Artikel Popular

Tuesday, May 27, 2014

Harga yang Perlu Dibayar

SELASA, 27 Mei 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Semasa menuntut di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, saya pernah mengambil kursus tahun dua, iaitu “Kemiskinan dan Ketidaksamaan.”  Sememangnya, saya tidak membayangkan bahawa kursus sosiologi itu, iaitu "ketidaksamaan," amat  popular sekarang, dibicarakan secara meluas oleh ahli ekonomi terkenal di dunia, memandangkan sejak beberapa dekad lalu, bidang sosiologi tidak lagi mendapat sambutan para pelajar. 
Akibat krisis ekonomi  yang tercetus   pada tahun 2008,  banyak kajian menunjukkan ketidaksamaan pendapatan di Amerika Syarikat meningkat.  Pendapatan  keluarga median kini lebih rendah jika dibandingkan dengan 30 tahun lalu.  Editorial akhbar The Washington Post pada Januari 2012 menegaskan   potongan cukai yang dilaksanakan oleh Presiden George W.  Bush menolong  golongan kaya semakin kaya.  Joseph E.  Stiglitz yang menulis “masalah satu peratus”  dalam Vanity Fair  pada akhir Mei 2012 bahawa ketidaksamaan di Amerika Syarikat semakin melebar sejak berdekad.  Kita semua sedar sedar akan hakikat itu.  Memang, wujud sesetengah puak kanan yang menafikan realiti ini, tetapi analisis serius merentasi politik memandang remeh.   Jurang antara satu peratus dengan 99 peratus adalah luas apabila diperhatikan dari segi pendapatan tahunan, dan bahkan semakin melebar apabila diperhatikan dari segi kekayaan, iaitu dari sagi modal yang dikumpulkan dan aset lain.
Makalah tersebut sebenarnya diubahsuaikan daripada buku beliau  yang dalam proses penerbitan  ketika itu, iaitu The Price of Inequality:  How Today’s Divided Society Endangers Our Future  (W.  W. Norton & Company, New York, 2012, 414 hlm., RM79.90).  Dalam prakata buku itu, Stiglitz, penerima Hadiah Nobel Ekonomi, mencatatkan detik dalam sejarah apabila orang ramai di seluruh dunia bangkit, bermula dengan Tunisia, merebak ke Mesir, kemudian ke negara lain di Timur Tengah.  Selepas Libya yang menyaksikan Muammar Qaddafi tumbang, orang ramai di Sepanyol dan Greece, United Kingdom, dan Amerika Syarikat, dan negara lain, mempunyai alasan mereka sendiri untuk turun ke jalanan. Beliau juga menerima undangan untuk bersama-sama penunjuk perasaan di Madris, New York, dan Kaherah. Daripada semua pertemuan itu, beliau merumuskan bahawa wujud pemahaman bersama dalam banyak cara sistem ekonomi dan sistem politik gagal.
Bagi Stiglitz, tiga tema bergema di seluruh dunia:  pasaran tidak berfungsi dengan cara pasaran sepatutnya berfungsi kerana pasaran nyata tidak cekap dan tidak stabil; sistem politik tidak membetulkan kegagalan pasaran; dan sistem ekonomi dan sistem politik secara fundamental tidak adil.  Walaupun buku ini memberikan tumpuan terhadap ketidaksamaan berlebih-lebihan yang mewarnai Amerika Syarikat dan beberapa negara perindustrian maju lain hari ini, buku ini menjelaskan  bagaimana tiga tema itu saling berkait secara rapat bahawa ketidaksamaan merupakan sebab dan akibat kegagalan sistem politik, dan ketidaksamaan menyumbang kepada ketidakstabilan sistem ekonomi, yang seterusnya menyumbang kepada peningkatan ketidaksamaan.
Ketidaksamaan Amerika, seperti yang dibahaskan oleh Stiglitz, bukan baru sahaja berlaku, dan ketidaksamaan ini dicipta oleh kuasa pasaran.  Menurut  beliau, pasaran sepatutnya stabil, tetapi krisis kewangan global menunjukkan bahawa pasaran  boleh menjadai sangat tidak stabil, dengan kesan yang sangat teruk.  Satu sisi gelap ekonomi pasaran yang jelas ialah ketidaksamaan yang besar dan semakin melebar yang meninggalkan fabrik sosial  Amerika.  Yang kaya semakin kaya, manakala yang lain hidup semakin susah.  Amerika, hujah Stiglitz, semakin terpisah pada kadar yang semakin pesat. Pada tahun pascakemelesetan pertama alaf baru (tahun 2002 ke 2007), golongan  satu peratus atas menguasai lebih 65 peratus jumlah pendapatan negara, manakala kebanyakan rakyat Amerika semakin sengsara. 
Ekonomi Amerika  tidak memberikan manfaat kepada kebanyakan warganegara sejak bertahun-bertahun, meskipun dengan kekecualian  tahun 2009, per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat.  Alasannya mudah, catat Stiglitz, ketidaksamaan semakin berkembang, iaitu jurang yang semakin melebar antara golongan satu peratus atas dengan golongan lain.
“Kita membayar harga yang tinggi untuk ketidaksamaan kita yang besar dan berkembang, dan kerana ketidaksamaan kita terus berkembang, melainkan kita melakukan sesuatu, harga yang kita bayar berkemungkinan berkembang juga,” Stiglitz mengingatkan.  “Mereka yang di tengah dan terutamanya mereka yang di bawah, akan membayar harga yang sangat tinggi, tetapi negara kita secara keseluruhan, iaitu masyarakat kita, demokrasi kita juga akan membayar harga yang sangat  tinggi.”  Dalam demokrasi yang wujud tahap tinggi ketidaksamaan, jelas beliau, politik boleh menjadi tidak stabil juga.
Sistem politik Amerika Syarikat  semakin berfungsi dalam cara yang meningkatkan ketidaksamaan natijah dan mengurangkan kesamaan peluang.  “Kerajaan hari memainkan peranan berganda dalam ketidaksamaan semasa kita,” tulis Stiglitz.  “Kerajaan sebahagiannya bertanggungjawab terhadap ketidaksamaan agihan sebelum cukai pendapatan, dan kerajaan mengambil peranan berkurangan dalam ‘membetulkan’ ketidaksamaan ini menerusi cukai progresif dan dasar perbelanjaan.”
Krisis kewangan global 2007 – 2008 dan kemelesetan besar menyebabkan sebilangan rakyat Amerika tanpa pekerjaan. Meskipun kadar pengangguran turun dari semasa ke semasa, kadarnya masih tinggi, iaitu 6.7 peratus pada Disember 2013.  “Setengah dekad kemudian,” tulis Stiglitz, “satu daripada enam orang Amerika yang inginkan pekerjaan penuh masa masih belum memperoleh pekerjaan itu; kira-kira lapan juta keluarga diarahkan keluar dari rumah mereka, dan berjuta-juta lagi dijangkakan melihat notis perampasan rumah mereka tidak berapa lagi; masih banyak yang melihat simpanan sepanjang hayat seakan-akan lesap.”  Rumus beliau, “krisis ini menjadikan ketidaksamaan ini teruk dengan cara yang tidak terkira banyaknya, melampaui pengangguran yang tinggi, rumah yang hilang, upah yang tergenang.” 
Walau bagaimanapun,  Stiglitz mengingatkan bukannya kuasa pasaran sahaja yang menyebabkan ketidaksamaan.  Bahkan, beliau mengingatkan bahawa “meskipun kuasa pasaran memainkan beberapa peranan dalam pewujudan tahap semasa ketidaksamaan, kuasa pasaran pada hakikatnya dibentuk oleh politik.”  
Mencari sewa turut membawa kepada ketidaksamaan. Amalan  yang berlaku secara berleluasa dan dalam  pelbagai  cara yang kuasa politik semasa membantu golongan kaya sambil mengorbankan golongan miskin.  Di negara yang kaya sumber, aset negara, seperti kawasan telaga  minyak dan lombong mineral dijual  di bawah harga pasaran wajar (fair-market).  Dalam bentuk lain, mencari sewa ialah menjual barang kepada kerajaan di atas harga pasaran.  Seperti yang kita ketahui, amalan ini berlaku secara berleluasa di Malaysia, seperti yang dapat kita lihat dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.  Subsidi kerajaan terbuka (seperti dalam pertanian) atau subsidi tersorok  (seperti sekatan perdagangan yang mengurangkan persaingan atau subsidi yang tersorok dalam sistem cukai) merupakan cara lain mendapat sewa daripada orang ramai.
Masyarakat yang tidak sama secara melebar,  Stiglitz mengingatkan tidak berfungsi secara cekap, dan ekonomi tidak stabil dan tidak mapan dalam jangka panjang.  Apabila satu kumpulan berkepentingan memegang terlalu banyak kuasa,  mereka berjaya dalam mendapatkan dasar yang memberikan faedah kepada mereka, dan bukannya dasar yang memberikan faedah kepada masyarakat secara keseluruhan.
Ketidaksamaan dan ketidakstabilan saling memperkukuh  antara satu sama lain, yang Stiglitz sifatkan “putaran ganas.”  Ketidaksamaan mencetuskan ketidakstabilan,  sebagai akibat kedua-duanya, iaitu dasar pembatalan kawal selia yang digubalkan dan dasar yang secara tipikal diterima pakai sebagai respons terhadap kekurangan permintaan agregat.  Sementara ketidaksamaan mencetuskan ketidakstabilan,  ketidakstabilan sendiri mencetuskan lebih ketidaksamaan. Ekoran daripada krisis kewangan global 2008, kini diakui di peringkat global bahawa ketidaksamaan membawa kepada ketidakstabilan, dan bahawa ketidakstabilan menyumbang kepada ketidakstabilan.  Di sini, beliau merujuk kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang dalam kajian pada 2011 merumuskan, “Kami mendapati bahawa musim pertumbuhan yang lebih lama adalah berkait secara kukuh dengan lebih kesamaan agihan pendapatan.”
Untuk mengurangkan jurang yang semakin melebar antara dua golongan ini,  Stiglitz mencadangkan kerajaan melaksanakan cukai progresif dan dasar perbelanjaan (mengenakan cukai yang lebih banyak terhadap golongan kaya berbanding dengan golongan miskin).  Sebaliknya, program yang menyerahkan aset negara kepada golongan kaya dan mempunyai hubungan sangat rapat dapat meningkatkan ketidaksamaan.  
Akibat krisis kewangan global dan kemelesetan besar juga mengakibatkan banyak negara, terutamanya dalam Kesatuan Eropah,  memperkenalkan langkah jimat-cermat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan defisit. Dalam Bab Lapan buku ini,  Joseph Stiglitz  menegaskan bahawa jika Amerika  serius tentang pengurangan defisit, Amerika  dengan mudah mengumpulkan bertrilion dolar sepanjang 10 tahun akan datang  dengan menaikkan cukai terhadap golongan atas;  menghapuskan kelemahan dan layanan istimewa jenis pendapatan yang diperoleh secara tidak seimbang oleh golongan atas;   menghapuskan kelemahan dan peruntukan istimewa sistem cukai individu dan syarikat yang memberikan subsidi kepada perbadanan;  mengenakan cukai sewa pada kadar tinggi;  mengenakan cukai pencemaran;   mengenakan cukai kewangan; dan  memastikan  mereka yang dapat menggunakan atau mengeksploitasikan  sumber negara, iaitu sumber yang merupakan milik sah semua rakyat, membayar nilai penuh.
Sebagai Keynesian, Stiglitz  beberapa kali memetik John Maynard Keynes, antaranya:   "Kerajaan perlu faham bahawa apabila berlaku kekurangan permintaan, apabila pengangguran tinggi, kerajaan perlu bertindak untuk meningkatkan, sama ada perbelanjaan awam ataupun perbelanjaan swasta." Pada halaman lain, Stiglitz memetik Keynes yang mengibaratkan pasaran “pertandingan ratu cantik,” dan pada halaman  seterusnya, "dalam jangka panjang pasaran mungkin berfungsi, tetapi dalam jangka panjang kita semua mati."
(Nota:   Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Mac 2014.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...