Artikel Popular

Sunday, November 9, 2014

Dunia Arab dan Sistem Dunia

AHAD,  9   November 2014
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH



Sejak awal  tahun 2011, dunia Arab mendapat perhatian,  bukannya kerana  krisis Israel-Palestin yang berpanjangan, sebaliknya kerana sesuatu yang tidak pernah difikirkan berlaku sama sekali. Hampir seluruh dunia Arab berlaku  kebangkitan rakyat yang membawa kepada kejatuhan rejim, dari Tunisia ke Mesir, ke Libya, dan ke Yaman, manakala Syria terjebak dalam perang saudara. Apabila protes juga berlaku di banyak negara di dunia, terutamanya pada tahun 2012, banyak orang mentafsirkannya adalah pengaruh dari dunia Arab. “Revolusi Melati”  diperhatikan merebak ke seluruh dunia.  Nama atau istilah, seperti “jalan Arab” dan “pemberontakan Arab” dipersegarkan semula. 
            Facebook, Twitter, YouTube, dan blog, dikatakan merupakan faktor utama yang mendorong rakyat Arab bangkit memberontak,  padahal semua media sosial itu sekadar alat atau teknologi.  Bagi pendukung demokrasi dan kebebasan, dengan penuh bangga mereka mengisytiharkan bahawa penduduk Arab menuntut perubahan dan mereka tidak mahu lagi dikongkong oleh rejim autoritarian.  Walau bagaimanapun, golongan tersebut lupa bahawa demokrasi dan kebebasan bukan merupakan pilihan utama penduduk Arab berbanding dengan mengalas perut yang kosong.  Kegagalan dasar ekonomi neoliberalisme yang dilaksanakan di Tunisia dan Mesir terutamanya, yang akhirnya mencetuskan keberangan penduduk Arab jarang-jarang diketengahkan.
            Kebangkitan orang Arab, seperti yang dicatatkan oleh Samir Amin dalam The People’s Spring:  The Future of the Arab Revolution (Pambazuka Press, Cape Town, 2012, 203 hlm., RM94.81), bukan tidak dijangkakan, sekurang-kurangnya oleh banyak aktivis Arab, kalaupun tidak oleh kuasa Eropah.  Dalam pengenalan edisi bahasa Inggeris itu, Amin turut menjelaskan bahawa ketika  Bandung dan tempoh berkecuali (1955 – 1980), negara Arab berada di barisan depan perjuangan rakyat, bangsa, dan negara Selatan demi masa depan yang lebih baik dan kurangnya sistem global yang tidak seimbang.  Sementara dalam pengenalan edisi bahasa Perancis, beliau menegaskan bahawa dunia Arab (dan dunia Islam amnya), telah mengurus sejak lama dahulu untuk mengenakan dirinya sebagai protaganis aktif dalam membentuk globalisasi purba, pramoden.  Mesir, hujah Amin dalam Bab 1, ialah negara pertama di pinggir kapitalisme diglobalisasikan mencuba untuk “muncul.”  Bahkan, sejak bermula abad ke-19, lama sebelum Jepun dan China, Wizurai Mohamed Ali memikirkan dan melaksanakan program pengubahsuaian  untuk Mesir dan jirannya di Masyrik Arab. 
            Walau bagaimanapun, Samir Amin, kelahiran Mesir, menetap di Senegal, menjelaskan dalam kesimpulan bahawa kebanyakan bukunya (Bab 2 hingga Bab 5) ditulis sebelum ledakan tahun 2011.  Dengan penjelasan tersebut, sekali gus menunjukkan bahawa  The People’s Spring  bukan cuba membahaskan dan mengupas pemberontakan Arab semata-mata.  Hanya dalam Bab 1, beliau cuba melihat peristiwa penting yang berlaku di dunia Arab. 
            Oleh sebab itu,  apakah penting atau signifikannya buku  Amin ini?  Sebagaimana dalam beberapa buah buku beliau yang lain, salah satu kekuatan  atau   keistimewaan beliau, ialah kemampuannya meninjau sesuatu  dari perspektif sejarah.  Dan, hal ini jelas kelihatan dalam Bab 2 buku ini apabila Amin membahaskan Timur Tengah sebagai hub sistem dunia purba. Peradaban tua dalam hemisfera timur, menurut beliau, disatukan dalam wilayah yang terhad Timur Tengah (Mesir, Syria, Mesopotamia, Iran Barat), India, dan China. Pada mulanya wilayah berkenaan terpisah antara satu sama lain, tetapi dari tahun 500 hingga tahun  200 Sebelum Masihi, wilayah berkenaan mengadakan kontak yang cukup antara wilayah itu dan mampu bercakap “sistem global.”
            Selain perdagangan yang intensif antara  tiga wilayah  ini, geografi juga penting:  geografi menjadikan Timur Tengah hub sistem global.  Hanya wilayah ini  mempunyai kontak langsung dengan semua wilayah, kedua-duanya pusat dan pinggir. Hubungan antara China dengan India terpaksa melalui wilayah Timur Tengah ini, dengan juga antara Eropah dengan Afrika. Perdagangan antara tiga wilayah ini, menurut Amin, menggunakan dua laluan, iaitu jalan darat melalui Asia Tengah, dan satu lagi maritim melalui Lautan Hindi. Walau bagaimanapun,  Amin menjelaskan bahawa  wilayah Timur Tengah ini tidak sama dengan dunia Arab yang terbentuk kemudian dan secara beransur-ansur.  Wilayah yang wujud sebelum pengislaman dan separuh pengaraban. “Seseorang tidak boleh bercakap tentang dunia/hub Arab  apabila seseorang memisahkan dunia Arab ini dengan rakan timurnya, orang Iran, orang Turki, dan orang Byzantine,” beliau mengingatkan.
            Antara tiga wilayah ini, hujah Amin, selama 20 abad, China bukan sahaja kekal sebagai pusat yang paling penting, tetapi juga merupakan wilayah yang pembangunan paling  berterusan, meskipun berlaku pergolakan ketika tempoh antara dinasti. Tatkala tiga wilayah ini membentuk sistem purba dan memainkan peranan aktif dalam sistem berkenaan Eropah tidak menyertai pembangunan umum sistem ini sehingga terlalu lewat, iaitu tahun 1000.  Sehingga masa itu, Eropah kekal mundur dan pinggir gasar.  “Bahkan, keseimbangan Eropah,” tulis Amin, “selalunya sangat tidak seimbang (beliau sebut “merah”), kerana benua itu tidak mempunyai banyak produk untuk didagangkan, manakala benua itu mengimport barang mewah dan teknologi dari Timur.” 
            Dalam Bab 2 ini juga, Samir Amin membahaskan sistem ufti yang merupakan bidang kepakaran beliau, yang menurutnya, “struktur global sistem ufti dunia selama 20 abad yang dibincangkan terbukti sangat stabil.”  Dan, Amin menambah, “berdasarkan kepentingan relatif setiap blok wilayah ini dari segi penduduk dan kekayaan, secara beransur-ansur mengubah hubungan antara wilayah ini dan mewujudkan ciri struktur baru kapitalisme moden.”
            Seterusnya, Amin meringkaskan perkembangan paling signifikan dalam evolusi ini, iaitu: (1)  Selama 20 abad ini, kemajuan China mapan dan berterusan.  China memegang kedudukan yang luar biasa, tetapi bukan dominan, di samping stabil dalam sistem ufti dunia purba.  Demikian juga India yang merupakan benua kecil kedua sistem ini, tetapi pada tahap yang kurang.  (2)  Sebaliknya, genangan Timur Tengah seluruh tempoh itu merupakan tanda yang sungguh tidak menyenangkan bahawa kedudukan wilayah ini dalam sistem berkenaan menyusut balik.  (3)  Evolusi yang paling menonjol ialah Eropah.  Pinggir marginal selama 15 abad, Eropah alami ketika lima abad sebelum pembangunan kapitalis mencapai kemajuan yang sangat besar.  (4)  Asia Tengah menjadi wilayah utama sistem ini, laluan wajib menghubung semua wilayah paling maju epok atau zaman purba (China, India, dan Timur Tengah, dengan Eropah pendatang kemudian. (5)  Sistem kapitalis yang mula berkembang dari tahun 1500 adalah berbeza dari segi kuantitatif daripada sistem yang sebelumnya.
            Sebelum pergi kepada persoalan adakah sistem ufti dunia tunggal wujud, Amin “singgah” di sistem Arab-Islam dan Mediterranean yang paling awal, yang  beliau catat, “mengalami peradaban hebat sebelum kota Itali.”  Namun begitu, soal beliau, “adakah dunia Arab-Islam membentuk sistem protokapitalis?” sambil menjelaskan bentuk protokapitalis wujud, dan pada masa dan tempat tertentu, membangkitkan peradaban yang gemilang.  Amin beritahu bahawa beliau dan beberapa penulis lain berpendapat bahawa sistem Arab-Islam tidak didominasikan  oleh kuasa  protokapitalis (merkantilis), tetapi sebaliknya, unsur protokapitalis kekal tertakluk kepada logik kuasa sistem ufti dominan.  “Bahkan, saya menganggap dunia Arab-Islam sebagai bahagian sistem wilayah yang lebih besar, yang saya sebut sistem Mediterranean,” tulis Amin.
            Walau bagaimanapun, di sini Amin seakan-akan kelihatan sukar bergerak, beliau berlegar-legar antara sistem ufti, protokapitalis, dan bahkan kapitalisme.  Hal ini dapat dikesan bahawa pada suatu ketika, beliau mengetengahkan sistem ufti tunggal  dari tahun 300 Sebelum Masihi (penyatuan Orient oleh Alexander Agung) ke tahun 1492.  Dalam kawasan ufti ini, beliau cuba membezakan antara wilayah pusatnya (Mediterranean Orient) dengan wilayah pinggirnya (Barat Eropah). 
            “Dalam entiti pertukaran setiap benda (hampir selalunya) sangat intensif dan bentuk  berkait dengan protokapitalis sangat maju, terutamanya kelihatan di wilayah tengah (tempoh pertama berkembangnya Islam dari abad kelapan hingga abad ke-12 dan di Itali untuk abad seterusnya).  Pertukaran ini merupakan cara agihan semula lebihan yang signifikan,” hujah Amin. 
            Dari sini, Amin mengemukakan persoalan, “Adakah sistem ini dijelaskan sebagai protokapitalis?” Beliau nampaknya mengaku bahawa kewujudan unsur prokapitalis tidak dapat dinafikan (pemilikan persendirian, perusahaan komoditi, buruh upah) sepanjang tempoh itu, berkembang di tempat dan pada masa tertentu (terutamana era Islam dan di Itali), merosot di tempat lain (terutamanya Eropah gasar alaf pertama).  Namun begitu, kewujudan unsur ini, bagi beliau, tidak cukup untuk mencirikan sistem.  Sebaliknya, hujah beliau, “pada tahap ideologi genting ini, apa yang bermula pada fasa keyunanian (Hellenistic) tempoh ini (dari tahun 300 Sebelum Masihi ke abad pertama Masihi), dan kemudian berkembang dalam bentuk Kristian dan Islam (Barat dan Timur), adalah semata-mata dan hanya ideologi ufti.”  Bagi beliau, sememangnya, sistem, tetapi bukan sistem protokapitalis, iaitu  tahap dalam peralihan pesat  daripada masyarakat ufti kepada masyarakat kapitalis.  “Dari satu segi lain,” tulis Amin, “kita berurusan dengan sistem ufti, bukan hanya pendampingan masyarakat-masyarakat  ufti autonomi (dalam majmuk), yang kebetulan berkongsi beberapa unsur bersama.”
            Amin berpendapat bahawa darjah tertentu pemusatan lebihan, yang mengambil bentuk  ufti, bukan seperti dalam kapitalisme, iaitu keuntungan daripada modal. Kaedah normal pemusatan lebihan ufti ini ialah pemusatan politik, beroperasi untuk kebaikan kota imperialis (Rom, Byzantium, Damsyik, Baghdad).   Seterusnya, beliau menjelaskan bahawa pembentukan sosial dunia Arab sebagai pembentukan ufti-merkantil.  “Semua ini,” hujah  beliau, “mendorong saya untuk menyimpulkan bahawa kapitalisme lahir di dunia Arab.”
            Buku ini penting jika seseorang itu ingin memahami asal-usul dunia Arab dan perkembangannya, di samping tentang ledakan tahun 2011.  Seperti yang dijelaskan oleh Samir Amin, “selain Bab 1, empat bab seterusnya mengesan semula evolusi panjang dunia Arab dalam sistem dunia semalam dan hari ini dalam rangka ‘sejarah global’” dan menambah,  “peranan dunia Arab dalam sistem ufti purba dunia, kemudian dalam fasa seterusnya pembangunan sistem kapitalis yang diglobalisasikan.”

            (Nota: Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Ogos 2014.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...