Pages

Thursday, October 6, 2011

Liberalisasi Jalan Transformasi Ekonomi?

KHAMIS,  6 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Semasa  sidang kemuncak G-20,  Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, mengisytiharkan bahawa Konsensus Washington lama telah berakhir yang menandakan bahawa muncul idea untuk membawa perubahan kepada ekonomi antarabangsa.  Dalam sidang kemuncak  yang berlangsung di London  dari  akhir Mac ke  awal April itu, perjanjian yang berusia satu dekad tentang manfaat pasaran kewangan yang dikawal selia secara ringan dan perdagangan antarabangsa yang tidak dikawal telah menerima pelbagai kritikan.  Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, walaupun tidak sekeras Gordon Brown, turut mengkiritik konsep berkenaan sebagai a cookie-cutter model, iaitu para pemimpin negara berpuas hati terhadap risiko.  Dari satu segi yang lain,   respons yang tidak terselaras merupakan satu simptom klasik krisis global. Misalnya,  sejak sidang kemuncak G-20 pada November tahun 2008 yang menjanjikan penentangan terhadap fahaman perlindungan, tetapi menurut Bank Dunia, 17 daripada 20 buah negara anggota menerbitkan  47 dasar yang menyekat perdagangan.
Idea fundamentalis pasaran ini, bermula awal tahun 1980-an, didukung oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, dan Perbendaharaan Amerika dirujuk sebagai neoliberalisme atau kerana pemain utama yang merancangnya adalah semuanya di Washington, maka disebut Konsensus Washington.  Idea ini melibatkan peminimuman peranan kerajaan menerusi penswastaan perusahaan milik kerajaan dan menghapuskan kawal selia dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi.   Jimat cermat fiskal (fiscal austerity), penswastaan, dan liberalisasi pasaran merupakan tiga tonggak nasihat Konsensus Washington sepanjang tahun 1980-an dan 1990-an.  Liberalisasi adalah merangkumi penyingkiran campur tangan kerajaan dalam pasaran kewangan, pasaran modal, dan sekatan terhadap perdagangan. IMF dalam membahaskan liberalisasi pasaran modal, bergantung pada alasan yang mudah, iaitu pasaran bebas adalah lebih cekap, kecekapan yang lebih tinggi membolehkan pertumbuhan yang lebih pesat.  Tanpa liberalisasi, sesebuah negara tidak dapat menarik modal asing, terutamanya pelaburan langsung. 
Walau bagaimanapun,  pelaburan asing tidak termasuk tiga tonggak  Washington Konsensus.  Bagi Washington  Konsensus, pertumbuhan berlaku menerusi liberalisasi, iaitu membebaskan pasaran.  Penswastaan, liberalisasi, dan kestabilan makro (macrostability) sepatutnya mewujudkan iklim untuk menarik pelaburan, termasuk pelaburan dari luar negara.  Dasar liberalisasi pasaran modal yang digesa oleh IMF,  dan Perbendaharaan Amerika terus gesa menyebabkan berlakunya ketidakstabilan di negara membangun, malah IMF sendiri akhirnya  mengakuinya.
 “Sebagaimana buruknya liberalisasi perdagangan yang terlalu awal dan diuruskan secara teruk untuk negara membangun,” tulis Joseph Stiglitz dalam  Globalization and Its Discontents, “dalam banyak cara, liberalisasi pasaran modal lagi teruk.”  Tambah Stiglitz lagi, “Liberalisasi yang dicadangkan oleh IMF tidak melibatkan pertumbuhan yang lebih pesat atau pelaburan yang lebih tinggi. China yang menerima amaun yang sangat besar dalam pelaburan asing tidak mengikuti mana-mana preskripsi Barat (selain kestabilan makro), dan negara ini  membuktikan bahawa liberalisasi pasaran modal tidak diperlukan untuk menarik dana.”
  Sejak berlakunya krisis kewangan global dan kemelesetan, penolakan terhadap fundamentalisme pasaran: Konsensus Washington, neoliberalisme, Reaganisme, dan Thatcherisme semakin jelas.  Niall Ferguson, profesor sejarah dari Harvard University,   memberitahu khalayak di Guardian Hay Festival baru-baru ini,   beliau tidak pernah mempercayai bahawa pasaran adalah melakukan pembetulan dengan sendirinya.  “Tiada ahli sejarah yang percaya. Sejarah merupakan panduan yang lebih baik berbanding dengan Ekonomi 101 atau teori ekonomi.”     Sementara Pope Benedict XVI mengeluarkan kritik paus yang luar biasa (rare papal) tentang krisis ekonomi global dengan menyeru supaya  “pihak berkuasa politik dunia sebenar” bertindak dengan menggunakan pengawasan yang lebih ketat terhadap pasaran kewangan.  Di  Amerika,   Paul Krugman melalui kolumnya dalam akhbar The New York Times,  menulis  “golongan sebelah penawaran (supply-sider)  tidak lagi menguasai Rumah Putih dan jawatankuasa Kongres yang penting.”
Apabila Pentadbiran  Obama bercadang untuk membawa pembaharuan kawal selia kewangan,  editorial The New York Times mentafsirkannya   “dalam perjalanan ke arah kawal selia.”    Barack Obama yang menggunakan mekanisme kerajaan untuk menyusun semula segmen besar ekonomi menerima kritikan yang semakin lantang dan para pengkiritik menyamakannya “jenis sosialisme pintu belakang.”  Walau bagaimanapun, Lawrence Summers, Pengarah Majlis Ekonomi Negara – ketua ahli ekonomi Presiden Obama, mempertahankan dasar ekonomi Rumah Putih dan menegaskan campur tangan Obama “akan pergi bersama-sama dengan bijian (grain) sistem pasaran, dan bukan menentangnya.” 
Tatkala para pemimpin dunia  masih tercari-cari dasar ekonomi terbaik untuk negara masing-masing dan hilang keyakinan terhadap ekonomi ortodoks, iaitu pasaran bebas, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak dikatakan mengambil langkah berani dengan melaksanakan liberalisasi ekonomi.  Bermula dengan liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan,  dan yang terbaru, pada 30 Jun beliau mengumumkan liberalisasi ekonomi.  Antaranya syarikat yang ingin disenaraikan di Bursa Malaysia akan hanya diperlukan memperuntukkan 12.5 peratus tebaran kepentingan pemilikan awam kepada bumiputera berbanding dengan 30 peratus sebelum ini.  Kelulusan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) bagi transaksi hartanah akan hanya diperlukan apabila membabitkan kecairan kepentingan bumiputera dan kerajaan bagi hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas. Semua transaksi hartanah lain, termasuk antara rakyat asing dan bukan bumiputera, tidak lagi memerlukan kelulusan FIC.
Jika detik-detik awal sebagai Perdana Menteri, imej Najib dicomotkan oleh  media di  Amerika, United Kingdom, dan Australia, angkara   puak tertentu, tetapi ekoran  pelaksanaan liberalisasi ekonomi itu, beliau tiba-tiba menjadi kesayangan media asing.   Langkah itu bukan sahaja mendapat sambutan dari dalam negara, bahkan dari  luar negara, seperti Perancis, Amerika, Jepun, dan Australia.  Dalam Yahoo yang agak mustahil untuk bersua dengan berita  tentang Malaysia,  pada 4 Julai  kelihatan berita Associated Press:  “Malaysia's Leader Makes Bold Gambit by Rolling Back Long-preserved Affirmative Action Policies” oleh Eileen Ng.  
Namun begitu, perubahan positif media ini   tidak boleh dijadikan ukuran kejayaan, dan terlalu awal untuk dilihat  sebagai kebanggaan.  Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun sentiasa tidak popular di mata  media asing, tetapi banyak dasar ekonomi beliau yang berjaya. 
Respons bekas Perdana Menteri, Tun Dr.   Mahathir  yang menyifatkan “pelaksanaan liberalisasi ekonomi sebagai mengambil hak golongan bumiputera” adalah terlalu keras dan memeranjatkan. Juga tersirat  kekecewaan beliau terhadap “keruntuhan” satu dasar yang dilaksanakan sejak  tahun 1971.  Hujah beliau pencapaian Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang meletakkan syarat kuota 30 peratus bagi bumiputera tidaklah begitu buruk. Beliau mengingatkan: “Ada orang yang gembira dengan dasar liberalisasi itu, tetapi ada juga pihak berasa tidak gembira” dan “selama 38 tahun DEB dilaksanakan, pertumbuhan negara adalah antara yang terbaik antara negara membangun.”  Mungkin ramai yang lupa bahawa   hampir satu  dekad hingga tercetusnya krisis kewangan Asia 1997-1998, Malaysia mencatatkan pertumbuhan lapan peratus setahun – satu pencapaian yang menakjubkan.
Kelakuan atau tindak-tanduk golongan yang mendukung dan mengalu-alukan langkah liberalisasi ekonomi itu boleh dikaitkan dengan istilah Alan Greenspan: “keadaan riang dan penuh semangat tidak rasional.”   Dalam keriangan itu mereka mengemukakan hujah yang boleh diperdebatkan, iaitu liberalisasi ekonomi akan menarik  pelaburan asing dan meningkatkan daya saing negara.  Dalam merenung masa depan yang lebih cerah, maka ada baiknya kita menoleh masa lalu dan melihat masa kini tentang kejayaan  Malaysia dari segi menarik pelaburan asing dan pencapaian daya saing.  
Dikatakan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) memainkan peranan penting di banyak negara yang mencapai   pembangunan yang berjaya, seperti Malaysia dan Singapura, bahkan China.  Dalam kalangan ahli politik  pembangkang,  aliran masuk FDI yang kurang merupakan  modal politik   mereka.   Mereka  juga   memutarbelitkan    peningkatan  aliran     keluar  FDI           kononnya    para pelabur asing menarik keluar modal mereka dari Malaysia, sedangkan hakikat sebenar,  syarikat dari negara ini melabur di luar negara. 
            Menurut World Investment Report 2008 yang diterbitkan oleh Persidangan tentang Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD),   aliran pelaburan ke Asia Tenggara atau Asean meningkat sebanyak 18 peratus pada tahun 2007, iaitu kepada AS$61 bilion menandakan satu tahun lagi pertumbuhan yang pesat di rantau ini.  Hampir semua negara Asean menerima aliran masuk yang tinggi.  Singapura, Thailand,  Malaysia, Indonesia, dan Vietnam merupakan penerima FDI yang sangat besar, kesemuanya berjumlah 90 peratus aliran pelaburan ke subrantau ini.
Bagi Malaysia yang  tergolong dalam 10 penerima teratas aliran masuk FDI antara tahun 2006 – 2007 di  Asia Selatan, Asia Timur, dan Asia Tenggara,  jumlah pelaburan  meningkat daripada AS$6 bilion kepada lebih AS$8 bilion pada tahun 2007. Walau bagaimanapun, aliran keluar pelaburan Malaysia pada tahun 2007 lebih tinggi daripada aliran masuk, dengan negara ini  tergolong dalam kumpulan kedua tertinggi bersama-sama China, Korea Selatan, Taiwan, dan Singapura. 
Dalam kes empat  anggota baru  Asean,  nyata bahawa  ideologi politik dan sistem pentadbiran bukan merupakan faktor penting dalam menentukan kemasukan pelaburan asing.  Pada tahun 2007, meskipun pertumbuhan FDI sangat berbeza antara negara, tetapi negara  berkenaan, iaitu Myanmar, Vietnam, Kemboja, dan Laos mencatatkan pertumbuhan FDI yang kukuh, iaitu melebihi 70 peratus untuk setiap negara. “Pertumbuhan ekonomi serantau yang menggalakkan, persekitaran pelaburan yang bertambah baik, pelaburan intraserantau yang tinggi, dan integrasi serantau yang diperkukuh merupakan faktor penyumbang utama,” ulas laporan UNCTAD itu. Bagi Vietnam,  beberapa faktor yang menjadikan negara  itu tarikan pelaburan:  “Peningkatan aliran masuk pelaburan ke Vietnam adalah hasil daripada penerimaan  negara itu sebagai anggota Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) pada tahun 2007, di samping dasar liberalisasi yang luas, dan usaha promosi FDI,  terutamanya dari segi infrastruktur FDI.” 
Dari segi rantau dan kumpulan negara yang diutamakan untuk FDI, World Investment Report 2008 memaklumkan bahawa Asia Timur, Asia Selatan, dan Asia Tenggara masih merupakan rantau yang diutamakan, disusuli oleh Kesatuan Eropah- 15, Amerika Utara, dan Kesatuan Eropah-12 (negara yang menyertai Kesatuan Eropah pada tahun 2004 dan 2007). Dari segi lokasi pelaburan, BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China)   mendapat keutamaan, dengan menguasai kedudukan lima teratas. Seperti yang ditunjukkan oleh kajian UNCTAD, “China merupakan lokasi pelaburan yang paling diutamakan, diikuti oleh India, Rusia, dan Brazil.”  Amerika kekal di tempat ketiga, manakala Vietnam kekal di tempat keenam kerana adanya buruh mahir dan murah, dan merupakan ekonomi yang mengalami pertumbuhan pesat kedua di dunia hanya selepas China.  Untuk tempoh 2008 – 2010, dari rantau Asia Tenggara, Indonesia turut tersenarai, manakala negara yang selama ini merupakan syurga pelaburan, iaitu Singapura, Malaysia, dan Thailand,  tidak tersenarai dalam kalangan  12 buah negara itu.
Bank Dunia pada Jun lalu menganggarkan aliran pelaburan dan kewangan lain ke negara membangun  menjunam  sebanyak 39 peratus pada tahun 2008, iaitu kepada AS$707 bilion daripada yang tertinggi, iaitu AS$1.2 trilion pada tahun 2007.  FDI  dalam negara membangun diunjurkan merosot sebanyak 30 peratus tahun ini, iaitu kepada AS$385 bilion.   “Pelarian para pelabur ini,” menurut Bank Dunia, “berpunca daripada bahaya yang mereka tanggapi telah menyumbang kepada kejatuhan yang ketara dalam aliran modal ke negara membangun, dan trend ini kemungkinan besar berlanjutan hingga tahun 2009.”   Oleh itu, dalam konteks Malaysia, dalam jangka pendek,  kemungkinan  berlakunya keajaiban aliran masuk FDI agak tipis, meskipun kerajaan melaksanakan liberalisasi ekonomi. 
Dari segi daya saing negara, berdasarkan The Global Competitiveness Report 2008-2009, Malaysia menduduki tangga ke-21 selepas Belgium dan Iceland – suatu pencapaian yang boleh dibanggakan.  Sementara Amerika Syarikat menduduki tempat pertama, Switzerland tempat kedua, diikuti oleh Denmark, Sweden, dan Singapura.  Ekonomi Eropah menguasai tempat 10 teratas, dengan Finland, Jerman, dan Belanda turut turut tersenarai, manakala Kanada menduduki tempat ke-10.  Di samping  Singapura, negara lain dari Asia-Pasifik yang mendahului  Malaysia ialah Jepun (kesembilan), Hong Kong (ke-11), Korea Selatan (ke-13), Taiwan (ke-17), dan Australia (ke-18).  Maksudnya, dalam kalangan negara  Asia-Pasifik, Malaysia menduduki tempat ketujuh.
Berdasarkan pendapatan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK dalam dolar Amerika), laporan itu   menyenaraikan lima tahap pembangunan – tahap satu, peralihan dari tahap satu ke tahap tahap, tahap dua, peralihan dari tahap dua ke tahap tiga, dan tahap tiga, dengan Malaysia tahap dua.  Sementara Australia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, dan Singapura merupakan negara dari rantau Asia-Pasifik yang berada dalam tahap tiga bersama-sama beberapa buah negara lain, antaranya Amerika Syarikat, Belanda, Denmark, Italy, Jerman, Perancis, dan United Kingdom.
            The Global Competitiveness Report 2008-2009   menyenaraikan  12  tonggak daya saing ekonomi:  persekitaran  institusi, infrastruktur, kestabilan makroekonomi, kesihatan dan pendidikan rendah, pengajian tinggi dan latihan, kecekapan pasaran barang, kecanggihan pasaran kewangan, kesediaan teknologi, saiz pasaran, kecanggihan perniagaan, dan inovasi. 
Malaysia, menurut laporan itu juga menikmati manfaat daripada kecemerlangan fungsi pasaran barang, pasaran buruh, dan terutamanya pasaran kewangan.  Pasaran buruh dinilai dengan baik kerana kecekapannya (ke-19), dengan hubungan erat antara produktiviti dengan upah (keenam), di samping kerjasama baik dala hubungan buruh-majikan (ke-13).  Pasaran barang dinilai sebagai cekap (ke-23)  dengan persaingan yang kuat dan pencukaian yang mesra perniagaan.  Pasaran kewangan yang terus mencapai prestasi yang baik, menduduki tempat ke-16 di peringkat antarabangsa kerana kecanggihan, sektor perbankan yang teguh, dan mudahnya memperoleh pelbagai bentuk pembiayaan untuk pembangunan perniagaan.  Kekuatan lain bagi Malaysia adalah termasuk kualiti infrakstrukur pengangkutan dan kekuatan dari segi kecanggihan perniagaan dan potensi inovatif.  
Walau bagaimanapun,   The Global Competitiveness Report 2008-2009 mencadangkan supaya Malaysia menumpukan usaha terhadap bidang pendidikan kerana  kadar pencapaian pendidikan menengah masih rendah; dan juga menangani kesihatan tenaga kerja yang secara relatifnya lemah.  Disiplin fiskal yang lebih kuat, menurut laporan itu dapat memastikan kestabilan makroekonomi yang mapan pada masa depan, dengan defisit kerajaaan berulang-ulang (menduduki tempat ke-109) hingga hutang kerajaan bertimbun sejak  bertahun-tahun.
Sesuatu yang menarik yang wajar diperhatikan  ialah daya saing empat pasaran terbesar yang sedang muncul,  yang disebut BRIC – Brazil, Rusia, India, dan China yang kini menyaingi ekonomi maju,  G-8 (Rusia juga tergolong dalam kumpulan ini). Sejak awal tahun 2000-an, jelas bahawa China dan India muncul sebagai pemain utama dalam ekonomi global, dan China kini dalam proses mengambil alih tempat Amerika Syarikat untuk muncul sebagai ekonomi terbesar dunia. Tatkala negara maju dan negara  mencapai daya saing yang tinggi, seperti Amerika Syarikat, beberapa negara Eropah, Jepun, Singapura, dan Australia mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk, China dan India masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang tinggi. Pada tahun ini,   China, seperti unjuran Bank Dunia akan mencatatkan pertumbuhan   7.2 peratus, manakala   India  5.1 peratus.
Pada pertengahan Julai,  Bloomberg.com melaporkan bahawa kadar rizab pertukaran asing China pada suku  kedua 2009 meningkat  kepada AS$2.132 trilion yang menandakan bahawa para pelabur luar menjadi lebih yakin bahawa ekonomi negara itu dalam pemulihan.  Daripada semua ekonomi utama, China dikatakan mempunyai prospek yang lebih cerah, maka tidak terperanjat bahawa “wang panas” masuk semula. 
  Secara relatifnya, daya saing BRIC ini masih rendah.  Kecuali China yang menduduki tempat ke-30 dalam senarai daya saing,  Brazil, Rusia, dan India adalah  50 ke bawah (Jadual 3).  Selain itu, walaupun dunia kini menyaksikan kebangkitan ekonomi  China dan India, tetapi tahap pembangunan kedua-dua negara ini masih rendah – China peralihan dari tahap satu ke tahap dua, manakala India masih pada tahap satu.
Beberapa rumusan boleh dikemukakan di sini, iaitu pertama, jika berlaku malapetaka ekonomi, seperti  sekarang – krisis kewangan global dan kemelesetan dunia, tidak ada  jaminan bahawa negara yang mencapai daya saing yang tinggi, seperti yang disenaraikan dalam The Global Competitiveness Report 2008-2009 terselamat.  Kedua,   penguasaan ekonomi  seperti yang dicapai   oleh China India tidak mempunyai korelasi yang kukuh  dengan daya saing. Ketiga, berdasarkan kelemahan Malaysia yang dinyatakan itu  dan penguasaan  ekonomi BRIC,  jelas bahawa liberalisasi ekonomi bukannya faktor utama yang menentukan daya saing sesebuah negara. 



Semasa membentangkan  pakej rangsangan ekonomi kedua pada Mac lalu, Dato’ Seri Mohd. Najib dengan penuh yakin berkata bahawa “kita tidak boleh bergantung pada dasar pemulihan ekonomi ortodoks.” Selepas itu, dalam makalahnya “The Malaysia Model” yang diterbitkan oleh The Wall Street Journal Asia   Najib menyatakan  bahawa dalam jangka panjang, transformasi  ekonomi Malaysia yang seterusnya  adalah diperlukan.  Tulis beliau: “Kami akan menggunakan kemerosotan semasa untuk mencipta model ekonomi baru yang mengutamakan pengetahuan.  Kami akan melabur dalam bidang pendidikan dan teknologi, memperkukuhkan lagi keupayaan Malaysia untuk menerajui  bidang teknologi maklumat, tenaga yang boleh diperbaharui, dan sektor yang sedang muncul dalam ekonomi baru.”
Dengan penolakan terhadap ekonomi ortodoks itu, pastinya ramai yang tertanya-tanya apakah model ekonomi Malaysia yang akan diperkenalkan.  Pertanyaan ini akhirnya terjawab apabila  dalam usaha untuk melaksanakan transformasi ekonomi, Najib  masih memilih jalan  lama, iaitu ekonomi ortodoks - liberalisasi,  satu dasar yang ditolak oleh Malaysia ketika krisis kewangan dahulu, ditakuti oleh banyak negara membangun, dan kini dicuragai  oleh  beberapa buah negara maju. 
Walau apa-apa pun jalan yang dipilih, seperti yang dicatatkan oleh  Joseph Stiglitz  tentang Malaysia, “mencegah kemelesetan yang teruk bukan sekadar persoalan ekonomi semata-mata, tetapi juga persoalan kelangsungan bangsa (survival of nation).”  Dalam bukunya yang lain, Making Globalization Work, Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi melihat  pelaksanaan tindakan pendorong (affirmative action) di negara ini  sesuatu yang positif: “Sejak berdekad-dekad kerajaan melaksanakan program tindakan pendorong yang agresif untuk membantu orang Melayu.  Langkah ini penting dari segi pembinaan bangsa (nation building).”   
Dalam keadaan riang dan penuh semangat tidak rasional ini eloklah direnung   wawancara Tun Dr. Mahathir dengan majalah  ditutup kira-kira tujuh tahun lalu, iaitu AsiaWeek.  Dalam keluaran Mac 1998 -  di tengah-tengah krisis ekonomi,  beliau  menegaskan bahawa kerajaan menolong sesiapa sahaja, Cina, India, Melayu.  “Memang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menolong sektor swasta, khususnya bumiputera kerana kami dalam proses mencuba untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi.”   
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi September 2009, kecuali rajah dan jadual yang tidak dapat disertakan.)

No comments:

Post a Comment