Oleh: ZULKIFLI SALLLEH
Lebih setahun zon euro bergelut dengan krisis hutang. Bermula dengan Ireland dan Greece yang hingga kini belum pulih, kesan domino terus menjalar. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan tempoh enam minggu kepada Kesatuan Eropah untuk melindungi dirinya daripada kemungkiran Greece yang nampaknya tidak dapat dielakkan lagi. Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF) memerlukan 1.7 trilion paun, hampir lima kali ganda saiz semasa, untuk meyakinkan pasaran bahawa EFSF dapat mengekang impak nyahstabil kemungkiran Greece. Negara itu yang mengalami krisis hutang yang berpanjangan, dicadangkan mungkir terhadap hutangnya dan meninggalkan zon euro. Greece dikatakan pokai dan pecah. Defisit belanjawannya melambung hampir 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Berita buruk tentang zon euro, dikesan, kini datang dari segenap penjuru. Namun, Menteri-menteri Kewangan Eropah yang bermesyuarat di Wroclaw, Poland, yang sepatutnya membuat keputusan menentang krisis hutang, berkesudahan dengan idea yang tidak relevan, iaitu cukai terhadap urus niaga kewangan. Agensi penarafan Standard & Poor's (S&P) t menurunkan gred penarafan kredit Italy. Sementara di Athens, kerajaan Greece dan troika institusi antarabangsa menyelia program jimat cermatnya, memberitahu apakah yang Greece perlu lakukan untuk mendapatkan tranche dana pelan penyelamat bernilai AS$11 bilion.
Khusus untuk Eropah, bahas Mohamed A. el-Erian, para penggubal dasar mempunyai masa yang sangat suntuk untuk bertindak bersama-sama. Rasa serba tak kena mereka dan pertengkaran sesama mereka telah menyebabkan krisis di Greece merebak begitu jauh ke banyak negara di zon euro.
"Para pemimpin," Robert Kuttner mengingatkan, "sepatutnya membandingkan dasar ini dengan alternatif, iaitu kemungkiran Greece merebak kepada kemungkiran bon kerajaan Eropah yang lain, tidak mampu bayar beberapa buah bank besar Eropah, kemelesetan yang dalam untuk ekonomi sebenar, dan beberapa jenis penyelamat kecemasan yang lebih melampau bahkan dalam keadaan lebih terdesak."
Zon euro makin hari makin terbenam dalam krisis yang serius, seperti yang diungkapkan oleh Paul Krugman melalui kolumnya, "perjalanan maut zon euro." Situasi Eropah benar-benar menakutkan: dengan negara yang mewakili satu pertiga ekonomi zon euro kini diserang oleh spekulatif, kewujudan mata wang tunggal betul-betul diancam, dan keruntuhan euro boleh mengakibatkan kerosakan yang besar terhadap dunia.
Krugman menyusuri pengenalan euro pada tahun 1999 yang membawa ledakan besar dalam pemberian pinjaman kepada ekonomi pinggir euro, kerana para pelabur percaya (secara silap) bahawa mata wang yang dikongsi menjadikan hutang Greece dan Sepanyol selamat sebagaimana hutang Jerman. Beliau menjelaskan bahawa bercanggah dengan apa anda selalu dengar, ledakan pinjaman ini kebanyakannya tidak membiayai perbelanjaan kerajaan yang membazir, misalnya Sepanyol dan Ireland biasa mempunyai lebihan belanjawan menjelang krisis, dan tahap hutang yang rendah. Sebaliknya, aliran masuk wang, terutamanya merangsang ledakan yang besar dalam perbelanjaan swasta, khususnya terhadap perumahan.
Walau bagaimanapun, Krugman tidak menjangkakan sesuatu yang buruk berlaku di Eropah pada abad ke-21. Hanya wujud jurang yang luas antara apa yang euro perlukan dengan apa yang pemimpin Eropah ingin lakukan, atau bahkan berbincang untuk melakukannya. Dan, melihat jurang itu, memang sukar untuk mencari alasan untuk optimisme.
Zon bahaya Eropah jelas kelihatan. "Kita terjebak semula dalam zon bahaya," kata ahli ekonomi atasan di IMF. Banyak perhatian tertumpu pada Eropah yang kebanyakan negara utama menanggung hutang yang berat. Pertumbuhan ekonomi, seperti yang diramalkan oleh IMF, untuk tahun hapadan adalah kira-kira satu peratus. Demikian menurut pemerhatian Robert Samuelson, "bank-bank diancam oleh pendedahan mereka terhadap bon kerajaan yang turun nilai. Apa yang muncul ialah kitaran ganas: pertumbuhan yang perlahan menyukarkan untuk memotong defisit; ini menyebabkan para pelabur mencampakkan bon kerajaan Eropah; kadar bunga meningkat; bank-bank menjadi lemah; dan ekonomi semakin teruk."
Tambah beliau lagi, ekonomi yang lumpuh bertemu dengan ekonomi yang melayang-layang. Kita bermain-main dengan kemelesetan global yang diperbaharui, dipacu oleh kemerosotan di Eropah dan Amerika Syarikat. Dengan 44 juta orang telah pun menganggur di negara maju, implikasi sosial dan politik memang menakutkan. Yang teruk, kemelesetan yang baru mungkin menjadi kemerosotan yang bahkan lebih dalam dan lebih lama.
Zon euro berubah menjadi zon bahaya, tetapi keadaan bahaya ini tidak hanya terbatas di sana. Pastinya, zon bahaya ini merebak ke seluruh dunia, dan pastinya, banyak negara yang turut terjebak. Memandangkan wujud kekosongan, iaitu tiada negara yang sanggup memikul tanggungjawab sebagai pemimpin ekonomi, memetik Robert Samuelson, kita kemungkinannya mengulangi kesilapan 1930-an: pisang berbuah dua kali.
No comments:
Post a Comment