Pages

Tuesday, May 10, 2011

Dikehendaki Mati AS$3 Trilion


SELASA,  10  Mei 2011

Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Meskipun seminggu berlalu, namun  berita dan ulasan tentang kematian Osama bin Laden dan kisah semasa hayatnya, baik kehidupan peribadi mahupun rangkaian al-Qaeda masih mencurah-curah.  Tidak kurang tentang yang lain, misalnya Pakistan yang disyaki melindungi Osama yang tinggal itu di negara sekurang-kurangnya sejak lima tahun lalu.  Turut mendapat perhatian ialah kehebatan  Presiden Barack Obama yang disanjung oleh pelbagai pihak, termasuk Republikan yang selama ini sering mengkritik beliau yang dianggap penakut.   Panglima Besar yang nekad mengarahkan operasi;  kini   seluruh dunia tahu operasi itu berjaya dan kegagalan operasi untuk menyelamatkan tebusan Amerika pada 24 April 1980 tidak berulang. Keterangan awal menunjukkan bahawa kematian Osama meningkatkan pendapat awam terhadap  Obama. Tinjuan  Newsweek/Daily Beast mendapati tidak ada peningkatan mendadak, tetapi tinjauan pendapat oleh pihak lain menunjukkan beliau meningkat. 

Pasukan keselamatan negara Obama dikatakan berbelah bagi tentang operasi untuk menyerbu Osama bin Laden. “Pada akhir hari itu, situasi masih lagi 55-45,” Obama memberitahu program “60 Minit” CBS dalam wawancara pertama yang disiarkan sejak Osama bin Laden mati awal Isnin  1 Mei lalu.  “Maksud saya, kita tidak boleh kata pasti bahawa Osama tinggal di sana.  Seandainya dia tidak ada di sana, nescaya berlaku beberapa akibat yang signifikan.”  Saya menyimpulkan adalah berbaloi, kata Obama.  “Kita telah menumpahkan darah dan membelanjakan harta  bernilai untuk memenangi peperangan menentang al-Qaeda, pernah sejak tahun 2001.  Dan saya memberitahu diri saya sendiri bahawa jika kita mempunyai peluang yang baik yang bukannya menumpaskan, tetapi menghalangkan keupayaan al-Qaeda, maka adalah berbaloi kedua-duanya, iaitu risiko politik, di samping risiko terhadap orang kita, selepas memburu mereka yang melibatkan kos berbilion-bilion dolar dan menjangkau waktu hampir satu dekad.”

“Untuk memahami peluang baru Obama,” tulis Andrew Romano dan Daniel Klaidman, “adalah penting untuk menjejak mindanya balik kepada asal-usulnya.  Di sebalik retorik idealistiknya, Obama berkembang kepada realis yang keras kepala ketika beliau bertanding untuk Pilihan Raya Presiden 2008.”  Bagi Michael Hirsh, kejayaan Presiden Obama menumpaskan pemimpin al-Qaeda itu adalah kerana anjakan strategik yang utama bagaimana berurusan dengan pengganas yang berbeza sama sekali dengan pentadbiran sebelum ini.  Beliau memberikan tumpuan pada al-Qaeda dan bukannya terhadap kumpulan lain yang dianggap pengganas dan membetulkan semula hubungan Amerika dengan dunia.

Namun, di sebalik keriangan kebanyakan rakyat Amerika terutamanya menyambut kematian Osama, Amerika terpaksa menanggung harga yang cukup tinggi. Pada detik apabila media dan ramai orang Amerika keriangan mendengar berita kematian Osama, menurut catatan Tom Engelhardt, “kita masih 100,000 orang tentera, 50,000 tentera sekutu, angka yang mengejutkan bagi tentera upahan, dan sekurang-kurangnya 400 pangkalan tentera di Afghanistan hampir 10 tahun. Semua ini adalah sebahagian peperangan yang tidak berhujung terhadap seorang lelaki dan organisasinya yang menurut pengarah CIA, yang sepatutnya mempunyai hanya 50 hingga 100  pekerja di negara itu.”  

Seperti yang dinyatakan oleh pakar keganasan, Daveed Gartenstein-Ross, Osama percaya bahawa sebagaimana pejuang Arab dan mujahidin Afghanistan memusnahkan Rusia dari segi ekonomi, al-Qaeda kini melakukan perkara yang sama terhadap Amerika Syarikat.  Dari beberapa segi, pendapat itu betul, hujah Romesh Ratnesar, perang terhadap keganasan memaksa Amerika Syarikat menanggung kos yang meningkat kepada AS$3 trilion, membebani negara dengan defisit sehingga sejauh mata dapat melihat dan menyekat  kemampuan kita untuk melabur pada masa depan.

“Dalam dekad lalu,” tegas Ratnesar, “musuh ekonomi di dunia membangun mengambil kesempatan daripada obsesi kita terhadap keganasan untuk memadamkan daya saing yang diterajui Amerika Syarikat.”  Beliau juga memetik Ezra Klein yang menulis dalam Washington Post bahawa kesukaran Amerika adalah sebahagiannya dicipta oleh Amerika sendiri:  kita tidak perlu menceroboh Iraq, meluluskan potongan cukai yang kita tidak sanggup atau membutkan mata ketika banker pelaburan bermain rolet dengan pasaran perumahan.

Dalam makalah yang cukup panjang dalam The Atlantic, Tim Fernholz dan Jim Tankersley cuba menarik perhatian ketika rakyat Amerika “berpesta,” tentang kos yang ditanggung oleh Amerika Syarikat.  Musuh awam yang paling mahal dalam sejarah Amerika dibunuh pada hari Ahad dengan dua butir peluru.  Menurut angka konservatif, tegas Fernholz dan Tankersley, kos yang ditanggung oleh Amerika Syarikat sekurang-kurangnya AS$3 trilion selama 15 tahun, mengambil kira gangguan yang ditempa  oleh Osama terhadap ekonomi domesik, peperangan dan keselamatan yang dipertingkat yang dicetuskan oleh serangan pengganas yang dia atur, dan usaha langsung untuk memburunya.  Dua peperangan yang terus memenuhi 150,000 orang tentera dan mengikat satu perempat belanjawan pertahanan Amerika; memperbesarkan sistem keselamatan dalam negeri yang pada masa itu menolak sempadan hak kebebasan awam; meningkatkan harga minyak sebahagian berpunca daripada peperangan global terhadap rangkaian keganasan Osama; dan bahagian besar hutang negara yang meningkat, yang mengancam untuk memincangkan ekonomi, kecuali penggubal undang-undangn bertolak ansur untuk menangani pengurangan defisit yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kedua-dua penulis ini tidak menafikan kemajuan sosial dan ekonomi yang akan dihasilkan oleh peperangan musuh Amerika yang memakan kos yang tinggi pada masa lalu, seperti mengalahkan tentera Gabungan, menumpaskan Adolf Hitler, dan menjadikan ketenteraan agam semasa Perang Dingin.  “Mungkin sinar harapan ekonomi yang sangat besar daripada perbelanjaan Amerika untuk Osama bin Laden, jika wujud ialah satu, iaitu pembangunan pesat dalam pesawat tanpa manusia.  Itulah durian runtuh AS$3 trilion setakat ini.”  
Tim Fernholz dan Jim Tankersley juga memetik Linda Bilmes, pensyarah di Harvard University's John F. Kennedy School of Government, pengarang bersama buku tentang kos peperangan Iraq dan Afghanistan dengan Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz, yang berkata, “Kita telah membelanjakan sejumlah besar wang yang tidak banyak memberikan kesan terhadap pengukuhan ketenteraan kita, dan mempunyai kesan yang sangat lemah terhadap ekonomi.”

Namun, kedua-dua penulis mengakui bahawa tentu sekali perjuangan menentang Osama bin Laden, Amerika Syarikat dapat mengelakkan daripada sekali lagi berlakunya serangan yang benar-benar mendatangkan bencana terhadap bumi negara itu.  Al-Qaeda, meskipun tidak dimusnahkan, tetapi menjadi pincang dengan teruk.  Dalam hubungan ini,  Fernholz dan  Tankersley memetik  Michael O'Hanlon, penganalisis keselamatan negara di  Brookings Institution bahawa “Kita membuktikan  bahawa kita menghargai keselamatan kita cukup untuk menampung beberapa kos ekonomi yang cukup besar dalam perjalanan untuk melindunginya.”
Bagi kedua-dua penulis berkenaan, Osama bin Laden meninggalkan legasi:  Amerika meminjam wang untuk membiayai peperangan terhadap keganasan.  Kos sebenar serangan 11 September yang dilancarkan oleh Osama adalah antara AS$50 bilion dengan AS$100 bilion, angka ini boleh jadi besar.  “Meskipun Osama bin Laden dikebumikan di latu, pelampau Islam yang lain telah pun bersedia untuk menggantikan tempatnya.  Tiba waktunya, musuh baru, luar negara dan dalam negara, akan bangkit untuk mencabar Amerika.  Apakah yang mereka akan kos kita, jauh daripada kita sedari, adalah pilihan kita.”

Sepintas lalu jika dilihat kos yang ditanggung terlalu besar, memang tidak berbaloi untuk memburu dan membunuh Osama bin Laden.  Namun, bak kata orang tua-tua, “alang-alang menyeluk pekasan, biar sampai ke pangkal lengan.”  Maruah sebuah hegemoni mesti dipertahankan dan ditegakkan,  meskipun sebesar mana kos yang perlu ditanggung.

No comments:

Post a Comment