Pages

Sunday, September 11, 2011

Dekad yang Hilang

AHAD,  11  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hari ini, isytihar akhbar The Huffington Post, dunia memperingati Peristiwa 11 September bahawa 10 tahun selepas serangan pengganas pada 11/9 membawa perubahan begitu banyak untuk banyak orang, para pemimpin dunia, dan berjuta-juta warganegara tergamam untuk memikirkan peristiwa itu.  Dari Sydney ke Atlanta, majlis rasmi dirancang atau telah pun dilaksanakan untuk memperingati hampir 3000 orang yang terkorban dari lebih 90 buah negara.  Dan, sebagai mengingatkan bahawa ancaman masih wujud, pihak berkuasa di Washington dan New York meningkatkan kawalan keselamatan sebagai respons terhadap perisikan kemungkinan rancangan serangan bom kereta. Arianna Huffington,  dalam "Ringkasan Hari Ahadnya"  menulis "hari ini, seluruh negara memperingati.  Dan merenung.  Pastikan anda mengikuti blog langsung tentang liputan peristiwa itu." Dalam banyak cara, Amerika memperingati tragedi itu, lapor  The Washington Post, "daripada ucapan, detik bertafakur, dan menyebut semula nama mereka yang terkorba, orang ramai di seluruh dunia mula memperingati ulang tahun ke-10 11 September 2001, serangan pengganas ke atas Pentagon di Virginia dan Pusat Dagangan Dunia di New York."


Saya masih ingat ketika berlakunya serangan  pada malam itu (waktu Malaysia), saya pulang dari menghadiri satu program yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka dan singgah sekejap membeli mi goreng mamak untuk dua orang anak saya.  Di rumah, saya berehat dan sambil menonton siaran televisyen, seakan-akan tidak percaya melihat kapal terbang merempuh menara berkembar, yang diulang tayang dengan banyak kali. Keesokannya, ketika membeli akhbar di kedai buku DBP yang masih terletak di bangunan lama, saya melihat semua akhbar menyiarkan berita serangan kedua di bumi Amerika Syarikat - yang pertama serangan terhadap Pearl Harbour ketika Perang Dunia Kedua.  


Dunia tergamam, para pemimpin terkejut, tetapi tidak kurang rakyat jelata yang bersorak keriangan, bukan sahaja di dunia Islam dan Amerika Latin, tetapi juga di beberapa negara Eropah.  Padan muka.  Serangan itu memadamkan keyakinan selama ini bahawa bumi Amerika terselamat daripada serangan musuh.  Setelah begitu angkuh membuka medan peperangan di Asia, Amerika Latin, dan Afrika, akhirnya New York menjadi padang jarak padang tekukur.


Sejak awal bulan ini, kita menyaksikan kebanjiran media untuk memperingati ulang tahun ke-10 Peristiwa 11  September. Pantasnya masa beredar, sedangkan dua buah negara, iaitu Iraq dan Afghanistan,  yang menjadi mangsa keangkuhan  Presiden George W. Bush yang didalangi oleh helang masih kekal sebagai kancah anarki dan negara yang gagal. Dunia secara umum masih kacau-bilau.  Amerika yang terbenam dalam peperangan AS$3 trilion  tidak boleh mengisytiharkan bahawa mereka menang dalam "perang terhadap keganasan,"  meskipun tidak ada Presiden Amerika Syarikat, seperti yang dibahaskan oleh Patrick Cockburn,  mengakui bahawa dia terbabit dalam peperangan yang tidak perlu dalam memburu musuh yang hampir tidak wujud.

Yang pasti menang ialah kebencian dan ketakutan yang sentiasa menghantui warga dunia dalam mengharungi dekad pertama abad ke-21 yang muram.  Peristiwa itu meletakkan umat Islam di seluruh dunia, khususnya yang merupakan golongan minoriti Barat:  Islamo-fasis dan Islamofobia, "tercetusnya  pertembungan kejahilan," memetik mendiang Edward Said yang menulis dalam The Nation kira-kira sebulan selepasa peristiwa itu.


Kegagalan Amerika yang paling jelas ialah ketidakmampuannya untuk membina semula negara dan bangsa yang  Amerika terlibat dalam peperangan.  Tulis Ahmed Rashid dalam The New York Times hari ini, "Pembinaan negara adalah tentang penubuhan institusi dan pembentukan tadbir urus yang mungkin tidak wujud sebelum ini, seperti di Afghanistan, atau yang berada di tangan diktator yang kejam, seperti di Iraq."    Dalam makalah yang agak panjang itu, Ahmed Rashid mencatatkan sesuatu yang mungkin dilupakan oleh banyak orang tentang soalan yang sering dikemukakan oleh orang Amerika yang terkejut dengan serangan itu:  "Mengapa mereka   benci akan kita sedemikian rupa?"  Memang tidak jelas siapakah "mereka" itu - Islam, Arab, atau hanya seseorang yang bukan Amerika.  Jawapan yang mudah yang banyak orang Amerika dapati selesa yang sama samar-samar: bahawa "mereka" iri hati akan kekayaan, peluang, demokrasi Amerika, dan apa yang anda ada. 


Presiden Barack Obama dalam ucapan radio mingguan dan Internet berkata, "Satu dekad selepas 11 Sepember, jelas untuk semua dunia untuk melihat bahawa pengganas yang menyerang kita pagi September itu tidak sepadan sifat orang kita, semangat yang tidak mudah luntur bangsa kita, atau daya ketahanan nilai kita. Mereka mahu mengganasi kita, tetapi sebagai rakyat Amerika, kita tidak mahu hidup dalam ketakutan.  Ya, kita menghadapi musuh yang nekad, dan jangan silap, mereka akan cuba menyerang kita.  Akan tetapi, sebagaimana yang kita tunjukkan sekali lagi hujung minggu ini, kita tetap berjaga-jaga."  Melalui tulisannya dalam USA Today, Presiden Obama menyeru elok untuk menuntut semula perpaduan pasca-11   September. 



11 September 2001 merupakan detik dramatik dan memeranjatkan dalam sejarah Amerika.  Bahas Immanuel Wallerstein dalam bukunya,  The Decline of America Power, "walau bagaimanapun, bukannya detik yang mentakrifkan.  Peristiwa ini hanya satu peristiwa penting  dalam trajektori yang bermula lebih awal, dan akan berterusan dalam beberapa dekad lagi, satu tempoh yang panjang yang mungkin kita sebut bahawa kemerosotan hegemoni Amerika Syarikat di dunia yang huru-hara."   


Tambah Wallerstein, "Saya percaya 11 September membawa ke barisan hadapan lima realiti perhatian kita tentang Amerika Syarikat:  keterbatasan kuasa ketenteraannya, kedalaman perasaan anti-Amerika di tempat lain di dunia ini, peninggalan daripada ekonomi yang mengikut nafsu pada tahun 1990-an, tekanan yang bercanggah nasionalisme Amerika, dan kelemahan tradisi hak kebebasan kita."


Noam Chomsky yang menulis menjelang ulang tahun ke-10  Peristiwa 11 September, membangkitkan 11 September pertama yang berlaku pada tahun 1973 apabila Amerika terlibat dalam penggulingan Presiden Chile Salvador Allende.  Berbanding dengan 11/9  kedua, peristiwa pertama itu tidak mengubah dunia.  Seterusnya, Chomsky mendedahkan kekejaman demi kekejaman yang dilakukan oleh Amerika di dunia, daripada penculikan dan penyeksaan kepada pembunuhan, termasuk terhadap Osama bin Laden pada awal Mei lalu.  Perlu ditambah di sini, memang Peristiwa 11 September, seperti yang diakui oleh David Corn, mengubah dunia, tetapi yang tidak berubah ialah politik Amerika, atau politik tanpa tujuan, memetik Dana Milbank. 


Dalam "Twin Towers and  Terrorism:  The Impact 10 Years On," akhbar The Observer, menerbitkan pandangan dunia pengulas utama, iaitu Francis Fukuyama dan Jason Burke, untuk melihat adakah hari berlakunya peristiwa itu mengubah dunia.  Fukuyama cuba menjawab persoalan adakah dengan pengalaman selama 10 tahun, adakah dunia sebenarnya berubah pada hari itu? dann apakah legasi sejarah Osama bin Laden?  Bagi beliau, jawapan untuk kedua-dua persoalan itu tidak banyak dari perspektif sejarah yang lebih panjang.  Beliau membahaskan bahawa al-Qaeda mempunyai pengaruh yang terbatas di Timur Tengah.  "Sejarah yang lebih luas dan lebih penting adalah bahawa kemunculan dalam dekad lalu ialah pemodenan sosial di dunia Arab yang menyebabkan tercetusnya Pemberontakan Arab." Beliau bersetuju dengan Pentadbiran  Bush bahawa "tiada halangan budaya atau agama untuk menyebarluaskan idea demokratik di Timur Tengah," dengan mengingatkan hanya menjadi kenyataan  menerusi agensi rakyat itu sendiri dan bukannya sebagai hadiah kuasa asing.


Sementara Jason Burke menegaskan bahawa keganasan dicipta oleh pengalaman tempatan dan tidak mempunyai ideologi.  Beliau memerhatikan bahawa lokaliti mengatasi globalisasi dengan menulis, "jati diri tempatan,  adat, budaya, hubungan darah, dan nilai yang dikongsi masih lebih penting jika dibandingkan dengan pertumpuan yang dikatakan tentang gaya hidup."  Meskipun   wujud tuntutan yang berkobar-kobar terhadap demokrasi dan hak untuk bersuara dan berpersatuan, hal ini tidak menentukan mengapa orang mengangkat senjata. "Politik dan peperangan," tulis beliau, "kekal tempatan. Apabila wujud persoalan mengapa orang mengangkat senjata untuk apa-apa jua tujuan, tidak ada peraturan global, hanya individu."


Amerika terpaksa membayar harga yang tinggi untuk perang terhadap keganasan.  Seperti Perang Dingin, perang terhadap keganasan,  tulis Anne  Applebaum, "menjadi daya tarikan kepada kedua-duanya, iaitu idealisme Amerika dan realisme Amerika.  Kita bertarung dengan orang jahat, tetapi memusnahkan al-Qaeda juga terletak dengan jelas di ruang lingkungan kepentingan negara kita."


Dalam dekad yang hilang, Rupert Cornwell  membahaskan bahawa dalam 10 tahun ini, Amerika banyak kehilangan dari segi nyawa, harta benda, dan reputasi.  Mungkin, kebanyakan kehilangan ilusinya.  Serangan 11 September 2011 mengubah segala-galanya.  Jika abad ke-20 dari segi realiti berakhir pada Hari Krismas 1991, pada detik Kesatuan Soviet terbenam dalam sejarah, abad ke-21 bermula hanya  pada pagi musim luruh yang sempurna itu bersama-sama kawasan pinggir laut pertengahan Atlantik Amerika Syarikat apabila malapetaka yang mah dahsyat tiba: Perang Balkan, genosid di Rwanda, kelahiran yang menyakitkan Rusia baru, di samping kematian puteri Inggeris dan kisah pengembaraan doktor pelatih Rumah Putih.  Walau bagaimanapun, sejarah kelihatan dalam percutia hingga 11 September.  Dari segi dekad yang hilang, Cornwell menjelaskan, berakhir 72 jam lebih awal, iaitu pada malam Khamis apabila Presiden Obama berucap di Kongres mengumumkan rancangannya untuk mencegah ekonomi Amerika Syarikat daripada terbenam semula ke dalam kemelesetan terburuk sejak 1930-an.




Bersempena 10 tahun serangan itu, istilah dekad yang hilang boleh dikatakan agak popular, termasuk dalam  Editorial The Nation bahawa selain kehilangan nyawa dan harta benda, juga kehilangan politik.  Justeru, untuk menyelamatkan sesuatu daripada dekad yang hilang ini, "kita sepatutnya sekurang-kurangnya mencuba mengambil pengajaran yang betul daripadanya."


Namun, editorial The Washington Post menafikan bahawa tempoh tersebut ialah dekad yang hilang, jangan memperlekeh apa yang Amerika capai sejak 11 September.  Mengakui bahawa Osama bin Laden berjaya mengheret  Amerika untuk bertindak berlebih-lebihan berikutan serangan, tetapi bahas editorial itu, "kita hidup selamat untuk satu dekad sejak itu bukan kerana kita silap membaca bahaya itu, tetapi kerana kita bertindak balas terhadap bahaya itu dengan cara yang secara seimbang, orang Amerika boleh berbangga."  Juga mengakui bahawa Amerika Syarikat mesti melindungi dirinya sendiri di tanah airnya, tetapi di luar negara, sifat agresif mesti diiringi dengan usaha untuk menggalakkan pembangunan dan demokrasi di tempat-tempat yang kalau tidak, membiakkan keganasan. 


Dekad pertama abad ke-21 diwarnai oleh kesuraman sebahagiannya adalah kerana perang terhadap keganasan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat.  Dan, satu dekad selepas serangan 11 September, untuk Amerika Syarikat khususnya boleh dianggap sebagai dekad yang hilang, iaitu kehilangan hegemoni. 

No comments:

Post a Comment