Artikel Popular

Sunday, March 31, 2013

Hilang dalam Terjemahan

AHAD, 31 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Majlis Bahasa Sweden, iaitu badan kawal selia yang bertanggungjawab "memupuk" bahasa Sweden, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, menarik keluar istilah ogooglebar yang diterjemahkan sebagai ungoogleable daripada senarai perkataan baru selepas didesak oleh Google.  

Badan tersebut yang menjelaskan misinya sebagai "memantau pembangunan bahasa Sweden yang dituturkan dan ditulis," menambah istilah berkenaan dalam senarai perkataan baru tahun lalu, mentakrifkan perkataan itu sebagai:  "(Sesuatu) yang anda tidak dapat cari pada Web dengan menggunakan enjin carian."

Menurut laman Web The Local, enjin carian gergasi beribu pejabat di California itu meminta Majlis Bahasa Sweden membetulkan takrif mereka.  Namun, pihak majlis enggan dan sebaliknya, menarik keluar istilah itu daripada senarai perkataan sama sekali.

Megan Garber yang mengulas tindakan pihak  majlis itu mencadangkan supaya ogooglebar dan 14 perkataan Sweden yang lain digabungkan  ke dalam bahasa Inggeris segera.  Alasan beliau melalui tulisannya dalam The Atlantic adalah bahawa banyak perkataan Inggeris berasal daripada bahasa Sweden.

Nyata bahawa Majlis Bahasa Sweden enggan tunduk pada desakan Google - sesuatu yang wajar dicontohi oleh badan seumpama itu yang juga wujud di negara kita! 





Saturday, March 30, 2013

Seluar Dalam, Coli, dan Tetek

SABTU, 30 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Perkataan seluar dalam wanita, menurut Sarah Fentem dalam The Atlantic,  dianggap teruk, yang menghantui generasi demi generasi.  Srah memberitahu bahawa beliau menerima kupon licau daripada Victoria Street melalui "mailbox" beliau tentang seluar dalam wanita percuma  Setiap kali beliau membaca perkataan tersebut, jelas Sarah, beliau berasa sedikit mengekot. "Bukan kerana saya benci seluar dalam... kerana saya benci perkataan 'seluar dalam wanita'." Beliau dalam makalah itu juga memetik Zoe Triska: seluar dalam wanita ialah perkataan yang paling teruk.

Sementara itu, dua buah syarikat seluar dalam dilaporkan dalam The Daily Beast,  berlumba-lumba, ingin merebut bintang +Mad Men,  iaitu Jon Hamm.  Fruit of the Loom dan Jockey, kedua-duanya mendapatkan Hamm selepas laporan awal terdedah, menawarkan "seluar dalam percuma untuk hidup" kepada bintang tersebut, memetik TMZ.

Dalam kalangan wanita pula, menurut The Huffington Post, mereka kurang membasuh coli sekerap yang sepatutnya kerana mereka malas. Namun, wanita bernasib baik kerana adanya rekaan baru, iaitu Bra Dryer 2.0.  Coli baru ini diperkenalkan berdasarkan hakikat bahawa coli sepatutnya tidak hanya mengekalkan bentuk keunggulannya untuk bulan-bulan mendatang, tetapi sepatutnya juga berfungsi menyokong tetek wanita dan menjadi wanita berasa yakin dengan kulit mereka.  Coli dapat melakukan semuanya itu dan lebih lagi jika wanita menjaga coli dengan betul.  Coli juga akan tahan lebih enam bulan, bergantung pada kualiti asal coli, dengan bantuan Ricasol Bra Dryer.

Akhbar Internet itu juga melaporkan bahawa sebilangan selebriti bercakap tentang tetek mereka, seperti Sofia Vergara, Jennifer Love Hewitt, Katy Perry, Jessica Simpson, Lea Michele,  Britney Spears, Ambey Riley, Dolly Parton, Kate Upton, Christina Hendricks, Scarlett Johansson, Kim Kardashian,  Shakira, dan beberapa orang lagi.

Britney Spears turut mendapat perhatian, kali ini kerana pakaiannya terlodeh, dan kebetulan dia tidak memakai coli, lalu teteknya terdedah. 

Dua orang penyanyi lain yang juga mendapat perhatian, tetapi bukan kerana coli dan tetek, tetapi kerana tidak bermekap, iaitu Madonna dan Mariah Carey.  Apabila selebiriti tidak bermekap, dapat dibayangkan bagaimana teruknya wajah mereka, seperti yang didedahkan sebelum ini, apa yang terjadi pada Mila Kunis, ketika dia berada di London.

Defisit Belanjawan Tidak Dapat Dielakkan Tidak Kira Parti Mana yang Memerintah

SABTU, 30 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Manifesto pembangkang yang penuh dengan fantasi akan menyebabkan negara mengalami krisis kewangan dan ekonomi sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa negara Kesatuan Eropah.  Demikian ulas Ahmad Husni Hanadziah, Menteri Kewangan Kedua, yang dilaporkan dalam  Utusan Malaysia dan The Star hari ini.  Menurut beliau, dalam tempoh setahun sahaja pelaksanaan manifesto pembangkang itu akan meningkatkan defisit fiskal daripada empat peratus menjadi 11.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  

Dengan Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan  Parlimen dijangkakan dibubarkan atau dibubarkan sekadar menghitung detik, medan pertempuran antara parti politik turut memasuki medan ekonomi.  

Sememangnya, tidak sukar untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan defisit, menurut pendekatan ekonomi: kurangkan belanja dan naikkan cukai.  Namun, jalan penyelesaian yang kelihatan mudah dari segi ekonomi tidak mudah dari segi politik.  Hal ini demikian kerana langkah tersebut boleh mencetuskan keberangan rakyat dan akhirnya mereka terjemahkan dalam peti undi, seperti yang berlaku di beberapa buah negara, yang terbaharu, Italy. 

Berdasarkan Belanjawan 2013, yang bernilai RM252.4 bilion, RM202.6 bilion atau 80.3 peratus ialah perbelanjaan mengurus, dan selebihnya ialah perbelanjaan pembangunan.  Daripada jumlah itu, antara yang tertinggi adalah untuk emolumen yang bernilai RM59.3 bilion atau 23.5 peratus, dan RM38.1 bilion atau 15.1 peratus untuk subsidi.  Bahkan, peruntukan bagi emolumen mengatasi perbelanjaan pembangunan yang hanya bernilai RM49.7 bilion (19.7 peratus).

Beberapa hari sebelum ini, Shamim Adam dan Chong Pooi Koon menulis dalam Bloomberg bahawa defisit belanjawan  pasti berlaku tidak kira parti manakah yang menang pilihan raya kelak.  Bagi kedua-dua penulis ini, kerajaan dan pembangkang di negara ini berlumba-lumba untuk berbelanja demi memenangi hati rakyat.  

Dengan kata lain, rakyat jangan mudah terpengaruh jika mana-mana parti politik menabur janji untuk mengurangkan defisit belanjawan.  Selain itu, seperti yang dinyatakan di atas, sebahagian besar peruntukan disalurkan kepada emolumen dan subsidi - kedua-duanya dalam perbelanjaan mengurus.  

Secara logik, langkah untuk mengurangkan defisit pastinya tertumpu pada pengurangan perbelanjaan mengurus berbanding dengan perbelanjaan pembangunan yang telah pun kecil peruntukannya. Jika demikian, yang pasti menjadi sasarannya ialah emolumen dan subsidi yang pastinya mencetuskan keberangan penjawat awam dan rakyat jelata yang boleh menyebabkan parti politik yang terbabit  tidak dapat tidur lena. 

Justeru, cakap-cakap atau janji-janji mengurangkan dan menghapuskan defisit sekadar retorik politik menjelang pilihan raya. 

Friday, March 29, 2013

Keselamatan Zaman Maklumat

JUMAAT, 29 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Thursday, March 28, 2013

Ekonomi AS Hanya Tumbuh 0.4 Peratus untuk Suku Tahun Terakhir 2012

KHAMIS, 28 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Ekonomi Amerika Syarikat, dilaporkan mencatatkan pertumbuhan yang laju sedikit, tetapi masih pada kadar anemia pada akhir tahun lalu.  Walau bagaimanapun, wujud harapan bahawa pertumbuhan lebih pantas pada awal tahun 2013, meskipun cukai yang tinggi dn pemotongan perbelanjaan kerajaan. 

Seperti yang dimaklumkan oleh Jabatan Perdagangan pada hari ini, ekonomi tumbuh pada kadar tahunan 0.4 peratus dari Oktober hingga Disember.  Kadar ini lebih baik sedikit daripada anggaran sebelum ini, iaitu 0.1 peratus pertumbuhan.  Semakan itu mencerminkan pelaburan perniagaan dan jualan eksport yang lebih kuat.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ini, menurut Bloomberg, tidak banyak mempengaruhi pasaran saham negara itu.


Israel-Palestin: Apakah Penyelesaian Dua Negara Masih Ada Harapan?

KHAMIS, 28 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Boleh dikatakan banyak tumpuan dan liputan diberikan terhadap lawatan Presiden +Barack Obama ke Israel baru-baru ini.  Obama  tidak menjejakkan kakinya ke negara itu semasa penggal pertama kepresidenan, meskipun beliau melawat Kaherah sehingga mencetuskan isu politik semasa Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2012  

Telah diketahui umum bahawa Barack Obama tidak mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, antaranya berpunca daripada tindak-tanduk Washington terhadap Iran yang tidak menyenangkan Tel Aviv.  Bahkan, Netanyahu secara terbuka menyokong calon Presiden +Mitt Romney dalam pilihan raya tahun lalu itu, dan apabila Romney tewas di tangan Obama, maka dikatakan bahawa Perdana Menteri Israel itu pihak yang kalah.  Obama melawat Israel adalah sebahagiannya untuk merapatkan hubungannya dengan Netanyahu, lalu   timbul persoalan: Bibi dan Obama dalam percintaan?

Pastinya, yang menarik perhatian semasa lawatan tersebut ialah tindakan  Benjamin Netanyahu memohon maaf daripada Turki berikutan "serangan" tentera Israel terhadap aktivis dalam kapal Mavi Marmara sehingga mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara itu.   Sifat "beralah" Netanyahu itu, bahas Daniel Politi, merupakan "kemenangan diplomatik  yang besar bagi Obama." Walau bagaimanapun,  menurut Eli Lake, Amerika Syarikat, dan bukannya Obama memainkan peranan untuk memulihkan hubungan antara Israel dengan  Turki, yang tegang selama tiga tahun.  Dalam pada itu, Perdana Menteri Turki +Recep Tayyip Erdoğan,  menjelaskan bahawa memerlukan masa untuk hubungan kedua-dua negara pulih sepenuhnya

Ketika berucap di hadapan para pelajar Israel di Baitulmuqaddis, Barack Obama menghidupkan semula harapan penyelesaian dua buah negara antara Israel dengan Palestin, walaupun itu sekadar ucapan, bahas D.L. dalam +The Economist.   Dalam ucapan itu, Obama mengingatkan rakyat Israel bahawa "dunia boleh berubah."  Bagi beliau, Israel sepatutnya menunjukkan komitmen mereka untuk berdamai dengan Palestin, dan beliau  "roket yang dilancarkan oleh Hamas bukan didorong oleh anti-Zionisme dan anti-Semitisme semata-mata, tetapi juga oleh dasar Israel.

Obama yang juga melawat Ramallah untuk bertemu dengan para pegawai Palestin, dalam ucapan di Baitulmuqaddis itu mengingatkan Palestin jangan gunakan percanggahan sebagai "alasan" untuk mengelakkan perbincangan.  Walau bagaimanapun, seperti yang dihujahkan oleh Ali Gharib, Obama sebenarnya menolak proses damai dan memperlihatkan dirinya tidak serius, sambil memetik Daniel Levy, yang sekadar menganggap "ucapan yang menarik." 

Dua makalah dalam The Washington Post, satu oleh Fareed Zakaria dan satu lagi oleh David Ignatius mempunyai pandangan positif terhadap ucapan Presiden Barack Obama itu.  Fareed melihat dari segi rayuan Obama kepada hati nurani Israel, manakala Ignatius menganggap pendekatan pragmatik Obama bagi Timur Tengah.

Meskipun  penyelesaian buah buah negara diisytiharkan berakhir,   Presiden Barack Obama mempersegar dan mencergaskan semula langkah ke arah penyelesaian dan perdamaian antara Israel dengan Palestin.  Bahkan, menurut David Shulman, wujud harapan untuk rakyat Palestin di Hebron.

Presiden Obama mengecewakan Syria, seperti yang ditegaskan oleh Fouad Ajami dalam Bloomberg,   apakah beliau juga gagal dalam isu Israel-Palestin?


Politik Pahlawan Zaman Maklumat

KHAMIS, 28 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Wednesday, March 27, 2013

Pagar Semakin Tinggi

RABU, 27 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tuesday, March 26, 2013

Dari Greece ke Cyprus: Pelan Penyelamat Tanpa Kesudahan

SELASA, 26 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Nyata bahawa krisis zon euro belum reda, meskipun Mario Draghi pernah berkata  bahawa boleh menarik nafas lega.  Ketika orang mula memikirkan bahawa zon mata wang bersama 17 buah negara itu selamat, Cyprus pula menjadi mangsa terbaharu.  Negara pulau itu kini bergelut dengan krisis sistem perbankan, manakala zon euro pula bergelut dengan politik yang menakutkan. Yang lebih membimbangkan, seperti yang dibahaskan oleh Ben Hall dalam The Financial Times, krisis Cyprus boleh memusnahkan zon euro.

Krisis Cyprus dapat diredakan untuk seketika kerana adanya pelan penyelamat, yang dipersetujui pada 25 Mac, iaitu operasi penyelamat kelimat di zon euro.  Pada pelan penyelamat 10 bilion euro (AS$13 bilion), atau 12,500 euro untuk setiap orang di pulau itu, menurut carta harian The Economist, adalah kecih jika dibandingkan pelan penyelamat sebelum ini untuk Greece, Ireland dan Portugal, dan sebahagian pelan penyelamat untuk bank-bank Sepanyol.  

Dua pelan penyelamat untuk Greece bernilai 246 bilion euro, lebih daripada 110 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.  Namun, pelan penyelamat adalah yang pertama mengenakan levi terhadap deposit bank, iaitu pendeposit yang lebih 110,000 euro dikenakan levi sekala itu.

Rusia yang pada mulanya diharapkan oleh Cyprus untuk membantu, seperti yang ditunjukkan oleh Presiden Vladimir Putin, kurang senang terhadap pelan penyelamat antarabangsa itu,



  

Lima Cara untuk Galak Sokmo

SELASA, 26 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Joan Price yang menulis dalam +The Huffington Post, mengemukakan lima cara untuk mengadakan hubungan seks yang lebih kerap, atau dalam bahasa mudah, untuk galak sokmo. Dalam mukadimah ringkas, Joan mengatakan bahawa keinginan seks berkurangan selepas beberapa tahun berkahwin, lalu beliau mengemukakan cadangan untuk "naik" galak semula.

Bagi sesiapa yang berminat, sila baca di sini


Kota untuk Orang Kaya-raya dan Kota Termahal

SELASA, 26 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Wujud 30 buah kota global, menurut data The Wealth Report 2013 yang dikeluarkan oleh   Knight Frank, yang dipetik oleh The Atlantic Cities, merupakan tempat kediaman orang kaya-raya.  Kota New York ialah lokasi No. 1 untuk golongan tersebut, dengan 7,580 orang dengan AS$30 juta atau lebih aset bersih.  London tempat kedua dengan 6,015 orang, diikuti oleh Tokyo (5,440 orang), San Francisco (4,590 orang), dan Los Angeles (4,520 orang).  Beijing (2,285 orang), Mumbai (2,105 orang), Hong Kong (3,205 orang), Sao Paulo (1,880 orang), dan Rio de Janeiro (1,740 orang), turut tersenarai dalam 10 teratas.

Sementara itu, dalam kajian yang lain, nyata Hong Kong kekal sebagai kota termahal untuk kediaman hartawan. Rumah tapak di kota tersebut, secara purata, AS$84,000  satu kaki persegi, dengan kebanyakan rumah 5,200 kaki persegi. Tokyo menduduki tempat kedua dan London ketiga. 


Monday, March 25, 2013

Dari Cyprus ke Britain: Rusia Juga Dipandang Orang

ISNIN,  25 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dari Rusia dengan cinta, mungkin itulah yang dibayangkan oleh  Robert Dreyfuss dalam The Nation bahawa Amerika Syarikat dan China saling bersaing untuk berbaik-baik dengan Moscow. 

Pastinya, yang tidak kurang menarik ialah krisis Cyprus yang menyebabkan Rusia dalam perhatian. Apabila parlimen Cyprus menolak pelan penyelamat yang diperkenalkana oleh Brussels yang mengenakan syarat bahawa pendeposit bank-bank di negara dikenakan levi, maka alternatifnya ialah Rusia.  Tatkala Kesatuan Eropah dan Jerman membuli Cyprus, negara itu menoleh ke Rusia dengan harapan.  Cyprus dilaporkan memohon pinjaman AS$6.5 bilion daripada Rusia, tetapi ditolak.  

Kebetulan, pendeposit Rusia dikatakan banyak menyimpan mereka di negara pulau itu, dan dengan itu, memberikan kewajaran untuk Rusia menolong Cyprus daripada "dirompak pada siang hari."  Secara rasmi, 30 hingga 40 peratus wang dalam bank-bank Cyprus datangnya daripada bukan pemastautin, kebanyakannya orang Rusia.  Para hartawan Rusia yang kaya dengan wang tunai di Cyprus, diperhatikan mendapati diri mereka menjadi sasaran perbalahan pelan penyelamat itu.

Walau bagaimanapun, tatkala ketua gereja Ortodoks Cyprus menggesa negara itu  keluar dari zon euro, para pemberi pinjaman antarabangsa dilaporkan bersetuju menyediakan pinjaman kecemasan  AS$13 bilion.  Langkah ini untuk mengelakkan Cyprus daripada mungkir.

Rusia terus mendapat perhatian berikutan kematian Boris Berezovsky, hartawan Rusia, di London pada usia 67 tahun.  Beliau  tinggal di kota sejak beliau tidak sehaluan dengan Kremlin yang diterajui Putin lebih satu dekad lalu. Berezovsky, ahli matematik, yang menjadi hartawan, akhirnya mati dalam buangan. Kematian Berezovsky, seperti yang dibahaskan oleh Steve Levine, "menandakan berakhirnya zaman asal oligarki Rusia."

Walau bagaimanapun. John Kampfner yang menulis dalam The Guardian melihat kematian Berezovsky dalam konteks yang lain:  "sebagaimana Cyprus, London juga merupakan padang permainan dan medan pertempuran orang kaya Rusia."

Sunday, March 24, 2013

Cyprus: Pendeposit Terpaksa Tanggung Beban

AHAD, 24  Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas pilihan raya Italy yang berkesudahan parlimen tergantung, Robert J. Samuelson muncul dalam The Washington Post dengan menegaskan bahawa krisis euro kembali semula. Dalam pilihan raya yang menyaksikan kepulangan semula bekas Perdana Menteri Silvio Berlusconi, menurut Samuelson,  bukan sahaja antijimat-cermat, tetapi juga anti-Jerman. Memang diakui, antaranya oleh Joseph Stiglitz bahawa pilihan raya itu membuktikan  jimat-cermat tidak berkesan.

Walau bagaimanapun, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Mario Draghi, dipetik sebagai berkata bahawa keterukan krisis zon euro telah berakhir.  Tiba-tiba sejak beberapa hari lalu, perhatian tertumpu pada Cyprus, negara  terbaharu  yang terjebak dalam krisis di zon tersebut.  Nyata bahawa jimat-cermat berjaya "meragut" satu lagi mangsanya.  Keadaan semakin buruk apabila para pendeposit bertindak mengambil keluar wang mereka selepas bank-bank mendapat pelan penyelamat.

Bank-bank di negara itu, menurut Bloomberg,  mempunyuai 68.4 bilion euro dalam deposit daripada para pelanggan bank-bank lain pada akhir Januari.  Daripada jumlah itu, 21 bilion euro atau 31 peratus, adalah daripada pelanggan di luar kawasan euro, 63 peratus daripada pendeposit dalam negara, dan tujuh peratus dari negara lain dalam wilayah euro. 

Cadangan pengenaan levi sekala 10 peratus terhadap simpanan, dilaporkan mencetuskan panik dalam kalangan rakyat Cyprus, sebagai sebahagian pelan penyelamat luar biasa bernilai 10 bilion euro yang dipersetujui di Brussels.  Lebih memburukkan  lagi, pengenaan  tersebut membangkitkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit di seluruh Eropah:  memerhatikan tindakan troika yang menakutkan

Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, iaitu "pendepost dijadikan penjamin." Selepas pilihan raya Italy yang menyaksikan pendukung jimat-cermat, iaitu Mario Monti tersungkur, Cyprus dijadikan sasaran kekerasan.  Namun, akibat pengenaan levi itu, bank-bank menutup perniagaan pada hari Isnin hingga Khamis.

Paul Krugman yang mengulas pengenaan levi itu, menegaskan akan mendorong penduduk lain di Eropah menyerbu bank-bank mereka dengan perasaan panik untuk mengeluarkan wang kerana takut bahawa mereka juga dikenakan cukai yang sama.  Meskipun Cyprus dianggap oleh pihak berkuasa sebagai sekala, untuk menjamin pendeposit di Portugal atau Sepanyol,  "adakah penduduk Eropah percaya bahawa pihak berkuasa tidak mempunyai wang yang cukup untuk melindungi seluruh penyimpan di Cyprus yang kecil, tetapi mempunyai  wang yang cukup untuk pelan penyelamat bank-bank di tempat lain," soal Buttonwood dalam The Economist.  

"Daripada banyak langkah yang kawasan euro ambil untuk mengatasi krisis hutang," tegas The Editors Bloomberg, "keputusan memaksa penyimpan di Cyprus menyumbang kepada pelan penyelamat negara adalah yang paling teruk."  Matthew O'Brien yang menulis dalam The Atlantic, juga mempunyai pendirian yang sama: sesuatu yang teruk apabila mengenakan cukai terhadap pendeposit untuk menampung pelan penyelamat. Dalam erti kata lain, "deposit tidak lagi selamat" - memetik Robert J. Samuelson turut mengulas apa yang berlaku di Cyprus itu: negara yang mempunyai jumlah penduduk hanya lebih sedikit satu juta orang,  dan dari segi ekonomi, hanya 0.2 peratus daripada 17 buah negara zon euro. "Terlalu kecil untuk menjadi penting di pentas dunia," hujah Samuelson.

Cyprus yang menganggotai Kesatuan Eropah pada tahun 2004 dan euro pada tahun 2008, menurut Peter Coy, membangunkan sistem perbankan yang terlalu besar untuk kerajaan sokong, dengan aset tujuh atau lapan kali lebih besar nilainya daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  "Bank-bank Cyprus mengambil berbilion-bilion euro dalam bentuk deposit, termasuk daripada oligarki Rusia yang mendirikan perniagaan di negara pulau di Mediterranean itu."  Biasanya, bank tersebut, jelas Coy, menyimpan semua wang untuk berfungsi di tempat lain.  Terpengaruh dengan pulangan yang menarik, bank tersebut melaburkan wang pendeposit dengan jumlah yang banyak dalam pinjaman dan bon Greece.  Bank itu juga melabur dengan jumlah yang banyak dalam hutang kedaulatan Cyprus sendiri. 

Walau bagaimanapun, Cyprus yang berpecah belah sejak tahun 1974 akibat perebutan antara Turki dengan Greece, menolak pelan penyelamat dengan memohon pendanaan daripada Rusia.  "Bola keras" yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah, bukan sahaja mendorong negara itu menolak pelan penyelamat, tetapi juga beralih ke Rusia.


Ekonomi: China Atasi AS pada Tahun 2016

AHAD, 24 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Data terbaharu yang dikeluarkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), yang dipetik oleh Rachel Cooper, China dalam laluan untuk mengambil alih tempat Amerika Syarikat sebagai  ekonomi terbesar dunia pada tahun 2016.  Jangkaan ini, berdasarkan pertumbuhan ekonomi China yang pesat.

Meskipun pertumbuhan ekonomi mula perlahan, iaitu 7.8 peratus pada tahun lalu dan kerancakannya terjejas, OECD masih yakin bahawa ekonomil China tumbuh pada kadar 8.5 peratus tahun ini dan 8.9 peratus pada tahun 2014.  OECD mengakui bahawa pertumbuhan ekonomi negara itu perlahan, tetapi secara purata, menurut OECD adalah lapan peratus.

Selepas membenarkan perbezaan harga, OECD, menurut Rachel, meramalkan bahawa China dapat muncul sebagai ekonomi terbesar dunia, menggantikan Amerika Syarikat sekitar tahun 2016.  Ramalan positif oleh OECD berdasarkan tinjauan optimistik untuk perbelanjaan pelaburan dalam ekonomi kedua terbesar di dunia.



Saturday, March 23, 2013

Pemetaan Kekayaan Golongan Terkaya di Dunia

SABTU, 23 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Sekali lagi, +Forbes, muncul dengan liputan utama terhadap golongan terkaya di dunia, dengan Carlos Sim mengetahui senarai, diikuti oleh Bill Gates dan Amancio Ortega.   Kelab hartawan dilaporkan mengalu-alukan kedatangan 210 orang anggota baru.  Dalam senarai itu juga, Putera Alwaleed Talal, didapati  diaibkan kerana beliau menduduki tangga ke-26, dengan kekayaan AS$20 bilion.

Untuk senarai tahunan ke-27 itu, pasukan pemberita majalah itu menghabiskan masa berbulan-bulan untuk menjejak orang terkaya di seluruh dunia.  Akhirnya, menurut Richardo Geromel, mereka menemui 1,426 orang hartawan yang kekayaan mereka bernilai AS$5.4 trilion.  

Kekayaan yang digabungkan bagi hartawan dari Amerika Syarikat, bernilai AS$1.87 trilion, terbesar daripada kekayaan yang digabungkan bagi semua hartawan dari Eropah, yang bernilai AS$1.55 trilion, atau mana-mana benua lain.

Tiga buah negara BRIC: hartawan  Rusia bernilai AS$427.1 bilion, menduduki tempat kedua, hartawan  China bernilai AS$262.96 bilion, dan hartawan India bernilai AS$193.6 bilion.


Untuk rantau Asia Tenggara, Indonesia adalah yang tertinggi dengan kekayaan hartawan bernilai AS$55.25 bilion, diikuti oleh Malaysia, dengan kekayaan AS$48.75, Filipina (AS$39.85 bilion), Thailand (AS$38.6 bilion), Singapura (AS$31.6 bilion), dan Vietnam (AS$15 bilion). 


Penduduk Islam di India Terabai

SABTU, 23 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Penduduk Islam dianggap sebagai golongan minoriti terbesar di negara majoriti Hindu, iaitu dianggarkan 13 peratus daripada lebih satu bilion penduduk di India. Dengan kata lain, penduduk Islam kedua terbesar selepas Hindu yang mewakili 80 peratus.  Pernah dinyatakan,   juga suatu kesilapan apabila   Pakistan berpecah daripada India (dan seterusnya pembentukan Bangladesh) jika dilihat dari segi jumlah penduduk.

Meskipun jumlah penduduk Islam di negara itu terus berkembang, seperti yang diliputkan dalam +The Economist, hidup mereka terabai. Kesederhanaan, menurut majalah itu, adalah menggalakkan, terutamanya dalam konteks peningkatan yang stabil dari segi bilangan penduduk Islam di India.  Analisis rasmi data mengikut agama daripada banci tahun 2011 belum dikeluarkankan, sengaja dilengahkan demi mengelakkan kekecohan sebelum pilihan raya umum yang dijangkakan berlangsung tahun depan.  

Kadar kesuburan yang tinggi dalam kalangan penduduk Islam, jelas majalah itu, mungkin dianggap sebagai sensitif dari segi politik.  Kajian persendirian mengagak bahawa India mempunyai 177 juta penduduk Islam, iaitu 14.6 peratus daripada jumlah penduduk.  Hal ini menunjukkan peningkatan hampir 40 juta orang atau satu titik peratusan pada dekad sebelumnya.  Kesuburan yang tinggi akan memastikan trend peningkatan berterusan. Secara keseluruhan, kadar kesuburan di India jatuh, tetapi dalam orang Islam, kejatuhan paling perlahan. "Tabiat lama masih wujud.  Hanya sebilangan wanita Islam yang bekerja di luar rumah.  Pencegahan hamil tidak banyak digunakan."

Walaupun taraf hidup penduduk Islam di India lebih baik jika dibandingkan dengan yang di Pakistan dan taraf pendidikan mereka adalah sederhana, banyak usaha untuk membantu mereka, menurut The Economist lagi, gagal.  Dana yang diperuntukkan dicuri atau dipesongkan kepada penduduk bukan Islam di India.  Orang Islam yang lebih banyak  tinggal di bandar menanggung kesengsaraan kerana  terabai. Jelas majalah itu lagi, keadaan belum lagi berubah melalui politik, meskipun penduduk Islam diperhatikan mempunyai kuasa tawar menawar.

Sesungguhnya, penduduk Islam di India, tegas Pankaj Mishra dalam Bloomberg, tidak mempedulikan untuk menghulurkan sokongan moral terhadap pemberontakan anti-India di Kashmir yang majoriti Islam yang mengorbankan lebih 50,000 nyawa dalam dua dekad lalu.   Beliau memetik kolumnis The New York Times, iaitu Thomas Friedman bahawa hal ini kerana penduduk Islam di India "merupakan hasil diperkasa dan rasa diperkasa oleh demokratik dan masyarakat majmuk."

Mishra yang sebelum ini muncul dengan bagaimana demokrasi membunuh di Indonesia dan Pakistan (beliau agaknya lupa memasukkan India), dalam tulisan terbaharunya, boleh dikatakan senada  dengan The Economist: pengabaian terhadap penduduk Islam.   Beliau memetik buku tahun 2012, Muslim in Indian Cities:  Trajectories of Marginalisation, bahawa kehidupan orang Islam adalah teruk, kalaupun tidak sangat teruk dari segi sosial dan ekonomi jika dibandingkan dengan orang Dalit (dahulu dikenali orang Hindu yang tidak boleh disentuh) dan suku puak.

"Hampir 40 peratus orang Islam yang tinggal di pusat hidup di bawah garis kemiskinan," tulis Mishra.  "Mereka mewakili hampir 15 peratus daripada jumlah penduduk, tetapi hanya 5.5 peratus anggota Parlimen India ialah orang Islam.  Banyak negeri besar di India yang tidak mempunyai bahkan seorang pun perwakilan Islam dalam parlimen India."

Mempunyai perwakilan yang kurang dalam kehakiman, jelas Mishra, orang Islam terlalu sedikit dalam pasukan polis.  Kini, yang lazim dapat diperhatikan di India yang dimiliknegarakan oleh Hindu: menyalahkan orang Islam.

Walau bagaimanapun, Mishra mengingatkan bahaya pengradikalan, meskipun sebilangan kecil daripada 180 juta penduduk Islam boleh menjejaskan demokrasi dan sekularisme dengan teruk.


Friday, March 22, 2013

Perang Iraq: Garis Masa Pendustaan dan Foto

JUMAAT, 22  Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada 19 Mac, genap 10 tahun Perang Iraq. Presiden Saddam Hussein akhirnya pergi sebelum tercetusnya Pemberontakan Arab, manakala Iraq terhumban ke dalam kancah anarki, dan selebihnya, sejarah.  Akibat pencerobohan itu, Pentadbiran Bush  bergelumang dengan keaiban.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Dick Cheney,  anggota Repulikan dalam Kongres yang menyokong serangan terhadap Iraq,  dan puak neokonservatif yang memukul gendang perang, seperti Bill Kristol masih mempertahankan keputusan atau pendirian mereka. Sementara Meghan L. O'Sullivan yang menulis dalam The American Interest, berusaha  menilai tindakan  Amerika Syarikat itu, seorang lagi puak neokon, iaitu Richard Perle, mengingatkan bahawa tidak munasabah untuk bertanya adakah Perang Iraq berbaloi?  

Suatu kenyataan yang paling mengejutkan datang daripada neokon,  hujah David Corn dalam Mother Jones dengan membangkitkan kajian yang menunjukkan bahawa wang pembayar cukai untuk menampung kos peperangan AS$2.2 trilion dan 4,488 orang tentera Amerika Syarikat terbunuh, dan sekurang-kurangnya 123,000 hingga 134,000 orang awam Iraq terkorban.

Beberapa tahun lalu, Jonathan Stein dan Tim Dickinson, muncul dengan "pendustaan demi pendustaan: garis masa bagaimana Amerika menceroboh Iraq."  Dengan kata lain, memetik Elizabeth Holtzman dalam The Nation, "George W. Bush berdusta, orang ramai terkorban."  Beliau mengheret rakyat Amerika terbabit dalam peperangan yang mereka tidak dapat lihat.

Bersempena 10 tahun Perang Iraq itu, yang disebut antaranya  dekad yang hilang untuk Amerika dan dekad penyesalan, maka The Atlantic, menerbitkan 50 foto dalam tiga bahagian, iaitu pertama, kedua, dan ketiga dalam "In Focus."





Thursday, March 21, 2013

Kos Perang Iraq

KHAMIS, 21 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di ambang 10 tahun Perang Iraq atau lebih tepat pencerobohan terhadap  Iraq, 12 biji bom meledak di kawasan kediaman penganut Syiah, menyaksikan 56 orang tumpas, sesuatu yang tidak berlaku pada zaman  pemerintahan Presiden Saddam Hussein dahulu. Kejadian terbaharu itu menepati saranan Robert Fisk supaya kos perang mesti diukur oleh tragedi manusia.

Kos Perang Iraq yang ditanggung oleh Amerika Syarikat akibat keangkuhan Presiden George W. Bush, dianggarkan mencecah AS$1.6 trilion setakat ini, dianggarkan akan mencecah AS$6 trilion, Demikian anggaran Tasneem Raja dalam Mother Jones, termasuk faedah. Sekurang-kurangnya AS$138 bilion yang menjadi habuan firma swasta dan tersenarai awam yang menyediakan perkhidmatan yang dianggap sebagai pemenang dalam perang tersebut.

Sepuluh tahun lalu, catat James Fallows,  kos pencerobohan terhadap Iraq antara AS$100 bilion hingga AS$200 bilion.

Bersempena 10 tahun Perang Iraq, pelbagai ulasan dan tafsiran dikemukakan, antaranya dekad penyesalan, dekad yang hilang bagi Amerika,  adakah berbaloi penglibatan Amerika itu?, dan tindakan barbarisme oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, Britain.

Sementara The Atlantic, bersempena 10 tahun itu, menyiarkan foto dalam tiga bahagian: pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iraq dan pendudukan dan penentangan. (Bahagian tiga akan menyusul hari ini.)


Jangan Gunakan Perunding?

KHAMIS, 21 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pilihan Raya Umum semakin hampir.  Parlimen akan dibubarkan bila-bila masa.  Demikian gambaran dan kadangkala khabar angin yang berlegar dalam media sosial. Di  Selangor misalnya, bendera parti yang baru menggantikan yang bendera usang, kelihatan di sana sini.  Bilik gerakan juga telah dibuka. Pendek kata, suasana pilihan raya kian dirasai.

Sementara cerdik pandai politik dan para pengulas semakin menampilkan diri mereka, tidak kurang tinjauan atau kajian yang meramalkan parti yang akan menang.  Pastinya juga, parti-parti yang akan bertanding melantik perunding masing-masing untuk mengatur strategi dan melancarkan kempen.

Adakah parti-parti politik di negara ini wajar menggunakan perunding?  Howard Kurtz yang menulis dalam The Daily Beast mempunyai jawapannya, meskipun beliau mengesyorkan sesuatu kepada Parti Republikan. "Pecat semua perunding," hujah Kurtz, kerana perunding  mencari makan, mengutamakan kepentingan mereka, sambil memetik John Fund.  Beliau juga  memetik penjelasan  Stuart Stevens, ketua ahli strategi kempen Romney, yang dipersalahkan kerana kekalahan Mitt Romney di tangan Barack Obama. 

Jangan gunakan perunding! Jangan percayakan kajian! Lupakan cerdik pandai dan pengulas! Lebih baik berdiri di atas kaki sendiri. Gunakan kekuatan dan pengalaman sendiri!


Wednesday, March 20, 2013

Lapan Pasar Terkenal di Dunia

RABU, 20 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Di dunia ini, menurut The Daily Beast, wujud lapan buah pasar yang terkenal, iaitu di Chatuchak di Bangkok, Chadni Chowk di Delhi Lama, Camden di London, La Boqueria di Barcelona, Grand Bazaar di Istanbul, di Marrakesh, Kejetia, dan Mercado Libertad.

Sepuluh Destinasi untuk Berbulan Madu

RABU, 20 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi mereka yang akan berkahwin atau berkahwin lagi - "pasang lebih," untuk berbulan madu, wujud 10 kepergian yang paling relaks, menurut The Huffington Post

Tempatnya kebanyakannya  jauh, tetapi jangan risau, ada sebuah destinasi yang dekat, iaitu Pantai Lovina, Bali.


Tuesday, March 19, 2013

Keseimbangan Ketenteraan

SELASA, 19 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Stephen F. Cohen pernah menulis bagaimana Presiden Barack Obama dapat mengelakkan Washington daripada terjebak dalam satu lagi Perang Dingin dengan Moscow.  

Namun, yang jelas sejak akhir-akhir ini, persaingan dan seterusnya persengketaan bukannya antara Amerika Syarikat dengan Rusia, tetapi antara negara kuasa besar itu dengan China, baik dari segi, mahupun pergolakan di samudera dan perang siber apabila kedua-dua buah negara itu saling tuduh menuduh.  Dalam perang siber yang tercetus baru-baru ini, China didakwa begitu bersemangat untuk menggodam institusi Washington.  Penggodaman itu juga  mendedahkan hubungan China dengan Amerika.

Dari segi ketenteraan, seperti yang ditunjukkan dalam carta harian The Economist, kedua-dua negara tersebut, iaitu Amerika Syarikat dan China bersaing sengit dari segi perbelanjaan ketenteraan,  dan berkemungkinan negara Komunis mengatasi negara kapitalis.  (Rujuk carta di atas.)

Selain itu, kajian terbaharu menunjukkan China merupakan negara kelima terbesar dari segi eksport senjata, menggantikan United Kingdom. Pasaran utama China ialah Pakistan - salah sebuah  negara yang membenci Amerika, dan negara lain, antaranya  Bangladesh dan Myanmar.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...