lalu hari ini, Menduduki Wall Street mula mengambil alih Zuccotti Park di New York.  Gerakan ini menentang ketamakan korporat Amerika dan bank-banknya, dan wang yang kini mengawal seluruh institusi demokratik kita - merebak dengan pantas ke beratus-ratus bandar dan kota di seluruh Amerika.  Majoriti rakyat Amerika kini bersetuju bahawa negara yang 400 orang hartawan memiliki lebih banyak kekayaan jika dibandingkan dengan 160 juta seluruh rakyat Amerika bukannyaa negara yang mereka mahukan Amerika jadi.  Golongan 99 peratus bangkit menentang golongan satu peratus, dan kini tidak akan berundur."



Sesungguhnya, Pemberontakan Arab itu menyebabkan Barat terperanjat dan terpinga-pinga,  yang dikupas  oleh Donald Macintyre dalam The Independent bagaimana berdekad-dekad strategi diplomasi dirungkaikan oleh pemberontakan popular.  "Untuk memahami peristiwa penting tahun 2011, adalah wajar mengingatkan bahawa masa ini tahun lalu tidak seorang pun tahu bahawa dalam beberapa minggu, revolusi melanda seluruh Afrika Utara, termasuk negara yang paling banyak penduduk dan paling penting di dunia Arab," bahas beliau.  "Benar, pemberontakan telah pun bermula di Tunisia.  Akan tetapi, adalah mustahil untuk meramalkan bahawa pada akhir tahun ini kita menyaksikan pelarian yang memalukan seorang penzalim, Zine el-Abidine Ben Ali, kedua, Hosni Mubarak yang dipenjarakan dan dibicarakan, ketiga, Muammar Gaddafo, yang ditangkap dan dibunuh, keempat, Ali Abdullah Saleh di Yaman, yang terpaksa mengumumkan pengundurannya sendiri, dan kelima,  Bashar al-Assad, yang masih mengelak daripada menerima balasan dengan mengorbankan nyawa beribu-ribu rakyatnya secara kejam, tetapi semakin berbahaya menggunakan kuasa." 


Bagi Barat, bahas Macintyre, mereka tidak mencetuskan revolusi ini, dan mereka tidak dapat menghentikannya.  Mereka boleh melupakan kuasa yang baru muncul di dunia Arab.


Tahun 2011, seperti yang dibahaskan oleh Richard N. Haass dengan nada keriangan,    ialah tahun bahaya untuk orang jahat. Meninggalkan arena politik, atau meninggalkan arena sama sekali, ialah Osama bin Laden, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, dan tiga pemimpin Arab, iaitu Ben Ali, Mubarak, dan Gaddafi. Namun, Haass hanya "memperingati" mereka yang    tumpas, tanpa mengambil kira siapa yang menumpaskan mereka, atau dalam kata-kata Zygmunt Bauman dalam Social Europe Journal,  bahawa tahun 2011  ialah tahun orang ramai bergerak yang menimbulkan persoalan pertama, dari mana mereka bergerak; kedua, ke mana mereka bergerak. Bauman yang memetik "masa peralihan" Antonio Gramsci, untuk menunjukkan segala yang berlaku kini tidak memeranjatkan, menegaskan kesan mendalam dan berpanjangan "tahun orang ramai bergerak" akan terbukti menjadi, berkemungkinan besar bahawa tahun mendatang akan tercatat dalam sejarah sebagai tahun terkenal konflik sosial yang diperbaharui dan melakarkan semula garisan depan dan antara muka mereka.  


Haass juga lupa bahawa tahun 2011 ialah tahun  mimpi ngeri kapitalis apabila Musim Bunga menghadapi Musim Sejuk, seperti yang dibahaskan oleh Mike Davis dalam New Left Review.  Dengan kata lain, tahun yang bahaya untuk elit politik dan ekonomi yang saling bersekongkol antara satu sama lain.  Khusus untuk dunia Arab, kegagalan ekonomi neoliberal yang akhirnya membawa padah terhadap rejim yang berkuasa. Pemberontakan bukan  hanya mengenai roti dan pekerjaan, tetapi juga orang ramai wajar mendapat roti.


Apabila seorang demi seorang rejim di dunia Arab tumbang, timbul persoalan, siapakah penzalim yang seterusnya akan tumbang?  Pada tahun revolusi ini, bahas Patrick Cockburn, tatkala pemimpin Syria dan Bahrain tidak mahu melepaskan kuasa, adakah mereka berjaya atau mereka dapat bertahan untuk tempoh 12 bulan lagi. "Musim Bunga Arab ini," tegas Elie Chalala, "ialah revolusi yang terlewat dua abad.  Walau bagaimanapun, tahap perubahan ini dan untuk penyingkiran mengambil masa; seseorang tidak boleh menjangkakan transformasi pantas dalam pemikiran, nilai, tradisi, dan adat, tidak juga rombakan segera kemungkinannya struktur ekonomi."  Calala yang  mengemukakan kupasan mendalam dan menarik, beberapa penulisan tentang Pemberontakan Arab, termasuk  oleh Samir Amin. 


Pada tahun revolusi ini, puncanya lebih mudah dikenal pasti berbanding dengan kesannya.  Sejak "Berakhirnya Sejarah" yang diisytiharkan oleh Francis Fukuyama hingga tahun ini, revolusi kembali ke pusat wacana geopolitik global. Wujud keselarian antara Musim Bunga Arab dengan gerakan Menduduki.  Dalam kedua-dua kes,   tegas Thomas McDermott dalam Social Europe Journal, protes diterajui kebanyakannya (meskipun tidak secara eksklusif) oleh orang muda.  Orang yang Menduduki, sebagaimana pembantah Arab, mewakili generasi yang semakin kecewa dengan sistem yang banyak orang terpinggir.  Sementara kadar pengangguran negara tinggi hingga mencecah antara lapan hingga 10 peratus di Amerika Syarikat, Britain, dan zon euro, kadar pengangguran dalam kalangan belia lebih tinggi secara signifikan.


Dalam membahaskan persoalan tahun revolusi ini, seseorang sepatutnya tidak lupa akan peringatan Robert Fisk dalam The Independent bahawa revolusi selalunya disusuli oleh revolusi balas, seperti yang berlaku di Mesir sekarang.


Selain peranan sosial dalam menggemblengkan kebangkitan massa atau rakyat jelata di dunia Arab dan dalam gerakan Menduduki yang sering dibesar-besarkan, revolusi yang tercetus sekarang dianggap revolusi tanpa pemimpin, iaitu paradigma baru perubahan politik.  Kaedah politik abad ke-20 kelihatan semakin kurang berkesan untuk dunia abad ke-21, seperti cuba dibangkitkan oleh Carne Ross dalam bahagian pertama dan tindakan yang satu dalam    bahagian  kedua.


Sepanjang tahun ini, kita menyaksikan dunia yang bergolak, atau seperti yang diungkapkan oleh William I. Robinson, "pemberontakan global yang membawa kedatangan kacau-bilau bahawa krisis kapitalisme global tidak dapat dikawal lagi.   Ketidaksamaan struktur yang sangat besar dari segi ekonomi politik global tidak lagi dapat dikawal menerusi mekanisme kawalan sosial yang dipersetujui.  "Golongan pemerintah hilang kesahan," isytihar Robinson, "kita menyaksikan keruntuhan hegemoni golongan pemerintah pada skalan global."

Dalam tulisan yang amat menarik ini, Robinson berhujah bahawa "untuk memahami apa yang berlaku dalam dekad kedua abad baru ini, kita perlu melihat gambaran yang besar dalam konteks sejarah dan struktur.  Elit global berharap dan menjangkakan bahawa 'Kemelesetan Besar' yang bermula dengan krisis gadai janji dan keruntuhan sistem kewangan global pada tahun 2008 merupakan kemerosotan berkitar dapat diselesaikan menerusi pelan penyelamat yang ditaja oleh negara dan pakej rangsangan.  Akan tetapi, jelas bahawa ini merupakan krisis struktur."  

Dalam memahami krisis masa kini, beliau mengingat semula tentang globalisasi dan dasar neoliberal yang membuka peluang baru yang cukup banyak untuk pengumpulan transnasional pada tahun 1980-an dan 1990-an.  Model neoliberal, bahas Robinson juga mengakibatkan polarisasi sosial di seluruh dunia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.  Perjuangan sosial dan kelas di seluruh dunia adalah mampu pada abad ke-20 untuk mengenakan langkah kawalan sosial terhadap modal. Kelas popular, pada darjah yang berbeza, mampu memaksa sistem  mengaitkan   apa yang sebut pengeluaran sosisal dengan  pengumpulan modal.  Apa yang berlaku menerusi globalisasi adalah memburukkan logik pengumpulan daripada bahawa pengeluaran semula sosial, mengakibatkan pertumbuhan ketidaksamaan sosial yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan memesatkan krisis kelangsungan untuk berbilion-bilion orang di seluruh dunia.  

Bahas beliau lagi, "kesan yang membawa papa kedana yang dicetuskan oleh globalisasi membangktikan konflik sosial dan krisis politik yang sistem ini kini sedang hadapi yang semakin sukar dikawal."  Bagi Robinson, kita mencecah hak kepada pengembangan meluas kapitalisme, dalam erti kata tidak wujud lagi wilayah baru signifikan yang boleh diintegrasikan ke dalam dunia kapitalisme. Seperti menunggang basikal, sistem kapitalisme perlu pengembangan yang berterusan atau kalau tidak, sistem itu runtuh.  Di manakah sistem ini kini boleh berkembang?


Jelas Robinson lagi, kini semua berubah.  Pemberontakan global yang sedang berlaku mengubah seluruh landskap politik dan istilah wacana. Elit global keliru, bertindak balas, dan tenggelam ke dalam kancah yang mereka bina sendiri.  "Perlu ditegaskan bahawa perjuangan di seluruh dunia ini menunjukkan maksud kuat solidariti dan komunikasi di seluruh benua.  Sebagaimana pemberontakan Mesir  memberikan inspirasi kepada gerakan Menduduki Amerika Syarikat, gerakan Menduduki ini pula memberikan inspirasi untuk pusingan baru perjuangan rakyat di Mesir."  


Namun, Anne Applebaum melihat apa yang berlaku di dunia sekarang yang bermula dengan tindakan membakar diri oleh Mohamed Bouazizi yang memberikan inspirasi kepada Musim Bunga Arab, dari Tunisia ke Mesir dan seterusnya ke seluruh dunia Arab, kemudian tercetusnya protes di seluruh dunia,  secara lebih spesifik.  Bagi beliau, elit yang korup dan zalim kini diburu oleh rakyat jelata sehingga mereka tidak mempunyai tempat untuk bersembunyi. Bahkan selepas protes Arab mula reda, kecuali di Syria, tema rasuah, kedua-duanya besar dan kecil, masih menjadi isu utama dalam setiap gerakan protes. "Saya tidak peduli taktik yang digunakan oleh gerakan Menduduki Wall Street, tetapi saya melihat mengapa pembantah naik marah."  Tambah beliau, "kemarahan tentang rasuah kini memarakkan protes di Moscow; juga di India dan China."  Akhirnya, apabila pemimpin bergelumang dengan rasuah, nescaya rakyat bangkit memberontak


Kejayaan pusingan pertama gerakan yang mengambil pelbagai bentuk di seluruh dunia: Musim Bunga Arab, gerakan Menduduki yang bermula di Amerika Syarikat dan kemudian merebak ke tempat lain di banyak negara, Oxi di Greece dan indignados di Sepanyol, protes pelajar di Chile, dan banyak lagi, dalam pemerhatian Immanuel Wallerstein, belum berakhir.  Gerakan global ini membina gelombang kedua, menuntut keadilan sosial di seluruh dunia.


Sesungguhnya, tahun 2011 padat dengan tindakan, membara dengan gerakan yang dicetuskan oleh rakyat jelata, atau lebih khusus, orang yang dilupakan.  Kini, mereka sedang mengukir sejarah dunia dan membina masa depan yang lebih baik.   Paling tidak itulah harapan mereka setelah sekian lama mereka digertak, disergah,  dibelenggu, dan dizalimi.



No comments:

Post a Comment