Pages

Wednesday, September 21, 2011

PATI dan Ufti

RABU,  21  September 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Akhbar hari ini melaporkan pengesahan  Kementerian Dalam Negeri (KDN)  bahawa  terdapat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendaftar dalam Program 6P baru-baru ini, bekerja sendiri malah sesetengahnya telah menjadi majikan di negara ini.  Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, walaupun  telah dikesan lama berlaku,  senario tersebut  sukar ditangani disebabkan pelbagai faktor.  Antaranya, kata beliau,  berpunca daripada isu salah guna pas dan permit kerja serta pemalsuan dokumen dan identiti warga asing.

“Hasil risikan dan pemantauan Jabatan Imigresen melalui Program 6P mendapati, terdapat PATI yang bekerja sendiri, malah sesetengahnya telah menjadi majikan. Agensi penguat kuasa sukar untuk mengambil tindakan terhadap PATI apabila mereka berselindung di sebali permit kerja, sama ada yang sah  ataupun dipalsukan," jelas beliau.

Kehadiran warga asing di negara ini, baik secara sah mahupun secara haram, banyak menimbulkan persoalan apabila kita melihat pekerjaan yang mereka ceburi, Antaranya dengan kereta sorong atau basikal roda tiga menyelongkar tong-tong sampah, menjaja di kaki lima, kalau di Kuala Lumpur di Jalan Sultan, bahkan   di  Jalan Bukit Bintang.    Di kawasan kosmopolitan  juga kita dapati banyak  warga asing, mempromosikan urut kaki. 

Tidak kurang yang masuk  sebagai  pelancong atau pelajar, tetapi kalau gadis bertukar menjadi pelacur (3P = pelancong, pelajar, pelacur). Golongan "P" yang ketiga ini tidak henti-henti dicekup oleh polis, tetapi kegiatan mereka tidak juga reda-reda. 

Apabila menteri yang berkenaan menyatakan bahawa senario sukar ditangani, perkara yang pertama terbayang dalam kepala saya ialah aspek keselamatan.  Hal ini menunjukkan betapa senangnya negara dipolos dan diterobos.  Kalau PATI sukar dikawal, apatah lagi pengganas atau musuh asing yang lebih terlatih dan canggih.  Sesungguhnya, dari segi keselamatan, alasan menteri itu, sesungguhnya, sesuatu yang membimbangkan dan menakutkan.

Khusus untuk PATI, saya sentiasa tertanya-tanya akan betapa mudah mereka memasuki negara ini.  Jika mereka mendarat di selatan tanah air atau memasuk sempadan di utara, mereka mempunyai perjalanan yang selesa.  Maksudnya, perjalanan ke destinasi mereka yang bukan setakat berpuluh-puluh, bahkan beratus-ratus kilometer "tidak dapat dikesan" oleh pihak berkuasa kita.  Seandainya dalam perjalanan itu tidak berlaku apa-apa kemalangan, pastinya PASTI akan tiba ke destinasi mereka dengan selamat.  Hanya kalau berlaku kemalangan jalan raya, barulah disedari bahawa mereka PATI.  Maka, bertalu-talu persoalan: Mengapa mereka dapat lepas daripada pemeriksaan?  Jangan risau,  jawapan "mi segera" sedia menjawabnya dalam sekelip mata.

Melihat betapa selesanya perjalanan mereka, meskipun amat jauh, tidak dapat tidak, wujud tanggapan bahawa adanya pembayaran ufti.  Pegawai penguat kuasa di negara ini disogokkan  oleh pihak tertentu sehingga membolehkan PATI berkenaan bergerak dengan mudah. 

Demikian juga apabila melihat warga asing mencari makan di Jalan Bukit Bintang dengan  menjual barang tiruan atau mempromosikan urut kaki,  saya sentiasa terbayangkan akan kebebasan mereka sehingga "terlepas pandang"  oleh pihak berkuasa kita.  Pastinya, adanya ufti.    

Walau apa-apa pun alasan tentang kehadiran PATI, hakikat yang sukar dinafikan ialah   adanya  ufti.  Justeru, apabila menteri berkenaan berkata bahawa senario sudah lama berlaku, sesungguhnya, secara tersirat, turut mendedahkan amalan ufti yang wujud sekian lama, meskipun beliau tidak menyatakannya sedemikian.  Selagi gejala ini dibiarkan berleluasa, maka selagi itu, PATI berkeliaran di tanah air kita. 


PATI sesungguhya, merupakan akibat atau simpton berbanding dengan ufti yang merupakan punca dan masalah.  Maka, jika kerajaan benar-benar ingin membasmikan PATI, mereka sepatutnya menyelesaikan amalan  ufti.   Namun,  tugas ini bukannya mudah kerana melibatkan suatu rangkaian yang panjang lagi kukuh.   

   




No comments:

Post a Comment