Artikel Popular

Saturday, August 2, 2014

Seni dan Sains Peramalan

SABTU, 2 Ogos 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kali pertama saya membaca tulisan  Nate Silver adalah ketika Pilihan Raya Presiden  Amerika Syarikat tahun 2008, apabila  melalui FiveThirtyEight,   Silver meramalkan keputusan pilihan raya tersebut.   Nyata bahawa ramalan beliau tepat  apabila Barack Obama calon Parti Demokratik  menewaskan John McCain calon Parti Republikan.  Beliau juga meramalkan dengan betul keputusan di 49 daripada 50 buah negeri dalam pilihan raya tersebut.  Beliau hanya gagal meramalkan keputusan yang tepat  di Indiana yang secara tradisi  merupakan kubu kuat Republikan yang mustahil Obama menang.
 Kemudian,  pada Ogos 2010, blog yang dipadankan daripada jumlah undi badan perwakilan pemilih , iaitu 538,  yang menjadi makalah berlesen akhbar The New York Times dalam talian,  dinamakan semula, FiveThirtyEight:  Nate Silver’s Political Calculus.  Pada tahun itu juga berlangsung Pilihan Raya Separuh Penggal, dan  Silver meramalkan  bahawa  Parti Republikan akan menguasai semula Dewan Perwakilan dengan merampas 54-55 kerusi daripada Parti Demokratik, manakala Dewan Senat kekal di tangan Parti Demokratik, tetapi dengan jumlah yang merosot.  Beliau juga meramalkan Pemimpin Majoriti Senat (Demokratik – Nevada) tidak akan tewas, meskipun  dicabar  sengit.  Ramalan beliau boleh dikatakan tepat, dengan Parti Republikan merampas 63 kerusi Dewan Perwakilan,  Parti Demokratik mengekalkan kuasa di Dewan Senat, dengan  bilangan kerusi yang berkurangan, manakala Reid berjaya mengekalkan kedudukannya menewaskan Sharron Angle.
Dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2012, Nate Silver sejak dari awal lagi meramalkan Barack Obama kekal di Rumah Putih,  menewaskan  Mitt Romney.  Ketika kepopularan Obama merudum akibat kekalahan beliau dalam debat pertama presiden di Colorado, dan nyaris-nyaris dipintas oleh Romney, Silver pernah menegaskan bahawa Obama telah jatuh di tempat yang padu, dan oleh itu, beliau tidak akan jatuh lagi.   Oleh sebab Silver  nekad  memihak pada Obama, maka beliau dikritik oleh Republikan, manakala Demokrat berasa was-was.  Namun begitu,  kesudahannya, nyata bahawa ramalannya   tepat bukan sahaja tentang kemenangan selesa Obama, bahkan juga tentang keputusan 50 buah negeri.
Berikutan ketepatan Silver  membuat satu demi satu ramalan itu, terutamanya Pilihan Raya Presiden terbaru, maka peramal dianggap penting, bahkan  dijangkakan menggantikan pengulas atau  cerdik pandai politik dalam meramalkan keputusan pilihan raya.   Kejayaan itu juga menyebabkan nama  beliau    memuncak naik, manakala laman web beliau semakin mendapat perhatian. 
Di tengah-tengah kerancakan dan kehangatan kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, Nate Silver menerbitkan bukunya, The Signal and the Noise:  The Art and Science of Prediction  (Penguin Books, London, 2013; 534 hlm.; RM52.50.  Buku ini  pada mulanya diterbitkan di Amerika Syarikat, oleh The Penguin Press, 2012).  Sememangnya, tidak memeranjatkan apabila  buku Silver mendapat liputan meluas, dipetik serta diulas, baik semasa kempen, mahupun selepas keputusan pilihan raya diketahui. Alasannya mudah, apabila kewibawaan seseorang memang terbukti, maka tulisan atau karyanya akan menjadi rujukan.  Buku Silver tidak terkecuali.
Ketika mula-mula membaca The Signal and the Noise, saya membayangkan bahawa buku berkenaan  mengandungi peramalan politik semata-mata kerana bidang itu merupakan kepakaran  Silver yang tidak dapat diragui sama sekali. Namun begitu, selepas bab demi bab berlalu, saya dapati  buku itu membicangkan cabaran dan sains ramalan dalam domain yang luas, meliputi sukan, gempa bumi, epidemik, ekonomi, dan perubahan cuaca.  Saya lupa bahawa peramalan juga diajarkan dalam kursus ekonomi di peringkat universiti.  Bahkan, Dewan Bahasa dan Pustaka pernah  menerbitkan buku kaedah  peramalan untuk kegunaan  para pelajar ekonomi di universiti.    
Pastinya, politik juga  tidak ketinggalan.  Antara yang dibahaskan oleh Silver ialah kegagalan model peramalan yang dibina oleh ahli sains politik mendahului Pilihan Raya Presiden 2000 yang meramalkan Al Gore menang besar, sebaliknya George W. Bush yang menang.  Beliau menyatakan bahawa bagi kebanyakan orang, ramalan politik adalah sama dengan program televisyen The McLaughlin Group yang menampilkan ahli panel untuk meramalkan keputusan pilihan raya.  Dalam Pilihan Raya Presiden 2008, menurut Silver, tiga orang ahli panel, iaitu Pat Buchanan, Clarence Page, dan Monica Crowley memilih John McCain; hanya Eleanor Clift dari Newsweek meramalkan regu Barack Obama-Joe Biden.  Keputusannya,  Obama dipilih sebagai Presiden dengan 365 undi badan perwakilan pemilih berbanding 173 undi untuk McCain, “hampir menepati jangkaan tinjauan pendapat dan model statistik,”  tulis Silver.
Silver juga menyentuh kegagalan ahli sains politik meramalkan keruntuhan Kesatuan Soviet , yang mendorong beliau mengemukakan persoalan, “Jika ahli sains politik tidak dapat meramalkan kejatuhan Soviet yang merupakan peristiwa paling penting pada bahagian akhir abad ke-20, maka mereka benar-benar bagus untuk apa?” 
            Buku ini, seperti yang diberitahu oleh Nate Silver dalam pengenalan adalah tentang maklumat, teknologi, dan kemajuan saintifik.  Buku tentang persaingan, pasaran bebas, dan evolusi idea.  Buku tentang perkara yang menjadikan kita lebih pintar berbanding dengan mana-mana komputer lain, dan buku tentang ralat manusia.  Bagi beliau, lebih banyak maklumat, lebih banyak masalah.
Kebangkitan “Data Besar” mempunyai potensi untuk membantu kita meramalkan masa depan, tetapi kebanyakan “Data Besar” tidak berguna dan mengelirukan.   Seperti yang diakui sendiri oleh Silver:  “Akan tetapi, dalam perbincangan dengan lebih 100 pakar dalam berbelas-belas bidang selama empat tahun, membaca beratus-ratus makalah jurnal dan buku, dan mengembara ke setiap tempat dari Las Vegas ke Copenhagen untuk meneruskan penyiasatan saya, akhirnya saya sedar bahawa ramalan pada era ‘Data Besar’ tidak berjalan dengan sangat baik.”
Alasan utama  ramalan gagal adalah bahawa para pengamal selalunya tidak mengambil kira  model ketidakpastian.  Menurut Silver, memerhatikan situasi dari pelbagai sudut berbeza dapat mengawal kegagalan memberikan wajaran yang cukup terhadap model ketidakpastian.  Perspektif perbezaan purata selalunya membuahkan keputusan ramalan yang lebih baik berbanding dengan menggunakan satu perspektif sahaja.  Beliau juga menegaskan bahawa manusia mempunyai kecenderungan yang kuat ke arah bersikap terlalu yakin apabila membuat ramalan.
Dari segi  membuat ramalan yang lebih baik, Silver membandingkan peramal antara rubah dengan landak kecil yang beliau petik daripada tajuk esei Isaiah Berlin tentang novelis Rusia, Leo Tolstoy, The Hedgehog and the Fox.  Setelah membandingkan antara sifat rubah dengan landak kecil,  Silver  merumuskan bahawa landak kecil  menjadikan tamu televisyen yang lebih baik, dan beliau  menjelaskan  mengapa ramalan politik cenderung gagal adalah kerana  landak kecil:  “Sikap seperti rubah mungkin terutamanya penting apabila membuat ramalan politik.”   Rubah, menurut Silver, begitu cepat mengenal pasti bagaimana bisingnya data akan berlaku, dan mereka kurang cenderung mengejar isyarat palsu.  Mereka lebih tahu sesuatu apakah yang mereka tidak tahu.
Dalam buku ini, Silver  memaklumkan idea untuk mewujudkan FiveThirtyEight pada Februari  2008, iaitu ketika beliau menunggu penerbangan yang lewat.   Model peramalan laman itu, jelas beliau,  bermula dengan amat mudah, iaitu pada asasnya, “mengambil purata tinjauan pendapat, tetapi memberikan wajaran terhadap tinjauan itu menurut ketepatan masa lalu, dan kemudian, secara beransur-ansur menjadi lebih rumit.”  Menurut beliau,  FiveThirtyEight mematuhi tiga prinsip yang luas, yang semuanya sangat seperti rubah, iaitu berfikir secara kebarangkalian, ramalan hari ini ialah ramalan pertama untuk hidup anda seterusnya, dan carikan konsensus.
 Dalam membuat ramalan, Silver mengingatkan supaya berhati-hati dengan ramalan peluru magik.  Model peramalan peluru magik ini,  meskipun kuantitatif, bergantung pada statistik ekonomi yang diterbitkan.  Sesetengah kegagalan yang teruk yang beliau dokumenkan dalam buku ini ialah kuantitatif, misalnya ramalan agensi penarafan.  Dalam bahagian yang lain, beliau membangkitkan bahata ekstrapolasi, iaitu kaedah peramalan yang sangat asas, yang semata-mata melibatkan andaian bahawa trend semasa akan berlanjutan ke masa depan yang tidak terbatas.
Berhubung dengan krisis kewangan yang berlaku pada akhir 2000-an, bahas  Nate Silver,  adalah  sebagai kegagalan pertimbangan, iaitu kegagalan ramalan malapetaka. Kegagalan ramalan ini meluas, berlaku boleh dikatakan setiap tahap, ketika, sebelum, dan selepas krisis dan melibatkan setiap orang daripada broker gadai janji kepada Rumah Putih.  “Kebanyakan kegagalan ramalan yang membawa bencana,” tulis Silver, “mempunyai banyak persamaan.  Kita tumpukan pada isyarat yang memberitahu cerita tentang dunia yang kita ingin terjadi, bukannya dunia benar-benar terjadi.  Kita tidak mempedulikan risiko yang sukar diukur, bahkan apabila risiko memberikan ancaman yang besar terhadap kesejahteraan hidup kita.”
“Jika kita ingin menggali akar umbi krisis kewangan, kita sepatutnya bermula dengan mengenal pasti kegagalan ramalan yang paling besar kesemuanya, iaitu ramalan yang melakukan semua kesilapan ini,” tambah Silver yang turut  mendedahkan kegagalan ramalan  agensi penarafan  yang sebelum krisis memberikan penarafan AAA mereka.  Dalam maksud yang lebih luas, bahas beliau, masalah  agensi penarafan adalah ketidakmampuan atau tidak berminat dalam menghargai perbezaan antara risiko dengan ketidakpastian.  (Tanda condong  oleh beliau sendiri.)  Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan, “meskipun agensi penarafan memikul tanggungjawab yang cukup besar terhadap krisis kewangan, bukan mereka sahaja yang melakukan kesilapan.”
Dalam buku ini, Nate Silver menyokong teorem Bayes yang menitikberatkan kebarangkalian bersyarat, iaitu menyatakan kebarangkalian bahawa teori atau hipotesis betul jika beberapa peristiwa berlaku. (Tanda condong oleh beliau sendiri.)  Teorem Bayes, hujah Silver, bukannya mana-mana jenis formula magik.  Digunakan dalam bentuk mudah, teorem Bayes hanya mengandungi penambahan, penolakan, penggandaan, dan pembahagian.  “Walau bagaimanapun,” tulis Silver, “teorem Bayes memerlukan kita berfikir secara kebarangkalian tentang  dunia, bahkan apabila kebarangkalian itu menjadi isu yang kita tidak ingin fikirkan sebagai perkara perubahan.”
Sememangnya, tidak mudah untuk seseorang membuat ramalan, seperti yang dibangkitkan oleh Silver, “Tidak kira, sama ada pakar  membuat ramalan tentang ekonomi, politik dalam negara, ataupun hal ehwal antarabangsa; pertimbangan mereka sama-sama teruk di setiap peringkat.”   Selain itu,  ramalan,  adalah tentang masa depan, tetapi data yang digunakan lazimnya tentang masa lalu.  Bahkan, jika seseorang itu dapat meramalkan masa lalu, tidak bermakna dia dapat meramalkan masa depan. 
Ketika dan selepas membaca buku ini, saya asyik terbayangkan cerdik pandai yang muncul di kaca televisyen setiap kali berlangsung pilihan raya di negara kita, sama ada Pilihan Raya Umum ataupun pilihan raya kecil.  Mereka  sedikit sebanyak,  kalaupun tidak lebih teruk, menyerupai ahli panel  The McLaughlin Group di Amerika Syarikat.  Saya juga terbayangkan FiveThirtyEight  yang pada  Julai 2013,  ESPN  menjadi pemilik jenama dan laman itu, dengan  Silver sebagai ketua editor. 
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Mei 2014.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...