Pages

Saturday, August 20, 2011

Musim Panas Israel: Perang Kelas

SABTU,  20  Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sejak tercetusnya Pemberontakan Arab kedua  awal tahun ini, "musim" kelihatan wujud di mana-mana sahaja.    Arab dengan "Musim Bunga," dan baru-baru ini, James Fallows menulis makalah yang agak panjang dalam The Atlantic keluaran September, "Arab Spring, Chinese Winter."  Pada pertengahan bulan lalu, Robert Fisk muncul dengan "Now the Arab Spring Becomes an Arab Summer."  

Semalam Reza Aslan muncul  dalam The Huffington Post, "The Coming Showdown in Israel" yang  mengaitkan protes  di Israel dengan musim panas:  Protes J14 membuka retak yang dalam dalam masyarakat sivil Israel dan memberikan cabaran yang sengit terhadap gerakan sayap kanan di negara itu.  "Sesungguhnya," hujah Aslan, "sesetengah orang menyebutnya 'Musim Panas Israel,' sebagai penghormatan kepada   'Musim Bunga Arab.'  Protes itu yang menyebabkan kerajaan Netanyahu terdesak untuk menumpukan semula tenaga orang ramai daripada kenaikan harga penjagaan kesihatan gasolin ke arah masalah yang lebih boleh diuruskan: keselamatan negara."

Sejak bulan lalu, seperti yang dibahaskan oleh Reza Aslan, campuran sayap kiri, kesatuan pelajar, kumpulan sosial yang dikenali sebagai Gerakan J14 terus-menerus mengasak kerajaan Netanyahu menerusi siri protes besar-besaran yang menggoncangkan tonggak negara. Apa yang bermula sebagai kekecewaan terhadap harga perumahan yang tinggi akhirnya berubah menjadi gerakan sosial Israel  yang lebih besar yang bangkit pada tahun ini.  Penunjuk perasaan menuntut kerajaan menangani ketidaksamaan kelas yang semakin melebar dalam kalangan rakyat Israel, dan melakukan perubahan fundamental terhadap dasar pendidikan di negara itu,   memotong perbelanjaan ketenteraan, bahkan menghentikan pengembangan penempatan di Tebing Barat.

Meskipun protes itu berlaku agak lama,  tidak banyak perhatian yang diberikan.  Kalaupun ada, hanya dalam bentuk liputan berita yang pastinya dibayangi oleh peristiwa lain yang sejak akhir-akhir ini yang sentiasa meledak:  krisis hutang di zon euro, skandal penggodaman telefon,  pembunuhan massa di Norway, penurunan gred kredit Amerika Syarikat, rusuhan dan penjarahan di Britain, pasaran saham yang lintang-pukang, dan pertumbuhan ekonomi yang lemah.  

Pada akhir bulan lalu, dilaporkan berpuluh-puluh ribu orang Israel membanjiri jalan-jalan di seluruh negara itu mengadakan tunjuk perasaan terhadap harga perumahan yang meningkat, kehadiran terbesar sejak demonstrasi akar umbi bermula dua minggu lalu.  Protes terhadap kos perumahan dilahirkan ke dalam perasaan tidak puas hati yang lebih luas dalam kalangan orang Israel terhadap kos sara hidup yang tinggi dan jurang yang semakin melebar antara golongan kaya dengan golongan miskin.  Tunjuk perajaan lain, termasuk doktor yang mogok kerana membantah keadaan kerja dan upah, ibu bapa mengadakan tunjuk perasaan terhadap kos penjagaan kanak-kanak yang mahal, dan tunjuk perasaan yang serupa terhadap harga gas yang meningkat.  Beribu-ribu orang membanjiri jalan-jalan di Baitulmuqqadis, Tel Aviv, dan bandar-bandr besar yang lain dan berteriak:  "Orang menuntut keadilan sosial."  Penunjuk perasaan mengibar-ngibarkan bendera dan pelekat yang tertulis:  "melakukan tiga pekerjaan, tetapi tidak mampu menampung keperluan kami,"  "membunuh diri kami untuk hidup," dan jurang sosial membunuh kami."

Seterusnya,  berpuluh-puluh ribu orang Israel membanjiri jalan-jalan di negara itu pada Sabtu lalu untuk minggu keempat berturut-turut, memperluas bantahan mereka terhadap  kos sara hidup yang tinggi dari bandar-bandar besar ke kawasan kecil yang jauh dari bandar.  Demonstrasi massa menjadi ritual minggu musim panas, meletakkan kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam krisis dalam negara yang paling serius.  Pada minggu sebelum ini, lebih suku juta orang hadir, terutamanya di Tel Aviv untuk satu demonstrasi terbesar dalam sejarah Israel.

Adakah Israel mula berubah?  Tanya Anders Persson berikutan protes melanda Israel pada detik ini adalah benar-benar luar biasa.  Tidak pernah sejak pembunuhan kejam di Sabra dan Shatila tiga dekad lalu yang kelihatan banyak orang Israel mengadakan tunjuk perasaan.  Seperti negara jirannya, Mesir dan Syria, tunjuk perasaan secara keseluruhan dimiliki oleh orang ramai, dengan orang asing dan orang luar memainkan peranan kecil atau tiada perana sama sekali. "Bahkan," Persson,  "dunia, termasuk kedua-duanya, iaitu sahabat dan musuh Israel, masih belum bertindak balas terhadap protes ini."  Tanbah beliau, "lagi sekali, seperti yang berlaku di Mesir, Syria, dan tempat-tempat lain di rantau itu, tiada penganalisis yang sebulan lalu melihat pemberontakan massa di Israel di semua tempat, hanya satu-satunya negara di Timur Tengah dipercayai stabil di tengah-tengah Pemberontakan Arab, bahkan diketahui umum bahawa wujud perbezaan yang meluas antara golongan kaya dengan golongan miskin di Israel." Namun, kini berlaku di Israel, dan lagi sekali musim bunga dan musim panas yang setiap orang dapat lihat akan keterbatasan nilai pengetahuan dan ramalan pakar.

Pastinya, tunjuk perasaan di Israel itu tidak ada kena mengena dengan demokrasi, dan menurut  Persson, juga jelas bahawa tidak mengikut garis parti tradisional.  Sebaliknya, protes itu kelihatan kekecohan daripada kebanyakannya orang muda yang bekerja bertungkus-lumus, tetapi percaya mereka mendapat sedikit daripada negara dari segi perkhidmatan kebajikan setiap hari, seperti pendidikan yang baik, perumahan yang memuaskan, penjagaan kesihatan dan jagaan harian yang betul.  "Pastinya, apabila penunjuk perasaan menggunakan slogan, seperti 'Kami menuntut keadilan sosial,' memang mudah, terutamanya bagi orang Amerika, untuk meletakkan setem sayap kiri pada muka mereka yang menuntut perubahan," tulis Persson.  Tanpa meragui  bahawa keadilan sosial merupakan slogan puak kiri, beliau berhujah bahawa "apabila dilihat dengan teliti apakah yang penunjuk perasaan mahu, seperti yang dinyatakan itu, ini bukannya isu sayap kiri, sekurang-kurangnya tidak lagi."

Israel nampaknya negara untuk golongan kaya.  Kemiskinan melibatkan hampir 20 peratus semua keluarga, kadar penyertaan tenaga buruh hanya 57 peratus, perbelanjaan sosial merosot dari tahun ke tahun, manakala perbelanjaan pertahanan per kapita adalah yang tertinggi di dunia, dan  bilangan purata murid-muri setiap kelas ialah 39 orang.  Israel dikatakan berhadapan risiko menjadi negara Dunia Ketiga.  Kerajaan Israel memberikan keutamaan kepada mereka yang menggunakan kuasa, iaitu Yahudi Ortodoks, peneroka, pemimpin perniagaan, dan kesatuan sekerja.

Tidak kurang yang menarik ialah tunjuk perasaan yang berlaku menyatukan orang Yahudi dan Arab Israel.  Di Safed, kota di utara Israel, yang rabai biasanya menyeru warganegara jangan menyewakan kediaman kepada orang Arab, mereka kini duduk bersama-sama di dalam satu khemah.  Ketika tunjuk perasaan besar-besaran pad Sabtu, 6 Ogos lalu, rabai ultra-Ortodoks dan penyair Arab Israel berdiri bersama-sama di atas pentas di hadapan beratus-ratus ribu orang buat pertama kali.  "Kita semua bersatu dalam perjuangan ini demi keadilan sosial, kesamaan, keamanan, dan persaudaraan," kata penyair, dan orang ramai bertepuk gemuruh.
  
Tunjuk perasaan di Israel itu, menurut perhatian Carlo Strenger, "Versi Revolusi Perancis Israel, iaitu hak kebebasan, persaudaraan, dan kreativiti."  Dalam "Social Origins of the Tent Protest in Israel," Max Ajl menulis:  "Protes khemah" bermula di bandar mewah di utara, dilakukan oleh mereka yang menuntut di Hebrew University dan Ben-Gurion University, iaitu seminari golongan elit negara itu, mereka yang menyempurnakan perkhidmatan tentang yang diwajibkan, anak-anak golongan borjuis atau borjuis yang sedang merosot, yang mengharapkan menikmati dengan mudah kemewahan pada masa depan dan kini bertembung dengan serpihan kompak sosial Israel yang berkecai.

"Bermula dengan golongan terpelajar universiti, kelas menengah yang baru memperoleh ijazah, tetapi merebak ke bandar-bandar membangun menunjukkan bahawa demonstrasi menyentuh asas sosioekonomi yang lebih luas, yang paling penting orang Yahudi Arab (Mizrahi) yang miskin yang boleh membentuk sebanyak 90 peratus penduduk sempadan yang berbahaya, seperti perbandaran di selatan dan utara Israel."  Ajl juga mengemukakan tinjauan pendapat bahawa 87 peratus orang Israel menyokong protes itu.  Dalam kalangan mereka ialah 98 peratus pengundi Kadima dan 95 peratus pengundi Buruh. Kadima dan Buruh merupakan benteng kelas menengah and kelas menengah atas.  Sebanyak 85 peratus Likud Bibi Netanyahu yang cenderung mendapat sokongan daripada sektor termiskin Mizrahi, juga menyokong protes itu, menunjukkan luas kalaupun tidak dalamnya sokongan popular terhadap mereka yang turun ke jalan-jalan untuk mengadakan tunjuk perasaan.

Namun, tatkala tunjuk perasaan terhadap peningkatan kos sara hidup memperoleh rentaknya, tiba-tiba berlaku serangan roket ke atas Israel.  Serangan ini menyebabkan Israel bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Genting Gaza. Serangan dan serangan balas itu sejak beberapa hari lalu, tulis Reza Aslan, memberi kerajaan Netanyahu alasan yang sempurna untuk menamatkan protes J14 itu atas nama perpaduan nasional.  Salah satu penganjur protes utama, Kesatuan Kebangsaan Pelajar, mengeluarkan siaran akhbar membatalkan tunjuk perasaan yang dirancang pada hujung minggu, manakala yang lain, masih merancang meneruskan demonstrasi pada hari Sabtu. 

Wala apa-apa pun, tunjuk perasaan yang begitu lama berlaku di Israel yang jumlah peserta yang besar, sesuatu yang memeranjatkan.  Dan, memetik Joel Kotkin yang menulis dalam Forbes baru-baru ini tentang "kehadiran perang kelas global" kini tercetus di mana-mana, di dunia Arab, di Eropah, dan Israel tidak ketinggalan.  Sesungguhnya, kegawatan ekonomi, seperti pengangguran yang tinggi, krisis makanan,  dan peningkatan kos sara hidup boleh mencetuskan kekacauan sosial dan pergolakan politik.




No comments:

Post a Comment