Pages

Sunday, September 4, 2011

Destinasi Pelancongan Bertaraf Dunia

AHAD,  4   September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Australia, seperti yang diyatakan dalam The World Book Encyclopedia (2007), mempunyai pelbagai daya tarikan pelancongan, termasuk perlindungan hidupan liar,  pantai,  Terumbu Sawar Agung, Pergunungan Alp Australia,  Uluru,  dan beberapa buah tempat yang menarik minat dari segi sejarah.  Lebih empat juta pelancong asing melawat Australia setiap tahun.   Pelancongan memberikan sumbangan ekonomi kepada negara itu,  khususnya industri perkhidmatan, seperti perdagangan runcit, restoran, dan hotel.
            Menurut Biro Statistik Australia, lebih 2.3 juta orang melawat Australia dari Januari hingga Mei 2008, secara relatif  jumlahnya sama dengan tempoh  pada tahun sebelumnya.  Pada bulan Mei tahun ini, 380,900 orang melawat negara itu, iaitu meningkat sebanyak tiga peratus berbanding dengan bulan yang sama tahun lalu.  Pelawat ini datangnya dari Amerika Syarikat, Kanada,  Eropah, seperti United Kingdom dan Jerman, New Zealand, India,  Asia Timur, seperti Jepun, Korea,  China, dan Hong Kong, dan Asia Tenggara, seperti Malaysia, Singapura, dan Thailand.  Dari Januari hingga Mei 2008, 71,300 orang dari Malaysia,  101,900 orang dari Singapura, dan 37,000 orang dari Thailand telah melawat Australia.
            Sebagaimana Australia, setiap negara di dunia mempunyai keistimewaan masing-masing yang boleh menjadi daya tarikan pelancongan, baik keindahan semula jadi, tempat bersejarah, monumen, unsur budaya mahupun tempat yang baru dibina.  Daya tarikan pelancongan di Australia tidak jauh bezanya dengan yang terdapat di negara-negara lain, seperti Malaysia.  Namun, pengalaman saya  melawat Gold Coast, Sydney, dan Blue Mountains  menceritakan bagaimana pihak berkenaan mengurus tempat pelancongan itu  hingga  memberikan nilai ditambah.
Setelah tiba di Brisbane dari Singapura kira-kira pukul 9.00 pagi, saya  bersama-sama  isteri, dua pasangan lain, dan tiga orang kanak-kanak,   menaiki van agensi pelancongan, Holiday Pacific   ke Gold  Coast, salah satu  tempat pelancongan yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia.  Di Gold Coast, kami terus Paradise Country Aussie Farm Tour tanpa mendaftar masuk hotel penginapan terlebih dahulu.  
Selama tiga hari di Gold Coast, selain Paradise Country Aussie Farm Tour,  kami  berkesempatan melawat Sea World (Dunia Laut) dan Movie World (Dunia Wayang).  Ketiga-tiga tempat pelancongan ini menyediakan pelbagai kemudahan demi keselesaan pelawat, seperti perkhidmatan tetamu, bilik persalinan bayi,  pusat bantuan awal,  kedai mencuci gambar selama satu jam, dan sebagainya, selain restoran dan kedai cenderamata.  Malah, di Dunia Wayang, bilik sembahyang disediakan untuk para pelawat yang beragama Islam. 
            Selain itu, ketiga-tiga tempat pelancongan berkenaan menyediakan risalah yang mengandungi peta, senarai kemudahan yang disediakan, dan aktiviti yang dilaksanakan pada sesuatu hari.  Risalah disediakan di Dunia Laut dan Dunia Wayang menyatakan  restoran yang menyediakan makanan halal di kedua-dua tempat pelancongan itu.  Harga makanan yang dijual di restoran kedua-dua tempat ini adalah sama.
            Untuk   menikmati  makan tengah hari barbeku di Restoran Outback di Paradise Country, para pelawat perlu    menggunakan  baucar yang dibekalkan lazimnya oleh agensi pelancongan.  Di baucar itu juga  dinyatakan nombor meja dan pukul berapa mereka boleh menikmati hidangan  sambil mendengar nyanyian, dan bagi pelawat yang berminat boleh  menyertai bush dancing.  Dengan menyatakan nombor meja dan waktu makan, maka para pelawat tidak perlu berasak-asak untuk mendapatkan makanan dan berebut-rebut mencari  tempat duduk.
            Yang jelas, tidak ada perbezaan  harga antara cenderamata yang dijual di Paradise Country, Dunia Laut, dan Dunia Wayang.  Harga bumerang, rantai, gelang tangan yang mempunyai jenama yang sama mempunyai harga yang sama, baik yang dijual  di kedai cenderamata Paradise Country mahupun di Dunia Laut.  Rantai kunci yang mempunyai reka bentuk yang sama dijual pada harga yang sama di kedai cenderamata Dunia Laut dan Dunia Wayang, meskipun  mempunyai imej yang berbeza: satu  Sea World, dan satu lagi Warner Bros. Movie World.  Saya  juga mendapati dompet kecil yang mempunyai gambar kanggaru yang dijual di sebuah kedai cenderamata di Blue Mountains yang kira-kira dua jam perjalanan menaiki bas dari Sydney sama dengan yang dijual di kedai cenderamata di Featherdale Wildlife Park di Sydney.
         Tanpa perbezaan harga akan memudahkan para pelawat membuat keputusan pembelian masing-masing.  Mereka tidak perlu memikirkan kedai  mana yang menjual cenderamata lebih murah.  Lebih penting lagi, mereka tidak akan berasa tertipu.
      Baucar untuk melawat Dunia Laut dibayar sekali gus dengan untuk melawat Dunia Wayang.  Pemandu van yang membawa kami semasa di Gold Coast beberapa kali mengingatkan:  “Jangan lupa  ambil balik baucar itu untuk  melawat Movie World.”  Namun,  tanpa meminta semula baucar itu, petugas di pintu masuk menyerahkannya kepada saya – nampaknya dia arif bahawa baucar itu digunakan untuk dua tempat!  Yang menarik ketika melawat ketiga-tiga tempat pelancongan itu ialah  pihak yang berkenaan mengadakan  beberapa  aktiviti  untuk menghiburkan para pelawat. Sambil melawat sambil berhibur. 
Paradise Country yang luasnya 12 hektar menyediakan ladang Australiana bertemakan produk yang hebat dan menarik.  Paradise Country  menawarkan pelancongan ladang separuh hari, termasuk pertunjukan kemahiran menunggang kuda, bergambar dengan koala, bermesra dengan kanggaru, pertunjukan mengetam bulu biri-biri,  penjagaan haiwan, pertunjukan para penternak dan anjing-anjing mereka menghimpunkan kawanan biri-biri, pertunjukan membaling bumerang, bersantai di keliling unggun api sambil  menikmati Billy Tea tradisional Australia dan peredam yang disediakan oleh penternak tempatan, cara menternak dan melatih kuda, dan cara penternak menghalau kawanan lembu masuk ke kandang. 
Tanpa aktiviti  ini Paradise Country tidak mempunyai keistimewaannya -  hanya tempat untuk pelawat melihat haiwan, seperti koala, kanggaru, kuda, biri-biri, dan anjing.  Namun, dengan adanya aktiviti  tersebut, tempat pelancongan ini sentiasa segar dan bukannya sebagai tanah ladang yang gersang. Di Paradise Country jelas bahawa kawasan ladang ini dimanfaatkan untuk menjadi daya tarikan para pelawat dengan mengadakan aktiviti yang berunsurkan budaya, gaya hidup, dan aktiviti ekonomi Australia.   
Dalam pertunjukan mengetam bulu biri-biri,  para pelawat juga ikut serta dalam aktiviti ini. Salah seorang petugas menyuruh mereka beramai-ramai memanggil biri-biri supaya keluar ke dalam dewan dan naik ke pentas.  Setelah biri-biri ini “berlakon” seketika di atas pentas, salah seekor dipilih untuk diketam bulunya.  Seorang dua pelawat dipelawa  untuk mencuba mengetam  bulu biri-biri!
Dunia Laut, taman marin yang terbesar di Australia, memelihara hidupan, seperti dolfin, yu, anjing laut, beruang kutub, dan pelbagai jenis ikan dan hidupan laut yang sesetengahnya hidup dalam akuarium dan  kolam yang agak luas. Di Akuarium Teluk Yu yang menggerunkan para pelawat dari atas dan bawah air dapat melihat secara dekat pemangsa yang paling menakutkan di dunia.   Para pelawat juga berpeluang melihat beruang kutub yang hidup di kawasan pesisir.
 Di Dunia Laut disediakan kemudahan, seperti monorel, kereta kabel, dan roller-coaster.  Seperti juga di Paradise Country, Dunia World juga mengadakan beberapa aktiviti untuk mempersegarkan dan mencergaskan tempat pelancongan ini, dan seterunya menarik minat serta menghiburkan para pelawat.  Dunia Laut merupakan dunia yang paling menakjubkan dengan menganjurkan pesiaran (rides) yang menguja, pertunjukan, dan memberikan daya tarikan sepenuh hari untuk keseronokan keluarga. 
Pelbagai pertunjukan diadakan di Dunia Laut, seperti pertunjukan Sesame Street, pertunjukan dolfin, pertunjukan anjing laut keemasan, pertunjukan ski air, dan pertunjukan 4D planet S.O.S. yang  berjaya menarik minat para pelawat.  Pertunjukan ski air misalnya, yang disertai dengan nyanyian,  persembahan oleh beberapa orang gadis yang berpakaian cukup menarik di pantai, dan dengan kereta yang terbenam di pinggir pantai menjadikan persembahan ini cukup menghiburkan para pelawat.  Seolah-olahnya mereka  sedang menonton adegan dalam filem! Sebagaimana mengetam bulu biri-biri, semasa pertunjukan dolpin dua tiga orang pelawat kanak-kanak diberi peluang untuk bermain dengan haiwan ini. 
Para pelawat dari negara luar  tidak perlu ke Dunia Laut sekadar untuk melihat hidupan laut.  Mungkin di negara masing-masing juga ada hidupan laut berkenaan.  Namun, oleh sebab Dunia Laut mengadakan beberapa aktiviti, maka  tempat pelancongan menjadi daya tarikan kepada para pelawat.  Di samping hidupan laut, pelbagai kemudahan, dan beberapa produk pelancongan, aktiviti yang merupakan pertunjukan membolehkan tempat pelancongan itu diatur kedudukannya (positioning) sedemikian rupa. 
 Dunia Wayang, Hollywood di Gold Coast merupakan taman tema yang terbesar di Australia.  Sebaik-baik pelawat memasuki pintu gerbang yang besar, mereka sebenarnya berjalan ke arah “tanah wayang”.  Suatu perjalanan yang penuh dengan glamor, keterujaan, dan aksi.   Selain kemudahan moden, seperti Batwing Spaceshot, Batman Adventure 2, Shrek 4D Adventure, Superman Escape, dan Lethal Weapon di Dunia Wayang dibina “pekan Koboi” dengan hotel, salon, bank, County Fair Fun’n’ Games, dan Wild West Falls Adventure Ride.

Untuk penunggangan yang menyeronokkan (thrill rides), para pelawat boleh mencuba Superman Escape, Batwing Spaceshot, Lethal Weapon, Scooby-Doo Spooky Coaster, Batman Adventure – The Ride 2, dan Wild West Falls Adventure Ride.  Untuk hiburan seisi keluarga, para pelawat boleh mencuba Dreamworks Shrek 4D Adventure, Road Runner Rollercoaster, Looney Tunes River Ride, Yosemite Sam Railroad, dan pelbagai kemudahan lagi.
Jika pertunjukan  di Paradise Country lebih tertumpu kepada aktiviti yang ada kaitannya dengan hidupan darat dan di Dunia Laut yang berkaitan dengan hidupan laut,  pertunjukan  di Dunia Wayang lebih berkait dengan filem dan muzik.  Pada hari lawatan itu, Dunia Wayang mengadakan pertunjukan Shrek 4D Adventure, Furry Fab Four, Batman – Shadow of Gotham, Western Town Show Down, Scooby-Doo Disco Detectives, Perbarisan Semua Bintang  yang dipersembahkan oleh Streets Ice Cream, Penghormatan Marilyn, dan Bonnie and Clyde.
Sebagaimana di Paradise Country dan Dunia Laut, semua pertunjukan  dinyatakan dalam atur cara untuk rujukan para pelawat.  Pertunjukan itu diadakan tepat pada waktunya – para pelawat tidak perlu membuang masa untuk menunggu.
            Demi menjadikan daya tarikan kepada para pelawat, ketiga-tiga tempat pelancongan itu tidak dibiarkan seadanya, iaitu memadai dengan pembangunan fizikal,  produk pelancongan, dan hidupan laut dan darat, dan sebagainya  yang sedia ada.  Sebaliknya, tempat pelancongan itu dipersegarkan dan dicergaskan dengan kreativiti dan inovasi supaya tempat berkenaan tidak berkeadaan betul-betul membosankan:    Tanpa aktiviti atau pertunjukan, Paradise Country, Dunia Laut, dan Dunia Wayang di Gold Coast tidak  banyak keistimewaan yang  menjadi daya tarikan dan daya saing yang boleh dibanggakan. 
Menyediakan dan membina tempat pelancongan lebih mudah daripada mengurus tempat itu.   Malaysia juga menghadapi masalah seperti ini, misalnya Kampung Buku di Langkawi. Mungkin banyak lagi tempat pelancongan di negara ini mengalami nasib seperti Kampung Buku:   “Hidup segan mati tidak mahu.”

Dalam perjalanan  yang memakan masa kira-kira satu jam setengah, pemandu van memberikan penerangan tentang atur cara  dan tempat yang dilalui.  Dia juga mengingatkan:  “Jika di Australia anda mesti membeli-belah.  Jangan hitung dalam ringgit Malaysia.  Jika anda berbuat demikian, anda tidak akan berbelanja kerana kos sara hidup tinggi di Australia.” 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Ogos 2009.)

No comments:

Post a Comment