Pages

Tuesday, November 1, 2011

Minyak: Orde Dunia Baru

SELASA, 1  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Boleh dikatakan tidak ada seketika pun minyak terpisah daripada kehidupan harian: kenaikan harga minyak, minyak puncak, bencana alam melanda kawasan telaga minyak, cabaran Iran dan Venezuela, persengketaan di Nigeria, konflik Rusia-Georgia.  Kesan kenaikan harga minyak: syarikat petroleum mengaut keuntungan, syarikat penerbangan dan pengangkutan mengalami kerugian, pasaran saham merudum, kenaikan harga barang, kenaikan kadar inflasi, dan peningkatan kadar kemiskinan.  Tentera memerlukan minyak.  Pemimpin populis (atau pseudopopulis) memanipulasikan isu kenaikan harga minyak untuk meraih sokongan massa.  Kelembapan ekonomi, pergolakan politik, dan kekacauan sosial juga berpunca daripada kenaikan harga minyak.


Memetik John Leland yang pernah menulis dalam The New York Times, "bayangkan hidup tanpa minyak, perlu bersedia."  Atau memetik  William D. Nordhaus dalam ulasan buku dalam The New York Review of Books, "tenaga, adakah sebagai sahabat atau musuh?"


Ada yang mengatakan bahawa kenaikan harga minyak adalah kerana kekurangan bekalan minyak, sedangkan permintaan meningkat, dan kebanyakan negara pengeluar minyak mengalami minyak puncak.  Namun, ada yang menafikan minyak puncak sebagai masalahnya, tetapi masalah yang sebenar ialah politik.  Syarikat Minyak Besar mahu mengekalkan harga minyak yang tinggi.

Segala-galanya minyak.  Demikian gambaran yang sering diberikan oleh para penentang pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada tahun 2003, meskipun media yang membuat liputan tentang dasar luar Amerika terhadap Iraq dan Teluk Parsi sentiasa memalsukan idea bahawa minyak mempunyai kaitan dengan Perang Iraq.  "Cara terbaik untuk melihat apa yang berlaku hari ini di Iraq dan tempat-tempat lain," tegas Michael Klare, "adalah melalui prisma geopolitik."  Bagi Klare, geopolitik atau persaingan geopolitik, sebagaimana yang dibangkitkan dalam "The New Geopolitics" yang diterbitkan dalam Pox Americana:  Exposing the American Empire, ialah perbalahan dalam kalangan kuasa besar dan yang berhasrat menjadi kuasa besar untuk mengawal wilayah, sumber, dan kedudukan geografi yang penting. 

Dikatakan bahawa kebangkitan yang ketara dalam faham ketenteraan dan imperialisme pada permualaan abad ke-21 besar kemungkinannya merupakan usaha untuk menguasai kepentingan ekonomi dunia dan mengawal bekalan minyak dunia yang semakin berkurangan.  "Kawalan terhadap pemalam minyak," sindir Klare, "mungkin agaknya imej pelukis kartun, tetapi inilah imej yang mendorong dasar luar Amerika Syarikat sejak berakhirnya Perang Dingin, dan semakin menonjol semasa Pentadbiran Bush-Cheney."

Kelompok neokonservatif yang memegang jawatan penting semasa Pentadbiran Reagan, Pentadbiran George Bush, dan Pentadbiran George W. Bush, seperti Dick Cheney, George Schultz, Donald Rumsfeld, William Kristol, dan Zionis yang berpengaruh, seperti Richard Perle dan Paul Wolfowitz memberikan perhatian terhadap Timur Tengah dan geopolitik tentang minyak. 


Sejak tahun 1956, empat peperangan minyak berlaku:   Perang Minyak Pertama (Perang Suez - 1956), Perang Minyak Kedua (Perang Arab-Israel - 1967), Perang Minyak Ketiga (Perang Teluk - 1991), dan Perang Minyak Keempat  (Perang Iraq - 2003).  Kecuali Perang Minyak Pertama yang melibatkan Inggeris-Perancis dan Israel di satu pihak dengan Mesir di satu pihak yang lain, Perang Minyak yang seterusnya, khususnya Perang Minyak Ketiga dan Keempat melibatkan Amerika.  Apabila Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) melaksanakan embargo minyak pada tahun 1973, Amerika membuat persediaan untuk menceroboh Arab Saudi, Kuwait, dan Abu Dhabi demi memulihkan aliran minyak dan menurunkan harga komoditi itu.


Apabila Presiden Bush si ayah melancarkan serangan terhadap Iraq dalam Perang Teluk, beliau secara angkuh menggunakan istilah "orde dunia baru."   Justeru, minyak bukan sahaja merupakan faktor yang mencorakkan  geopolitik, tetapi juga menentukan  orde dunia baru. 


Baru-baru ini, Daniel Yergin menulis dalam The Washington Post tentang orde dunia baru minyak yang telah berubah wilayahnya, iaitu bukan lagi di Timur Tengah.  Untuk selama lima dekad, peta minyak dunia berpusat di Timur Tengah, dan Amerika Syarikat sentiasa bergantung pada bekalan minyak dari rantau itu. Kebergantungan ini mencorakkan dasar tenaga dan dasar ekonomi Amerika Syarikat, tetapi juga geopolitik antarabangsa, dan sesungguhnya, kekayaan seluruh ekonomi global.


Namun, hari ini, tegas Yergin, peta yang sebelum ini tidak boleh dipadamkan, telah berubah, telaga minyak tidak lagi berpusat di Timur Tengah, tetapi di hemisfera Barat.  Paksi tenaga baru bergerak dari Alberta turun ke Dakota Utara dan Texas Selatan, melampaui penemuan baru di pesisir pantai French Guyana, ke deposit yang sangat besar yang baru ditemui di luar pesisir Brazil. 




"Anjakan ini," tulis beliau, "membawa signifikan yang sangat besar untuk bekalan dan politik minyak dunia, meskipun anjakan itu berlaku secara kebetulan tanpa perancangan, sebaliknya adalah hasil kejayaan teknologi."  Untuk Amerika Syarikat, tembah beliau, "sumber baru ini menambahkan bekalan untuk keselamatan tenaga dengan cara yang tidak dijangkakan. Oleh sebab hanya sebuah pasaran minyak dunia, maka sebagaimana negara lain, Amerika Syarikat terdedah kepada gangguan pasaran, dan semata-mata saiz sumber minyak di Teluk Paris akan menjadikannya kepentingan strategik untuk ekonomi dunia.  Akan tetapi, sumber baru ini hampir dengan Amerika Syarikat yang akan menjadikan bekalan negara itu  tidak mudah terjejas." 


Sama ada dapat diperoleh di Timur Tengah ataupun di Hemisfera Barat, minyak sememangnya penting dari segi mencorakkan geopolitik dan menentukan orde dunia baru.  Dengan penemuan sumber ini di Hemisfera Barat, apakah Timur Tengah tidak penting lagi, khusunya untuk Amerika Syarikat?  Jika demikian, negara manakah yang akan memikul tanggungjawab untuk memastikan kestabilan di rantau itu?   Meskipun inovasi membolehkan peta minyak dunia dilukis semula, dan membikin semula masa depan tenaga, tanggapan bahawa Timur Tengah tidak lagi signifikan dari segi geopolitik dan orde dunia baru, agak berlebih-lebihan.

No comments:

Post a Comment