Pages

Sunday, October 2, 2011

Menduduki Wall Street

AHAD,  2 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sejak beberapa bulan lalu, pasaran saham dunia tidak menentu, stabil dari segi kejatuhan.  Saham Eropah menurut The Independent mengalami kejatuhan suku tahun sangat besar sejak keruntuhan Lehman Brothers, dicetuskan oleh ketakutan terhadap krisis hutang zon euro dan pertumbuhan global yang perlahan.  Di bursa saham London, FTSE 100, mengalami  kejatuhan suku tahun terburuk sejak tahun 2002.  Indeks cip biru kerugian 212 bilion paun atau  13.7 peratus dari segi nilai sepanjang tiga bulan lalu kerana para peniaga dan pelabur semakin bimbang akan krisis hutang zon euro.  Pada hari Jumaat lalu, indeks jatuh 1.3 peratus atau kira-kira 18 bilion paun, ditutup pada 5128.5 mata.  

Sementara di Wall Street, anchorwoman  Televisyen Bloomberg,  iaitu   Margaret Brennan yang sentiasa muncul dengan bergaya dan bertenaga seolah-olahnya ditenggelami kejatuhan indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow)  sebaik-baik sahaja  loceng pembukaan dibunyikan. Dua hari lalu, hari terakhir urus niaga September,  mengikuti rentak kejatuhan pasaran Eropah terutamanya, Dow jatuh 240.66 mata, kepada 10,913.38 mata.

Tatkala Wall Street terus-menerus muram,   protes atau tunjuk perasaan     berlaku di sana yang semakin hari semakin besar.  Semalam, seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post dan The Washington Post,  beratus-ratus orang ditahan polis berikutan demonstrasi yang berlangsung sejak dua minggu lalu, yang dikenali pada Twitter, #OccupyWallStreet.   Protes yang berterusan di Manhattan, merebak di tempat-tempat lain.  Dalam perarakan protes  itu,  dilaporkan Jambatan Brooklyn ditutup.

Menduduki Wall Street merupakan protes terutamanya terhadap pengaruh wang korporat dalam politik, tetapi rasa tidak puas hati peserta juga termasuk kekecewaan terhadap ketamakan korporat, marah akan kewangan dan ketidaksamaan sosial, dan beberapa isu yang lain. Kesatuan sekerja pengangkutan tempatan juga menyokong protes itu. Jika kesatuan sekerja menyokong protes dalam cara besar-besaran, dikatakan bahawa bermakna beribu-ribu orang lagi berarak di Lower Manhattan. 

Memeranjatkan, seperti yang diperhatikan oleh Eric Augenbraun, meskipun hampir dua minggu, Menduduki Wall Street masih kuat. Beliau juga memetik komen penunjuk perasaan dan media bahawa wujud keselarian antara  Menduduki Wall Street dengan pemberontakan di Dataran Tahrir di Mesir yang bermula pada awal tahun ini.

Nathan Schneider cuba menjelaskan Menduduki  Wall Street dalam bentuk FAQ.  Sementara Barbara Ehrenreich,  yang menulis dalam The Washington Post, bahawa Menduduki Wall Street, sebagai tindakan populis terhadap golongan kaya.



Apa-apa jua yang seseorang katakan tentang Menduduki Wall Street, bahas Alexander Eichler, sukar untuk dikatakan sebagai gerakan isu  tunggal.  Orang ramai yang membanjiri dan berada di sekitar Zuccotti Park, mempunyai alasan yang berbeza untuk ke sana, seperti yang anda boleh namakan.  "Sesetengahnya berkata mereka datang untuk melahirkan rasa kecewa mereka terhadap alam sekitar.  Sesetengahnya ke sana untuk mengadakan protes terhadap pendudukan tentera di beberapa buah negara lain.  Sekurang-kurangnya sedikit yang hadir selepas pelaksanaan hukum gantung pada 21 September terhadap Troy Davis. 

Namun, tegas beliau, keprihatinan ekonomi lebih penting bagi banyak peserta.  Beberapa pelekat bertulis tangan meluahkan kemarahan bahawa bank dan banker tidak dijatuhi hukum yang lebih berat dalam olak buri krisis kewangan.  Dan, penunjuk perasaan sering bercakap tentang jurang kekayaan negara, iaitu perbezaan yang besar dari segi pendapatan yang memisahkan satu peratus orang Amerika yang terkaya daripada golongan lain.

Justin Elliott yang bersama-sama berarak pada Sabtu semalam, menulis dalam salon.com memetik teriakan berulang-ulang:  "Kami dijual, bank diselamatkan!"  Protes yang berlaku sejak 17 September, adalah yang terbesar semalam dan mula merebak ke kota-kota lain, seperti Boston.  Elliott juga melaporkan bahawa sebelum perarakan bermula, seorang penganjur protes memberitahu beliau, "Jika polis menahan 100 orang penunjuk perasaan, sesungguhnya ini adalah yang terbaik yang mereka boleh lakukan untuk kita," - mengharapkan menarik minat media dan orang awam.

Penulisan yang agak keras datangya daripada Van Jones yang mendesak orang ramai menentukan pendirian mereka terhadap protes itu: sokong. Beliau mengingatkan bahawa Wall Street sejak sekian lama menjadi kubu ancaman terbesar terhadap demokrasi Amerika.  Kini, menjadi kubu kepada apa yang mungkin harapan terbaik kita untuk menyelamatkannya.

"Untuk setiap orang yang mencintai negara ini, untuk setiap orang yang kecewa dengan keterpinggiran golongan miskin, untuk setiap orang yang rasa marah-marah meluap-luap terhadap perobohan yang sewenang-wenangnya terhadap kelas pekerja dan kelas menengah Amerika, " tulis Jones, "masa sudah tiba supaya tidak berdiri di atas pagar lagi." 

Dengan membangkitkan tunjuk perasaan di Dataran Tahrir dan yang terbaharu,  rusuhan serta penjarahan di kota-kota Inggeris, David S. Meyer mengakui  kemarahan orang Amerika, tetapi mengapa mereka tidak melakukan protes. Beliau menyenaraikan banyaknya kemarahan mereka sekarang:  marah tentang pengangguran kekal lebih sembilan peratus, tentang pemotongan perkhidmatan di negeri-negeri, tentang bayaran tuisyen yang meningkat di universiti, tentang ketidaksamaan ekonomi dan politik yang kelihatan semakin meningkat, dan pada kerajaan yang kelihatan tidak mampu melaku apa-apa terhadap mana-mana yang dinyatakan itu.  

"Di manakah orang untuk meluahkan kemarahan itu di jalanan?" tanya Meyer yang kini sudah terjawab.  Beliau  menjelaskan bahawa faktor yang mendorong ramai turun ke jalanan untuk mengadakan demonstrasi bujkan rasa tidak gembira tentang dasar, seperti imigresen dan hutang negara. Bagi beliau, gerakan sosial merupakan hasil organisasi terfokus.  Aktivis menghabiskan masa bertahun-tahun membina infrastruktur dan memupuk idea yang menjadikan gerakan pemulauan suatu kemungkinan.  "Tanpa sokongan organisasi seperti itu," tegas beliau, "tindakan individu mungkin dramatik dan sungguh berani, tetapi politik gerakan berkesan merupakan ujian ketahanan.  Organisasi memberi usaha individu makna dan kuasa yang kekal."  Beliau memerhatikan bahawa hari ini, kebanyakan protes di Amerika datangnya daripada sebelah kanan spektrum politik, dikumpulkan secara longgar di bawah tanggungjawab Tea Party.

Tatkala Libya di ambang kejatuhan Gaddafi, pada akhir Ogos lalu, Martin Woollacott mencatatkan bagaimana kota dan kerajaan jatuh, dari Berlin pada 1945 ke Baghdad tahun 2003.  Apakah kini, Wall Street dalam senarai akibat perang kelas yang mula kelihatan sengit?

No comments:

Post a Comment