Pages

Thursday, July 7, 2011

"Bunga Bunga" Berguguran

KHAMIS, 7 Julai 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Perdana Menteri Italy, Silvio Berlusconi, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, mencetuskan kemarahan anggota Parlimen negara itu yang merentasi spektrum politik atas dakwaan menggunakan rang undang-undang jimat cermat demi kepentingan peribadi, iaitu membenarkan kumpulan Fininvest miliknya mengelakkan bayaran pampasan yang melumpuhkan berjumlah 750 juta euro kepada musuh perniagaan sayap kiri, Carlo De Benedetti.


Banyak perkara Berlusconi boleh senyum, tulis The Economist tentang manusia yang menipu seluruh negara, dan eranya menghantui Italy untuk beberapa tahun mendatang. Majalah itu seakan-akan membayangkan bahawa Perdana Menteri Italy itu pandai "skru" serba-serbi.  Berusia 74 tahun, dia mewujudkan empayar media yang menjadikannya orang terkaya di Italy.  Dia menguasai politik sejak tahun 1994, dan kini, Perdana Menteri Italy yang paling lama sejak Mussolini.  Dia berjaya mengharungi sekian banyak ramalan bahawa eranya akan berakhir.  Namun, tambah majalah itu, di sebalik kejayaan peribadinya, dia membawa kecelakaan sebagai pemimpin negara dalam tiga cara.  Dua daripada telah diketahui umum.  Yang pertama ialah kisah yang menggemparkan tentang parti seks "Bunga Bunga," satu daripadanya membawa kepada pertunjukan yang tidak berakhlak tentang Perdana Menteri dihadapkan ke muka pengadilan di Milan atas melanggani gadis di bawah umur.  Perbicaraan Rubygate mencemari bukan hanya Berlusconi, tetapi juga negaranya.  Macam mana sekalipun skandal seks yang mengaibkan ini dikatakan kesannya terhadap prestasi Berlusconi sebagai ahli politik adalah terhad, justeru, akhbar kebanyakannya melupakannya.  Kegagalan kedua, yang mencetuskan protes yang panjang ialah tipu helang kewangannya.  Tahun demi tahun, dia dibicarakan berbelas-belas kali untuk penipuan atau fraud, memalsukan perakaunan atau rasuah. Yang paling teruk setakat ini ialah kecacatan ketiga, iaitu dia tidak mempedulikan sama sekali keadaan ekonomi negaranya.  Mungkin kerana dia terganggu oleh kekusutannya yang melibatkan undang-undang, dia gagal hampir sembilan tahun sebagai Perdana Menteri untuk memulihkan  atau bahkan benar-benar mengakui kelemahan ekonomi Italy yang serius.


Berikutan krisis hutang, beberapa negara zon euro diperkenalkan dengan akronim yang menjijikkan, iaitu PIGS (Portugal, Ireland, Greece, Sepanyol), kemudian muncul PIIGS (I yang satu lagi maksudnya Italy).  Simon Johnson yang menulis dalam Bloomberg  membangkitkan kemungkinan domino  Eropah  merebak ke Italy.  

Silvio Berlusconi mungkin berusia 74 tahun, tetapi ganas,  seperti orang berusia 60 tahun atau bahkan lebih muda.  Dia mampu mengadakan hubungan seks beberapa kali sehari, bahkan empat atau lima kali.  Demikian doktornya, Umberto Scapagnini memberitahu stesen radio Italy, Radio24.  Namun, dia menafikan bahawa dia mempunyai kekuatan yang agak luar biasa,  "Saya lebih daripada Superman jika saya mengadakan pesta dengan 24 orang gadis."

"Bunga Bunga," seperti yang diketahui umum ialah pesta seks, tetapi tidak diketahui daripada mana asalnya ungkapan ini, tetapi ada yang mengatakan bahawa Berlusconi memperolehnya daripada kawan rapatnya, Muammar Gaddafi. "Bunga Bunga" merupakan sumber yang memalukan untuk banyak orang Italy, dan kelucuan untuk yang lain, termasuk Presidente, sebagaimana Berlusconi dikenali, tulis Ariel Levy dalam sebuah makalah dalam The New Yorker pada awal bulan lalu.  Setelah menyentuh  secara ringkas kegagalan Berlusconi sebagai pemimpin, Levy mendedahkan  hubungan seks dengan  remaja, penari gelek perut bernama Karima el Mahroug yang lebih dikenali nama pentasnya, Ruby Rubacuori, atau Ruby Pencuri Hati.  Berlusconi mendakwa bahawa dia tidak pernah mengadakan hubungan seks dengan gadis itu, dan bagaimanapun, gadis itu memberitahu bahawa dia berusia 24 tahun.  Berlusconi mengaku bahawa dia memberi gadis itu beribu-ribu euro pada akhir malam pertama di Arcore, dan berpuluh-puluh ribu lagi kemudian.  

Rubygate, seperti yang setiap orang sebut skandal itu, semakin menggemparkan.  Dua daripada sahabat Berlusconi, iaitu Emilio Fede, hos pertunjukan televisyen dan agen hiburan Dario (Lele) mora, didakwa sebagai bapak ayam yang membekalkan pelacur untuk memuaskan keinginan erotik Perdana Menteri yang  berbunga-bunga, dengan bantuan daripada Nicole Minette, berusia 26 tahun, kemungkinannya kekasih Berlusconi.

Pada pagi 6 April, hari pembukaan perbicaraan Berlusconi atas tuduhan melanggani pelacur bawah umur dan tuduhan menyalahgunakan kuasa, berbelas-belas wanita berkumpul di hadapan mahkamah di Milan.  Mereka tidak bersyukur kepada Tuhan atas kewujudan Silvio.  Beberapa orang membawa jambak bunga yang berwarnakan bendera Italy dan memegang isyarat yang besar yang berbunyi "Majisteret, jangan mengalah.  Kami bersama-sama anda!"

"Berlusconi," tulis Ariel Levy, "selalu percaya bahawa 'politik ibarat cuba memikat wanita: anda perlu mengelirukan gadis itu.'  Teknik ini ialah jampi yang memaksa, penggodaan menerusi gerakan tangan yang lincah merupakan satu daripada ciri dia."  Levy juga berbual dengan Giuliano Ferrara, sahabat Berlusconi dan bekas anggota kabinet, yang memberitahu bahawa "Dia (Berlusconi) bohong macam bohong anak kecil: dia ditangkap dengan tangannya di dalam balang biskut dan berkata 'Saya tidak pernah makan biskut seumur hidup saya!'"

Karima berasal dari Maghribi pernah dirogol oleh dua orang pak ciknya, dikatakan amat terhutang budi pada Berlusconi kerana memberinya wang yang begitu banyak tanpa mengharapkan apa-apa balasan.  Dia juga memberitahu bahawa Berlusconi tidak pernah menyentuh dirinya, "Saya tidak faham mengapa anda melihat  kehodohan, sedangkan tiada kehodohan." Akan tetapi, pengintipan melalui talian telefon yang merakamkan Karima memberitahu kawannya bahawa Berlusconi memberitahunya, "Ruby, saya memberi anda banyak wang yang anda mahu, saya akan memberi, saya akan menaburkan anda dengan emas, tetapi yang penting adalah sembunyi segala-galanya; jangan beritahu sesiapa sahaja."  Karima memberitahu kawannya bahawa dia meminta lima juta euro.

Makalah yang panjang juga datangnya daripada Evgenia Peretz dengan Federico Rampini dalam Vanity Fair yang mendedahkan bagaimana Silvioa Berlusconi memberikan jawatan timbalan wilayah untuk Lombardy kepada Nicole Minetti yang menerima gaji 12,000 euro sebulan.  Memang sukar untuk mengatakan apakah Nicole bekerja dari segi dasar, mungkin kerana, jika dakwaan pendakwa raya betul, dia mempunyai tangan yang sibuk mencari wanita muda untuk Perdana Menteri, mengurus rumah mereka, dan menemani mereka ke parti "Bunga Bunga," yang termasuk tarian bogel dan  pemujaan ringan dan pertunjukan lesbian.  "Dua orang wanita untuk seorang lelaki ... hanya seorang lelaki dengan hak untuk bersanggama dan ialah Perdana Menteri."

Meskipun pelacuran tidak haram di Italy, membayar untuk seks untuk individu di bawah 18 tahun adalah salah, dan Ruby atau Karima penari gelek perut yang turut menyertai pesta "Bunga Bunga" itu berumur 17 tahun.  Dengan perbezaan umur 56 tahun, tidak menghalang Berlusconi daripada berborak 67 kali lebih selama tiga bulan dan dituduh melanggani perkhidmatan seks gadis sekurang-kurangnya 13 kali.  

Di Perancis, Nicolas Sarkozy melancarkan usaha untuk mengguling Gaddafi,  di Jerman,  Angela Merkel terpaksa bertungkus-lumus untuk mengeluarkan Kesatuan Eropah daripada krisis hutang, di Italy, Berlusconi bukan sekadar meniduri wanita muda kiri dan kanan, tetapi menayang-nayangkannya secara umum dan  memberi mereka jawatan kerajaan berprofil tinggi.  

Dalam usaha mempertahankan dirinya, Berlusconi dikatakan menyalahkan Komunis (meskipun Komunis tidak lagi menjadi kuasa utama di Italy selama 20 tahun) dan membuat jenaka lucah. "Saya sudah berumur 74 tahun dan meskipun saya mungkin sedikit nakal ... 33 orang wanita dalam dua bulan nampaknya bagi saya adalah melampau, bahkan untuk ketika berusia 30 tahun." Di samping itu, dia menegaskan apabila skandal Ruby terbongkar, "lebih baik menyukai  gadis jelita daripada menjadi homoseksual."

Meskipun dalam usia 70-an, Berlusconi dikatakan membayangkan dirinya betul-betul kuda jantan:  "Jika saya tidur tiga jam, saya masih mempunyai cukup tenaga untuk berasmara untuk tiga jam lagi."  

Lelaki tetap lelaki, tanpa kira usia, muda atau tua, cacat atau sempurna, bagi mereka, seks tidak ada pantang larang:  membujur lalu melintang patah.  Bagi Berlusconi, memang tidak memeranjatkan kerana selain  dia mudah  tergoda pada wanita muda, kekayaan dan kedudukan yang dimiliki, menjadikan nalurinya sentiasa membara. Justeru, pada usia yang sedemikian, dia mampu membuktikan kemampuannya untuk menerokai dan memunggari bumi Arab yang segar bugar itu.  

No comments:

Post a Comment