Adakah anggaran di atas tepat dan wajar? Tanya Noor Azlan. Adakah mencerminkan isu sebenar yang dihadapi negara dalam konteks pemberian subsidi? Bukan semua subsidi beban kepada kerajaan. Ada kalanya kerajaan sememangnya penanggung kos terbaik dan paling sesuai khususnya bagi memastikan pembangunan sosial. Dalam konteks ini adalah tidak wajar dikategorikan perbelanjaan yang berkenaan sebagai “subsidi” secara mutlak kerana sememangnya kos bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab membangunkan negara.Pemandu agak keliru di sini, tegas Noor Azlan. Sebagai contoh, bandingkan dua kategori penggunaan yang melibatkan "subsidi" gula dan program pengajian ijazah di IPTA. Siapa yang mendapat manfaat? Gula memanfaatkan (dan juga memudaratkan sekiranya berlebihan). Seorang yang berpendidikan bukan sahaja memanfaatkan dirinya, malah ahli keluarga, masyarakat dan negara.
Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan! Dalam Belanjawan 2011 yang bernilai RM211,987 juta, daripada jumlah tersebut, 11.2 peratus atau kira-kira RM23.74 bilion diperuntukkan kepada subsidi. Inilah janji Kerajaan Persekutuan untuk rakyat Malaysia yang dibentangkan dan diluluskan di Parlimen. Sedangkan jika dirujuk perbelanjaan untuk subsidi pada tahun ini, seperti yang dimaklumkan oleh Dr. Awang Adek yang dipetik di atas, jumlahnya ialah RM20.58 bilion. Justeru, mengapa perlu riuh-rendah seakan-akan dunia akan berakhir. Kerajaan Persekutuan mempunyai tangggungjawab moral dan politik untuk memenuhi segala janji mereka untuk memberikan subsidi pada rakyat pada sejumlah: tunaikan janji yang tersurat. Juga tidak perlulah diungkitkan rakyat ketagih subsidi seperti ketagih candu. Sebenarnya, kerajaan yang berjanji memberikan “candu” kepada rakyat dalam Belanjawan 2011: “Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.” Nanti, rakyat persenda bahawa “kerajaan cakap tidak serupa bikin,” sukar pula hendak dijelaskan.
“Subsidi ini,” tulis Anita perlu dipotong untuk mengatasi defisit fiskal. Biasanya, penterjemahan daripada idea kepada tindakan bukannya jalan yang mudah.” Seperti yang diketahui, defisit berlaku sejak tahun 1998 ketika negara mengalami krisis kewangan. Pada tahun 2008, defisit ialah 4.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat kepada tujuh peratus pada tahun 2009, 5.6 peratus 2010, dan 5.4 peratus pada tahun ini.
Namun, untuk menyalahkan subsidi kerana berlakunya defisit, sememangnya tidak tepat sama sekali. Jika diperhatikan Belanjawan 2011 yang bernilai RM211,987 juta, perbelanjaan mengurus untuk emolumen ialah 21.8 peratus atau kira-kira RM46,213 juta yang hampir menyamai perbelanjaan pembangunan yang terdiri perkhidmatan ekonomi 13.4 peratus, perkhidmatan sosial 7.3 peratus, Keselamatan 7.3 peratus, dan pentadbiran awam 0.5 peratus yang kesemuanya menjadi 23.3 peratus atau kira-kira RM49,393 juta.
Malangnya, perbelanjaan emolumen yang begitu besar, dan tentunya saiznya besar, iaitu melibatkan 1.2 juta orang penjawat awam, tidak diberikan perhatian oleh ahli politik, baik di sebelah kerajaan mahupun pembangkang. Hal ini demikian, kedua-dua pihak terpaksa menjaga kepentingan politik, iaitu meraih sokongan penjawat awam. Bahkan, kedua-dua pihak berlumba-lumba menabur “gula-gula” untuk penjawat awam: Barisan Nasional memberikan kenaikan pangkat dan gaji untuk guru, manakala Pakatan Rakyat berjanji kalau menguasai Putrajaya, memberikan kenaikan gaji RM500 sebulan untuk guru. Ini tidak termasuk tindakan kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat yang “sama-sama galak” atau sama-sama bersaing dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil hati penjawat awam.
No comments:
Post a Comment