Pages

Saturday, July 2, 2011

Planet Sesak


SABTU,  2 Julai 2011
Oleh:  Zulkifli Salleh


Wajah perkotaan terlakar megah di mana jua
menenggelamkan sempadan memagari desa
kehidupan kota buruan manusia
sesak bukan petaka - dalamnya ada duka.

Tatkala malam memanjat senja
gelombang manusia  bergegas, berasak-asak
di deretan kedai,  pasar,  dan restoran 
menerobos kesibukan menuju haluan
tertib dan  sabar berbaris panjang
menanti bas, merentas  lampu isyarat, memesan makanan.

Di Nathan Road
para  pelancong mundar-mandir 
mencari   oleh-oleh tanda kenangan
atau hanyut dalam  arus kesibukan.
  
Di gerai jalanan terbuka
kepulan asap bersayap ke  udara
deruman kenderaan memecah gempita
aroma  makanan tetap  memekar selera.


Planet sesak
kelaparan tidak mengenal kebersihan
keselesaan bukan keutamaan.


Kowloon
6 Disember 2008


(Nota:  Sajak ini pernah diterbitkan dalam Dewan Sastera Disember 2009.  Saya merakamkan penghargaan saya kepada Rozninah Abd. Azib, editor majalah ini yang bukan sahaja menggesa saya supaya menyempurnakan penulisan sajak ini yang tertangguh, bahkan beliau mencadangkan beberapa perkataan yang lebih  sesuai untuk menggantikan perkataan asal saya.  Untuk para pembaca, saya inginkan memaklumkan bahawa gambar yang saya muatkan dalam sajak ini saya peroleh daripada Google Image.   Saya tidak dapat memastikan ke manakah perginya gambar yang saya ambil sendiri semasa di sana.)  



No comments:

Post a Comment