Pages

Sunday, November 6, 2011

Keterhakisan Kelas Menengah

ISNIN,  7  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila tercetusnya BERSIH pada awal Julai lalu, antara tafsiran lazimnya ialah protes kelas menengah terhadap  rasuah  serta penyelewengan yang berleluasa dan beberapa dasar kerajaan.  Demikian juga dengan keputusan kerajaan untuk "mendarat lembut" selepas "berlepas keras" pada tahun 2003 - "memansuhkan" Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris hanya pada 2021  adalah untuk memenangi hati golongan kelas menengah yang inginkan "dasar bidan terjun" ini diteruskan.  

Berhubung dengan kewujudan  kelas menengah, memang sesuatu yang menarik untuk dibincangkan.  Semasa saya menuntut di universiti, pensyarah untuk kursus sosiologi pernah memberitahu dalam pemikiran Karl Marx, kelas menengah tidak wujud sama; sebaliknya, yang wujud ialah kelas borjuis dan kelas proletariat.  Kalaupun wujud kelas menengah, mereka akhirnya  akan diserapkan ke dalam, sama kelas borjuis ataupun kelas proletariat.  Menurut pensyarah itu lagi, kelas menengah diwujudkan oleh pemilik modal setelah mereka menyedari kesedaran kelas yang dibayangkan oleh Marx.  Justeru, dengan wujudnya kelas menengah, mereka dapat berselindung  di sebalik kelas tersebut: dalam firma lazimnya wujud pemilik modal yang tidak berhubung dengan golongan pekerja secara langsung, pihak pengurusan  yang dikenali sebagai kelas menengah yang berhubung secara langsung dengan pekerja yang merupakan lapisan bawahan.  

Namun, kebelakangan ini disedari bahawa golongan kelas menengah kian terhakis, dan kewujudan gerakan Menduduki Wall Street adalah salah satunya berpunca daripada keterhakisan golongan berkenaan.  Gerakan adalah sebagai tanda protes terhadap Wall Street yang menguasai Amerika dari segi agihan kekayaan.   Sejak sekian lama, bahas David Harvey, Parti Wall Street tidak dicabar, kini kali pertama gerakan eksplisit berhadapan dengan Parti Wall Street dan kuasa wang tidak berbaloinya. 

Di Amerika Syarikat, dari tahun, golongan kelas mengecil, tetapi  Kemelesetan Besar  mempercepatkan pengecilan golongan tersebut.  Sesetengah pihak menganggap keterhakisan fenomena Amerika kelas menengah dipacu oleh golongan kapitalis yang di atas atau khususnya sistem pendidikan yang tidak upaya di bawah. Perkara ini adalah global, bahas Derek Thompson.  "Dalam 14 tahun sebelum Kemelesetan Besar, telah berlaku kemelesetan besar bagi lingkungan pekerja upah pertengahan di Amerika Syarikat, Eropah, dan Jepun.  Ekonomi yang maju menyaksikan 'perpindahan daripada pekerjaan pendapatan pertengahan' kepada pekerjaan dalam industri dengan produktiviti rendah, menurut laporan terbaharu Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tentang pemulihan global."

Hampir seorang dalam tiga orang Amerika yang membesar dalam kelas menengah jatuh dari tangga pendapatan apabila mereka dewasa, menurut laporan terbaharu oleh Pew Charitable Trusts.  Mobiliti ke bawah adalah lazim dalam kalangan kelas menengah yang bercerai atau berpisah daripada pasangan mereka, tidak melanjutkan pelajaran di kolej, memperoleh markah yang rendah pada ujian yang dipiawaikan, atau menggunakan dadah keras.  Menurut laporan itu lagi, "Membesar dalam kelas menengah tidak menjamin status sama dalam perjalanan hidup.

Laporan yang dipetik oleh The Washington Post itu menumpukan kajian terhadap orang ramai yang merupakan remaja kelas menengah pada tahun 197o dan yang berumur antara 39 hingga 44 tahun pada 2004 dan 2006. Kajian itu mentakrifkan orang ramai sebagai kelas menengah jika mereka tergolong antara persentil ke-30 dengan ke-70 dalam agihan pendapatan, yang untuk keluarga sebanyak empat orang antra AS$32,900 dengan AS$64,000 setahun dalam dolar 2010.  Orang ramai yang dianggap bergerak secara ke bawah jika mereka jatuh di bawah persentil ke-30 dalam pendapatan, jika peringkat pendapatan mereka ialah 20 atau lebih persentil di bawah peringkat pendapatan ibu bapa mereka, atau mereka memperoleh sekurang-kurangnya 20 peratus kurang daripada pendapatan ibu mereka.  Dapatan tersebut tidak meliputi masa sukar yang negara terpaksa tanggung sejak tahun 2007.



Paul Harris dalam dalam mengkritik debat dalam kalangan bakal calon presiden daripada Republikan pada Septembar lalu yang tidak membincangkan topik yang lebih luas, mengabaikan sesuatu yang banyak dibincangkan dalam politik Amerika, iaitu isu tunggal yang mendepani Amerika Syarikat - kemusnahan kelas menengah.   Haris yang menulis dalam The Guardian memetik The Wall Street Journal bahawa bagaimana firma gergasi Procter & Gamble menjual barang isi rumah, mendapati kehilangan kelas menengah, sebaliknya menjual lebih banyak barang kepada pengguna kelas atasan ataupun bawahan.

Seterusnya, Harris memetik  cerita dalam The New York Times yang jelas menunjukkan bagaimana nasib orang Amerika yang bekerja menjadi teruk.  Pekerjaan padu yang pernah menyediakan pegangan yang terjamin yang menyasarkan kelas menengah (rumah, kolej untuk anak-anak, persaraan) berubah menjadi sasaran golongan upah rendah.

Dengan merujuk kajian US Census Bureau, Harris cuba menunjukkan bahawa satu dalam enam orang Amerika kini hidup dalam kemiskinan, bilangan tertinggi yang pernah dilaporkan.  Kajian itu juga menunjukkan pendapatan isi rumah median sebenar jatuh 2.3 peratus pada tahun 2010 dari tahun sebelumnya, menggambarkan kemerosotan kelas menengah.  Pada masa yang sama, golongan kaya 20 peratus daripada penduduk Amerika Syarikat kini menguasai 84 peratus kekayaan.

Dalam "Can the Middle Class be Saved?" Don Peck menulis dalam The Atlantic: "Ketidaksamaan pendapatan biasanya mengecut ketika kemelesetan, tetapi ketika Kemelesetan Besar, hal ini tidak berlaku,  Dari tahun 2007 ke 2009, tahun terbaharu data diperoleh, melebar sedikit.  Golongan yang memperoleh pendapatan satu peratus di atas mendapati pendapatan mereka jatuh lebih banyak jika dibandingkan dengan golongan lain. pada tahun 2008.  Akan tetapi, kejatuhan itu secara keseluruhan berpunca daripada keruntuhan pasaran saham, dan dengannya pengurangan 50 peratus dalam laba modal yang direalisasikan.  Tidak termasuk laba modal, golongan tersebut mendapati bahagian pendapatan nasional mereka meningkat, bahkan pada tahun 2008."

Hujah Peck, trend ekonomi paling penting di Amerika Syarikat selama dua generasi lalu lebih menyisihkan rakyat Amerika secara tidak sama kepada pemenang dan yang tewas, dan mengorek perlahan  kelas menengah.  Pendapatan median merosot sama sekali dari 1999 ke 2009.  

Dalam respons terhadap makalah Don Peck itu, James Fallows yang menulis dalam majalah yang sama merasa ragu-ragu kelas menengah dapat diselamatkan.  "Saya secara jujur mengakui tidak melihat apakah kuasa yang akan meredakan tekanan terhadap kelas menengah sepanjang dekad akan datang atau seterusnya."  Bahkan, dikhuatiri dalam tempoh lima tahun, kelas menengah tidak wujud lagi, menjadi golongan miskin.

No comments:

Post a Comment