Artikel Popular

Sunday, November 16, 2014

Perang, Hutang, dan Cukai

AHAD,  16  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Boleh dikatakan banyak  negara di dunia berhutang.  Hanya jumlah hutang berbeza jika dilihat dari segi peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar. Sebagaimana syarikat, negara juga perlu berhutang, baik semasa aman mahupun semasa perang, sama ada daripada sumber dalam negara ataupun luar negara.
       Mengapa sesebuah negara perlu berhutang, sebenarnya mempunyai sejarah yang panjang, seperti yang dibicarakan oleh Simon Johnson dan James Kwak dalam White House Burning:  Our National and Why it Matters to You (Vintage Books, New York, 2013, 368 hlm., RM60.60). Berniaga mungkin boleh sekadar “air liur” jika individu berkenaan mempunyai hubungan politik, tetapi untuk berperang, segalanya memerlukan wang.  Untuk mengerahkan angkatan tentera ke medan perang, Amerika Syarikat  memerlukan sumber kewangan yang sepatutnya  diperoleh, sama ada daripada cukai ataupun  hutang.
            Mengimbas semula sejarah, pada 1 Jun 1812,  Presiden James Madison mendapat kelulusan Kongres  untuk mengisytiharkan peperangan terhadap Great Britain.  Johnson dan Kwak menjelaskan  mengapa Great Britain memenangi Perang Bladensburg pada tahun 1814,  menewaskan Amerika Syarikat yang gagal mengumpulkan wang melalui kenaikan cukai.  Dalam peperangan itu, tentera British mara ke Washington, dan pada malam 24 Ogos, mereka membakar Capitol, Bangunan Perbendaharaan, dan Rumah Putih.  (Bangunan ini tidak dikenali secara rasmi sebagai Rumah Putih hingga tahun 1901.)  Bagi rakyat Amerika, pembakaran Rumah Putih itu merupakan titik rendah peperangan, iaitu detik pengaiban nasional yang mengekalkan imej ikon dalam sejarah Amerika Syarikat. Mengapa Britain menang, hujah kedua-dua penulis ini, ialah wang, sebaliknya Amerika Syarikat terkial-kial untuk menarik para pemberi pinjaman.
            Buku ini menjelaskan mengapa hutang negara penting untuk kehidupan rakyat Amerika seharian, dengan perbincangan awal tertumpu pada  peperangan. “Meskipun Amerika Syarikat selamat dalam peperangan tahun 1812,” tulis Johnson dan Kwak, “krisis fiskal yang mengiringi membuktikan pentingnya peminjaman kerajaan dan infrastruktur yang diperlukan untuk mengumpulkan wang dalam jumlah banyak dengan segera.”  Pada akhir peperangan, hutang negara mencecah lebih AS$120 juta, satu rekod tertinggi dari segi nominal, tetapi kemungkinan hanya kira-kira 15 peratus KDNK.  Akan tetapi, Alexander Hamilton, Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, seperti yang dimaklumkan Johnson dan Kwak, sedar bahawa sesetengah amaun hutang boleh tekal dengan kedua-dua, iaitu kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi.
            Dalam dua peperangan  pada bahagian pertama abad ke-20, Amerika Syarikat menunjukkan keupayaannya meminjam wang ketika kecemasan.  Walaupun dalam Perang Dunia Pertama, perbelanjaan kerajaan meningkat daripada AS$700 juta pada tahun fiskal 1916 kepada AS$18 bilion pada 1919, tidak seperti Perang Revolusi, Perang tahun 1812, dan Perang Saudara, kerajaan mampu memenuhi pendanaannya menerusi cukai dan pinjaman tanpa membawa risiko krisis fiskal. Sementara Perang Dunia Kedua memerlukan defisit belanjawan yang lebih besar dalam  sejarah Amerika.  Walau bagaimanapun, seperti dijelaskan oleh Johnson dan Kwak, sebagaimana dalam Perang Dunia Pertama,  usaha Jabatan Perbendaharaan mengumpulkan dana pada amnya berjaya melalui penjualan bon yang dapat mengumpulkan lebih AS$150 bilion pada kadar faedah rendah secara relatifnya, meskipun hutang negara meningkat melebihi 100 KDNK.
            Di  Malaysia, kita sering mendengar kerajaan dikritik, terutamanya daripada pembangkang tentang jumlah hutang negara yang tinggi.  Namun, yang jarang-jarang diketengahkan, bahkan diketepikan sama sekali, ialah pemberi pinjaman tidak memberikan pinjaman sembarangan.  Seperti yang dibahaskan oleh Johnson dan Kwak, “tahap hutang tertentu adalah ‘mapan’ jika pemberi pinjaman fikir bahawa kerajaan akan mampu  menjelaskan bayaran pokok dan faedah yang diperlukan pada masa depan.”   Jika pertumbuhan lebih pantas daripada hutang yang meningkat, maka pemberi pinjaman mempunyai keyakinan terhadap keupayaan kerajaan membayar balik pinjaman dan mereka akan membeli bon yang dikeluarkan.  “Mengekalkan keyakinan adalah penting untuk memelihara keupayaan kerajaan meminjam wang semasa krisis, yang perang merupakan contoh klasik.  Keyakinan terhadap hutang kerajaan juga menyediakan manfaat ekonomi.”
            Sesebuah negara terpaksa berhutang selalunya kerana untuk menampung defisit, dan defisit yang berpanjangan lazimnya boleh membawa keburukan kepada ekonomi, atau paling tidak, mendorong agensi penarafan antarabangsa menurunkan gred negara berkenaan, seperti yang berlaku pada Malaysia pada tahun lalu. Di  Amerika Syarikat, seperti yang diperkatakan oleh Johnson dan Kwak, tahun 1990-an bermula dengan krisis defisit moden pertama.  Potongan cukai secara besar-besaran pada tahun 1981, tidak meningkatkan hasil.  Namun, tahun 1990-an juga berakhir dengan lebihan belanjawan yang besar dalam setengah abad.
            “Reagan membuktikan defisit tidak menjadi hal,” kata  Naib Presiden Dick Cheney, tetapi satu dekad kemudian,   Washington  berasa panik tentang defisit.  Malangnya,   Johnson dan Kwak tidak cuba memberikan jawapan muktamad,  sama ada defisit tidak menjadi hal ataupun sebaliknya.  Perbahasan mereka lebih tertumpu pada politik, iaitu percakaran antara Republikan dengan Demokrat dalam menangani defisit.   Republikan yang menguasai semula Dewan Perwakilan sejak  pilihan raya separuh penggal tahun 2010,  mendesak Pentadbiran Obama mengurangkan defisit dengan memastikan perbelanjaan dan cukai rendah.  Sebaliknya, Demokrat yang menguasai Dewan Senat menggesa pengurangan defisit menerusi kombinasi potongan  perbelanjaan dan peningkatan cukai.    Johnson dan Kwak  mewajarkan tindakan Republikan: tidak melanggar mana-mana peraturan dan tidak bermain permainan politik secara tidak adil.
            Walau bagaimanapun, Johnson dan Kwak menjelaskan bahawa kerajaan yang menanggung defisit hari ini tidak menjadikan kita mana-mana kekayaan atau cucu-cicit kita mana-mana kemiskinan. Kesejahteraan kebendaan masyarakat bergantung pada jumlah volum barang dan perkhidmatan yang dapat diperoleh untuk penggunaan.
            Jika defisit tidak menjadi hal, bagaimana pula hutang?  Bagi kedua-dua penulis ini,  defisit dan hutang sekadar angka.  Hutang negara Amerika Syarikat lebih AS$10 trilion mungkin lebih AS$30,000 seorang, tetapi tidak ada orang yang datang cari rakyat negara itu kerana mereka berkongsi bahagian hutang itu.  Maka, mengapa kita patut ambil berat tentang hutang negara?  
            Jika keluarga Amerika mengikat tali pinggang mereka, kerajaan demikian juga, seperti yang diakui sendiri oleh Presiden Barack Obama dan beberapa orang anggota Republikan.  Menurut Johnson dan Kwak, kerajaan seperti keluarga.  Membandingkan kerajaan dengan keluarga mempunyai daya tarikan yang mudah, iaitu bermakna kerajaan mencari pendapatan yang cukup untuk menampung perbelanjaannya, dan jika kerajaan tidak cukup pendapatan, maka kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan. Dengan kata lain, kerajaan perlu mengimbangi perbelanjaannya.  “Jika kerajaan meminjam wang untuk menampung defisit hari ini, maka kerajaan perlu membayar balik wang itu bersama-sama faedah esok.  Dengan membayar faedah, bermakna kerajaan perlu memperuntukkan sesetengah bahagian perbelanjaan untuk membayar defisit masa lalu.” 
            Walau bagaimanapun, kerajaan,  seperti yang dijelaskan oleh Johnson dan Kwak, mempunyai kawalan yang lebih luas terhadap pendapatannya berbanding dengan keluarga biasa kerana kerajaan (pusat) mempunyai kuasa untuk  mengenakan levi dan mengutip cukai. Bagi mereka, kerajaan lebih seperti perniagaan keluarga berbanding dengan seperti keluarga mudah. “Dalam perniagaan keluarga, ada manfaatnya untuk meminjam wang jika anda dapat melabur dalam projek yang berfaedah.”  Kedua-dua penulis ini  juga mengakui bahawa mengatakan kerajaan seperti keluarga dan perniagaan ada kalanya tidak tepat. 
            Di sebalik wujudnya perbezaan antara kerajaan dengan keluarga dan perniagaan, hujah Johnson dan Kwak, “meminjam wang tidak semestinya perkara buruk. Apa yang menjadikannya baik atau buruk, ialah apakah yang belanjakan dengan wang itu.” Bagi kerajaan,  biasanya idea baik untuk meminjam wang untuk pelaburan produktif.”  Kedua-dua penulis cuba menjelaskan apakah yang dimaksudkan “pelaburan produktif,” iaitu pembinaan jalan raya dan jambatan dianggap pelaburan yang bagus kerana infrastruktur ini membantu ekonomi.  Walau bagaimanapun, wujud persoalan, sama ada kerajaan atau sektor swasta yang sepatutnya membina jalan dan jambatan.
            Wujud masalah analogi kerajaan sebagai keluarga, iaitu kerajaan tidak sepatutnya bertindak  seperti keluarga: itulah alasan mempunyai kerajaan.  Kerajaan wujud untuk menyelesaikan masalah yang keluarga dan perniagaan tidak dapat tangani sendiri, seperti pertahanan negara; untuk melakukannya, kerajaan menggembleng sumber daripada keluarga dan perniagaan.   
            Melampaui analogi kerajaan sebagai keluarga, ialah  adakah hutang menjejaskan pertumbuhan ekonomi?  Persoalan ini  cuba dijelaskan oleh Johnson dan Kwak.   Pada tahun 1990-an, memang terbukti bahawa defisit yang rendah menjadikan ekonomi tumbuh lebih pantas, tetapi kitaran ekonomi mempunyai banyak sebab yang mungkin.  Tidak ada jawapan muktamad tentang impak defisit terhadap ekonomi, bergantung pada situasi.  Semasa kemelesetan pada amnya benar bahawa meningkatkan perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan cukai meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka pendek.  Walau bagaimanapun, jelas kedua-dua penulis ini, apabila defisit tinggi dan pertumbuhan ekonomi perlahan, banyak orang membahaskan mana satu dasar yang lebih baik:  meningkatkan perbelanjaan dan mengurangkan cukai untuk merangsangkan ekonomi bermakna meningkatkan defisit , atau memotong perbelanjaan dan meningkatkan cukai untuk mengurangkan defisit bermakna menjejaskan pertumbuhan ekonomi. (Tanda condong oleh penulis.)
            Memang, kerajaan perlu berhutang untuk menampung pelaburan produktif dan memacu pertumbuhan semasa kemelesetan, tetapi tidaklah sampai sejumlah besar belanjawan tahunan terpaksa diperuntukkan bayaran khidmat hutang.        Bagi rakyat Malaysia yang tidak mahu diri mereka terus-menerus diperbodohkan oleh ahli politik dan ahli ekonomi yang cenderung bersifat kepartian tentang hutang dan defisit,  White Burning dapat dijadikan pegangan.

            (Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang  pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, September 2014.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...