Pages

Sunday, May 15, 2011

Pilihan Raya Singapura: Gembar-gembur Tidak Kesampaian


ISNIN,  16 Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pilihan raya umum Singapura pada 7 Mei, yang lebih seminggu berlalu turut mendapat liputan media di Malaysia, tidak kurang dalam blog dan Facebook.  Seperti yang dapat dilihat dalam media sosial, parti pembangkang di negara ini mengharapkan parti pembangkang di negara kota mencipta kemenangan gilang gemilang dengan harapan angin  perubahan itu turut melanda Johor yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional.  Mengharapkan bulan jatuh ke riba atau tuah datang bergolek. 

People’s Action Party (PAP) yang memenangi setiap pilihan raya umum sejak tahun 1959, dan  memenangi 82 daripada 84 kerusi pada tahun 2006, menghadapi saingan hebat daripada pembangkang.  Empat hari sebelum pilihan raya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memohon maaf kepada para pengundi – sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini – atas kesilapan dasar dan kesilapan bodoh kerajaan sejak pilihan raya 2006.

Meskipun menghadapi cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk 82 daripada 87 kerusi parlimen, namun menurut pemerhatian Neel Chowdhury,  pembangkang politik di negara Singapura yang berselerak,  akhirnya pasti parti pemerintah mengekalkan majoritinya.  Chowdhury turut menyentuh peranan media sosial dalam rapat umum pembangkang, Worker’s Party (WP) yang berjaya menarik sejumlah besar khalayak.

Singapura ialah negara yang paling berhubung di dunia.  Hampir setiap penghuni negara kota ini membawa telefon bimbit (sesetengahnya membawa dua) dan menikmati akses Internet jalur lebar, tulis Chowdhury.  Beliau memetik Citigroup bahawa Singapura mempunyai sebahagian besar pengundi yang akan mengundi untuk kali pertama pada 7 Mei, kerana mereka baru sahaja mencapai usia yang layak mengundi.  Sesetengahnya mengundi kali pertama kerana dalam pilihan raya sebelum ini, seperti tahun 2006, terlalu sedikit kerusi yang ditandingi oleh pembangkang.  Menurut Citigroup lagi, lebih satu perempat daripada 2.35 juta rakyat Singapura yang layak mengundi adalah berumur antara 21- 34 tahun.

“Parti pembangkang percaya bahaaw golongan pengundi kali pertma mungkin lebih terbuka untuk perubahan politik, tidak seperti pengundi tua yang pada amnya, yang merupakan pengundi setia parti pemerintah. Pengundi yang lebih tua masih ingat bagaimana PAP membina Singapura daripada keadaan yang sangat bahaya pada tahun 1965 kepada negara kota yang maju dan berjaya pada hari ini.”

Walau bagaimanapun, Chowdhury turut memetik pandangan penganalisis politik yang mengingatkan bahawa bahkan golongan pengundi muda yang lantang yang tidak berkongsi sepenuhnya dengan rasa hormat nenek moyang mereka terhadap parti pemerintah mungkin berubah fikiran sebaik-baik sahaja mereka memasuki tempat mengundi. 

Sebaik-baik parlimen dibubarkan, The Economist, muncul dengan “The Men in White are Always Right” meningatkan bahawa pembangkang bernasib baik untuk memenangi sebilangan kecil kerusi.  Makalah itu juga menyatakan banyak rakyat Singapura kecewa dengan peningkatan kos makanan, petrol, dan keperluan asas lain  di kota yang mahal itu.  Ahli politik bercakap dengan cara yang meyakinkan tentang banyak golongan pekerja yang miskin.  Di negara yang menyediakan sedikit sahaja kebajikan untuk rakyat, maka bukan sesuatu yang aneh untuk melihat orang ramai dalam usia lewat 70-an masih bekerja di restoran dan pasar raya.


Walau apa-apa pun ketidakpuasan rakyat, makalah itu menarik perhatian tentang sistem pilihan raya di negara itu, khususnya dengan pengenalan Group Representation Contituencies (GRCs) pada tahun 1988 yang memberikan kelebihan kepada parti pemerintah. “Warganegara di GRCs mengundi untuk parti, bukannya individu anggota parlimen… Walau bagaimanapun, dari segi amalan, parti yang mempunyai wang yang banyak dan kebanyakan calon memangi GRCs yang mungkin mempunyai empat, lima atau enam  wakil.”

Meskipun kempen berlangsung dengan sengit, para penganalisis menjangkakan bahawa PAP tidak banyak kehilangan kerusi.  Bahkan, harapan pada pihak pembangkang adalah sederhana.  WP hanya bertanding 23 daripada 87 kerusi parlimen, dan dengan itu, mustahil dapat membentuk kerajaan dengan partinya sendiri.  Sebaliknya, seperti yang ditegaskan oleh pemimpin parti itu, Low Thia Khiang, mereka mahu mengawal kuasa parti pemerintah. 

Selepas keputusan pilihan raya diketahui, The Economist sekali lagi muncul dengan “Low Expectations.” Para pengundi membuat keputusan bahawa mereka tidak mahu pembangkang memilih untuk mereka.  Mereka sendiri yang memilih seseorang.  Masih kecil, memenangi enam daripada 87 kerusi parlimen yang dipertandingkan.  Akan tetapi, ini keputusan terburuk untuk PAP sejak perpisahan dengan Malaysia pada tahun 1965.  Paling banyak kerusi yang hilang ialah empat kerusi, iaitu pada tahun 1991.  PAP memenangi 60.1 peratus daripada keseluruhan undi, merosot daripad 66.6 peratus pada 2006, dan 75.3 peratus pada 2001. 

“PAP telah belajar bahawa dua perlima pengundi Singapura bersungut dengan mereka, meskipun Singapura berjaya sebagai sebuah kota yang kaya, bersih, mematuhi undang-undang, dan menyenangkan, dengan ekonomi masih melambung.  Tanggapan lazim adalah bahawa menteri-menteri PAP yang menikmati gaji yang lumayan, tidak mempedulikan golongan yang kurang berada tentang kenaikan harga, terutamanya perumahan, dan tentang kebanjiran golongan imigran, kebanyakannya dari China.  Daripada penduduk hanya lebih lima juta orang, kira-kira satu perempat ialah imigran.”

Tambah makalah itu lagi, “ahli-ahli politik didapati bangga diri, takbur, dan begitu angkuh. Pada masa lalu, para pengundi dicegah daripada mengundi calon bukan PAP dengan ancaman diskriminasi terhadap kawasan yang diwakili oleh pembangkang di perumahan awam yang sedang meningkat.  Selain pelbagai tekanan yang dikenakan terhadap pembangkang, bukan mudah untuk mencari calon yang baik untuk menentang PAP.

Meskipun keputusan itu dianggap kemenangan besar bagi parti yang paling lama berkuasa di dunia, ulas Time, keputusan itu memperlihatkan halangan untuk pewujudan politik Singapura yang menikmati kuasa yang tidak ada tolok bandingnya bagi lima dekad.  PAP yang menguasai 82 daripada 84 kerusi parlimen sebelum ini, kekal sebagai kuasa politik dominan di Singapura, tetapi WP menunjukkan kekuatan yang tidak berlaku sebelum ini bagi parti pembangkang dan meletakkan kedudukan untuk menyediakan suara alternative dalam parlimen baru.  “PAP memperoleh rasa hormat tulen, terutamanya daripada pengundi tua kerana membantu merangsangkan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar kepada AS$43,867 tahun lalu daripada AS$428 pada tahun 1960.  Namun begitu, bahagian keseluruhan undi yang diperoleh PAP merosot daripada 75 peratus pada 2001 kerana upah yang beku dan kos taraf hidup yang tinggi yang memarakkan jurang pendapatan yang semakin luas dan rasa geram dalam kalangan penduduk Singapura yang miskin.”

Perdana Menteri Lee Hsien Loong secara terbuka mengakui bahawa pilihan raya itu menandakan anjakan yang ketara dalam  landskap politik negara itu menurut beliau, “semua kita mesti sesuaikan.  Meskipun para pengundi member PAP mandat yang kuat, tetapi banyak pengundi, termasuk sesetengah yang mengundi kita, jelas menyatakan rasa prihatin yang ketara kedua-duanya terhadap isu dan pendekatan kita untuk kerajaan.”  Beliau juga mengakui bahawa “banyak rakyat Singapura berharap kerajaan menerima pakai gaya dan pendekatan yang berbeza.  Kami mendengar suara anda.  PAP akan belajar daripada pilihan raya ini dan membetulkan apa yang silap.”

Meskipun menang kecil, WP tetap meraikan kemenangan itu, seperti yang ditunjukkan oleh Setiausaha Agungnya, Low Thia Khiang:  “Keberanian anda menghasilkan kejayaan cemerlang untuk generasi masa depan.  Anda mengambil lompatan sebenar kepercayaan dan keyakinan.”
Dalam “Why Singapore’s Election Didn’t Up to the Hype”  Neel Chowdhury, sebagaimana pengulas yang lain, menyentuh kecewaan  rakyat Singapura terhadap  kos sara hidup yang meningkat yang diterjemahkan ke dalam peti undi.  Banyak pengundi berpendapatan rendah mengkritik parti pemerintah yang menekankan pertumbuhan ekonomi sehingga mengorbankan segala-galanya.  Pengundi tidak senang hati juga terhadap jalan raya dan pengangkutan awam yang sesak, yang sebahagiannya berpunca daripada kebanjiran imigran ke negara itu, terutamanya antara tahun 2004 – 2008.  Ditambah dengan undang-undang kegiatan berkempen yang longgar memberikan kelebihan kepada pembangkang.

Walaupun  merosot dalam undi popular, tulis Chowdhury, “PAP mengekalkan 81 daripada 87 kerusi parlilmen.  Dan meskipun rakyat Singapura memilih enam anggota pembangkang  ke Parlimen untuk mengaal kuasa parti pemerintah, kemaraan sederhana pembangkang pada 7 Mei itu mungkin satu hari menurap laluan untuk kemenangan yang lebih besar, tetapi sesiapa sahaja di luar Singapura akan menganggap keputusan pilihan raya ini sebagai kemenangan besar untuk kerajaan.  Akhirnya, status quo benar-benar ditegaskan. ‘Tarian Selamat’ kelihatan menguasai sikap tentatif Singapura ke arah perubahan politik.”

Bagi Chee Soon Juan, pemimpin Singapore Democratic Party (SDP), beliau menganggap Singapura memulakan langkah pertama untuk demokrasi sebenar.   “Kempen kita membuktikan bahawa orang ramai sudah bosan dengan pemerintahan satu parti.  Dengan bantuan media baru, rakyat Singapura boleh mencampakkan ketakutan mereka,” tulis Chee dalam guardian.co.uk.  Chee yang diharamkan daripada bertanding dalam pilihan raya kerana beliau disaman fitnah oleh dua orang bekas Perdana Menteri, iaitu Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong, diperintahkan membayar lebih satu juta dolar Singapura, menegaskan:  “Orang ramai akhirnya letih hidup di bawah sistem autoritarian yang secara tekal  diberitahu bagaimana baiknya pemerintah mereka dan pemerintahan mereka adalah hak dan bukannya hak istimewa. 

Tambah beliau, “kita lihat pertambahan yang tidak berlaku sebelum ini dari segi bilangan orang ramai yang datang untuk membantu secara sukarela.  Golongan profesional perubatan, peguam, pendidik, pengurus, dan pelajar, mencurah-curah keluar dan datang ke pejabat kami  dengan beratus-ratus orang.  Saya dapat lihat satu mesej tertulis di muka mereka: ‘Kami sudah bosan, kami mahukan perubahan!’”  

Chee Soon Juan mengakhiri penulisannya dengan penuh semangat dan harapan, tidak akan berpatah balik sekarang. Jalan untuk kebebasan tanpa sebarang keraguan masih jauh dan berliku-liku.  Akan tetapi, Singapura mengambil langkah pertama yang penting untuk menjadikan demokrasi berparlimen satu realiti.

Sesungguhnya, Singapura berjaya dalam pembinaan bangsa dan pelaksanaan dasar-dasar nasional, seperti dalam bidang ekonomi dan pendidikan, bahkan bersih daripada penyelewengan dan rasuah.  Namun, apabila pembangunan ekonomi tidak disertai dengan agihan pendapatan yang lebih, maka wujud keluh kesah dalam kalangan rakyat yang miskin.  Ketidakpuasan  terhadap kos sara hidup yang meningkat dan ketidakselesaan dalam kehidupan seharian yang berkait dengan kemudahan awam  boleh mencetuskan penentangan seharian yang akhirnya dibawa ke dalam peti undi. 

Selain itu, mereka mula memandang jijik terhadap  para menteri yang hidup mewah dan ahli politik yang angkuh – sesuatu yang wajar dipelajari oleh para pemimpin kita seandainya mereka ingin terus berkuasa dalam pilihan raya akan datang.  Memang banyak yang dapat dipelajari daripada pilihan raya di Singapura, tetapi untuk menyenaraikan satu demi satu terasa seperti mengajar itik berenang atau juga seperti mencurah garam ke laut.


 

No comments:

Post a Comment