Pages

Friday, August 5, 2011

Amerika Haru-biru, Eropah Huyung-hayang

JUMAAT, 5 Ogos 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Ketika bangun untuk bersahur kira-kira pukul 4.00 pagi tadi, saya membuka saluran televisyen CNN, BBC, dan Bloomberg, untuk mengikuti berita terkini jika ada.  Alangkah terperanjat apabila melihat indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) pada hari Khamis jatuh dengan amat teruk, seolah-olahnya membayangkan bahawa Isnin Hitam September 2008 kembali mengganas.  

Kemudian, pada waktu pagi, melalui iPad saya melayari akhbar antarabangsa untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat mengapa terjadi sedemikian teruk.  Bermula dengan akhbar di Amerika Syarikat.  The New York Times  dengan tajuk berita, "Stock Down Over 4% in Global Sell-Off,"  bahawa saham di seluruh dunia jatuh dengan ketara pada hari Khamis kerana para pelabur amat takut tentang kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi global dan bimbang akan krisis hutang yang terus berlaku di Eropah, yang kini tertumpu pada Italy dan Sepanyol.  Menurut akhbar itu lagi, indeks pasaran saham di Amerika Syarikat dan Eropah jatuh lebih daripada empat peratus ketika Jepun campur tangan untuk melemahkan mata wangnya dan European Central Bank (ECB) mula membeli bon untuk meredakan pasaran.  Pada penutupnya, indeks  Standard & Poor's  500 jatuh 60.27 mata (4.78 peratus), kepada 1200.07 matan, Dow jatuh 512.76 mata (4.31 mata, kepada 11,383.68 mata, dan Nasdaq jatuh sebanyak 136.68 mata (5.08 peratus), kepada 2556.39 mata.  

Sementara The Huffington Post dengan tajuk berita, "Dow Jones Plunges 513 Points, Suffering Worst Single-Day Drop Since October 2008" dengan angka indeks sama seperti yang dilaporkan oleh The New York Times, kerana para pelabur melambakkan aset berisiko dan berebut-rebut mencari perlindungan.     Menurut akhbar Internet itu, saham yang merudum pada hari Khamis, iaitu   kejatuhan satu hari terburuk dalam tempoh lebih dua tahun, kerana para pelabur  dihantui ketakutan bahawa ekonomi Amerika terjerumus ke dalam kemelesetan yang baru.  Nilai seminggu kemerosotan dalam pasaran saham  benar-benar terbenam  kerana aliran berita buruk terus mencurah-curah:  Ekonomi Amerika hampir-hampir tidak berkembang; kerajaan persekutuan memotong perbelanjaan; dan krisis yang semakin menjadi-jadi di Eropah menambahkan lagi ancaman  untuk membangkitkan gelombang kejutan.

Seterusnya, The Washington Post muncul dengan "Dow Plummets More Than 500 Points Amid Fears of New Global Recession."  Pasaran saham yang menjunam begitu cepat pada hari Khamis dimarakkan oleh ketakutan bahawa ekonomi menjurus kepada kemerosotan mapan ketika para penggubal dasar adalah khususnya tidak bersedia untuk melawan kemerosotan.  Rizab Persekutuan mempunyai dasar yang dilaksanakan, iaitu mengekalkan kadar faedah pada tahap yang hampir rendah dari segi rekod,  membangkitkan persoalan tentang apakah lagi agensi itu boleh lakukan.  Sementara itu, kerajaan persekutuan tidak menunjukkan kapasiti politik untuk melaksanakan usaha rangsangan baru kerana perpecahan falsafah yang cukup besar mengasingkan Demokrat dan Republikan.  Akhbar tersebut menyalahkan urus janji hutang yang dicapai oleh anggota Kongres Republikan dan Demokrat minggu lalu yang dikritik oleh beberapa pakar belanjawan kerana gagal menangani masalah hutang jangka panjang Amerika Syarikat, bahkan memungkinkan kerajaan persekutuan mungkir.  Kira-kira AS$1.1 trilion dalam kekayaan pasaran saham lenyap sejak persetujuan urus janji itu dicapai.

Di sebelah  Atlantik yang satu lagi, akhbar di Britain membuat liputan yang sama, iaitu kejatuhan pasaran saham semalam, dengan The Guardian, "World Stock Markets in Turmoil" bahawa hampir 50 bilion paun sterling lesap daripada saham 100 buah syarikat terbesar British pada satu hari kacau-bilau pasaran yang dicetuskan oleh kedalaman krisis zon euro dan ketakutan terhadap ekonomi Amerika Syarikat.  Selepas hari kejatuhan pasaran saham yang amat besar di Eropah dan Amerika Syarikat yang tidak berlaku sejak keterukan kemelesetan ekonomi yang lalu, para peniaga berkata bahawa suasana mengingatkan krisis perbankan pada Oktober 2008.


 Sekali lagi, ketakutan menghantui semula dan menjadi kegemaran akhbar, seperti The Independent, "Market Plunge as World Take Fright Over Growing Debt Crisis."   Pasaran saham menanggung kejatuhan yang teruk dalam masa lebih dua tahun semalam kerana takut akan kesusahan hutang kedaulatan Eropah dan kekuatan ekonomi bersama-sama menakutkan pasaran.  Di London, para pelabur kehilangan 49.8 bilion paun sterling kerana indeks FTSE 100 jatuh sebanyak 3.4 peratus, terburuk sejak Mac 2009.  Saham Jerman jatuh lebih tiga peratus,  manakala Sepanyol dan Peracis mengalami kejatuhan saham hampir empat peratus.  Pasaran saham Milan jatuh lebih lima peratus sebelum digantung pada penutupan.

Jose Manuel Barroso, Presiden Suruhanjaya Eropah, memberikan amaran bahawa negara zon euro gagal menyekat "jangkitan" hutang krisis tatkala pasaran saham dunia terjunam di tengah-tengah ketakutan berlaku satu lagi kemelesetan global.  Lapor The Telegraph bahawa Barroso mendesak agar memperkukuh kecemasan mekanisme pelan penyelamat Eropah.  Beliau berkata bahawa beliau mempunyai "kebimbangan yang mendalam" tentang ekonomi Sepanyol dan Italy yang huyung-hayang.  Menurut akhbar itu lagi, dalam lima hari lalu, para pelabur dalam pasaran saham London kehilangan sejumlah 125 bilion paun sterling dan kebimbangan merebak ke Amerika apabila Dow jatuh 4.3 peratus, titik yang paling rendah sejak 1 Disember 2008.

Pasaran saham mandi darah, memetik The Economist tentang kejatuhan pasaran ekuiti semalam kerana "para pelabur bimbang tentang ketidakmampuan Eropah  yang berterusan untuk mengisih masalah kewangan yang melanda benua itu."

Rang undang-undang siling hutang Amerika Syarikat yang diluluskan pada 2 Ogos lalu nyata gagal menggembirakan pasaran apabila Dow  pada hari itu jatuh sebanyak 265.87 mata (2.19 peratus) kepada 11,866.77 mata. Berita  ekonomi yang lemah dikatakan banyak mewarnai pasaran saham jika dibandingkan urus janji untuk mengelakkan kemungkiran.  Pada hari berikutnya, Wall  Street  masih murung, meskipun ditutup pada 11,899 mata.  Pasaran saham Amerika Syarikat dilaporkan gagal bertindak balas secara positif terhadap berita hujung minggu bahawa Washington telah mencapai persetujuan untuk menaikkan siling hutang, mengelakkan penurunan gred hutang Amerika Syarikat.  Kejatuhan itu adalah terbesar sejak Februari 2009.  

Pengesahan bahawa keadaan ekonomi yang gembira, atau undi keyakinan yang mereka yang berkuasa di Washington mempunyai rancangan untuk menambahbaikkan kekayaan negara kita, menurut perhatian Peter S.  Goodman, gagal menggembirakan pasaran apabila Dow mengalami kejatuhan yang cukup besar.  Bagi beliau, data ekonomi terbaharu negara itu tentang perbelanjaan awam dan pengangguran memang tidak menyenangkan.  Dan ekonomi tidak mempunyai jentera untuk memacu pertumbuhan.  

Wujud perbezaan antara apa yang dilihat oleh New York dengan Washington yang gemar berbicara tentang ekonomi dari segi benda yang boleh dikawal, perbelanjaan dan defisit, rangsangan, dan ketidakpastian dasar.  Akan tetapi, tegas Ezra Klein dalam The Washington Post,  Dow tidak terjunam kerana perbelanjaan meningkat, defisit berkembang atau dasar rangsangan telah berubah.  Dow terjunam kerana kuasa Washington tidak dapat mengawal, dan dalam banyak keadaan, tidak memahami dengan baik. Klein mengkritik Washington yang menghabiskan masa selama dua bulan berhujah tentang siling hutang sambil mengabaikan pemulihan ekonomi yang lemah.  Dan Kongres menyelesaikan masalah itu tanpa seorang pun bertanya dari mana datangnya pemulihan ekonomi: pastinya bukannya dari Amerika Syarikat; juga bukannya dari Eropah yang bergelut dengan krisis hutang atau Jepun yang dilanda gempa bumi dan tsunami.   Pertumbuhan, jelas beliau, datangnya dari  ekonomi  sedang muncul di dunia yang diterajui oleh China.  Namun, China pula kini berhadapan dengan ekonomi yang terlalu panas yang boleh menjejaskan pertumbuhan global.

Dalam "Why the Market Gods are Angry,"  Dylan Ratigan menulis kejatuhan Dow selama sembilan dari 10 hari lalu, "kombinasi data ekonomi yang buruk dari Eropah dan Amerika Syarikat mengesahkan ketakutan pasaran bahawa kerajaan Barat kurang integriti untuk menyelesaikan masalah dan menyahut cabaran ekonomi global." Tambah beliau lagi, "kita menyaksikan para pelabur yang serba tahu menyimpulkan masa hadapan guna tenaga dan pengeluaran di Barat dalam bahaya akibat ketidakmampuan kerajaan yang jelas untuk menyelesaikan masalah."  



Kini, kian dirasakan bahawa Amerika benar-benar di ambang kemelesatan curam berganda, seperti yang cuba diperingatkan oleh The Economist dalam keluaran terbaharu.  Demikian juga   Daniel Indiviglio,   "The Global Economy is Falling Apart" dalam The Atlantic, yang menjangkakan ekonomi Amerika Syarikat terjebak semula dalam kemelesetan apabila saham jatuh di seluruh dunia dari London ke New York ke Tokyo. Bagi beliau, panik ekonomi baharu sahaja menyerang dunia. Bulan Jun merupakan bulan lemah untuk ekonomi  Amerika Syarikat, dan  data dari Julai setakat ini tidak kelihatan baik, tegas Indiviglio, iaitu guna tenaga hampir beku pada Mei dan Jun; perbelanjaan pengguna sebenar jatuh dari April hingga Jun; optimisme perniagaan kecil jatuh empat bulan berturut-turut; jualan rumah terus terpaksa berhempas-pulas; sektor pembuatan bermain-main dengan pengecutan; dan pertumbuhan negara itu kurang daripada satu peratus pada separuh pertama 2011.

Berikutan kejatuhan pasaran New York dan Eropah semalam, maka sesuatu yang dapat dijangkakan,  pagi ini, pasaran Asia turut mengalami nasib yang sama:  Jepun, Hong Kong, Australia, New Zealand, Taiwan, Indonesia, dan Korea Selatan menyaksikan kejatuhan yang besar.  Sementara itu, Bloomberg melaporkan bahawa saham Asia menjunam, dengan indeks  tanda aras rantau ini jatuh lebih 10 peratus dari yang tertinggi pada Mei lalu akibat kebimbangan ekonomi adalah lemah mencetuskan keadaan kucar-kacir ekuiti global.

Dalam editorialnya, The Guardian tidak dapat menyembunyikan ketakutan yang menghantui semula pasaran saham,  "Financial Markets:  State of Emergency,"  membangkitkan apa yang berlaku pada tahun 2007 apabila pasaran begitu teruk, iaitu pengalaman nyaris-nyaris mati. Yang berlaku semalam, tegas Larry Elliot yang menulis dalam akhbar itu juga, menggemakan apa yang berlaku pada Ogos 2007 apabila semalam pasaran kewangan menjuman di seluruh dunia.  "Bau busuk panik yang lazim kembali semula apabila saham jatuh dengan teruk, hasil bon di Sepanyol dan Italy meningkat dan mencari tempat selamat menyebabkan harga emas meningkat pada tahap rekod baru.  Bank-bank terutamanya mengambil gocohan keras di tengah-tengah ketakutan bahawa mereka terdedah pada dua perkara besar kebimbangan para pelabur, iaitu runtuhnya zon euro dan kemelesetan curam berganda dalam ekonomi global.  


 Apakah kejatuhan teruk pasaran saham semalam yang  merebak ke pasaran Asia pada pagi ini, bermakna cahaya yang kelihatan di hujung terowong sejak tahun lalu akan padam?  Namun, seperti yang pernah beberapa kali dinyatakan, manusia mempunya memori yang lemah, dan kini mereka terpaksa menanggung akibat daripada sikap sedemikian.    Sejak berbulan-bulan kalaupun tidak setahun, diperingatkan bahawa pemulihan ekonomi adalah lemah, terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah.  Juga diperingatkan bahawa krisis hutang di zon euro jika tidak dicari jalan penyelesaian yang sebenar bukan sahaja boleh membawa kesan jangkitan, tetapi boleh membawa bencana kepada ekonomi global.  Tidak kurang peringatan bahawa langkah jimat cermat tatkala ekonomi masih lemah boleh membawa padah.  Dan, yang sering kedengaran ialah peringatan bahawa dunia di ambang kemelesetan curam berganda.  

Meskipun sekian banyak peringatan,  para pemimpin dunia dan penggubal dasar tidak menganggapnya secara serius.  Zon selesa dan psikologi penafian cukup  kukuh hingga melekakan mereka!





No comments:

Post a Comment