Artikel Popular

Monday, March 7, 2016

“Malay-Centric” Lebih Baik daripada Melayu Hipokrit!

SELASA, 7 Mac 2016
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tan Sri Rafidah Aziz semasa dalam Kabinet terkenal dengan sikap berterus terang dan beliau dikenali dengan julukan “wanita besi.”  Namun begitu, kekuatan sebenar Rafidah terbongkar apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad  menggasak Rafidah tentang pemberian permit import (AP). Akibat gasakan demi gasakan daripada Dr. Mahathir dan pelbagai tekanan, maka pada 19 Julai 2005,  Rafidah muncul di kaca televisyen dengan air mata berderai sambil   menegaskan  bahawa beliau tidak mempunyai alasan untuk meletakkan jawatan.  Mantan Perdana Menteri itu nampaknya tidak melupakan kritikan beliau terhadap   Rafidah yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana beliau menulisnya dalam Doktor Umum:  Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad.   Dalam buku itu, Dr. Mahathir mendedahkan berapa banyak AP yang diluluskan pada tahun 2005 dan siapakah yang memperoleh kebanyakan AP itu. Tindak-tanduk Rafidah semasa mesyuarat Kabinet berhubung dengan pemberian AP diketahui dan didedahkan oleh Dr. Mahathir.
            Meskipun telah bersara daripada jawatan menteri dan seterusnya sebagai  anggota Parlimen, Rafidah Aziz terus memperlihatkan tabiat lama beliau, iaitu berterus terang. Pada tahun lalu, Rafidah Aziz,  yang menggesa orang Melayu berhenti  daripada berkata, “Melayu dahulu” sambil mengingatkan, “Tanah Melayu tidak wujud lagi. Kini, Malaysia.” Rafidah dalam syarahan awam di Universiti Malaya, “The Role of Education in the Development of Youth Towards Nation-Building,” dipetik oleh  The Malaysian Insider,  sebagai menggesa orang Melayu sepatutnya menghentikan daripada mengenal diri mereka sebagai ras mereka dan menerima bahawa mereka tinggal di negara yang berbeza.  Beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan itu sebelum perhimpunan  “baju merah”  pada 16 September yang dianjurkan oleh kumpulan Melayu.  “Saya tahu, dari segi politik, sesetengah orang tidak mahu itu.  Mereka berkata, ‘Saya Melayu dahulu.” 
            Pada Januari tahun ini, ketika berucap sempena seminar memperingati Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia 40 tahun lalu, Rafidah mendakwa bahawa “Perdana Menteri kedua itu amat kesal hari ini jika beliau tahu bagaimana wujudnya Malay-centric dalam sistem pendidikan negara.” Rafidah,  seperti yang dilaporkan oleh The MalayMail dalam talian, “Rafidah: Current Malay-centric Education System Would Make Razak Hussein ‘Turn in His Grave’,” mendakwa “pentadbiran sekarang menyalahletakkan anggapan nasionalisme dengan menggalakkan sistem yang terlalu Melayu,” dengan mengimbas kembali bahawa “ketika zaman Tun Razak, bahasa Inggeris biasa digunakan sebagai alat  komunikasi.” Tambah Rafidah,  “Beliau (Tun Razak) tidak pernah fikir bahawa pendidikan sepatutnya ditafsirkan secara sempit sebagai hanya Melayu dan pergi jahanam dengan bahasa-bahasa lain di dunia.”
Meskipun sasaran kritikan  Rafidah terhadap pejuang bahasa, apabila beliau menyebut “sistem pendidikan,” beliau seakan-akan lupa para Menteri Pelajaran (Pendidikan) yang kebanyakan daripada UMNO yang bertanggungjawab memperkenalkan dan melaksanakan sistem pendidikan di negara ini. Selepas Tun Razak, ada empat orang menteri yang akhirnya menjadi Perdana Menteri, iaitu  Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad,  Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, dan Dato’  Seri Mohd. Najib Tun  Abdul Razak, manakala tiga daripadanya Timbalan Perdana Menteri, iaitu Tun Musa Hitam, Dato’  Seri Anwar Ibrahim, dan yang terbaru, Tan Sri Muhyiddin Yassin.  
Dr. Mahathir dan Musa merupakan young Turks yang muncul pada era Tun Abdul Razak, yang menurut Barry Wain dalam bukunya, Malaysian Maverick:  Mahathir Mohamad in Turbulent Times, “mereka berasa ‘kontrak sosial’ telah gagal, bahawa UMNO terlalu berlembut dengan orang Cina, dan negara mesti ‘dikembalikan semula’ kepada orang Melayu.”  Dr. Mahathir dalam memoirnya mengaku: “Saya  terbabit secara cergas dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar  utama di sekolah. Saya percaya penggunaan satu bahasa boleh menyumbang ke arah pembentukan negara bangsa, jati diri, dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.”  Sementara itu, Tun Musa  dalam wawancara dengan Far Eastern Economic Review pada Jun 1978,  menegaskan: “Perubahan dasar ini dilakukan kerana bahasa Melayu dianggap sebagai alat untuk mewujudkan perpaduan kebangsaan. Sungguhpun bahasa Inggeris luas dipertuturkan di Malaysia, bahasa ini dituturkan oleh golongan cerdik pandai. Untuk menjamin maruah bangsa, bahasa rasmi mestilah diberi tempat yang utama.  Bahasa Cina dan Tamil dalam perkara ini tidak dianggap sebagai bahasa peribumi dan penggunaan kedua-dua bahasa itu hanya dianggap sebagai galakan untuk perasaan baik sangka dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.” Anwar pula  terkenal sebagai pejuang bahasa sejak beliau di universiti lagi dan berterusan sehingga beliau menyertai UMNO dan berada dalam kerajaan.
Apabila Rafidah dengan megah mengatakan bahawa “bahasa Inggeris biasa digunakan sebagai alat  komunikasi,” mungkin ada yang bertanya: Adakah Rafidah bertutur dalam bahasa itu ketika merayu undi setiap kali pilihan raya diadakan atau semasa beliau  berkempen untuk jawatan dalam UMNO? Tindakan  Rafidah berpindah kerusi Parlimen, dari Selayang ke Kuala Kangsar, pastinya atas pertimbangan untuk mencari “medan pertempuran” yang menjamin kemenangan dan demi  penakatan atau kelangsungan politik beliau.  Dalam kata lain, beliau tidak boleh bergantung pada para pengundi di pinggir bandar raya Kuala Lumpur yang sesetengahnya  menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian mereka.
            Pastinya, kenyataan Rafidah Aziz tentang Malay-centric mengelirukan dan lebih bersifat prejudis.  Kenyataan ini juga jelas menunjukkan kejahilan beliau yang seakan-akan menggambarkan beliau tidak mengetahui apa-apa yang berlaku di negara ini. Namun begitu, oleh sebab beliau pernah   bergerak cergas dalam UMNO  dan  menganggotai Kabinet, maka mustahil beliau tidak  mengetahui isu berkaitan dengan pendidikan dan kebahasaan.
            Pendidikan dan bahasa Melayu merupakan perjuangan penting  UMNO sejak penubuhannya hingga  sekurang-kurangnya  tahun 1980-an. Hakikatnya,  hegemoni UMNO adalah hasil dukungan guru-guru Melayu  dan golongan ini merupakan pejuang bahasa Melayu.  Seperti yang pernah dicatatkan  dalam buku Penitianku...: Sebuah Catatan Peribadi Tun Abdul Ghafar Baba, “berlaku peristiwa besar dalam UMNO pada tahun 1958 di mana guru-guru Melayu beramai-ramai keluar dari UMNO. Guru-guru Melayu adalah tulang belakang UMNO pada waktu itu. Mereka menuntut supaya bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah hendaklah menggunakan bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris.  Banyak cawangan UMNO lumpuh dengan tindakan guru-guru itu.”  Sesungguhnya, tanpa perjuangan bahasa, sekurang-kurangnya pada suatu ketika dahulu, UMNO akan   kehilangan “modal politik” – pengaruhnya tidak tersebar dalam kalangan orang Melayu, dan dengan itu, Rafidah mungkin tidak berpeluang menjadi wakil rakyat, apatah lagi untuk menjadi menteri!
Sebagai imbas kembali, selepas kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955, sebuah Jawatankuasa Pelajaran yang dianggotai oleh 15 orang ahli, diketuai oleh Tun Abdul Razak telah dibentuk. Hasilnya, pada tahun 1956, jawatankuasa berkenaan menerbitkan laporan yang dikenali sebagai Penyata Razak.  Wujud bantahan daripada sebilangan ahli yang tidak berpuas hati kerana bahasa Melayu tidak digunakan sebagai satu-satunya bahasa pengantar di semua sekolah.  Bantahan juga wujud dalam kalangan ahli UMNO sendiri, kebanyakannya dari Pantai Timur.  Dr. Lim Chong Eu, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, salah seorang anggota Jawatankuasa Pelajaran  itu, seperti yang dicatatkan oleh Ooi Kee Beng, dalam buku, Bukan Kerana Pangkat:  Tun Dr Ismail dan Masanya,  menyokong laporan tersebut dan menganggapnya “jalinan pelbagai budaya pendatang negara ini (...) dengan berteraskan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita, serta budaya Melayu sebagai tema yang kuat dan utama.”  Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mantan Timbalan Perdana Menteri, dalam mempertahankan laporan tersebut dan menyanggah bantahan itu, menegaskan “... orang bukan Melayu sudah menerima hakikat adalah negeri orang Melayu dan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.”
Profesor Ulung, Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam  Masyarakat Malaysia yang Membangun (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990),   pernah mengesan dan membahaskan topik yang masih  berterusan hangat hingga kini, meskipun ada kalanya,  “tenggelam, timbul, panas, dingin,” iaitu politik bahasa. Menurut beliau, “sebelum pilihan raya tahun 1955, isu bahasa kendur sedikit kerana isu kemerdekaan menjadi objektif perjuangan utama. Akan tetapi, isu bahasa dan pendidikan kembali hangat antara tahun 1956 – 1959 dan menimbulkan keriuhan politik dalam kempen pilihan raya tahun 1959, berikutan pengenalan Laporan Razak.”  Beliau membangkitkan usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang melibatkan kumpulan bukan politik yang khususnya dianggotai oleh para intelek Melayu, menentang Rang Undang-undang Bahasa yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1967.  Di luar Parlimen, menurut beliau, “beberapa kumpulan mahasiswa universiti, kesatuan guru, dan penulis – semuanya komuniti Melayu menubuhkan Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) untuk menentang penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih luas dan konsep pelbagai bahasa. Pendirian  BBBK,  berdasarkan gambaran yang diberikan oleh Shamsul Amri, merupakan kontrak sosial yang gagal:  “Sebelum merdeka, UMNO telah dijanjikan oleh MCA dan MIC untuk menyokong dan menerima bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kerana UMNO telah bertolak ansur mengenai soal kerakyatan orang bukan Melayu.  Kini, janji itu dimungkiri setelah memperoleh apa yang mereka (MCA dan MIC) inginkan.”  Oleh sebab Rafidah Aziz pernah menjadi orang penting dalam UMNO, iaitu menerajui  Pergerakan Wanita,  maka amat malang sekiranya beliau tidak menyedari kemungkiran yang berlaku itu!
Bahasa Melayu mempunyai kedudukan dan memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi pembinaan bangsa, tetapi juga dari segi pembentukan negara. Kedudukan bahasa Melayu (dan agama Islam) menjadi persoalan dalam pembentukan Malaysia, seperti yang dijelaskan  Tun Muhammad Ghazali Shafie dalam Ghazali Shafie’s Memoir on the Formation of Malaysia. Dalam memoir yang lebih 400 halaman itu,  Ghazali Shafie antara mencatatkan pendirian Singapura yang nampaknya rela bertolak ansur tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,  dan bahkan kedudukan agama Islam. Menurut “King Ghaz,”  Lee Kuan Yee pernah memberitahu beliau bahawa bahasa Melayu sepatutnya merupakan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, meskipun Lee Kuan Yew  berpendapat cara Persekutuan Tanah Melayu melaksanakannya tidak bagus, berbanding dengan pelaksanaannya di Singapura;  tanpa bahasa Melayu rakyat Singapura tidak mampu mendapat  pekerjaan dan belajar bahasa ini didorong semata-mata menerusi keperluan ekonomi.
Oleh sebab Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya sebelum beliau menceburi bidang politik, pastinya beliau tahu sedikit banyak tentang perkembangan pendidikan negara ini, juga tentang Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Merdeka. Dalam Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali, beliau mengenang kembali sejarah penubuhan UKM, iaitu sebagai tindak balas usaha orang Cina untuk menubuhkan Universiti Merdeka pada awal tahun 1970-an, menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar. Dua individu yang merupakan “penggerak utama” penubuhan UKM, adalah daripada UMNO.  Rafidah mungkin lupa nama Tun Syed Nasir Ismail, mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka,  tetapi mustahil jika beliau lupa nama Dr. Mahathir.
Mustahil juga beliau lupa tentang usaha penubuhan Universiti Merdeka, yang pernah ditolak oleh Tun Musa Hitam, Menteri Pelajaran ketika itu, dengan tiga faktor yang menjadi asas penubuhannya:  Universiti Merdeka ditubuhkan oleh sektor swasta, Universiti Merdeka akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, dan menampung kemasukan pelajar daripada sekolah aliran Cina.  Musa mengumumkan penolakan permohonan tersebut ketika Perhimpunan Agung UMNO tahun 1978. Mengapa mantan Timbalan Perdana Menteri itu memilih Perhimpunan Agung UMNO untuk membuat pengumuman tersebut,  pastinya Rafidah tahu akan jawapannya. Berikutan penolakan itu pihak Merdeka University Bhd. mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia dan didengar di Mahkamah Tinggi.  Tindakan ini berlanjutan ke Mahkamah Persekutuan,  yang bersidang pada Julai 1982, menolak permohonan pihak Merdeka University Bhd. 
Walau bagaimanapun, mulai tahun 1990-an – ketika Rafidah masih dalam Kabinet, kerajaan melaksanakan ‘liberalisasi pendidikan,” membenarkan penubuhan universiti swasta, dan akibatnya, berpuluh-puluh buah  “Universiti Merdeka” wujud di negara ini.  Tentang penggunaan bahasa pengantar di universiti swasta ini,  pastinya bukan bahasa Melayu.  Justeru, apabila Rafidah mengatakan, “menggalakkan sistem yang terlalu Melayu,” jelas menunjukkan beliau tidak melakukan kerja rumah.  Selain itu, ketika beliau dalam Kabinet, seperti yang pernah dibangkitkan dalam beberapa keluaran  Dewan Bahasa, pada tahun 1993, kerajaan membenarkan kursus sains dan teknologi di universiti awam diajarkan dalam bahasa Inggeris, dan sedekad kemudian, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).  Kemudian,  mulai tahun 2016, kerajaan memperkenalkan Program Bahasa Duaan (DLP), yang nampaknya ditentang oleh pejuang bahasa. Melihat apa yang berlaku sejak berdekad-dekad lalu, maka bagi sesiapa yang berfikir secara bijaksana dan rasional, pasti tertanya-tanya: Di manakah “sistem yang terlalu Melayu” yang diungkitkan oleh Rafidah itu?  Liberalisasi pendidikan ini mempunyai implikasi yang besar, jika dilihat dari segi ekonomi, seperti yang dibangkitkan oleh Muhammad Abdul Khalid dalam  The Colour of Inequality:  Ethnicity, Class, Income, and Wealth in Malaysia, memperluaskan lagi jurang ketidaksamaan kekayaan dan pendidikan dalam kalangan kaum di negara ini.
Rafidah Aziz jelas memperlihatkan “kejulingannya” apabila beliau membangkitkan Malay-centric, sedangkan kaum-kaum lain di negara ini tidak kurang centric mereka, kalaupun tidak lebih centric  daripada orang Melayu.  Satu contoh yang jelas, Rafidah tidak menyentuh pendidikan Cina yang berkubu kuat sehingga kerajaan tidak berani  dan tidak boleh usik.  Seperti yang pernah dibangkitkan oleh Muhammad Abdul Khalid,  “pendidikan vernakular dianggap sebahagian budaya mereka, dan mana-mana percubaan oleh kerajaan untuk mengubah ini adalah dianggap sebagai mencabul jati diri budaya mereka.”
 Barangkali Rafidah  lupa peristiwa tahun 1987,  apabila tercetus kontroversi yang bermula daripada tindakan Kementerian Pendidikan  menghantar guru besar dan guru penolong kanan yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina ke sekolah-sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).   Tindakan  itu mendapat tentangan daripada parti politik yang mewakili kaum Cina, iaitu MCA, Gerakan, dan DAP dan pelbagai pertubuhan Cina, yang mengadakan protes pada di Kuala Lumpur pada 11 Oktober 1987.  Sebagai tindak balas, orang Melayu, diterajui oleh Pemuda UMNO yang diketuai  oleh Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, mengadakan perhimpunan yang dihadiri oleh 10,000 orang di Stadium TPCA, Kuala Lumpur.  Tatkala  kedua-dua belah pihak mendesak peletakan jawatan TImbalan Presiden MCA dan Menteri Buruh, Tan Sri Lee Kim Sai dan Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, UMNO mengumumkan  akan mengadakan perhimpunan besar-besaran sempena 41 tahun parti itu.
Ketika suasana    runcing -  seolah-olah Peristiwa 13 Mei akan berulang semula,     Dr. Mahathir yang pulang daripada     Mesyuarat Ketua-ketua Komanwel yang berlangsung di Vancouver, Kanada,    membatalkan rancangan perhimpunan UMNO itu.  Beliau   melancarkan Operasi Lalang mulai 27 Oktober,   menyaksikan lebih 100 orang yang terdiri daripada pemimpin dan ahli politik, aktivis sosial, dan ahli akademik ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 
Meskipun akhbar The Star memperjuangkan  bahasa Inggeris dan bahkan mendesak kerajaan memperkenalkan semula  sekolah aliran Inggeris, akhbar milik MCA itu bermati-matian mempertahankan sekolah Cina dan bahasa Mandarin.  Demikian juga akhbar Cina di negara ini, seperti yang pernah dibangkitkan oleh Dr. Shamsul Amri Baharuddin, dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 19 Julai 2015:  “Saya juga tidak pernah dengar akhbar Cina memperjuangkan bahasa Inggeris.  Jadi, saya anggap orang yang memperjuangkan bahasa Inggeris ini tidak memahami dan menyelami masalah sebenar negara ini dari segi ekonomi dan politik.”   
Siapa yang tidak memahami dan menyelami  masalah sebenar yang dimaksudkan oleh Shamsul Amri itu, kini jelas kelihatan di hadapan kita!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...