Pages

Saturday, November 5, 2011

Bahasa Inggeris Bahasa Kedua di Bumi Sendiri

SABTU, 5 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala pejuang dan pencinta bahasa Melayu berasa kecewa dan marah terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memperlihatkan ketidakketegasan dalam memansuhkan  Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dan tatkala penyokong PPSMI melompat keriangan, seperti yang dapat dilihat pada tajuk depan The Star hari ini, "English All the Way" - kemenangan bahasa Inggeris, wajar juga dinyatakan bahawa bahasa itu juga bertaraf bahasa kedua di negara asalnya.    Bahkan,  pernah dibahaskan dalam editorial The Observer  beberapa bulan lalu,  "untuk bertutur dalam bahasa Inggeris sahaja, bermakna mengecilkan ufuk minda anda." 

Selain menggalakkan kanak-kanak menguasai bahasa  asing pada usia lima tahun, seperti yang disyorkan oleh Setiausaha Pendidikan, Michael Gove, data terbaharu mendedahkan bahawa satu dalam enam orang  murid sekolah rendah dan satu dalam lapan murid sekolah menengah bertutur dalam bahasa lain di rumah. Kadar kanak-kanak yang memulakan persekolahan dengan pemahaman bahasa Inggeris yang lemah secara relatif, kini berlipat ganda jika dibandingkan dengan sedekad lalu.  Di sebahagian tempat di London, sebanyak tiga perempat murid  bertutur dalam bahasa lain.  

Maksudnya di negara asalnya, bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua untuk sesetengah pelajar.  Angka yang dikutip daripada sekolah pada Januari setiap tahun menunjukkan kira-kira 16.8 peratus murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa lain di rumah pada 2010/11 berbanding dengan16 peratus pada tahun lalu.  Bilangan ini meningkat hampir satu perempat dalam masa hanya empat tahun.  Di sekolah menengah, 12.3 peratus murid bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, meningkat 11.6 peratus pada tahun lalu.

Dari segi jumlah, kira-kira 957,500 murid berusia lima tahun hingga 16 tahun bertutur dalam bahasa lain di sekolah rendah, sekolah menengah, dan sekolah khas, berbanding dengan 905,600 orang pada 2009/10.  Bilangan mereka adalah tinggi di beberapa tempat di ibu negara England, dengan 78 peratus murid sekolah rendah bertutur dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Tower Hamlets, London timur, berbanding dengan 74 peratus di Newham dan 71 peratus di Wesminster.  Kadarnya mencecah kira-kira separuh di Slough, Luton, dan Leicester dan sekurang-kurangnya empat dalam 10 di Birmingham dan Blackburn. 

Tiga hari lalu, iaitu tatkala Mahyuddin Yassin bersiap sedia untuk mengenakan "paku terakhir" pada PPSMI, kemudian beliau berubah fikiran,  Christopher Howse  dengan nada yang agak hiba, seperti nada pejuang dan pencinta bahasa Melayu di negara ini:  "Jika orang Inggeris tidak bertutur bahasa Inggeris, siapa lagi?"  Dalam tulisannya yang diterbitkan dalam The Telegraph, Howse menolak pandangan Dr. Mario Saraceni, dari University of Portsmouth, bahawa England tidak memilik bahasa Inggeris.

Sebenarnya, banyak lagi tulisan atau laporan bahawa bahasa Inggeris goyah di bumi sendiri, apatah lagi dalam Kesatuan Eropah dan di dunia.  Meskipun hal seperti ini didedahkan oleh beberapa akhbar di England dan merupakan sesuatu yang menarik untuk direnungi, malangnya tidak pernah sampai ke negara kita.  Apa-apa sahaja tentang kelemahan bahasa Inggeris, sebarapa boleh diperapkan, bimbang kalau-kalau mendedah pekung di dada.  

Demikian dengan perbalahan bahasa di Belgium - kegagalan dwibahasa,  yang melibatkan penutur bahasa Perancis dengan penutur bahasa Belanda, yang menyebabkan negara itu berhadapan dengan krisis perlembagaan, tidak pernah mendapat liputan di negara kita.  

No comments:

Post a Comment