Pages

Friday, September 9, 2011

Presiden Barack Obama Umum Rancangan Pekerjaan

JUMAAT,  9  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pagi tadi waktu Malaysia, Presiden Barack Obama mengumumkan rancangan pekerjaan  bernilai AS$447 bilion.  Dalam ucapannya di sesi bersama Kongres pada malam Khamis (waktu Amerika) yang disiarkan secara langsung, Presiden Amerika itu mencabar Republikan supaya menghentikan "sirkus politik" di Washington dengan meluluskan perundangan yang beliau akan hantar kepada Kongres pada  minggu depan, yang dikenali Akta Pekerjaan Amerika. Teks ucapan beliau itu boleh dapati dalam talian melalui beberapa akhbar utama antarabangsa.

Namun, Republikan, bahkan sebelum Obama berucap, menghantar isyarat penentangan terhadap pakej itu yang mereka pertikaikan dari segi mewujudkan bilangan pekerjaan baru yang signifikan dan menolaknya atas alasan gimik pilihan raya. Bahkan, banyak anggota Republikan memulaukan sesi tersebut. Ada anggota Republikan yang menganggap rancangan pekerjaan itu sebagai rancangan  pilihan raya semula untuk Obama.  Diljangkakan, cadangan dwipartisan terpaksa mengharungi laluan sukar  di Dewan Perwakilan yang kini dikuasai oleh Parti Republikan.  Bahkan, dalam kalangan anggota parti Obama sendiri, iaitu Demokratik sukar menerima cadangan tersebut.

"Sepatutnya tidak wujud apa-apa kontroversi tentang rang undang-undang ini," kata Obama.  "Segala-galanya di sini merupakan jenis cadangan yang disokong oleh kedua-dua pihak, iaitu Demokrat dan Republikan, termasuk banyak yang hadir pada malam ini," seperti memikirkan mana-mana daya usaha Demokratik dengan sokongan sesetengah anggota Republikan atau yang lain, dan dengan itu, tidak kontroversi, ulas The Economist.  

Ucapan itu dianggap rancangan pekerjaan dan rancangan pilihan raya beliau yang kini sangat tidak popular dalam kalangan rakyat di negara itu. Sambil menyelam sambil minum air! Walau bagaimanapun, dalam kalangan orang dalam Demokrat, mereka yakin  Obama masih berpeluang  untuk memenangi semula Pilihan Raya Presiden, biarpun dengan kemenangan tipis.


Seperti yang diketahui dan dipetik secara meluas, Amerika Syarikat kini bergelut dengan kadar pengangguran yang tinggi, iaitu 9.1 peratus - satu kadar yang stabil kerana enggan menyusut.  Sedangkan, pertumbuhan ekonomi negara itu, seperti yang pernah dibincangkan dalam  beberapa penulisan ini  amat lemah.

Dalam ulasannya terhadap ucapan Obama itu, Harold Meyerson menulis, "rancangan yang baik, wawasan yang baik, dan politik yang baik."  Hampir separuh daripada pakej itu, iaitu kira-kira AS$240 bilion dalam bentuk potongan cukai untuk pekerja dan majikan yang meletakkan Republilkan untuk menentangnya.  Obama juga menggunakan kesempatan dalam ucapannya itu untuk menyusun wawasan jangka panjang untuk membina semula ekonomi Amerika. 

Dengan mencabar Republikan supaya menghalang cadangannya itu, Obama dikatakan melakukan perjudian pekerjaan: mungkinkah beliau menang?  Meskipun rancangan pekerjaan yang diumumkan itu cukup bagus, bahas Paul Krugman dalam kolumnya, kemungkinannya  tidak akan menjadi undang-undang kerana tidak disokong oleh Republikan.

Dalam ucapan itu, Obama, seperti yang dicatatkan oleh Ezra Klein,  menegaskan "luluskan rang undang-undang ini" sebanyak 12 kali, meminta Kongres meluluskannya.  Apa yang Presiden boleh lakukan hanya meminta Kongres meluluskan rang undang-undang  kerana beliau sendiri tidak boleh meluluskannya.  Beliau juga tidak boleh menggunakan arahan eksekutif.  Dengan mencabar Kongres supaya meluluskan rang undang-undang itu dan meluluskannya sekarang, Obama berharap, tulis Howard Fineman, mewujudkan menang-menang.

Editorial The New York Times  yang  menyanjung  rancangan pekerjaan itu, menulis, "dengan lebih 14 juta orang yang menganggur dan semua orang Amerika bimbang akan kemelesetan curam berganda, Presiden Obama berdiri bersemuka pada malam Khamis dengan Kongres yang secara cekal enggan membantu.  Sesetengah anggota Republikan enggan hadir dan dengar.  Akan tetapi, orang Amerika yang mendengar pengumuman beliau tentang cadangan yang bercita-cita tinggi, yang lebih kuat dan lebih jauh daripada yang dijangkakan, itu mungkin merupakan langkah penting dalam memacukan semula ekonomi."


Setelah bertahun-tahun Presiden Obama kelihatan "sejuk kaki" untuk menyelesaikan masalah kadar pengangguran yang tinggi, akhirnya beliau muncul dengan rancangan pekerjaannya.  Mungkin rancangan itu agak terlewat dan Demokrat terpaksa membayar harga yang cukup besar akibat kelewatan itu dalam Pilihan Raya Separuh Penggal 2010.  

Mampukah rancangan pekerjaan itu menyelamatkan pengangguran?  Mampukah rancangan itu menyelamatkan Presiden Obama untuk Pilihan Raya Presiden 2012? Jawapan yang pasti, semakin suram data ekonomi, semakin suram  Obama dan Demokrat.


No comments:

Post a Comment