Artikel Popular

Tuesday, June 3, 2014

Mengubah Dunia

SELASA, 3 Jun 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Sejak  Barack Obama menggunakan slongan kempennya,  “Ya, Kita Boleh,” maka “perubahan” menjadi kesayangan banyak orang.  Pemberontakan Arab yang melanda dunia Arab dikatakan kerana rakyat rantau itu menuntut perubahan.  Bahkan, di mana-mana sahaja, dari New York ke Tel Aviv, dari Turki ke Brazil, bangkit golongan yang menuntut perubahan.  Malaysia juga tidak terkecuali apabila dalam Pilihan Raya Umum lalu, “ubah” menjadi slogan kempen pihak yang terlibat dalam pertarungan yang amat sengit itu.  
            Demikian juga sejarawan Marxis British Eric Hobsbawm, turut berbicara tentang perubahan, iaitu mengubah dunia dalam bukunya,  How to Change the World:  Tales of Marx and Marxism (Little, Brown, London, 2011, 470 hlm., RM137.50).  Buku terakhir beliau yang merupakan himpunan tulisannya dalam bidang ini dari tahun 1956 hingga 2009, pada hakikatnya, kajian perkembangan  dan impak posthumus pemikiran Karl Marx (dan yang tidak dipisahkan Frederick Engels).  Demikian penjelasan Hobsbawm dalam kata pengantar bukunya yang bukannya sejarah Marxisme dalam maksud tradisional. 
            Sepanjang membaca buku ini yang mengambil suatu masa  yang agak lama, saya mengagumi kegigihan Eric Hobswbam, walaupun pada usianya yang sudah lanjut, untuk menghasilkan sebuah buku yang topiknya amat berat dan tebal juga halamannya.  Hobsbawm yang meninggal dunia  pada Oktober 2012 , lahir di Iskandariah, Mesir pada tahun 1917.  Hobsbawm yang masa budak-budaknya amat meminati kawasan desa, terutamanya burung-burung di situ,  menurut  The Economist dalam satu tulisan selepas beliau meninggal dunia,   tidak pernah luntur dari dirinya.  Dan,   menambah bahawa Eric Hobsbawm  merupakan burung yang jarang-jarang ditemui, iaitu “Komunis terakhir,” memetik usikan beliau sendiri dalam parti hari lahirnya ke-90, dan sejarawan Marxis terakhir yang komited.
            Terry Eagleton yang mengulas  buku tersebut dalam London Review of Books, mengakui bahawa Marxisme telah dalam keadaan tenat beberapa tahun sebelum Tembok Berlin runtuh.  Satu alasan yang dikemukakan adalah bahawa ejen tradisional revolusi Marxis, iaitu kelas pekerja, dilenyapkan oleh perubahan sistem kapitalis, atau sekurang-kurangnya mereka tidak lagi dalam majoriti, meskipun Marx sendiri tidak fikir bahawa kelas pekerja terbatas pada kumpulan ini semata-mata.  Walau bagaimanapun, tegas Eagleton, Hobsbawm yang lahir pada tahun Revolusi Bolshevik, tetap setia dengan  kem Marxis.
            Dalam How to Change the World, Hobsbawm memulakan penulisannya dengan mengakui bahawa era  rejim komunis dan parti komunis massa  berakhir dengan kejatuhan Kesatuan Soviet; bahkan, di tempat-tempat yang mereka masih meneruskan kelangsungan, seperti di China dan India, dari segi amalan, mereka meninggalkan projek lama Marxisme-Leninis. Apabila hal seperti itu berlaku, Karx Marx, tegas Hobsbawm, mendapati dirinya keseorangan, dan perbincangan tentang beliau adalah usaha menyelamatnya daripada “tong sampah sejarah.”  Namun, tegas Hobsbawm, hari ini, Marx sekali lagi merupakan benar-benar pemikir untuk abad ke-21.
            Hobsbawm mencatatkan perbincangan ringkas beliau dengan hartawan George Soros ketika makan tengah hari pada suatu ketika dahulu.  “Soros tanya saya apakah yang saya fikirkan tentang Marx.”  Menyedari pandangan mereka jauh berbeza, Hobsbawm mahu mengelak untuk berhujah, lalu beliau memberikan jawapan yang kabur. Walau bagaimanapun, Soros berkata, “Orang itu menemui sesuatu tentang kapitalisme 150 tahun lalu dan kita mesti menyedari perkara itu.”   Seterusnya, Hobsbawm merujuk tajuk berita Financial Times “Capitalism in Convulsion” pada Oktober 2008, yang bagi beliau, “tanpa sebarang keraguan lagi, Marx kembali semula  di pentas awam.”  Hujah beliau lagi, “sementara kapitalisme global mengalami gangguan dan krisis yang besar sejak awal 1930-an, mustahil Marx tersingkir daripada kejadian itu” sambil menambah “Marx pada abad ke-21 berbeza daripada Marx pada abad ke-20.”
Apakah relevannya Marx pada abad ke-21?   Dalam hubungan ini, Hobsbawm yang setia pada Marxisme hingga ke akhir hayat, mengemukakan beberapa ciri utama analisis Marx yang masih  sah dan relevan.  Pertama,  secara jelas, ialah analisis yang dinamika global yang menarik tentang pembangunan ekonomi kapitalis dan keupayaannya memusnahkan  semua yang datang sebelumnya, bahkan termasuk warisan masa lalu manusia yang kapitalisme mendapat faedah, seperti struktur keluarga. Kedua, ialah analisis mekanisme pertumbuhan kapitalis dengan menjanakan “percanggahan” dalaman, iaitu serangan tanpa kesudahan ketegangan dan penyelesaian sementara, pertumbuhan yang membawa kepada krisis dan perubahan, semuanya menghasilkan penumpuan ekonomi  dalam ekonomi yang diglobalisasikan.  Di sini, Hobsbawm memetik istilah terkenal yang diperkenalkan oleh Joseph Schumpeter, iaitu “pemusnahan kreatif.”
            Dalam bahagian pertama buku ini, Hobsbawm menumpukan perbincangan tentang beberapa karya Marx dan Engles, yang menurut merupakan pendatang baru komunisme secara relatifnya, iaitu The Conditions of the Working Class in England (oleh Engels), Communist Manifesto (oleh kedua-duanya), dan Grundrisse (oleh Marx).  Beliau menyusurgalurkan penerbitan Communist Manifesto, yang antara tahun 1871 hingga 1873, diterbitkan sekurang-kurangnya dalam sembilan edisi muncul dalam  enam bahasa.  Dalam masa 40 tahun berikutnya, menurut Hobsbawm, buku yang penerbitannya  kini lebih 150 tahun, menakluki dunia, dibawa ke hadapan oleh kebangkitan parti buruh (sosialis) baru, yang pengaruh Marxis meningkat pesat pada tahun 1880-an. Sebelum Revolusi Rusia pada tahun 1917, Communist Manisfesto  diterbitkan dalam beratus-ratus edisi dalam kira-kira 30 bahasa, termasuk tiga edisi dalam bahasa Jepun dan satu dalam bahasa Cina. Walau bagaimanapun, wilayah utama pengaruh buku ini adalah di bahagian tengah Eropah dan , iaitu dari Perancis ke Rusia di timur.   Wawasan buku ini tentang perkembangan sejarah “masyarakat borjuis,” termasuk kelas pekerja yang dihasilkannya,  jelas Hobsbawm, “tidak semestinya membawa kepada golongan proletariat menggulingkan kapitalisme, dan dengan melakukan sedemikian, membuka laluan kepada perkembangan komunisme kerana wawasan dan kesimpulan tidak berasal daripada analisis yang sama.
            Antara sumbangan pemikiran Marx (juga Engels) yang sering diperkatakan dan dirujuk ialah laluan perkembangan sejarah (misalnya, pembentukan prakapitalis dan peralihan daripada feudalisme kepada kapitalisme), pembahagian buruh,  dan ragam pengeluaran.  Minat Marx dalam kajian asal-usul Zaman Pertengahan borjuis dan dalam perdagangan dan kewangan feudal, menurut Hobsbawm,   terbukti dalam Capital Jilid III. Tentang sejarah pembangunan kapitalis, Marx boleh dianggap pakar pada akhir tahun 1850-an.
            Dalam bab pengaruh Marxisme 1880 – 1914, Hobsbawm  menyatakan bahawa seperti Darwin dan Freud, Marx  tergolong dalam kelas kecil pemikir yang nama dan idea  mempunyai dalam satu bentuk atau bentuk lain, memasuki budaya umum dunia moden.  Seterusnya, Hobsbawm menyatakan bahawa pengembangan dramatik gerakan buruh dan sosialis  yang dikaitkan dengan nama Karl Marx pada tahun 1880-an dan 1890-an tidak dapat dielakkan menyebarkan pengaruh teori beliau (atau apakah yang dianggap teori beliau) kedua-duanya dalam gerakan atau di luar gerakan.  Sementara tahun 1930-an ialah dekad yang Marxisme menjadi daya serius dalam kalangan intelektual Eropah Barat dan dunia yang bertutur dalam bahasa Inggeris. 
            Dalam bab pengaruh Marxisme 1945 – 1983,  idea Marx, menjadi doktrin yang membangkitkan gerakan buruh dan sosialis di sebahagian besar Eropah.  Terutamanya melalui Lenin dan Revolusi Rusia, idea itu menjadi  doktrin antarabangsa contoh unggul revolusi sosial pada abad ke-20.  Walau bagaimanapun, Hobsbawm mengingatkan bahawa mana-mana korpus idea, termasuk korpus idea Marx,   perlu ditransformasikan menjadi daya politik yang signifikan menggemblengkan rakyat jelata, sama ada usaha ini dilakukan menerusi parti dan  gerakan, menerusi kerajaan atau cara lain.  Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa impak politik Marxisme tanpa ragu-ragu pencapaian paling penting Marx dari sudut pandangan sejarah.
            Gelombang intelektual Marx dan Marxisme yang berkemungkinan mencapai puncaknya pada tahun 1970-an, seperti yang diperhatikan oleh Hobsbawm, satu abad selepas kematian Marx, jelas bahawa Marxisme berundur dengan pantas kedua-duanya dari segi politik dan intelektual.  Dan, keadaan ini berterusan pada 25 tahun akan datang atau lebih, meskipun kelihatan tanda potensi kebangkitan semula pada penghujung abad ke-20. Namun, beliau menegaskan bahawa pengunduran daripada Marxisme tidak boleh dikaitkan semata-mata dengan keruntuhan atau transformasi rejim Marxis-Leninis dan Maois kerana pengunduran itu bermula lebih awal.
            “Ketepikan soal politik,” tulis Hobsbawm, “Marxisme telah pun berbalik dalam kalangan intelektual, meskipun hal ini tidak jelas hingga tahun 1980-an.  Dan, bukan hanya Marxisme, tetapi seluruh arus idea tentang  masyarakat manusia yang menguasai pemkiran Barat sejak Perang Dunia Kedua, yang Marxisme merupakan satu komponenannya.”  Keadaan ini kurang ketara dalam bidang ekonomi kerana Marxis selalunya di pinggiran, walaupun beberapa orang penerima Hadiah Nobel Ekonomi dibentuk atau dibentuk sebahagiannya pada tahun awal Kesatuan Soviet atau mereka yang masih aktif di sana. 
Walau bagaimanapun, jelas Hobsbawm, dari tahun 1974,  apabila Friedrich von Hayek menerima Hadiah Nobel Ekonomi, tetapi masih diimbangi oleh Gunnar Myrdal yang bercanggah ideologi dengan beliau, dan pada tahun 1976, apabila hadiah itu dianugerahkan kepada Milton Friedman, suatu   perubahan ketara  daripada Keynesian dan teori campur tangan (interventionist) lain, dan kembali semula kepada laissez-faire yang semakin tidak bertolak ansur.
Dalam buku ini juga Eric Hobsbawm memperuntukkan dua bab membincangkan Antonio Gramsci,  yang terkenal dengan karyanya, Prison Notebooks dan istilah “hegemoni.”  Satu alasan intelektual Marxis Itali ini penting, menurut Hobsbawm, ialah teori politiknya.  Beliau menganggap politik sebagai “aktiviti autonomi” dalam konteks dan had yang ditentukan oleh perkembangan sejarah. Bagi Gramsci, seperti yang dicatatkan oleh Hobsbawm, “semua orang ialah intelektual, tetapi tidak semuanya melakukan fungsi sosial intelektual.”

Apakah Karx Marx terus relevan?  Selagi kapitalisme mengalami krisis, maka selagi itulah orang akan mengingati beliau, meskipun impiannya terhadap revolusi proletariat tidak menjadi kenyataan, dan mungkin tidak akan menjadi kenyataan selama-selamanya.
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Disember 2013.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...