Pages

Sunday, November 27, 2011

Bersama Masa

AHAD, 27  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Majalah Time dalam  pada 28 November, terpampang gambar Perdana Menteri Turki, "Erdogan's  Way."   Dalam keluaran berganda itu, Richard Stengel, Editor Urusan  menulis, "The New Global Reach of Time" yang menyusur sejarah kewujudan majalah itu. Pengasasnya, Henry Luce yang lahir di China,  sejak mula lagi mahu Time menjelaskan dunia kepada Amerika dan Amerika kepada dunia.  Beliau melihat jenis kewartawanan yang Time tolong wujudkan, iaitu autoritatif, dilaporkan secara mendalam, dan berminda saksama sebagai kuasa positif dan contoh untuk seluruh dunia.

Stengel yang menulis dalam ruangan "Editor's Desk" juga memaklumkan bahawa Time International lahir daripada kemusnahan Perang Dunia .  Ketika perang, edisi format yang lebih kecil Time yang dikenali kuda padi diedarkan kepada angkatan tentera Amerika Syarikat di Eropah dan Asia.  

Kini, majalah tersebut, seperti yang dinyatakan oleh Stengel merupakan institusi global agung, dengan tiga edisi antarabangsa, iaitu Eropah, Timur Tengah, dan Afrika; Asia; dan Pasifik Selatan, dan pengedarannya di seluruh dunia sebanyak 4.2 naskhah.  Sebanyak 35 peratus daripada 22 juta pelawat Time.com sebulan adalah dari luar Amerika Syarikat, dan para pembaca antarabangsa mengakses cerita, blog, galeri foto, suapan Twitter, halaman Facebook dan Tumblrs pada komputer, tablet, telefon pintar, dan bahkan melalui televisyen yang dihubung Internet.  Stengel dengan bangga menegaskan bahawa edisi wilayah majalah ini dicipta dan dihasilkan untuk mencerminkan minat para pembaca tempatan, termasuk keluaran terbaharu ini.  

Bagi para pembaca yang membaca atau melanggani Time, pastinya mereka dapat mengesani pembaharuannya serta kehebatan tulisan atau makalah yang terkandung di dalamnya.  Secara keseluruhannya, rencana utamanya merupakan sesuatu yang mampu membangkitkan minat para pembaca, baik yang tertumpu pada Amerika mahupun antarabangsa. 

Majalah ini, seperti yang diketahui, mengalami zaman surut pada tahun 1990 sehingga dilakukan rombakan secara besar-besaran, tetapi pada peringkat permulaan masih gagal menarik minat para pembaca.  Kejayaan Time sekali membuktikan bahawa Internet dan media sosial bukan suatu ancaman terhadap terbitan bercetak, sebaliknya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.  Apabila yang disajikan kepada para pembaca melalui dalam talian, sesungguhnya menambahkan lagi minat serta keinginan mereka untuk memilik edisi bercetak. 

Beberapa minggu lalu, sambil menikmati makanan serta  minuman di Old Town bersama-sama Abdul Ghafar Abdullah dari Dewan Bahasa dan Pustaka, kami berbincang panjang lebar tentang penerbitan majalah dalam talian  DBP.  Saya memberitahu beliau tentang kandungan majalah dalam talian yang selain daripada bercetak sepatutnya mengandungi tulisan atau bahan asalnya sendiri setiap hari.   Saya meminta beliau melihat, antaranya  Time, Newsweek, The Daily Beast,  The Economist, The Nation, The Atlantic, dan The New Yorker. Saya memberitahu beliau bahawa saya tidak tidak pernah melihat majalah dalam talian DBP, meskipun saya mengetahui akan kewujudan majalah berkenaan.  

Sambil berbual, beliau  melalui telefon bimbitnya mengakses beberapa majalah DBP itu, yang nyata ketinggalan zaman kerana keluaran yang dimuatkan ialah bulan Oktober, sedangkan ketika itu sudah masuk minggu kedua November. Saya mengemukakan cadangan bahawa untuk menjadikan majalah dalam talian hidup, beberapa penulis tetap perlu ada untuk menyumbangkan penulisan setiap hari.  Selain itu, editornya pula mesti dinamik, kreatif, dan inovatif untuk mencari bahan untuk dimasukkan atau disambungkan dengan majalah talian itu.




No comments:

Post a Comment